Tahukah anda, ada kemungkinan bayi buang air besar ketika di dalam kandungan? Untuk pengetahuan bakal ibu, kondisi ini turut dikenali sebagai sindrom aspirasi mekonium.

Walaupun kedengaran luar biasa, namun hampir 12% hingga 20% bayi akan membuang air besar ketika masih berada di dalam perut ibu.

Bayi ‘Tersedut’ Tinja Sendiri Ketika Dalam Kandungan? BAHAYA! Ini Kesannya!

Jika bayi lahir lebih lambat daripada tarikh yang ditetapkan, risiko akan meningkat kepada 40%. Namun, sindrom ini amat jarang berlaku pada bayi yang mengalami kelahiran pramatang.

Walaupun ia merupakan sesuatu yang lazim berlaku, namun bayi dalam kandungan kadangkala boleh ‘tersedut’ cecair amnion yang telah bercampur dengan tinja ini.

Jika ini berlaku, ia boleh mendatangkan komplikasi yang perlu diselesaikan secepat mungkin.

Apakah maksud sindrom aspirasi mekonium?

Sindrom aspirasi mekonium atau MAS merupakan satu kondisi yang berlaku apabila bayi mengalami masalah pernafasan kerana mekonium telah termasuk ke dalam paru-paru.

Mekonium merupakan tinja pertama bayi. Ia berwarna hijau gelap, pekat dan melekit.

Selalunya, bayi buang air besar dalam masa beberapa jam atau hari selepas kelahiran.

Namun, ada juga yang ‘tidak sabar’ dan terus membuang air besar ketika ia masih lagi berada dalam kandungan.

IKLAN

Bayi menyerap nutrisi melalui plasenta ketika berada di dalam rahim. Selalunya, bahan buangan akan dikumuhkan sebagai air kencing. Tetapi, tidak mustahil bayi boleh membuang air besar sebelum atau sejurus selepas dilahirkan.

Mekonium boleh mencetuskan masalah kerana ia boleh:

  • Menghalang saluran pernafasan.
  • Menyebabkan iritasi pada saluran pernafasan dan merosakkan tisu paru-paru.
  • Menghalang satu bahan yang dikenali sebagai surfaktan yang membantu paru-paru untuk terbuka selepas lahir.
  • Dengan rawatan, kebanyakan bayi yang mengalami sindrom ini boleh sembuh tanpa sebarang masalah.

Apakah yang menyebabkan sindrom aspirasi mekonium?

Mekonium merupakan tinja yang dikumuhkan oleh bayi sejurus selepas kelahiran, sebelum bayi mula makan atau menerima susu.

Dalam sesetengah kes, bayi akan melepaskan tinja ke dalam cecair amnion. Si manja kemudiannya bernafas sehingga ia termasuk ke dalam paru-paru.

Perkara ini boleh berlaku ketika:

IKLAN
  • Bayi masih berada di dalam uterus.
  • Ketika melahirkan anak.
  • Serta-merta selepas kelahiran.

Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan bayi stres sebelum kelahiran ialah:

  • Plasenta melalui proses ‘penuaan’ jika ibu masih tidak melahirkan anak selepas due date.
  • Tahap oksigen yang rendah ketika bayi di dalam uterus.
  • Diabetes dalam kalangan ibu mengandung.
  • Kelahiran yang sukar atau memakan masa yang panjang.
  • Tekanan darah tinggi.
  • Jika bayi buang air besar di dalam rahim dan adanya mekonium dalam cecair amnion, bayi memerlukan rawatan secepat mungkin untuk mengelakkan masalah kesihatan.

Walau bagaimanapun, bayi mungkin tidak memerlukan rawatan jika si manja sihat dan kekal kuat.

Kebanyakan bayi yang mengalami sindrom ini akan sembuh dalam masa beberapa hari atau minggu.

Ibu mungkin akan risau melihatkan pernafasan si manja yang semakin laju. Namun, simptom ini tidak akan kekal lama. Malah, kerosakan paru-paru kekal amat jarang terjadi.

Bayi dengan kes MAS yang ekstrem mungkin memerlukan intervensi tambahan. Bergantung kepada kes, bayi mungkin menerima bantuan oksigen, bantuan pernafasan dengan ventilator, antibiotik dan nutrisi.

Selain itu, mereka juga mungkin perlu tinggal di NICU supaya kondisi mereka dapat dipantau dengan sewajarnya.

Apa yang berlaku selepas bayi buang air besar di dalam kandungan?

IKLAN

Sebenarnya, mekonium agak bersih. Komponen utamanya ialah air dan tidak akan menyebabkan jangkitan di dalam uterus.

Walaupun kebanyakan bayi tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang teruk, namun hampir 4 hingga 10 peratus bayi baru lahir akan mengalami MAS.

Apabila cecair amnion yang bercampur dengan mekonium dihidu oleh bayi sebelum, semasa atau selepas kelahiran, ia boleh menyebabkan halangan pada saluran pernafasan.

Malah, sindrom aspirasi amnion yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan pneumonia, paru-paru bocor dan juga masalah pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir.

Doktor telah dilatih untuk mengesan tanda sindrom aspirasi mekonium. Mereka juga mungkin perlu melakukan X-ray untuk mengesahkan diagnosis selepas kelahiran.

Antara tanda-tanda sindrom ini ialah:

  • Cecair amnion yang berwarna kehijau-hijauan.
  • Kesan mekonium pada bayi.
  • Masalah pernafasan.
  • Kulit yang kebiruan disebabkan tahap oksigen yang rendah.
  • Badan bayi lembik.
  • Skor apgar rendah.
  • Degupan jantung perlahan.

Kesimpulan
Selalunya, bayi tidak akan membuang air besar di dalam kandungan. Selalunya, si manja akan tunggu sehingga lahir sebelum melepaskan mekonium.

Walau bagaimanapun, kadangkala sindrom aspirasi mekonium akan berlaku. Apabila tinja bercampur dengan cecair amnion, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan pada bayi.

Walaupun bayi yang mempunyai masalah ini perlukan perhatian pakar serta-merta, namun kebanyakan bayi yang lahir dengan kondisi ini mempunyai prognosis yang cerah dan dapat sembuh dengan baik.

Kredit: Hello Doktor

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI