
Menjadi ibu bapa bukan sekadar menanti kelahiran seorang bayi. Ia adalah perjalanan yang perlahan-lahan membentuk hati, emosi dan kekuatan seseorang wanita dan lelaki. Dari detik melihat dua garis merah, hinggalah pertama kali mendukung si kecil, setiap fasa hadir dengan rasa teruja, takut, gembira dan seribu persoalan yang bermain di fikiran.

Atas sebab itu, program istimewa Mega Antenatal Class 2026 anjuran SALAM Specialist Hospital Shah Alam yang berlangsung pada 23 Mei 2026 yang lepas berjaya menghimpunkan bakal ibu bapa dalam suasana yang penuh ilmu, santai dan bermakna. Seawal pagi, para peserta mula hadir dengan senyuman dan semangat untuk menimba pengalaman baru.

Sesi dimulakan dengan sarapan pagi dan pendaftaran sebelum acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada emcee yang berjaya menaikkan mood para peserta.
Kupasan Pakar Tentang Imuniti Bayi & Nutrisi Kehamilan
Sesi pertama bersama Konsultan Pediatrik, Dr. Vasuky Dasaratha Raman memberi pendedahan mengenai sistem imun bayi dan isu alahan yang semakin menjadi perhatian ibu bapa masa kini. Perkongsian tersebut membantu peserta memahami pentingnya penjagaan awal sejak bayi masih kecil bagi memastikan tumbesaran yang lebih sihat dan selamat.

Program diteruskan dengan sesi pemakanan optimum ketika hamil bersama Pegawai Dietetik, Cik Siti Norzulaika Zakaria. Pelbagai panduan berguna dikongsikan termasuk pemilihan nutrisi yang sesuai sepanjang kehamilan, makanan yang membantu perkembangan bayi serta cara memastikan ibu kekal bertenaga walaupun berdepan perubahan hormon dan emosi.
Praktikal Penjagaan Bayi & Perjalanan Penyusuan
Suasana menjadi lebih fokus apabila Bidan 1, Pn. Hanum Binti Mohammad Ishak mengendalikan sesi praktikal penjagaan bayi baharu lahir. Peserta diberi tunjuk ajar tentang teknik asas mendukung bayi, penjagaan harian newborn dan beberapa perkara penting yang sering membuatkan ibu bapa baru berasa gementar.

Sesi diteruskan bersama Bidan 2, IJM Nor Shubada Binti Zakaria mengenai perjalanan penyusuan susu ibu. Perkongsian ini cukup dekat di hati para ibu kerana ramai mengakui perjalanan breastfeeding bukan sesuatu yang mudah. Namun melalui pengalaman dan ilmu yang dikongsikan, peserta mula memahami bahawa setiap ibu mempunyai cabaran dan perjalanan yang tersendiri.

Belajar Bersalin Dengan Lebih Tenang & Yakin
Salah satu sesi yang paling memberi kesan ialah “Calm Birth: Turning Fear Into Confidence” bersama Konsultan Obstetrik & Ginekologi 1, Dr. Nurul Azwa Hasny. Ramai bakal ibu hadir dengan pelbagai kerisauan tentang proses bersalin, namun sesi ini membantu mereka memahami bahawa ketenangan mental memainkan peranan penting ketika melahirkan bayi.

Selepas makan tengah hari, peserta kembali menyertai sesi “Pregnancy and Labor: What to Expect?” bersama Konsultan Obstetrik & Ginekologi, Dr Siti Aziemah Jahaya. Pelbagai persoalan tentang tanda bersalin, proses kelahiran dan perubahan tubuh ketika kehamilan dijawab dengan jelas dan mudah difahami.

Turut berlangsung ialah perkongsian daripada Suzuran Baby mengenai “5 Triggers of Newborn Skin Problems” yang memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang penjagaan kulit bayi yang sensitif.
Pa&Ma Ceriakan Dewan Dengan Games Penuh Gelak Tawa
Di sebalik perkongsian ilmu yang padat, suasana program turut dimeriahkan dengan aktiviti games daripada pihak Pa&Ma yang berjaya menghidupkan suasana dewan.

Game pertama iaitu “Siapa Cepat, Dia Dapat” benar-benar membuatkan peserta teruja dan tidak duduk diam. Dalam permainan ini, emcee akan menyebut beberapa barang tertentu dan peserta perlu menjadi yang paling pantas membawa barang tersebut ke hadapan. Ada yang kelam-kabut mencari barang dalam handbag, ada suami yang terus bangun membantu isteri, malah ada peserta yang spontan berlari demi merebut hadiah.
Suasana dewan bertukar gamat dengan sorakan dan gelak tawa apabila peserta masing-masing cuba menjadi terpantas. Walaupun nampak ringkas, permainan ini berjaya mencetuskan momen yang sangat happening dan menghiburkan.

Tidak cukup dengan itu, game “Serasi Ke Tidak?” pula benar-benar menguji keserasian pasangan. Peserta perlu menjawab beberapa soalan tentang pasangan masing-masing dan hasilnya memang mencuit hati. Ada pasangan yang jawapannya sama tepat, manakala ada juga yang saling tergelak apabila jawapan langsung tidak sepadan.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada pasangan menikmati momen bersama dalam suasana yang santai dan penuh kasih sayang. Jelas kelihatan bahawa perjalanan menjadi ibu bapa akan menjadi lebih indah apabila pasangan saling memahami dan menyokong antara satu sama lain.
Penutup Penuh Kenangan Manis
Program diteruskan dengan sesi teknik pernafasan dan senaman ketika hamil bersama Physiotherapy, Pn Nurul ‘Ain Rapie sebelum acara melabuhkan tirai dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.

Walaupun berlangsung hanya sehari, namun program ini berjaya meninggalkan pengalaman yang cukup bermakna buat semua peserta. Dari ilmu kehamilan, penjagaan bayi hinggalah aktiviti santai bersama pasangan, semuanya menjadikan hari tersebut penuh dengan memori indah dan bermanfaat.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





