Jangan ingat bila anda seorang ayah yang merokok telah melakukan cara yang selamat apabila tidak merokok di dalam rumah kerana ada anak kecil. Hakikatnya anda tetap mendedahkan si kecil pada kesan bahaya asap rokok yang boleh mengancam nyawanya sendiri!
Baca kisah benar yang dilalui oleh ibu ini yang telah melalui pengalaman buruk kesan asap rokok pada bayinya.
“Benarlah ilmu itu luas..dulu umie tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Bila renung wajah anak sendiri YA ALLAH what should i do??”
“I love him so much n will do anything for him. how can i convience other people?? Patotla ada ibu-ibu kat luar sana sanggup menjauhkan anak dr org.”
“Selalu jugak dengar.. ALAHHHH!! Anak aku ok je hidup jugak sampai sekarang. ALLAH belum uji lagi… now aku diuji dengan perasaan takut yang teramat sangat. Aku perhatikan sikap cerewet mak bapak lain yg betul-betul mementingkan kebersihan dan persekitaran anak-anak. Basuh tangan sebelum pegang bayi anda yang paling penting jauhi rokok. Bila kita terlalu ambik tau dan cerewet ada yang menganjing cakap kita mengada-ngada. Ada yang tak ambik kesah, lagi nampak kita pegang baby lagi dia akar rokok tu. Now lihat anak aku sendiri ya Allah ape aku patut buat..
SISA ASAP ROKOK TETAP BAHAYA
Jangan anggap bayi atau anak anda selamat apabila anda merokok di luar rumah. Ini kerana, apabila seorang perokok itu merokok, kesan-kesan nikotin masih terlekat di kulit, baju, bangku, sofa, lantai, langsir, dalam kereta, dan sebagainya walaupun selepas berjam-jam ditinggalkan oleh perokok.
Yang membimbangkan, kepekatan bahan kimia beracun seperti bahan karsinogen, nikotin, karbon monoksida, benzen, formalsehid dan hidrogen sianid yang terkandung dalam asap rokok ‘basi’ adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif. Ini bermakna asap rokok itu lebih merbahaya kepada kita berbanding perokok itu sendiri, apatah lagi kepada bayi!
5 KESAN ASAP ROKOK KEPADA BAYI & ANAK KECIL
Di Malaysia, bilangan perokok masih meningkat walaupun telah bermacam-macam kempen dijalankan. Sumber menyatakan bahawa pada tahun 2013 peratusan perokok meningkat kepada hampir 25% dan ia adalah angka tertinggi sejak Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2006.
Berikut adalah antara risiko yang dihidapi oleh bayi yang terdedah kepada asap rokok, walaupun bukan secara ‘direct’
POTENSI KEMATIAN MENGEJUT
Seperti yang dilaporkan oleh The Health Consequence of Tobacco Use, kebarangkalian untuk bayi kecil mendapat sindrom kematian mengejut (SIDS) adalah tinggi bagi bayi yang terdedah kepada asap rokok mahupun bayi yang dalam kandungan.
Selain itu, bayi dalam kandungan juga berisiko lahir kurang berat badan dan komplikasi lain yang membawa kepada ancaman kesihatan secara kekal.
2. MASALAH SALURAN PERNAFASAN
Bentuk paru-paru kanak-kanak yang lebih kecil dan masih dalam peringkat perkembangan amat penting untuk dijaga demi mengelakkan masalah jangka masa panjang.
Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, “Kalau orang dewasa bernafas dalam 15 atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula kadar pernafasan mereka adalah lebih tinggi, dalam 40 hingga 50.
“Itu bermakna bahawa dengan kadar pernafasan yang lebih laju, mereka akan menyedut lebih daripada orang dewasa,”
Jelasnya lagi, hampir 90% daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paruadalah daripada keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang perokok.
3. SERANGAN LELAH
Selain faktor genetik dan persekitaran, bayi yang tinggal dengan ibu atau bapa yang merokok lebih berkemungkinan menghidap lelah (asthma) jika dibandingkan dengan bayi yang tinggal dalam rumah yang tidak mengandungi asap rokok.
Walaupun kini terdapat rawatan untuk penyakit lelah, pendedahan kepada asap rokok yang berterusan sebenarnya boleh menyebabkan serangan lelah yang amat serius.
Yang menyedihkan, terdapat kajian mendapati bahawa kandungan nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ubat lelah tidak dapat memberi kesan 100%
4. MENJEJASKAN PERKEMBANGAN IQ ANAK
Menurut data oleh American For Non-Smokers’ Right, kesan asap rokok ‘basi’ ini boleh merencatkan keupayaan anak kecil untuk belajar. Ia dibuktikan dengan skor IQ 2.87 poin lebih rendah berbanding anak kecil yang tidak terdedah kepada asap rokok.
Selain itu, kajian Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics turut mengaitkan asap rokok sebagai salah satu punca anak yang hiperaktif, ganas, tertekan dan mengalami masalah ADHD (attention deficit hyperactivity disorder), terutamanya di kalangan anak lelaki.
5. PENYAKIT LAIN YANG SERIUS
Selain daripada masalah di atas, banyak lagi penyakit lain yang boleh dihidapi akibat kesan asap rokok.
Antaranya termasuklah jangkitan telinga dan saluran pernafasan, seperti telinga bernanah dan inflamasi pada telinga tengah.
Selain itu, mereka boleh terdedah kepada masalah keradangan paru-paru (bronkitis). Lebih kronik lagi, ia boleh bertukar kepada penyakit lebih serius seperti pneumonia di mana kanak-kanak mula mengalami demam, batuk, meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.
BETULKAN MENTALITI, AMBIL PEDULI!
Kata Dr Mohd Shaiful Ehsan melalui artikelnya di Malaysian Medical Gazette, “Percaya atau tidak, kita semua adalah perokok…’Perokok ketiga’.
Justeru, sila ambil peduli. Perokok pertama adalah mereka yang aktif merokok dan menghidu asap rokoknya sendiri. Perokok kedua atau pasif pula adalah mereka yang menghidu asap rokok yang dibebaskan oleh perokok pertama. Manakala perokok ketiga adalah mereka yang terdedah pada saki baki bahan rokok yang tersisa selepas ditinggalkan oleh perokok pertama dan kedua.
Sedar atau tidak, hampir semua penghuni dunia kini adalah perokok ketiga.”
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam kancah keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka. Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya. Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh meconium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri. Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nourul Deppmembuka mata ramai wanita tentang pentingnya pemeriksaan awal dan keberanian membuat keputusan besar demi menyelamatkan nyawa.
Penyanyi Nourul Depp mendedahkan pernah diancam kanser saluran vagina tujuh tahun lalu yang memaksanya menjalani pembedahan organ reproduktif wanita iaitu rahim dan ovari untuk menyelamatkan nyawanya.
Pemilik nama Noorulhuda Abdul Wahab menjelaskan telah mengambil keputusan itu selepas disahkan prakanser sebelum hamil anak keempatnya.
Dalam dunia hiburan, ramai lihat selebriti dari sudut glamor sahaja. Tapi jarang orang tahu apa yang mereka lalui di balik tabir termasuk kesakitan, ketakutan, dan perjuangan melawan penyakit yang mengancam nyawa. Itulah realiti yang pernah ditempuhi penyanyi dan figura motivasi, Nourul Depp, 48 tahun, apabila disahkan menghidap kanser pada saluran faraj sehingga memaksanya membuat keputusan besar dalam hidup: membuang rahim dan ovari.
Menurut laporan Berita Harian, Nourul mendedahkan bahawa perjalanan penyakitnya bermula sejak 2018. Waktu itu, doktor mengesan terdapat sel pra-kanser ketika pemeriksaan rutin. Pada awalnya, doktor mencadangkan beliau mengambil vaksin HPV sebagai rawatan pencegahan. Namun semuanya berubah beberapa bulan kemudian apabila keputusan susulan menunjukkan sel tersebut sudah berubah menjadi kanser tahap satu.
“Bila dapat tahu (kanser), doktor adalah bagi cara mengubat seperti suntikan vaksin HPV (virus papilloma manusia) yang lazimnya untuk wanita berdepan masalah uterus. Doktor suruh cuba dulu enam bulan.
“Tapi kanser itu datang lagi dan berkembang daripada pra kanser kepada tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya mengandungkan Isabella (anak keempat). Kalau makin teruk, saya takkan mengandung.
“Doktor suruh buat sekali lagi analisis dan memang kanser. Saya memutuskan untuk membuang (rahim). Alhamdulillah, sekarang sudah tiada apa-apa,”
Kenyataan ini cukup untuk menggambarkan betapa besar keputusan itu. Bukan mudah untuk seorang wanita menerima kenyataan perlu membuang organ reproduksi organ yang memberi peluang untuk mengandung, melahirkan, dan menjadi simbol kewanitaan bagi ramai orang.
Pembedahan pertama dilakukan pada 2020, di mana rahim dibuang sepenuhnya. Namun atas nasihat doktor, prosedur kedua untuk membuang kedua-dua ovari dilakukan pula baru-baru ini bagi mengurangkan risiko kanser berulang pada masa depan. Walaupun keputusan itu berat, ia adalah langkah paling selamat untuk melindungi nyawanya.
Lebih melegakan, Nourul memaklumkan bahawa beliau kini bebas kanser dan tidak perlu menjalani kemoterapi. Beliau berkata:
“Sebab lakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun, itu yang saya dapat tahu. Alhamdulillah sekarang saya sudah bebas (kanser) dan tak ada apa-apa. Memang tak ada ambil kemoterapi atau rawatan lain.
Kisah ini sekaligus menunjukkan bagaimana isu Nourul Depp kanser memberi kesedaran yang mendalam kepada wanita lain tentang pentingnya cek kesihatan secara berkala.
Pra-kanser bermaksud sel tidak normal sudah wujud, tapi belum menjadi tumor ganas. Jika dibiarkan, ia boleh berkembang menjadi kanser sebenar dalam beberapa bulan atau tahun.
Kebanyakan kanser pada serviks, faraj dan vulva berpunca daripada jangkitan Human Papillomavirus (HPV). Ramai wanita tak sedar mereka dijangkiti kerana HPV biasanya tidak bergejala.
Prosedur ini biasanya dicadangkan jika sel kanser aktif, risiko berulang tinggi, tidak merancang kehamilan, atau rawatan lain tidak berkesan.
Ovari menghasilkan hormon estrogen dan progesteron. Untuk jenis kanser tertentu, hormon ini boleh mempercepatkan pembiakan sel kanser. Justeru, membuang ovari mengurangkan risiko masa depan.
– pendarahan selepas bersama
– keputihan berbau pelik
– sakit pinggul bawah
– pendarahan luar kitaran
– ketidakselesaan ketika hubungan intim
– Pap smear
– HPV DNA test
– Ultrasound pelvis
– Pemeriksaan fizikal oleh doktor
Kini, selepas semua pembedahan, Nourul kembali aktif, positif dan lebih menghargai kehidupan. Malah beliau bakal muncul dengan konsert solo membuktikan walaupun diuji, dia tetap bangkit dengan semangat baharu.
Kisah ini bukan sekadar cerita selebriti. Ini adalah peringatan untuk semua wanita: jangan tangguh pemeriksaan, jangan tunggu sakit, dan jangan biarkan takut menghalang kita menyelamatkan diri sendiri. Kisah Nourul Depp kanser kekal menjadi inspirasi buat ramai wanita di luar sana.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran anak sulung dalam keluarga sudah tentu paling dinantikan bagi pasangan suami isteri. Sama ada cepat atau lambat penantian ini antara yang paling berharga.
Begitulah juga buat pasangan, Muhammad Nur Ifwat Ishak dan Nurul Nadia Ismail, 25.
Mengetahui diri hamil, pastinya menjadi detik terindah buat Nurul Nadia malah sepanjang mengandungkan anak sulunnya itu, tiada sebarang masalah dialaminya.
Namun tanpa diduga, ketika usia kandungan mencecah 26 minggu, ibu muda ini dikhabarkan dengan berita kekurangan air ketuban.
“Dengan air ketuban yang sikit pada mulanya dan ada bengkak dalam perut. Kemudian makin lama air ketuban makin tiada. Sampai paras tiada langsung air ketuban.
“Namun, akhirnya, selamat bersalin ketika usia kandungan baru berusia 33 minggu secara normal, pada 2 Disember lalu, jam 2.17 pagi walaupun jangkaan sebenar pada 14 Januari 2019.
“Meskipun pada mulanya dicadangkan secara pembedahan tetapi disebabkan sudah keluar tanda bersalin lagi awal. Dan bayi sudah ada di laluan. Bukaan pun sudah 2 cm. Doktor kata, dalam kes saya, 10 orang yang cuba bersalin normal hanya seorang sahaja yang berjaya. Alhamdulillah, ALLAH mudahkan segalanya,” kongsi Nurul Nadia di laman sosial Facebook, miliknya.
Menurut Nurul Nadia, doktor memaklumkan bayinya yang dinamakan Maryam itu mengalami Potter Syndrome, di mana nisbah sindrom ini hanya satu dalam 30,000 kes.
Ia bukan genetik, bukan juga masalah kromosom namun doktor memberitahu, Maryam mungkin hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja selepas dilahirkan.
Allahuakbar! Hati ibu dan ayah mana yang tidak sedih dan sayu akan perkhabaran duka ini.
“Pukul 7 pagi doktor memaklumkan, Maryam memberikan respons positif apabila dimasukkan oksigen. .
“Alhamdulillah. Ibu cukup bersyukur sebab (ibu) nak jumpa anak (ibu). Anak ibu yang kuat ini. Akhirnya lama menunggu, pukul 11.30 pagi, (ibu) dapat berjumpa Maryam.
“Cantiknya anak ibu. Subhanallah putih comel. Tapi, kata doktor, Maryam tak boleh bertahan lama, paru-paru Maryam sudah bocor,” katanya lagi.
Kuasa ALLAH, Maryam dapat berjumpa dengan semua orang termasuk nenek juga pak cik dan mak ciknya.
Kongsi Nurul Nadia, sekitar jam 8 malam, dia mengalami demam menggigil disebabkan kurang rehat sejak melahirkan Maryam.
Pada awal pagi esoknya, dia terjaga dari tidur dan terdetik di dalam hati, apalah khabar anaknya itu.
“Maryam sayang, kalau sakit tak payah tahan. Pergilah… Ibu reda. Selepas itu, jururawat beritahu, Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) nak jumpa ibu. Maryam dengar apa ibu cakapkan.
‘Bila ibu sampai, denyutan jantung Maryam sudah turun. Ibu cakap, Maryam tunggulah ayah. Ayah datang tu. Itulah pertama kali ibu dapat peluk Maryam dengan ada banyak wayar yang berat.
“Sakit mulut anak ibu kan. Bila ayah datang, denyutan jantung Maryam jadi stabil balik. Manja dengan ayah ini. Ibu bagi ayah pegang pulak. Sebab tangan ibu dah lenguh,” katanya.
Menurut Nurul Nadia, dia tertidur di situ hinggalah dikejutkan oleh jururawat pada jam 3.35 pagi.
“Puan anak dah tak ada (puan). Luluh hati ibu.
“Terima kasih Maryam untuk 24 jam yang ada. Ibu Reda,” tulisnya lagi.