
Bayi menangis sering disalah tafsir sebagai tanda bayi terlalu manja atau sengaja mahukan perhatian sepanjang masa. Hakikatnya, tanggapan tersebut kurang tepat. Menurut perkongsian Dr. Redza Zainol, menangis adalah sebahagian daripada proses perkembangan normal bayi, khususnya dalam beberapa bulan pertama kehidupan mereka.
Bagi bayi berusia bawah tiga bulan yang sihat dan normal, mereka boleh menangis sehingga tiga jam sehari. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tangisan merupakan satu-satunya cara bayi berkomunikasi untuk menyampaikan keperluan, ketidakselesaan dan emosi mereka kepada ibu bapa atau penjaga.

Kenapa Bayi Menangis?
Terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan bayi menangis. Antaranya ialah:
- Lapar dan memerlukan susu.
- Penat atau mengantuk.
- Tidak selesa dengan keadaan persekitaran.
- Lampin basah atau kotor.
- Mahu dipeluk dan diberi perhatian.
- Tidak suka dibiarkan keseorangan terlalu lama.
Oleh kerana mereka belum mampu bercakap atau menunjukkan kehendak dengan jelas, tangisan menjadi bahasa utama untuk menyampaikan apa yang mereka rasa. Setiap tangisan mempunyai maksud tertentu dan ibu bapa biasanya akan lebih mudah memahami coraknya apabila semakin mengenali anak mereka.
Bayi Menangis dan Kepentingan Respons Ibu Bapa
Menurut kajian yang dijalankan oleh Johns Hopkins University di Baltimore, ibu bapa yang memberi respons terhadap tangisan bayi membantu membentuk perkembangan emosi yang lebih sihat.
Apabila ibu bapa sentiasa memberi perhatian kepada bayi yang menangis, ia membantu mereka:
- Berasa selamat.
- Berasa selesa.
- Merasakan dirinya disayangi oleh ibu bapa.
- Lebih yakin untuk meneroka dan bermain apabila membesar.
Hubungan yang terbina melalui perhatian dan sentuhan kasih sayang ini menjadi asas penting kepada perkembangan emosi anak pada masa hadapan.
Sebaliknya, jika tangisan sering diabaikan tanpa sebab yang munasabah, bayi mungkin mengalami kesukaran untuk membina rasa keterikatan yang kuat dengan ibu bapa atau penjaga utama mereka.
- Berasa jauh daripada ibu bapa.
- Merasakan dirinya kurang disayangi.
- Berasa sedih dan tertekan.
- Kurang rasa keterikatan dengan orang sekeliling.
Kesan Positif Apabila Bayi Menangis Diberi Perhatian
Kajian turut menunjukkan bahawa bayi yang sentiasa berasa selamat dan menerima respons positif sepanjang tahun pertama kehidupannya cenderung membesar sebagai individu yang lebih seimbang dari segi emosi.
Mereka berpotensi menjadi:
- Berdikari.
- Berkeyakinan diri.
- Ceria dan gembira.
- Mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Perkembangan ini tidak berlaku dalam sehari, tetapi dibentuk melalui pengalaman harian yang konsisten bersama ibu bapa. Justeru, memberi perhatian apabila bayi menangis bukan bermaksud memanjakan anak, sebaliknya memenuhi keperluan emosi yang penting pada usia awal kehidupan.
Apa Perlu Dilakukan Jika Bayi Masih Menangis?
Ada masanya bayi menangis walaupun sudah menyusu, lampin telah ditukar dan keadaan kesihatannya kelihatan baik. Dalam situasi seperti ini, ibu bapa boleh mencuba beberapa langkah mudah untuk membantu menenangkan mereka.
1. Hayun Perlahan-Lahan
Letakkan bayi di atas rocking chair atau dukung sambil menghayun perlahan. Pergerakan lembut sering membantu bayi berasa lebih tenang dan selesa.
2. Usap Kepala dan Tepuk Belakang Dengan Lembut
Sentuhan penuh kasih sayang daripada ibu bapa mampu memberikan rasa selamat dan mengurangkan keresahan bayi.
3. Bercakap atau Bacakan Ayat Al-Quran
Suara ibu atau ayah yang lembut boleh membantu menenangkan emosi bayi. Bacaan ayat suci Al-Quran juga sering memberikan suasana yang lebih menenangkan.
4. Bawa Bersiar-Siar
Cuba bawa bayi berjalan di halaman rumah menggunakan stroller atau mendukungnya sambil menikmati udara segar. Perubahan suasana kadangkala membantu mengalih perhatian mereka.
5. Naik Kereta Sebentar
Ada sesetengah bayi menjadi lebih tenang apabila mendengar bunyi enjin dan merasai pergerakan kenderaan yang stabil.
6. Cuba Sendawakan Bayi
Kadangkala bayi menangis kerana tidak selesa akibat angin yang terperangkap di dalam perut. Pastikan bayi disendawakan selepas menyusu bagi mengurangkan ketidakselesaan tersebut.

Jangan Cepat Label Bayi Sebagai Manja
Bayi menangis bukan tanda mereka terlalu manja. Sebaliknya, tangisan merupakan cara semula jadi untuk menyampaikan keperluan, ketidakselesaan dan emosi yang sedang dialami.
Memberi perhatian kepada tangisan bayi tidak akan menjadikan mereka bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa. Malah, ia membantu membina rasa selamat, kepercayaan dan kestabilan emosi yang diperlukan untuk perkembangan mental yang sihat.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr. Redza Zainol, respons ibu bapa terhadap tangisan pada tahun-tahun awal kehidupan memainkan peranan besar dalam membentuk anak yang lebih yakin, berdikari dan bahagia apabila membesar kelak. Oleh itu, apabila bayi menangis, cuba fahami mesej yang ingin disampaikan kerana setiap tangisan mempunyai sebab dan keperluannya yang tersendiri.
Sumber: Dr Redza Zainol
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!






