Bedung Bayi Banyak Kebaikan, Tapi Kena Ikut Cuaca!

Share

Amalan membedung bayi sejak dulu diamalkan dalam masyarakat Melayu kita. Selain membuatkan bayi selesa, amalan ini begitu banyak kelebihannya.

Pun begitu kata Kaunselor Laktasi, Pn Nad Masrom, bedung bayi bukan dilakukan tanpa sebab namun perlu mengikuti kesesuaiannya dengan cuaca di negara kita. Ikuti perkongsiannya.


Menerusi perkongsiannya, beliau juga turut menjelaskan perbandingan antara bedung bayi di Malaysia dan luar negara.

Perbandingan tersebut dijelaskan kerana terdapat satu komen daripada pengguna media sosial yang menghentam bedung bayi di Malaysia.

“Benda paling pelik saya pernah tengok. Tak pernah buat dekat anak saya macam ini,” komennya.

Difahamkan bedung dipakai di Malaysia adalah tidak sama dengan luar negara kerana kain lebih nipis mengikut kesesuian suhu semasa.


Bedung di Malaysia tak sama dengan bedung luar negara?

Semalam saya terbaca satu komen dari ibu di Malaysia yang membalas komen nenek mat salleh. Saya kira dah level nenek sebab nampak berusia.

Ya jenis bedung yang dipakai tidak sama. Kebiasaanya di Malaysia kita akan memakai kain yang nipis sesuai dengan suhu di Malaysia.

Dan kebiasaanya kita akan menggunakan teknik bedung yang ‘membalut’ dengan kemas untuk mengelakkan tangan bayi mudah terkeluar atau terjaga sewaktu tidur.

Dan kalau di barat biasanya mereka menggunakan bedung jenis instant dan sebahagiannya berkain tebal. Matlamatnya masih lagi sama. Untuk memberi rasa hangat dan selesa seperti di dalam rahim untuk bayi 0-3 bulan.

Secara tidak langsung ia membantu bayi tidur lebih lama tanpa terganggu oleh pergerakan refleks. Faktor utama dalam membedung bayi adalah pastikan bayi selesa, boleh bernafas dengan baik, dan tidak terlalu panas semasa dibedung.

Untuk ibu menyusu, bedung sangat membantu untuk bayi diposisikan dengan betul dan menyumbang kepada kejayaan penyusuan awal kelahiran.

Manfaat bedung bayi

Bedung boleh membantu bayi rasa lebih selesa kerana balutan yang kemas menyerupai keadaan ketika berada dalam rahim. Ia juga boleh mengurangkan refleks Moro

, iaitu refleks terkejut yang menyebabkan tangan dan kaki bayi tiba-tiba tersentak ketika tidur. Bagi sesetengah bayi, ini membantu mereka lebih mudah ditenangkan dan tidur dengan lebih lena.

Tip bedung bayi dengan selamat

  • Gunakan kain bedung yang ringan dan breathable, terutama ketika cuaca panas.
  • Bedung bahagian dada dengan kemas tetapi jangan terlalu ketat. Pastikan masih ada ruang untuk bernafas dan bergerak dengan selesa.
  • Bahagian pinggul dan kaki perlu mempunyai ruang untuk membengkok dan bergerak. Jangan luruskan kemudian balut kaki bayi dengan terlalu ketat kerana ia boleh menjejaskan perkembangan pinggul.
  • Pilih pakaian di dalam bedung mengikut suhu. Kalau cuaca panas, elakkan terlalu banyak lapisan bagi mengurangkan risiko bayi terlalu panas.
  • Sentiasa baringkan bayi secara terlentang ketika tidur, termasuk apabila dibedung.
  • Pastikan kain bedung tidak longgar sehingga boleh terungkai dan menutupi muka bayi.
  • Periksa tanda bayi terlalu panas seperti berpeluh, dada terasa panas atau kulit kemerahan.
  • Hentikan bedung apabila bayi mula menunjukkan tanda cuba berguling. Jangan tunggu sehingga bayi sudah pandai berguling sepenuhnya.
  • Selepas bedung dihentikan, boleh beralih kepada pakaian tidur bayi atau sleep sack yang sesuai dan tidak mengehadkan pergerakan tangan.

Satu perkara penting, bedung bukan wajib untuk semua bayi. Ada bayi rasa tenang apabila dibedung, ada juga yang lebih selesa tangan dan kakinya bebas. Jadi ia boleh dilakukan mengikut keselesaan bayi, dengan keselamatan tidur sebagai keutamaan.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000! 

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

Published by
SRM