Kehadiran suami di dewan bersalin bukan sekadar memotong tali pusat anak sahaja. Tip yang dikongsikan bapa ini boleh dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain.
Menghadapi saat kelahiran bayi memang ditunggu-tunggu bagi mama & papa. Tapi bila memikirkan sakit kontraksi berjam-jam lamanya serta proses meneran yang mencabar di dewan bersalin, ‘seram sejuk’ jadinya.
En Akhtar Syamir telah berkongsi pengalamanya menemani isterinya, Puan Nor Azni bersalinkan anak ketiga mereka. Ia wajar dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain. Jangan biarkan isteri bertarung nyawa di dewan bersalin seorang diri! Berikut ialah perkongsian beliau;
Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan peranan suami.
“Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room”.
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang – tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial – kial nak isi buku pelawat. Tiba – tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain – lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
#1: LUANGKAN MASA
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala – ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. “Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit”, kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.
#2: MENEMANI ISTERI DI DEWAN BERSALIN
“Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang”, kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada.
Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal – awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. “Boleh, jangan bimbang” katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.
Ads
“Puan nak makan ubat tahan sakit tak?”, soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. Kami pun macam terpinga – pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
#3: MENGURUT & SOKONGAN SEMASA KONTRAKSI
Sambil berbual – bual, saya urut – urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar – sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.
Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya “contraction” isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
#4: DATANGKAN KEINSAFAN KEPADA DIRI
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa – apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila “contraction” itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
#5: PEKA DENGAN TAHAP KESAKITAN ISTERI
Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katenye. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
“Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?”. Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba – tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.
Ads
Gambar hiasan.
#6: INGATKAN ISTERI 6 STRATEGI SEMASA PROSES MENERAN
Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
1.Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2.Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3.Jangan teran sikit – sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4.Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama – lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut – sangkut.
5.Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6.Set masa bila nak buat “final push”. Masa ni ialah masa untuk teran habis – habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya “nak potong apa? Jangan !”. Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
Ads
#7: TARIK NAFAS DALAM SAMA-SAMA
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam – dalam dan bersama dengan saya, kami sama – sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde ape – ape, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
#8: UCAP TERIMA KASIH & PELUK ISTERI
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali – kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
#9: BANTU ISTERI
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah – muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit. Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad.
Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga – bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..
PAPA JANGAN LUPA 6 PERANAN INI BILA DI DEWAN BERSALIN
Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam – jam menunggu.
Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara nie.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.
BERIKAN SOKONGAN SERAPAT MUNGKIN
Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.
Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.
Jika anak selalu sakit, cuba periksa 6 perkara ini terlebih dahulu.
1. Terdedah pada virus di pusat jagaan
Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut. Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman. Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk. Oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.
Ingatkan pada anak anda untuk basuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju. Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.
2. Selalu makan makanan ringan
Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’. Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrien mudah dikenali kerana warnanya yang terang. Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.
Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.
3. Anak tak cukup tidur
Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam. Ajarkan juga dia supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.
Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari. Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.
4. Anak kurang bergerak aktif
Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Asyik terperap saja di rumah menonton kartun.
Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.
5. Berkongsi barang
Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.
Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu. Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.
6. Mangsa asap rokok
Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak. Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka.
Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif. Bahkan, DoktorBudak.com melaporkan bahawa kanak-kanakyang tinggal bersama perokok ini lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.
Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.
Sistem Imunisasi Anak Sedang Berkembang
Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan semakin berkurang apabila anak semakin membesar.
Ibu bapa perlu berikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa. Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.
Proses kelahiran bayi adalah sesuatu yang normal. Ini apa yang perlu ibu mengandung fahami tentang bukaan rahim untuk bersalin. Semoga ia dapat membantu memberikan ketenangan kepada diri anda.
Bukaan rahim untuk kelahiran bayi
Serviks merupakan bahagian bawah rahim yang akan terbuka apabila tiba waktu melahirkan anak. Proses itu dikenali sebagai pelebaran serviks.
Proses pembukaan serviks – cervix opening (dilating) – adalah salah satu cara untuk kakitangan perubatan mengesan fasa kelahiran bayi.
Semasa bersalin, saluran rahim akan terbuka untuk memberikan laluan kepada kepala bayi melepasi faraj. Biasanya saiz bukaan akan melebar sekitar 10 sentimeter (cm) untuk kebanyakan bayi.
Sekiranya serviks melebar dengan kontraksi berkala dan menyakitkan, itu petanda anda sudah memasuki fasa bersalin aktif dan semakin hampir untuk proses kelahiran bayi.
3 peringkat proses kelahiran bayi
#Bukaan rahim pada tahap pertama bersalin
Semasa peringkat pertama kelahiran, kontraksi akan membantu serviks menipis dan mula untuk terbuka. Keadaan itu dipanggil sebagai penambahbaikan dan pelebaran.
Semasa rahim melebar, doktor akan mengukur bukaan dalam cm. Pada tahap ini, serviks akan melebar sehingga 10 cm.
Tahap ini biasanya akan berlanjutan sekitar 12 hingga 13 jam untuk anak sulung dan 7 hingga 8 jam untuk kehamilan yang seterusnya.
Ini cara untuk membayangkan saiz rahim:
1 cm lebar: Cheerios (bijirin sarapan pagi)
2 cm lebar: Anggur
4 cm lebar: Hirisan limau nipis
6 cm lebar: Biskut coklat
8 cm lebar: Epal
10 cm lebar: Donat
Tahap pertama bersalin adalah paling lama dan terbahagi kepada 3 peringkat:
Bukaan rahim pada awal kelahiran
Masa kiraan bermula apabila pelebaran serviks mencapai 3 cm. Kebanyakan ibu mengandung menghabiskan sebahagian besar peringkat ini di rumah.
Sebaiknya, cuba untuk terus melakukan aktiviti harian anda seperti berehat, makan dan minum serta mencatatkan waktu kontraksi anda.
Kontraksi mungkin akan hilang untuk sementara jika anda mengubah aktiviti yang dilakukan tetapi lama-kelamaan ia akan semakin kuat.
Apabila anda mengesan perubahan kekerapan, intensiti dan tempoh masa kontraksi berlaku, bahkan anda tidak boleh bercakap apabila ia terjadi, mungkin anda sudah memasuki peringkat kelahiran aktif.
Bukaan rahim pada kelahiran aktif
Daripada saiz 3 cm, ia akan melebar sehingga 7 cm. Ini adalah masanya untuk anda menuju ke hospital.
Apabila kontraksi berlaku setiap 3 ke 4 minit dan bertahan untuk 60 saat, ia biasanya petanda serviks anda membuka lebih cepat – kira-kira 1 cm per jam.
Pada tempoh ini keinginan untuk bercakap mungkin sudah tiada kerana anda perlu mengendalikan rasa sakit kontraksi yang berlangsung.
Semakin mendekati fasa kelahiran, air ketuban anda mungkin pecah menyebabkan berlakunya pengaliran air.
Jika ia berlaku, anda harus bersedia untuk menghadapi kontraksi yang semakin cepat.
Bukaan rahim semasa fasa peralihan
Perlebaran serviks akan berterusan sehingga mencapai saiz bacaan 10 cm.
Bagi kebanyakan wanita, ini adalah fasa kelahiran yang paling sukar atau menyakitkan. Ia adalah masa bahagian serviks anda terbuka sepenuhnya.
Kontraksi pula akan berlangsung untuk tempoh 60 hingga 90 saat dan dialami setiap 2 hingga 3 minit.
Pada ketika ini, terdapat sedikit masa untuk berehat dan anda mungkin akan berdepan rasa bercampur-baur dengan kekuatan kontraksi yang dialami. Berkemungkinan besar anda akan berasa berpeluh, sakit perut, panas atau sejuk.
#Tahap kedua bersalin
Pada peringkat ini, rahim telah terbuka sepenuhnya dan akan berakhir dengan proses kelahiran bayi.
Kontraksi akan mendorong dan menolak bayi turun ke saluran kelahiran dan mungkin berasakan tekanan yang kuat. Ia akan berasa seperti keinginan untuk membuang air besar.
Doktor mungkin akan meminta anda untuk meneran apabila kontraksi berlaku. Umumnya, kontraksi akan semakin kuat tetapi wujud jarak masa yang membolehkan anda berehat.
Tempoh kepanjangan tahap ini adalah bergantung kepada pengalaman melahirkan anak dan berapa kali anda pernah bersalin, kedudukan serta saiz bayi.
Tahap intensiti pada fasa peralihan mungkin berterusan sehingga ke peringkat ini.
Anda mungkin akan mudah marah apabila kontraksi berlaku dan berganti dengan keinginan untuk disentuh dan berbual. Adakalanya wujud kemahuan untuk bersendirian.
#Tahap ketiga bersalin
Selepas proses melahirkan anak, rahim akan terus mengalami kontraksi untuk mengeluarkan plasenta (selepas kelahiran).
Kebiasaannya, plasenta akan keluar selepas 5 hingga 15 minit bayi dilahirkan.
Fasa pelengkap
Selepas bayi dilahirkan, plasenta dikeluarkan, maka anda dan pasangan akan dihujani rasa gembira, kelegaan dan keletihan.
Amat disarankan untuk anda menyusukan bayi selepas dilahirkan. Ini kerana proses penyusuan selepas kelahiran akan membantu rahim menguncup dan mengurangkan pendarahan.
Setelah mengalami keguguran, ramai ibu muda masa kini yang tidak memberi perhatian sewajarnya kepada amalan berpantang keguguran secara tradisional. Tahukah anda rawatan pantang keguguran adalah sama penting seperti ibu berpantang selepas melahirkan anaknya.
Orang tua-tua berpendapat, pantang keguguran perlu diambil perhatian yang lebih serius kerana ia cenderung membuatkan anda terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang lainnya. Jika tidak dijaga dengan betul, amda mudah berasa sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.
Berikut adalah lima cara berpantang keguguran yang patut anda amalkan agar dapat memastikan tubuh badan, dalam dan luaran kembali sihat.
1. Berpantang 44 hari
Bidan zaman dahulu menggalakkan wanita yang mengalami keguguran menjalani amalan berpantang sama seperti ibu bersalin. Lebih lama berpantang, lebih elok hasilnya. Oleh sebab itulah, ada yang mengesyorkan supaya ibu keguguran berpantang selama 44 hari.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan zaman sekarang di mana kebanyakan wanita bekerjaya, maka agak sukar mengikuti cara ini. Namun, semasa bercuti sakit selama 14 hari itu, anda patut gunakannya dengan betul-betul mengikuti rutin berpantang. Jaga makan, pakai stoking, berbengkung, bertungku dan sebagainya.
2. Makan makanan berkhasiat
Daripada sudut perubatan moden, para doktor tidak mengehadkan pengambilan sebarang jenis makanan. Apa yang penting anda mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Dalam pada itu, elakkan makanan berminyak, berlemak, makanan manis dan makanan segera. Seelok-eloknya banyakkan minum air suam atau panas dan makan makanan berkhasiat.
Jika anda tergolong dalam kalangan orang yang rajin mengikut pantang-larang, amalkanlah cara berpantang sama seperti yang diamalkan oleh ibu berpantang yang lainnya.
3. Hadkan pergerakan
Sama seperti ibu berpantang yang lain, anda pun kena jaga dan hadkan pergerakan yang aktif sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan selepas keguguran. Elakkan juga daripada mengangkat benda-benda berat.
4. Jaga rahim
Penjagaan rahim yang rapi selepas keguguran sangat perlu. Biasanya janin yang keguguran pada awal usia kehamilan akan keluar secara semula jadi. Namun, jika usia kehamilan melebihi 10 minggu, keguguran cenderung menjadi tidak lengkap dan bahagian rahim perlu dibersihkan melalui proses dilation & curettage (D&C).
Jika rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh meresap ke sistem tubuh lalu menyebabkan masalah kesihatan yang mungkin boleh mengundang maut. Oleh sebab itulah, anda melakukan urutan, bertungku, mandi herba dan lain-lain. Rutin ini dapat membantu melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan dan memberi keselesaan dan kesegaran kepada tubuh.
Sepanjang tempoh ini juga, anda sangat digalakkan untuk memakai stoking dan memakai baju berlengan panjang bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan.
5. Jangan adakan hubungan seks
Anda tidak digalakkan untuk melakukan hubungan intim dalam tempoh 14 hari selepas berlakunya keguguran. Mengikut kata orang lama, tunggulah sehingga satu bulan untuk ‘bersama’ suami semula.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita Bung Moktar meninggal dunia mengejutkan negara. Ketahui perjalanan hidup, keluarga, legasi politik dan sisi peribadi tokoh Sabah ini yang dikenang ramai.