
Ubat NSAIDs bukanlah pilihan selamat untuk diberikan kepada anak yang sedang mengalami demam akibat jangkitan virus seperti influenza. Amaran ini dikongsikan oleh seorang doktor, Dr Rusydina, menerusi laman TikTok beliau selepas melihat peningkatan kes kanak-kanak yang dijangkiti virus sehingga perlu dimasukkan ke wad.
Ketika ini, negara sedang berdepan musim jangkitan influenza, dan ramai ibu bapa bimbang apabila anak demam berpanjangan. Namun, menurut Dr Rusydina, penggunaan ubat dalam kumpulan NSAIDs (Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs) ketika demam virus boleh membawa risiko sangat berbahaya kepada anak kecil.
Kumpulan ubat ini termasuklah Supp Voren atau Diclofenac dan Syrup Ibuprofen seperti Nurofen.
“Ubat-ubatan ini memang boleh bantu turunkan suhu badan, tapi ia termasuk dalam kategori NSAIDs. Penggunaan NSAIDs ketika demam akibat jangkitan virus, khususnya influenza, boleh menyebabkan Acute Necrotizing Encephalopathy in Childhood (ANEC),” jelasnya.
ANEC ialah komplikasi jarang tetapi sangat berbahaya yang boleh berlaku akibat jangkitan virus. Ia menyebabkan keradangan dan pembengkakan pada otak, dan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan anak.
“ANEC ini bahaya, dikhuatiri ada kesan jangka panjang kepada otak kanak-kanak tersebut. Jadi apa yang ibu bapa boleh buat ialah beri ubat demam dalam kategori Paracetamol. Kalau anak demam tinggi luar biasa, buat ujian saringan influenza. Kalau positif, dapatkan rawatan anti-virus,” katanya lagi.
Dr Rusydina turut menasihatkan agar ibu bapa tidak memberi ubat tanpa nasihat doktor, kerana tidak semua demam perlu dirawat dengan ubat kuat. Sebaliknya, pemantauan suhu, rehat mencukupi dan pastikan anak cukup air (hidrasi) amat penting untuk membantu proses pemulihan.
Nasihat ini wajar diambil serius oleh semua ibu bapa, terutama ketika musim influenza sedang melanda. Walaupun ubat NSAIDs nampak berkesan untuk menurunkan suhu badan, risikonya jauh lebih besar daripada manfaatnya bagi kanak-kanak yang dijangkiti virus.
Jadi, sebelum memberi sebarang ubat, pastikan ia selamat dan disahkan sesuai oleh doktor. Kesedaran dan pengetahuan ibu ayah boleh menyelamatkan nyawa anak-anak tersayang. ❤️
✨ Ibu ayah prihatin, anak lebih terlindung. Sentiasa semak ubat sebelum beri kepada si kecil ya!
Sumber: TikTok @dr.rusydina
FT Image: TikTok @dr.rusydina / Google