
Anak sulung selalu dianggap sebagai anak yang paling kuat, matang dan boleh berdikari. Sejak kehadiran adik-adik, mereka perlahan-lahan belajar untuk berkongsi kasih sayang, perhatian dan masa bersama ibu ayah.
Namun, di sebalik sikap mereka yang kelihatan memahami, siapa sangka ada hati kecil yang sebenarnya sedang memendam rasa.
Walaupun baru berusia lapan tahun, seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik mencuri perhatian apabila luahan hatinya yang ditulis dalam sebuah nota ditemukan oleh ibu saudaranya.
Perkongsian tersebut cukup menyentuh hati dan menjadi peringatan buat ibu ayah bahawa anak sulung juga masih kecil, masih memerlukan perhatian dan mahu merasakan diri mereka disayangi.

Baru Darjah Dua, Anak Sulung Luah Perasaan Dalam Nota
Menerusi perkongsian seorang wanita di media sosial, dia tidak menyangka akan menemukan nota yang ditulis oleh anak saudaranya sendiri.
“Terjumpa nota anak buah. Dia kakak sulung daripada tiga beradik. Baru darjah dua. Siannya anak sulung.”
Luahan tersebut membuatkan ramai tersentuh, apatah lagi apabila memikirkan bahawa pada usia semuda itu, seorang anak sudah mempunyai perkara yang ingin diluahkan melalui penulisan.
Ibu Ayah Turut Sedih, Akui Ada Perkara Terlepas Pandang
Menurut ibu saudaranya, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu turut berasa sedih selepas membaca nota tersebut. Malah, mereka mengakui ada perkara yang mungkin terlepas pandang tanpa disedari sepanjang membesarkan anak-anak.
“Ibu papa dia dah tahu dan mereka pun sedih bila baca. Mereka pun mengakui ada yang terlepas pandang tanpa sedar.
“Saya kongsi di sini sebagai kesedaran untuk kita sama-sama lebih peka dengan anak-anak selepas ini. Kadang-kadang kita tak sedar ada perkara yang melukai mereka.”
Perkongsian ini bukanlah bertujuan menyalahkan mana-mana ibu bapa, sebaliknya menjadi peringatan bahawa dalam kesibukan menguruskan keluarga, ada kalanya perasaan anak yang kelihatan baik-baik sahaja turut terlepas daripada perhatian.
Apatah lagi bagi anak sulung yang sering dianggap sudah besar dan boleh memahami keadaan, sedangkan mereka juga masih memerlukan layanan penuh kasih sayang seperti adik-adik yang lain.

Ibu Saudara Dedah Anak Buah Memang Suka Menulis Dan Melukis
Dalam perkongsian sama, wanita tersebut turut menceritakan bahawa anak saudaranya merupakan antara anak buah yang paling rapat dengannya.
Setiap kali pulang bercuti ke kampung, dia sering memeluk kanak-kanak berkenaan sebagai tanda kasih sayang malah menyifatkan anak buah kesayangannya itu sebagai seorang yang bijak serta gemar melukis dan menulis sejak kecil.
“Saya selalu peluk kakak ni kalau balik bercuti ke kampung. Antara anak buah yang paling rapat dengan saya.
“Bijak budaknya. Memang dia suka melukis dan menulis dari kecil. Muka saya pun dia selalu lukis jadikan orang lidi. Terima kasih yang doakan kakak.”
Biarpun perkongsian tersebut kelihatan ringkas, ia membawa mesej yang cukup besar buat ibu ayah agar lebih peka terhadap emosi anak-anak, terutama mereka yang mungkin tidak biasa meluahkan perasaan secara terbuka.
5 Cara Ibu Ayah Jaga Hati Anak Sulung Supaya Tidak Rasa Terabai
Perkongsian ini boleh dijadikan pengajaran buat semua ibu ayah untuk lebih menghargai perasaan anak sulung. Antara perkara yang boleh diamalkan ialah:
1. Luangkan masa khas bersama anak sulung
Walaupun hanya 10 hingga 15 minit sehari, berikan perhatian sepenuhnya kepada anak tanpa gangguan telefon atau urusan lain. Biarkan mereka memilih aktiviti yang mahu dilakukan bersama.
2. Jangan selalu meminta anak sulung mengalah
Elakkan menjadikan alasan ‘kakak kan dah besar’ atau ‘abang kena faham’ setiap kali berlaku perselisihan dengan adik. Dengarkan penjelasan kedua-dua pihak dan berlaku adil mengikut situasi.
3. Peluk dan ucapkan sayang setiap hari
Jangan tunggu anak meminta perhatian. Pelukan, ciuman dan kata-kata kasih sayang boleh membantu anak berasa dihargai serta membina hubungan emosi yang lebih rapat.
4. Beri ruang untuk anak meluahkan perasaan
Tanya anak tentang perkara yang menggembirakan atau menyedihkannya. Jika mereka meluahkan rasa cemburu atau kecewa, dengarkan dahulu tanpa terus memarahi atau menafikan perasaan tersebut.
5. Hargai usaha anak, bukan hanya ketika membantu menjaga adik
Anak sulung juga mahu dikenali sebagai dirinya sendiri, bukan semata-mata sebagai abang atau kakak. Raikan minat, pencapaian dan usaha kecil mereka supaya anak tahu bahawa diri mereka tetap istimewa.
Semoga perkongsian ini menjadi peringatan buat kita semua untuk lebih kerap memeluk, mendengar dan menghargai anak sulung.
Sumber: Thread @aaisyahrapi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

