Tangisan bayi yang sepatutnya menjadi isyarat meminta perhatian bertukar menjadi tragedi memilukan apabila seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas dihempas oleh ayah kandungnya sendiri kerana tidak tahan mendengar tangisan berterusan.
Kejadian mengejutkan itu dilaporkan berlaku di Indonesia dan telah mengundang rasa marah, sedih serta kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan bayi dan kanak-kanak dalam persekitaran rumah.
Gambar Hiasan AI
Hilang Kawalan Emosi, Bayi Jadi Mangsa
Suspek dikenali sebagai IS, 28 tahun, dipercayai bertindak di luar kawalan emosi ketika mendukung bayinya di sebuah warung. Menurut Ketua Polis Sektor Ciputat Timur, Kompol Bambang Askar Sodiq, suspek pada awalnya meminta ibu bayi tersebut menyediakan susu kerana bayi terus menangis tanpa henti.
Namun keadaan menjadi semakin tegang apabila bayi masih tidak berhenti menangis. Dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, suspek didakwa bertindak ganas dengan membanting bayinya ke lantai sebanyak dua kali.
“Suspek emosi kerana anak tidak berhenti menangis. Dia kemudian melemparkan anak yang sedang didukung ke atas lantai sehingga kepala bayi terhantuk dan menyebabkan pendarahan serius,” jelas Kompol Bambang.
Bayi Tidak Sempat Diselamatkan
Akibat hentakan kuat di bahagian kepala, bayi tersebut mengalami pendarahan dalaman yang teruk. Mangsa segera dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Detik News
Pihak keluarga yang terkejut dan trauma kemudiannya membuat laporan polis. Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku dalam keadaan rumah gelap kerana bekalan elektrik terputus akibat masalah kewangan, yang didakwa menyebabkan bayi menangis berterusan.
Ads
Suspek turut mengakui bayi dihempas kali pertama di atas tilam dalam keadaan meniarap, manakala kali kedua di atas katil dalam keadaan terlentang. Ketika kejadian kedua, kepala bayi turut terhantuk pada botol susu.
Bayi Menangis Bukan Alasan Kekerasan
Kes ini sekali lagi mengingatkan ibu bapa bahawa menangis adalah satu-satunya cara bayi berkomunikasi. Bayi menangis kerana lapar, tidak selesa, ketakutan, sakit atau memerlukan rasa selamat daripada sentuhan ibu bapa.
Bayi berusia bawah setahun sangat rapuh. Sebarang hentakan, goncangan atau kekerasan fizikal boleh menyebabkan kecederaan otak serius, pendarahan dalaman, kecacatan kekal atau kematian seperti yang berlaku dalam tragedi ini.
Ads
Ayah Juga Perlukan Sokongan Emosi
Tekanan menguruskan bayi bukan hanya ditanggung oleh ibu, malah ayah juga berdepan keletihan, kurang tidur, masalah kewangan dan tekanan emosi yang boleh mencetuskan tindakan luar kawalan jika tidak ditangani dengan baik.
Namun, anak bukan tempat melepaskan amarah. Jika emosi berada di tahap membimbangkan, ibu bapa disarankan untuk mengambil langkah berikut:
Letakkan bayi di tempat yang selamat dan beredar seketika
Tarik nafas panjang dan tenangkan diri
Minta bantuan pasangan atau ahli keluarga
Elakkan sebarang sentuhan kasar terhadap bayi
Dapatkan sokongan profesional jika tekanan berpanjangan
Tragedi Yang Wajar Jadi Pengajaran
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak yang menyebabkan kematian.
Tragedi ini menjadi peringatan besar kepada semua ibu bapa bahawa kawalan emosi adalah sebahagian daripada tanggungjawab keibubapaan. Setiap bayi berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan perlindungan.
Semoga kejadian menyayat hati ini membuka mata semua pihak tentang pentingnya sokongan emosi, pendidikan keibubapaan dan kesedaran bahawa satu detik hilang sabar boleh meragut nyawa anak yang tidak berdosa.
Penularan pandemik Covid 19 kini lebih meluas apabila satu laporan mengenai jangkitan wabak ini terhadap haiwan telah direkodkan. Seekor harimau di Zoo Bronx, New York disahkan positif wabak itu selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.
Mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan serta untuk membendung penularan wabak ini, Orang ramai dinasihatkan membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh haiwan peliharaan kerana dibimbangi haiwan terbabit dijangkiti COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata adalah penting untuk menjaga kebersihan termasuk ketika mengendalikan haiwan terbabit.
“Basuh tangan anda sebelum dan selepas mengendalikannya. Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar (DVS) untuk nasihat lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter mengenai haiwan yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan di sebuah zoo di New York.
Terdahulu, menerusi sidang media Dr Noor Hisham berkata sekiranya haiwan terbabit dijangkiti COVID-19, virus berkenaan boleh menjangkiti pemiliknya.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh jenis coronavirus yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia antaranya, Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan yang terbaharu ialah COVID-19.
Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.
Harimau yang dinamakan sebagai Nadia itu berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti coronavirus daripada manusia.
Selain itu, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.
Dalam satu laporan yang dibuat oleh Astro Awani, penulisan oleh Pensyarah Kanan Imunologi Veterinar di Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar UPM menggariskan beberapa panduan buat pemilik haiwan peliharaan yang boleh diguna pakai ketika penularan Covid-19 ini.
Adakah haiwan peliharaan anda boleh dijangkiti dan menyebarkan COVID19?
Menurut laporan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE), kes jangkitan daripada manusia kepada haiwan ini adalah kes terpencil.
Buat masa ini, tiada bukti yang jelas bahawa virus SARS-CoV2 punca penyakit COVID-19 yang menjangkiti haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing boleh merebak kepada manusia atau haiwan lain.
Saringan besar-besaran sedang dan masih dijalankan oleh pihak berkuasa di China dan makmal diagnostik veterinar di Amerika Syarikat ke atas sampel anjing dan kucing dan setakat ini mendapati tiada sampel positif dijumpai.
Jangkitan daripada manusia kepada haiwan bukan sesuatu yang baharu. Semasa wabak SARS pada tahun 2003 di Hong Kong, sejumlah kucing dan anjing didapati positif, namun tiada bukti penyebaran virus boleh terjadi kepada manusia.
Buat masa ini, tiada laporan daripada kalangan doktor veterinar berkenaan peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dalam kalangan haiwan peliharaan.
Secara kesimpulannya, pemilik haiwan peliharaan tidak perlu panik dengan laporan ini, sebaliknya perlu mengamalkan kebersihan diri semasa mengendalikan haiwan peliharaan.
Apakah langkah yang boleh diambil oleh pemilik haiwan peliharaan pada masa ini?
Beberapa saranan penting telah dikeluarkan daripada pihak Pusat Kawalan Penyakit (CDC), OIE dan Pertubuhan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Sedunia (WSAVA) mengenai kontak dengan haiwan kesayangan sepanjang pandemik COVID-19.
Jika haiwan peliharaan sememangnya dibela di dalam rumah, kekalkan ia di dalam rumah. Namun begitu, sesetengah pemilik haiwan selesa membiarkan haiwan peliharaan di luar rumah.
Secara amnya, langkah pencegahan penularan kepada manusia yang disarankan boleh juga diamalkan ke atas haiwan jika anda mempunyai simptom COVID-19.
Pemakaian penutup muka, elakkan mencium dan memeluk haiwan peliharaan dan yang paling penting, amalkan membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan peliharaan anda adalah langkah-langkah yang boleh diambil pemilik haiwan.
Di waktu perintah kawalan pergerakan ini, banyak kes kucing jalanan yang terbiar kebuluran dan pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk memberi makanan kepada kucing jalanan.
Inisiatif sukarelawan ini amatlah dipuji dan amalan langkah kebersihan diri juga perlu diambil perhatian oleh mereka.
Adakah virus SARS-CoV boleh dipindahkan melalui sentuhan ke atas haiwan?
SARS-CoV2 boleh merebak melalui titisan dan boleh berada pada permukaan rata untuk tempoh beberapa jam.
Sebaliknya, bulu haiwan adalah berliang dan risiko untuk virus merebak melalui sentuhan haiwan adalah amat rendah.
Jika anda masih risau haiwan peliharaan anda mungkin terdedah kepada individu yang berkemungkinan positif COVID-19, anda disarankan untuk memandikan haiwan anda.
Apakah yang perlu anda lakukan seterusnya jika anda didapati positif COVID19?
Tempoh jangka masa bagi pesakit COVID19 jika tiada simptom untuk menjalani isolasi ialah sekurang-kurangnya 14 hari dan mungkin lebih panjang jika pesakit mempunyai simptom.
Ini semestinya tempoh yang sukar untuk pesakit dan haiwan peliharaan yang berada di dalam jagaan mereka.
Kebajikan haiwan wajib dijaga sepanjang anda berada di hospital untuk isolasi.
Kita tidak mahu situasi di mana anjing dan kucing terbiar atau lebih teruk lagi, mati kelaparan ditinggalkan.
Kenal pasti ahli keluarga atau rakan-rakan yang dapat membantu memberi makanan dan air sepanjang ketiadaan anda dan bekalkan mereka dengan bekalan makanan yang mencukupi.
Jadi bagi yang mempunyai haiwan peliharaan, sebaiknya langkah pencegahan yang disarankan bagi mengelakkan jangkitan atau penularan perlulah sentiasa dititik beratkan. Ia penting supaya anda dan juga haiwan peliharaan kesayangan juga dapat dilindungi.
Seorang suami harus menjaga kebajikan isterinya sejak dari hari pertama bernikah sehingga bila-bila. Ketika isteri diminta untuk berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, pastikan anda bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Apakah cabaran sepanjang perkahwinan?
Ikuti perkongsian penuh manfaat dari Akhtar Syamir ini:
Ramai suami yang tidak sedar, mereka membogelkan isteri sendiri sehingga menjadi papa kedana.
Yang saya maksudkan dengan ayat di atas ialah, seorang isteri yang sebelum ini mempunyai segala-galanya menjadi tidak mempunyai apa-apa.
Sama ada dalam masa yang singkat, atau pun dalam jangka masa yang panjang. Sedikit, demi sedikit kepunyaan isteri diambil.
Kita bukan berbicara mengenai harta benda sahaja, tetapi dari segi keupayaan isteri untuk berdikari.
Sebelum berkahwin, si isteri ada kerjaya, ada kereta atau kenderaan sendiri, ada barang kemas dan duit simpanan. Lengkap hidup seorang wanita untuk meneruskan kehidupan seorang diri.
Sehinggalah dia bertemu dengan kekasih hati yang diharap dapat melengkapkan lagi perjalanan hidup dirinya di muka bumi ini.
“Sayang tak perlu kerja, Abang boleh sara hidup sayang. Duduk rumah je nanti jaga anak-anak kita”.
Gelap mata sekejap si isteri membayangkan “impian” ramai wanita, menjadi isteri yang taat dan bermain dengan anak setiap hari waktu suami keluar mencari rezeki.
Senario itu terpancar di minda isteri yang menganggap “akhirnya, aku akan lalui saat indah ini”.
Persetujuan diberi, isteri meletakkan jawatan. Satu pengorbanan dari si isteri dan ada yang terlupa, sebenarnya satu kehilangan punca pendapatan buat si isteri.
Kerja sudah berhenti, bagaimana nak bayar ansuran kereta? “Jualkan sahaja. Kalau bernasib baik, dapat duit lebih. Boleh bantu beli barang rumah”, usul si suami.
Kereta itu pun dijual. Satu lagi pengorbanan isteri. Tetapi ramai yang terlupa, sebenarnya ini satu kehilangan di dalam keupayaan untuk berdikari.
Saban hari dan tahun, kehidupan menjadi susah. Bukan semua orang mampu membesarkan keluarga dengan 1 punca pendapatan. Ada yang terpaksa meminta bantuan isteri menjual dan menggadaikan barang kemasnya apabila simpanan peribadinya sudah habis.
Benar, keluarga itu tanggungjawab bersama. Ramailah yang mencanang ayat ini sambil berjalan ke pajak gadai. Tinggallah isteri menangis redha di rumah dengan tiada apa-apa lagi di badan serta akaun yang kosong tiada pendapatan.
Nafkah? Suami tak mampu. “Tak nampak ke yang abang kerja siang malam pagi petang nak cari duit untuk bagi kita makan? Nak nafkah apa lagi? Dah ada rumah, tak kebulur pun dah cukup bagus tau tak?”
Benar, isteri perlu beri keredhaan supaya berkat bantuan yang diberikan. Ramai isteri yang redha. Ramai juga yang redha sehingga bogel tiada apa lagi yang tinggal.
Yang suami tidak sedar, segala bantuan, pengorbanan itu sebenarnya dalam masa yang sama, membuatkan isteri secara individunya jatuh miskin papa kedana tanpa apa-apa. Yang tinggal hanyalah suami dan anak-anak jika ada.
Masalah timbul apabila suami meninggal dunia. Di waktu hidup pun sudah tidak punya apa-apa, apatah lagi apabila sudah tiada?
Si isteri hilang segala-galanya. Punca pendapatan tiada, kenderaan tiada, harta benda tiada. Kerjaya pun tiada. Nak mula bekerja, umur pun sudah lanjut dan tidak tahu apa kerja yang boleh dibuat kerana selama ini bergantung penuh kepada suami.
Bagaimana nak meneruskan kehidupan? Jika ada anak, bagaimana nak beri mereka makan? Nak tidur di mana?
Ditanya mengenai pewaris KWSP, ditempelak dituduh tak sabar nak suami mati.
Dicadangkan tukar penama dari ibu kepada isteri untuk waris rumah, dimarahi kerana gilakan harta.
Diusulkan supaya buat hibah, tidak diendahkan dan menggagap si isteri hanya fikir si suami mati sahaja.
Insurans nyawa? Tiada kesedaran langsung.
Apa sahaja isteri yang telah dibogelkan ini warisi? Hutang. Rumah yang masih hutang, kereta yang masih hutang, perabot yang masih hutang. Semua itu akan hilang dalam masa sebulan dua.
Itu situasi yang “tidak sedar”. Bagaimana pula dengan situasi yang sedar?
Ulangi semua situasi di atas, tetapi kesudahannya bukan kematian suami, tetapi penceraian atau suami berkahwin lagi.
Buat yang masih bertanggungjawab untuk memberi nafkah anak-anak, mungkin dapat membantu. Tetapi bagaimana dengan isteri yang telah tiada apa-apa ini? Hendak memulakan kehidupan baru di pertengahan usia atau setelah beberapa tahun kahwin sangatlah susah. Tiada harta benda, tiada kenderaan dan pekerjaan. Umpama kehidupan setelah butang reset ditekan.
Apabila tiada apa-apa yang tinggal, inilah yang saya maksudkan dengan isteri yang dibogelkan dan menjadi papa kedana.
Ada juga kes membela biawak hidup, tetapi tidak perlu saya huraikan di sini kerana semua sedia maklum apakah maksudnya. Yang menjadi mangsa tetap si isteri.
Tidak ketinggalan kes di mana suami membuat pinjaman atas nama isteri. Tak kiralah pinjaman kereta, rumah atau pinjaman peribadi. Apabila berpisah, apabila suami tiada, semuanya iateri yang menanggung.
Namun, tidak adil jika kita beri semua keadaan ini tanpa jalan penyelesaian. Ini kerana, dalam kehidupan ini, kita pasti akan diuji. Yang penting, kita perlu bersedia.
Bagaimana nak elakkan dari membogelkan isteri?
1. Waris KWSP letak nama isteri. Benar ia bukan hak mutlak isteri dan perlu melalui proses faraid selepas itu. Tetapi yang penting, proses itu menjadi tidak susah.
2. Waris penama pinjaman rumah LTAT dan yang seangkatan dengannya letaklah nama isteri dan bukannya nama ibu lagi. Ramai yang tidak ambil peduli bab ini dan apabila terjadi apa-apa pada suami, tempat tinggal pun isteri tiada.
3. Jangan sekat jika isteri mahu belajar kemahiran baru selepas berkahwin. Mungkin dia minat menjahit, minat memasak, minat berniaga, minat berniaga online. Ini semua skill dan kemahiran yang akan membantu dia apabila dia tinggal seorang nanti. Tidaklah hidup dia terkontang-kanting tidak tahu apa yang boleh dilakukan.
4. Buatlah hibah untuk isteri. Tak kira lah RM50k ke, RM100k ke atau lebih lagi. Sekarang hibah ini sudah semakin mudah untuk dibuat dan komitmen bulanan hanya RM 50 dan mungkin ada yang lebih rendah lagi. Nampak ratus ribu tu macam banyak, sebenarnya tidak. Menyara anak-anak seorang diri bukanlah mudah dan memerlukan wang ringgit yang banyak.
5. Berpada-pada apabila meminta bantuan. Jangan ambil jalan mudah apabila memerlukan sesuatu. Jangan jadikan isteri tempat untuk merealisasikan keinginan.
6. Sentiasalah ambil berat tentang nafkah isteri. Ini adalah wajib. Jangan pula apabila nafkah sudah diberi, isteri pula yang perlu membeli barang dapur dan lain-lain.
7. Perlu sentiasa ingat yang segala bantuan yang lebih dari yang sepatutnya si isteri beri, ialah satu benda yang perlu dibayar semula. Jangan pejamkan mata dan jangan anggap ianya habis begitu sahaja.
8. Jika si suami mahu isteri berhenti kerja, kena wujudkan sumber kewangan untuknya.
9. Segala harta peribadi isteri adalah hak mutlak isteri. Ianya tidak jatuh kepada suami secara automatik selepas berkahwin. Jangan ada tanggapan automatik ini.
10. Sayangi, kasihi dan layanlah isteri sebaik mungkin supaya isteri redha di atas segala pertolongan dan pengorbanan yang telah isteri lakukan.
Ingatlah yang tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan itu ialah tanggungjawab suami. Berusahalah sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab itu sebelum mempersoalkan tanggungjawab isteri dalam membantu keluarga.
Semoga dapat membuka mata. Kongsikan jika anda rasa perkara ini penting.
Kepada yang menjaga isteri dengan baik dan mengambil berat kelangsungan hidup isteri apabila anda sudah tiada nanti, ambil penulisan ini sebagai tambahan informasi. Tidak perlu sentap dan marah kerana ianya tidak ditujukan kepada anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kerjasama strategik antara RichWorks dan Astro bukan sekadar kolaborasi biasa lantaran bakal membuka lebih banyak peluang, akses kepada ilmu, inspirasi, dan bimbingan yang selama ini mungkin sukar dicapai.
Dengan jalinan ini, lebih ramai usahawan berpotensi dari seluruh pelosok negara akan dapat manfaatkan program-program transformasi RichWorks melalui platform berskala besar seperti Astro.
Sehubungan itu, Syarikat pembangunan potensi diri dan keusahawanan terkemuka negara, RichWorks Academy Sdn. Bhd. (RichWorks Academy), hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat penyiaran utama negara, Astro bagi memperluas impak program-program pembangunan diri dan keusahawanan ke seluruh negara.
Perjanjian ini menyatukan kepakaran RichWorks dalam melatih lebih 2 juta individu dan usahawan sejak 2008, dengan kekuatan platform penyiaran dan digital Astro, yang mempunyai capaian luas merentasi pelbagai saluran termasuk TV, radio dan digital.
Menurut Pengasas dan Presiden RichWorks Academy, Prof. Datuk Wira Dr Azizan Osman, kolaborasi tersebut merupakan satu langkah besar dalam mencapai misi membantu lebih ramai rakyat Malaysia, terutama yang masih mencari jalan keluar dari tekanan hidup dan cabaran kewangan yang berpanjangan.
“Kami percaya bahawa setiap insan mampu berubah, asalkan mereka diberikan peluang dan bimbingan yang betul. Dengan sokongan Astro, kami yakin mesej perubahan ini dapat sampai kepada lebih ramai orang, bukan hanya di bandar, tetapi juga ke kawasan luar bandar.
“Melalui gabungan kekuatan kandungan, komuniti dan penyiaran, lebih ramai individu dapat bangkit dan keluar dari zon selesa untuk membina kehidupan yang lebih bermakna dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Azizan, perjanjian selama dua tahun ini bakal membuka ruang untuk pelbagai program pembangunan kendiri dan ekonomi rakyat diperkenalkan kepada jutaan rakyat Malaysia melalui pendekatan pendidikan yang lebih segar, relevan dan mudah diakses.
“Sebagai langkah pertama di bawah kolaborasi ini, program pembangunan diri, Transformasi360 yang turut menggunakan pendekatan AI (Artificial Intelligence) untuk membantu peserta mengenal pasti potensi dan kekuatan diri, akan dilaksanakan pada 10 hingga 12 Mei depan.
“Transformasi360 bukan sekadar seminar motivasi, sebaliknya ia adalah satu pengalaman mendalam untuk peserta menyusun semula kehidupan mereka dari segi emosi, kewangan, serta matlamat hidup,” jelasnya.
Selain Transformasi360, kerjasama ini juga akan merangkumi penglibatan dalam program Jelajah Jiwa SME, bertujuan untuk memperkasa usahawan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang dalam era digital. Melalui siri ketiga Jelajah JIWA SME tahun ini, para peserta akan mendapat pendedahan kepada strategi, latihan, dan rangkaian sokongan yang lebih meluas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Dr Grace Lee, menyatakan komitmen syarikat dalam memperkukuh impak sosial melalui kandungan dan kerjasama bermakna seperti ini.
“Astro komited untuk menjadi platform yang bukan hanya menghibur, tetapi juga memperkasa. Kolaborasi dengan RichWorks adalah sejajar dengan usaha kami untuk menyokong pembangunan masyarakat melalui pendidikan, inspirasi dan peluang keusahawanan.
“Astro akan memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej dan kandungan program melalui platform penyiaran dan digital kami. Ini termasuk promosi, liputan media, serta kolaborasi aktivasi bersama saluran radio dan televisyen kami,” ujarnya.
[Untuk maklumat lanjut tentang Transformasi360, layari www.transformasi360.com.]
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Intan Najuwa bersyukur pemulihan C-section selepas melahirkan anak kedua berjalan sangat baik dan kini lebih kuat menjalani kehidupan sebagai ibu dua anak.