
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun, Adrean Mohd Safzan Akhtar, berjaya membuktikan bahawa seni warisan bangsa seperti seni silat mampu hidup subur dalam jiwa anak-anak Malaysia.
Adrean berusia 8 tahun berjaya meraih gelaran johan pada Pertandingan Persembahan Perguruan Silat anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Sabtu lalu.
Hebat menguasai kemahiran silatnya, Adrean berjaya mengungguli kategori solo remaja bawah 13 tahun, sekali gus membuktikan bakatnya seawal usia muda.

Rakaman persembahan yang dikongsi oleh Terengganu Voice di Facebook memperlihatkan ketenangan serta keyakinan dirinya ketika berada di atas pentas, meskipun tubuhnya kecil berbanding peserta lain.
Lengkap dengan busana silat serba hitam bercorak keemasan serta tanjak di kepala, penampilannya menyerlahkan aura seorang pendekar kecil yang memikat perhatian penonton.
Kejayaan dikecapi tersebut telah menuai pujian daripada warga maya yang rata-rata mereka menzahirkan ucapan tahniah kepada kanak-kanak terlibat.
“Lembut gemalai dan sharp uiiiii. Hebat ibu bapa kamu. Dan semestinya kamu nakkk. Hebat!” komen Fadhilah Zahiyah.
“Semoga semua sekolah perkasakan silat agar anak-anak mewarisi dan menghidupkan warisan budaya bangsa ini,” tulis Roseanne Hudson.
“Alhamdulillah, tahniah pendekar cilik,” tulis pula Nizam Gemas ringkas.

Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah kepada kedua ibu bapak kanak-kanak berkenaan atas usaha mereka memperkenalkan seni silat kepada beliau.
“Tahniah adik dan ibu bapanya. Pandai asuh bakat anak jadi pesilat berkualiti,” ujar Salamah Muhammed.
“Tahniah kepada ibu bapa kepada adik ini menerapkan silat pada adik. Silat adalah seni pertahanan warisan melayu,” Faridah Abdul Rahim.
Kejayaan Adrean ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi juga simbol bahawa warisan silat masih relevan, mampu membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri anak bangsa.
Sumber: Terengganu Voice
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!










