Bayi Kerap Menangis Mungkin Kembung Perut. Cara Ini Boleh Legakannya

Share

Bayi yang baru berusia tiga bulan memang kerap menangis. Jika tangisan terlalu kerap dan berlanjutan, bayi mungkin mengalami kembung perut. Bagaimanakah cara yang betul untuk menghilangkan masalah kembung?

Masalah kembung perut sememangnya suatu keadaan yang kerap berlaku pada bayi, terutama sekali  yang berusia kurang daripada enam bulan. Oleh kerana ruang dalam abdomen masih kecil berbanding dengan saiz organ dalam abdomen (usus, perut, hati, limpa, pundi air kencing), abdomen bayi boleh kelihatan seolah-olah kembung walaupun sebenarnya normal.

Antara punca masalah kembung perut adalah:

1. Cara memberi bayi susu

Cara menyusu dengan botol (jika bayi menyusu susu formula) yang tidak betul iaitu terlalu condong, saiz lubang botol yang tidak sesuai (terlalu kecil) menyebabkan banyak udara ditelan dan perut kembung. Bayi mesti disendawakan selepas menyusu.

2. Kerap menangis

Bayi terlalu kerap menangis, terlalu aktif kerana rangsangan berlebihan pada hari tertentu turut menyebabkan masalah kembung perut.

3. Susu tidak hadam

Penghadaman susu yang kurang sesuai menghasilkan banyak gas.

Kaedah urutan yang ringan pada bahagian belakang dan perut dan teknik urutan seperti infant massaging boleh membantu melegakan bayi dan dia kembali selesa.

Sekiranya bayi membesar dan menyusu dengan normal walaupun kelihatan kembung perut, ia biasanya bukan sesuatu yang perlu dirisaukan dan ada cara untuk mengatasinya. Masalah ini sepatutnya akan hilang apabila bayi semakin membesar. Namun, jika masalah kembung perut disebabkan oleh penyakit yang serius, jangan berlengah untuk membawa bayi berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

IKLAN