Pengorbanan seorang isteri dan ibu itu memang tidak boleh disangkal lagi. Pertarungan dalam melahirkan seorang bayi sudah cukup menggambarkan betapa kuatnya seorang ibu, tambah pula perlu menguruskan rumah tangga dengan pelbagai tugas. Ternyata ia bukan satu tugas yang mudah.
Justeru suami perlu ringan tulang bantu apa yang boleh bagi mengurangkan beban isteri tercinta. Seperti satu perkongsian oleh pengguna Facebook Ws Adli W Muhammad yang bercerita tentang pengorbanan isterinya yang baru sahaja bersalin sudah betah membuat kerja rumah atas dasar tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak mereka.
Isteri bersalin secara pembedahan
Kali ini isteri saya bersalin secara pembedahan. Jarak Sayyidah dengan Riyadh ialah 8 tahun. 3 kali dalam tempoh itu, isteri saya keguguran.
Selepas Sayyidah lahir, saya tengok bagaimana sukarnya isteri saya nak bergerak ke sana ke sini. Dari riak mukanya, kita tahu yang dia buat-buat sakit atau sakit sungguh-sungguh.
Memang dia tak buat-buat, dia sakit sungguh-sungguh.
Saya ingat lagi seorang kawan saya kata, “Jangan percaya sangat kat isteri yang lepas bersalin tu sakit beria, kejap je sakit lepas tu eloklah. Macam-macam ubat doktor bagi.
Kita orang laki ni tak perlu beria nak jaga anak, anak nak kat mak dia banyaknya pun”.
Alhamdulillah saya tak percaya cakap silaka dan setan dia.
Saya cuba bantu isteri. Saya yang takut sangat pada jarum suntik, selama 7 hari sayalah yang tolong cucuk pada badan isteri masukkan ubat cair darah ke apa tu namanya.
Kita tukang cucuk tak ada apa sangat, seram gitu-gitu je. Dia yang kena cucuk tu bagaimanalah perasaannya, bagaimanalah peritnya.
Ads
Basuh baju, basuh berak anak, sempatlah saya buat belaka. Saya kata kepada isteri “Jangan bimbang, 3 bulan berpantang ni, biar abang uruskan belaka, dinda rehat sahajalah.
Mandi anak je abang tak berani huhu”.
3 hari lepas bersalin terus buat kerja rumah
Dia senyum, sambil anak kami Sayyidah lena tidur disebelahnya. Takkan Sayyidah nak mengiyakan pula cakap tu. Jangan buat pasal.
Rupanya tak dan 3 bulan.
3 hari lepas balik dari hospital tu, isteri saya dah sibuk balik. Sibuk melipat kain dan baju. Sibuk siapkan makanan saya, sibuk basuh itu ini dan macam-macam sibuk lagi.
Bergerak ke sana ke mari. Ada masa laju, ada masa perlahan. Kerapnya selalu disentuh-sentuh bahagian perutnya. Barangkali ngilu menahan sakit dan perit.
Jadi, bila dia berehat?
Ads
Kawan-kawan,
Percayalah. Isteri yang ada disebelah kita, pengorbanan dia kepada keluarga cukup besar. Penat lelah dia ketika mengandung bawa anak kita ke hulu ke hilir, kemudian menahan maha sakitnya ketika bersalin, tak mampu kita lalui.
Andai kita diberi peluang untuk merasainya, sudah pasti kita tolak awal-awal ataupun cabut lari.
Betapa banyak keinginan yang dia pendam, tak mahu diucap agar kita tak bimbang atau bekerja kuat untuk usahakannya.
Asalkan anak-anak dan seorang suami sentiasa ada bersamanya, buat jadi penghibur hati dia.
Itulah yang melegakan segala sakit yang dia alami. Biarlah segala keinginan dia yang nakkan itu dan ini dipenuhi sawang sehingga akhir hayatnya.
Cukup sekadar nampak bayangan di mata dan hati, asal tidak menyakitkan dan meresahkan dada suami.
Belajarlah untuk merasai beban seorang isteri.
Saya tulis ini bukan sebab hari ini hari jadi isteri saya. Saya tulis sebab saya perasan betul-betul isteri saya berehat cuma sejam dua ketika semua kita sudah enak melayan mimpi ditengah-tengah malam.
Isteri baru nak lena beria, anak kecil sudah merengek meminta susu. Lekas tergopoh dia kembali duduk demi membahagiakan si anak kecil kita.
Allahu.
Begitulah juga mak-mak kita. Asal namanya ibu, cukup besar pengorbanannya tak terlawan.
Buat peringatan bagi diri saya dan yang bergelar suami, pandanglah betul-betul wajah isteri, kenanglah segala susah perit yang dia tanggung, sebelum membuat sesuatu perkara yang mengundang petaka.
Susah sama susah, senang sama senang. Gembira belaka.
WS Adli W Muhammad,
Terima kasih Salmi Suhana, si cinta kanda.
Siapa sangka anak yang disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus sewaktu bayi kini membesar dengan sihat dan paling unik apabila semakin besar, rambutnya juga makin berkerinting seolah-olah seperti dibuat di salon rambut.
Nur Nilam Qaseh, 4 tahun, anak yang dianggap istimewa tetapi kini dah semakin sihat membesar sentiasa menjadi perhatian orang ramai yang pertama kali bertemunya. Ini semua gara-gara rambutnya yang jarang-jarang ada pada kanak-kanak lain.
Tak ada genetik rambut kerinting
Berkongsi kisah Nur Nilam Qaseh, ibunya, Puan Nurul Faizuliqa Jusoh menjelaskan pada asalnya rambut anak kedua dari tiga beradik ini lurus dan nipis je ketika bayi. Sama seperti anak yang lain juga.
Cumanya apabila menginjak usia setahun, mula nampak ada kerinting sikit-sikit dan tak terfikir pun apabila semakin meningkat usia akan jadi bergulung dan lebat rambutnya. Lagipun ahli keluarga saya dan ayahnya memang tak ada genetik rambut kerinting.
Habuk senang melekat, perlu bersihkan rapi
Sehinggalah sekarang ia lagi ketara. Walaupun ramai yang cadangkan boleh buat teknik rebonding untuk bagi lurus rambutnya, untuk kes Nur Nilam Qaseh ini tak boleh. Ini kerana dalam kepalanya itu ada dipasangkan tiub seumur hidup.
Jadi nak tak nak saya hanya perlu menjaga rambutnya dengan mencuci setiap hari dan menggunakan syampu. Disebabkan rambutnya yang berkerinting itu, habuk senang melekat dan perlu dibersihkan dengan rapi.
Selain bersihkan setiap hari, sesekali saya akan menggunakan minyak rambut untuk elakkan rambutnya kembang. Bukan apa, setiap kali lepas mandi dan dikeringkan, bila disikat rambut akan mengerbang. Tetapi lepas mandi dia akan bergulung semula.
Kongsi Nurul Faizuliqa, sesekali saya ada mengikat rambutnya juga untuk bagi nampak lebih kemas. Tapi bila dibuka ikatan rambut tu, akan mengerbanglah. Kecuali bila rambutnya masih basah, cantiklah bergulung elok.
Apa pun saya anggap ni semua anugerah Allah untuk Nur Nilam Qaseh. Tengok dia sihat hari ini pun dah bersyukur sangat-sangat.
Bukan itu saja, bila dia dapat makan seperti kanak-kanak lain sekitar usianya 2 tahun, Allah je tahu perasaan saya. Sebabnya sejak lahir sehingga usia 2 tahun dia hanya boleh minum susu sahaja kerana masalah kesihatannya itu.
Kini bila dah semakin aktif dan membesar dengan sihat, anugerah ini akan saya jaga sebaiknya. Biarpun bab pengurusan rambutnya orang nampak macam leceh, tapi mujurlah keadaan kulit kepalanya ok dan tiada masalah lain.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap bayi pasti akan mengalami masalah kesihatan, tidak kiralah penyakit ringan mahupun berat. Antara penyakit lazim yang sering dialami oleh bayi adalah demam kuning atau jaundis, demam, kolik, dan batuk. Bayi jatuh sakit adalah perkara semula jadi dalam proses tumbesaran mereka. Walau bagaimanapun, masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ada di antaranya yang boleh membahayakan tumbesaran bayi dan mengancam nyawa.
Berikut adalah antara penyakit lazim yang sering dialami bayi:
Demam kuning
Menurut laman Myhealth, lebih 50% bayi akan mengalami masalah jaundis atau demam kuning pada minggu pertama selepas kelahiran mereka. Manakala lebih 80% bayi tidak cukup bulan akan menghidapi jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan hilang dua bulan selepas kelahiran. Jaundis atau demam kuning sering dialami oleh bayi baru lahir dan ini cukup membimbangkan ibu bapa. Jaundis yang normal dialami oleh bayi baru lahir selepas dua atau tiga hari mereka dilahirkan, dan akan hilang selepas dua minggu.
Bagi yang mengalami demam kuning biasanya akan mendapat rawatan seperti di bawah:
Pemeriksaan untuk mengetahui sama ada bayi tersebut mengalami jaundis lazimnya dilakukan di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih. Doktor akan mengambil bacaan bilirubin bagi mengetahui tahapnya sama ada masih terkawal atau tidak. Jika dalam seminggu tahap bacaan meningkat iaitu catatan melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, maka rawatan fototerapi perlu diberikan dan bayi perlu ditahan di hospital.
Bayi akan diletakkan di bawah cahaya lampu biru dengan keadaan hanya memakai lampin dan matanya ditutup. Cahaya ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin dan akan dibuang melalui air kencing.
Berikan susu ibu kerana susu ibu baik untuk menggalakkan usus dan membolehkan bilirubin dibuang menerusi najis.
Demam
Demam adalah gejala normal yang dihadapi oleh setiap bayi. Lazimnya, setiap ibu bapa pasti berpengalaman menjaga bayi yang demam. Meskipun begitu, ini bukan bermakna tiada cara untuk mengelakkan bayi daripada jangkitan demam atau merawatnya untuk cepat sembuh. Bagi meredakan demam bayi, anda boleh cuba kaedah tersebut:
Beri paracetamol atau ibuprofen mengikut berat dan umur bayi. Sebaiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memberikan bayi ubat demam.
Letakkan pelekat suam pada dahi bayi untuk menurunkan suhu demamnya.
Beri bayi anda makan dan minum dengan kerap bagi mengelakkan dehidrasi. Bayi yang berusia 6 bulan ke bawah perlu diberikan susu ibu.
Pakaikan bayi pakaian daripada kain kapas yang nipis.
Kolik
Masalah kolik atau kembung perut adalah normal dan kerap berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan. Bayi yang mengalami kolik selalunya akan menangis berpanjangan tanpa henti dan meragam. Keadaan ini selalunya berlaku beberapa kali dalam seminggu. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu risau kerana masalah kolik ini akan berkurangan apabila bayi makin membesar. Cara menangani masalah kolik bayi adalah:
Pemberian gripe water, mengandungi Dill Seed Oil yang dipercayai boleh melegakan simptom angin. Ubat ini hanya boleh digunakan untuk bayi berumur satu bulan ke atas.
Sapukan minyak bayi pada perut, paha, tapak kaki, pelipat tangan dan bahagian belakang pinggang bayi. Urutan lembut juga dapat membantu menghilangkan kembung perut.
Teknik dan penyusuan yang betul serta selesa membantu bayi menyusu tanpa menelan angin. Urut bayi sehingga sendawa setiap kali selepas penyusuan.
Sesetengah protein yang dalam pengambilan diet pemakanan ibu mungkin berada dalam susu ibu yang menyebabkan berlakunya kolik. Jadi ibu yang menyusukan bayi mungkin boleh menghindari pengambilan produk tenusu seperti susu lembu.
Batuk
Batuk secara teknikalnya bukanlah suatu penyakit, tetapi lebih kepada tindakan perlindungan yang berlaku apabila terdapat bendasing pada membran mukus sistem pernafasan. Bendasing yang ada termasuklah habuk, air liur, atau sesuatu yang bayi makan serta minum. Ketahui rawatan untuk mengubati dan mengelakkan batuk bayi.
-Hilangkan atau elakkan punca-punca batuk seperti habuk dan bulu haiwan.
-Pastikan peredaran udara di ruang kediaman anda berkualiti.
-Berikan bayi anda minuman untuk membuatkannya kekal hidrat.
-Bersihkan mukus dengan menggunakan penyedut hidung bagi membantu mukus keluar
daripada rongga hidung bayi anda. Bayi lebih mudah bernafas selepas mukus keluar.
-Sentiasa pastikan bayi anda mendapat preskripsi ubat yang betul sebelu
memberikannya sebarang ubat batuk.
Bagaimana demam kuning berlaku?
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – susu ibu penyebab demam kuning
Jaundis berlaku apabila bayi mempunyai kadar bilirubin yang tinggi dalam darah mereka. Bilirubin adalah pigmen kuning yang dihasilkan semasa pecahan sel darah merah yang telah tua.
Bilirubin kebiasaannya melalui hati yang memprosesnya untuk disingkirkan melalui usus. Walau bagaimanapun, dalam bayi yang baru lahir, hati selalunya belum cukup berkembang dan mungkin tidak dapat menyingkirkan bilirubin daripada darah. Apabila terlalu banyak bilirubin dalam darah, ia boleh menetap di kulit. Ini menyebabkan kulit dan mata kelihatan kuning.
Selain masalah menyingkirkan bilirubin melalui hati dengan berkesan, bayi juga tidak mempunyai pergerakan usus yang cukup kerap. Salah satu manfaat kolostrum atau susu pertama bayi ialah ia membantu membersihkan usus bayi anda. Walaupun kolostrum hanya sebanyak satu sudu teh, ‘susu pertama’ ini akan membantu bayi anda membuang air. Jadi, jika bayi anda dipastikan menyusu secukupnya, bayi anda akan menerima banyak kolostrum dan akan menyebabkan banyak pergerakan usus, yang akan membantu bilirubin disingkirkan dengan cepat.
Mitos jaundis
Antara mitos yang tidak boleh dipercayai bagi merawat jaundis bayi antaranya:
-Memberi bayi susu kambing
-Memberi air kepada bayi
-Memberi bayi jus anggur atau madu asli
-Pendedahan kepada cahaya matahari
-Menyapu herba tertentu pada kulit bayi
-Mengelakkan herba, halia dan kunyit yang terkandung dalam makanan ibu
-Berhenti menyusu badan sehari ke dua hari untuk mengurangkan jaundis penyusuan
-Susu ibu boleh menyebabkan bayi demam kuning?
-Jaundis atau kekuningan pada kulit dan mata adalah perkara biasa bagi bayi baru lahir.
Seperti yang dimaklumkan pada awal tadi, lebih daripada 50% bayi baru lahir mengalami demam kuning atau jaundis dalam masa beberapa hari selepas kelahiran. Kebiasaannya apabila bayi baru lahir didapati mengalami jaundis, doktor akan menyarankan agar bayi diberikan susu ibu dengan secukupnya. Tetapi dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi mungkin mengalami demam kuning disebabkan susu ibu sendiri. Jadi, apakah sebenarnya kaitan antara demam kuning yang dialami bayi dengan susu ibu?
Susu ibu dan demam kuning
Terdapat dua jenis demam kuning yang berkaitan dengan penyusuan badan iaitu demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) dan demam kuning penyusuan susu ibu (breastfeeding demam kuning).Dalam kebanyakan hal, bayi anda mungkin mengalami demam kuning penyusuan susu ibu, iaitu disebabkan tidak menyusu dengan mencukupi. Dalam keadaan ini, anda akan disarankan untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin, agar lebih banyak bilirubin dibuang daripada badan bayi. Doktor anda mungkin akan menyarankan tip-tip berikut:
Sejurus selepas kelahiran, pegang bayi anda kulit ke kulit supaya menggalakkan bayi menekap di payudara. Letak bayi di dada sekerap mungkin.
Susukan bayi sejurus selepas kelahiran dan sekerap mungkin dalam beberapa hari pertama. Lebih kerap bayi menyusu, lebih kerap bayi akan membuang dan menyingkirkan bilirubin.
Pam susu anda untuk diberikan kepada bayi, jika perlu.
Jika bayi anda kerap mengantuk, pam susu kolostrum dan berikan menggunakan cawan atau sudu.
Hubungi konsultan laktasi untuk pemeriksaan teknik menyusu untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Ketahui isyarat lapar bayi anda dan segera bertindak balas! Jangan tunggu sampai bayi anda menangis untuk mula memberinya makan.
Pastikan anda menyusu sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam.
Jika bayi anda tidak bangun sendiri dalam tempoh 3 jam, kejutkan untuk menyusukannya.
Buka pakaian bayi anda dan biarkan lampin sahaja agar bayi terjaga sewaktu menyusu dan menyusu dengan betul.
Teruskan menyusu. Jangan memberikan air untuk menyingkirkan bilirubin.
Demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) pula adalah penyakit kuning dalam bayi yang berlaku seminggu selepas kelahiran. Keadaan ini sangat jarang berlaku dan dilaporkan terjadi dalam kurang daripada 3% bayi. Keadaan ini kadang-kadang boleh bertahan sehingga 12 minggu, tetapi jarang menyebabkan komplikasi pada bayi yang sihat dan menyusu baik.
Punca sebenar jaundis susu ibu tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ia mungkin terkait dengan bahan dalam susu ibu yang menghalang protein tertentu dalam hati bayi daripada memecahkan bilirubin. Keadaan ini boleh diwarisi dalam keluarga.
Maklumat ini mungkin menimbulkan kerisauan bagi para ibu yang mengesyaki anak mereka mengalami jaundis susu ibu. Pun begitu, anda tidak boleh berhenti menyusu jika anda khawatir bayi anda mungkin mengalami demam kuning susu melainkan atas arahan doktor. Susu ibu adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Ia membekalkan semua nutrien yang diperlukan dan melindungi bayi daripada penyakit dan jangkitan. American Academy of Pediatrics mengesyorkan bayi menyusu lapan hingga 12 kali sehari untuk enam bulan pertama kehidupan.
Simptom bahaya demam kuning
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – simptom
Walaupun penyakit jaundis merupakan satu masalah biasa yang sering dialami oleh kebanyakan bayi, tetapi ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Ini kerana demam kuning boleh mendatangkan risiko kepada masalah kesihatan yang lain. Antara simptom yang perlu dilihat adalah:
-Kulit bayi kelihatan kuning terutama di kawasan paha atau kaki.
-Bayi tidak aktif, kurang menyusu atau kurang kencing (kurang enam kali sehari)
-Bayi asyik merengek, menangis dengan suara nyaring
-Najis bayi kelihatan kelabu pucat (najis bayi biasanya berwarna kuning)
-Bayi yang mendapat jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu mendapat pemeriksaan segera kerana bayi mungkin mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat) atau jangkitan kuman.
Apakah bacaan normal dan bahaya bagi demam kuning?
Bacaan normal demam kuning bayi: Tahap bilirubin yang mencapai lebih dari 85 umol/l (5 mg/dL). Tahap bilirubin yang terlebihi sedikit masih boleh dianggap demam kuning bayi yang dapat dikawal.
Bacaan kuning bayi yang memerlukan rawatan fototerapi: Tahap bilirubin melebihi 359 umol/l (21 mg/dL).
Rawatan fototerapi akan membantu bilirubin untuk bertukar menjadi biliverdin yang lebih mesra tubuh dan senang dibuang melalui najis. Pemberian susu yang secukupnya masih penting untuk menggalakkan penyingkiran biliverdin.
Bacaan demam kuning bayi yang tidak normal: Tahap bilirubin yang melebihi 428 umol/l (25 mg/dL) dan apabila tahan bilirubin gagal dikawal dengan rawatan fototerapi. Bayi anda akan terpaksa menjalani pemindahan darah dengan darah lain.
Faktor yang menyebabkan bacaan menjadi tidak normal
Terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca kepada bacaan normal demam kuning bayi boleh bertukar kepada bacaan tidak normal. Antaranya:
-Ibu yang mempunyai darah jenis O.
-Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak.
-Anak yang mempunyai kekurangan G6PD – Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini.
-Anak yang mempunyai masalah tiroid.
-Bayi pramatang.
-Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.
Kaedah merawat jaundis
Fototerapi
Dirawat dengan terapi lampu khas biru (fototerapi) yang terbukti berkesan menurunkan kandungan bilirubin darah. Doktor hanya akan memutuskan rawatan fototerapi selepas rawatan lain tidak berjaya. Fungsi cahaya biru adalah untuk mengurangkan tahap bilirubin dalam badan bayi anda.
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – fototerapi
Kedua-dua mata bayi akan ditutup untuk melindunginya dari cahaya terang dan semasa sesi fototerapi, doktor dan jururawat akan memantau tahap bilirubin serta tanda-tanda kesihatan bayi anda. Tubuh bayi akan dibalikkan beberapa kali untuk memastikan semua bahagian tubuhnya terkena cahaya biru.
Jika bayi mengalami dehidrasi semasa terapi, dia akan diberikan cecair intravena. Apabila tahap bilirubin bayi anda turun, terapi akan dihentikan dan dianggap selesai. Jika bayi anda masih kelihatan kuning, hubungi doktor anda untuk mendapat rawatan segera.
Cahaya matahari
Bayi tidak boleh diletakkan di bawah sinaran matahari kerana cara ini tidak selamat dan boleh membahayakan kesihatan bayi. Cahaya matahari tidak sesuai untuk bayi dan boleh menyebabkan komplikasi seperti selaran matahari dan dehidrasi.
Susu kambing
Rawatan dengan susu kambing juga tidak sesuai dan tidak mempunyai bukti saintifik berkesan. Walaupun susu kambing itu baik, tetapi ia tidak sesuai untuk bayi di bawah usia 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid. Susu formula yang berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.
Penyusuan
Penyusuan ibu mencukupi antara lapan hingga 12 kali mengurangkan kandungan bilirubin dalam darah bayi dan memastikan bayi sihat dan cukup zat makanan. Ini akan menggalakkan pencernaan supaya bilirubin dapat disingkirkan dari badan. Dapatkan bantuan dari pakar laktasi untuk memastikan bayi anda sedang melekap dengan betul. Jika susu ibu kurang, beri susu formula tambahan. Jika keadaan bayi anda bertambah teruk, ibu mungkin perlu berhenti menyusu selama 24 jam. Tapi jangan buang susu itu! Ibu masih boleh mengepam susu dan menyimpan susu itu untuk memastikan susu tetap lancar. Selepas 24 jam, ibu boleh sambung menyusukan anak lagi.
Pemberian makanan atau minuman lain
Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana ia menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah yang akhirnya boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi. Makanan dan minuman selain susu ibu akan membuatkan bayi berasa kenyang dan kurang menyusu secara terus daripada payudara ibu. Tanpa permintaan, lama-kelamaan penghasilan susu ibu akan berkurangan.
Jaundis mudah dirawat, tetapi jika tahap jaundis tinggi boleh membawa komplikasi buruk seperti gangguan otak, masalah pembelajaran dan membahayakan nyawa bayi itu sendiri. Ibu yang mempunyai masalah penyusuan boleh mendapat bantuan nasihat doktor dan kumpulan sokongan penyusuan ibu. Segera dapatkan rawatan jika keadaan jaundis bayi berlarutan.
Dikurniakan anak sudah tentu menjadi idaman setiap wanita berkahwin. Jika tiada sebarang komplikasi, kelahiran secara normal amat digalakkan. Melahirkan melalui pembedahan biasanya dibuat jika ibu mempunyai masalah dengan kehamilannya.
Terdapat perbezaan dalam prosedur kedua-dua jenis kelahiran ini. Ada pendapat yang mengatakan kelahiran normal lebih baik berbanding pembedahan, tetapi setiap ibu yang bertarung nyawa untuk bersalin harus diberikan penghargaan.
Kenali dua jenis kelahiran ini dengan lebih dekat agar anda dapat memahami konsepnya. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang kelahiran normal dan pembedahan ini daripada Dr. Khamsiah Muda, Pengasas dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di Andorra Women and Children Hospital.
KELAHIRAN NORMAL
Kelahiran anak secara normal adalah proses pada akhir kehamilan, iaitu janin keluar dari rahim ibu melalui vagina tanpa menggunakan bantuan peralatan seperti vakum atau forcep. Proses kelahiran normal boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.
Fasa Pertama
Kelahiran bermula dengan mulanya fasa pertama proses kelahiran. Pada waktu ini, Rahim akan mengecut setiap 10-30 minit pada awalnya dan ia berlaku untuk jangka masa 40 saat. Kemudian, kadar pengecutan rahim akan meningkat perlahan-lahan setiap dua minit. Setiap kali Rahim mengecut, pangkal rahim akan membuka sehingga mencapai kelebaran 10sm.
Situasi inilah yang kita panggil kontraksi. Pada waktu inilah para ibu akan merasa sakit sementara menunggu pintu rahim terbuka sehingga 10sm agar bayi dapat melalui pintu vagina untuk menjayakan kelahiran normal. Biasanya pangkal rahim diselaputi lapisan mukus yang menolong mencegah jangkitan. Lapisan ini akan dikeluarkan sebelum proses kelahiran bermula. Selepas itu, proses seterusnya adalah kepecahan air ketuban.
Fasa Kedua
Dalam fasa kedua kelahiran, bayi dikeluarkan dari rahim melalui vagina. Ia akan berlaku apabila otot rahim dan abdomen mengecut dengan kuat. Dalam kes kelahiran normal yang biasa, kepala bayi akan dikeluarkan terlebih dahulu.
Sekiranya bayi berkedudukan songsang, bahagian punggung akan dileuarkan terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kaki bayi terlipat ke atas. Jika ini kes ibu yang pertama kali melahirkan, bayi berkemungkinan harus dikeluarkan melalui pembedahan caesarean. Selepas dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri akan dikapit dan di potong.
Fasa Ketiga
Fasa ketiga kelahiran berlaku lebih kurang ¼ – ½ jam selepas bayi dilahirkan. Kemudian uri akan dikeluarkan. Uri bersambung kepada bayi melalui tali pusat yang terdiri daripada saluran darah dan tisu kolektif.
PEMBEDAHAN CAESAREAN
Pembedahan caesarean adalah pembedahan di mana pakar obstetrik membuat potongan pada perut dan rahim (uterus) agar bayi anda boleh dilahirkan. Pembedahan untuk melahirkan anak merupakan pembedahan besar yang paling biasa dalam kalangan wanita.
Kelahiran melalui pembedahan akan dsyorkan oleh doktor jika kelahiran secara normal didapati berisiko tinggi. Namun demikian, prosedur ini juga boleh dijalankan dia atas permintaan si ibu.
Bila Proses Bersalin Caesarean Bermula?
Setelah usia kehamilan mencapai 38 minggu Bayi akan dikeluarkan melalui belahan di perut ibu dan bukan dari faraj. Sebelum pembedahan dimulakan, doktor akan menjalankan pembiusan epidural sehingga kawasan perut ke kaki (half body bius) supaya si ibu berasa kebas.
Semasa proses pembedahan, para ibu berada dalam keadaan sedar. Hanya dalam kes tertentu, pembiusan penuh akan dilakukan. Bagi mengelakkan iu berasa panik, doktor kebiasaannya akan mmberi ubat penenang supaya mereka lebih santai ketika proses pembedahan dijalankan.
Mengapa Perlu Dibedah?
Terdapat beberapa kes kehamilan yang memerlukan ibu menjalani kelahiran melalui pembedahan:
Semasa mengandung, rahim mengembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar menjauhi serviks. Plasenta previa adalah keadaan di mana uri tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutup pintu laluan kelahiran.
Keadaan ini apabila plasenta terpisah dari dinding rahim seblum tarikh kelahiran. Apabila ia berlaku dikhuatiri bayi akan terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Dalam sesetengah kes, jika ini terjadi bayi akan dilahirkan pra matang.
Jarang berlaku. Tetapi jika terjadi, pembedahan segera perlu dibuat kerana tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.
Bayi lemas apabila kekurangan bekalan oksigen ketika dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan berbanding kadar normal.
Jika bukaan rahim terlalu lambat, tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5sm setiap jam dalam tempoh empat jam, pasti ada masalah.
Jika tumbesaran bayi terbantut, bayi mudah lemas semasa proses kelahiran.
Bayi kembar boleh dilahirkan melalui kelahiran normal, tetapi sesetengah kes ibu terpaksa dibedah bergantung kepada posisi bayi, berat badan mereka serta usia dalam kandungan.
Biar apa pun jenis kelahiran seorang ibu, ia merupakan pengorbanan terbesar seorang wanita. Kedua-dua jenis kelahiran sama hebat dan sama sakitnya. Selepas melahirkan bayi, jagalah kesihatan dan ikutlah saranan doktor agar segera sembuh. Jika ada ibu yang mahu bersalin secara pembedahan walaupun tiada sebarang komplikasi ketika hamil, itu bergantung kepada pilihan masing-masing. Setiap kelahiran mempunyai risiko tersendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Imun ibu hamil mengalami perubahan semula jadi sepanjang kehamilan. Ketahui punca sistem imun menjadi lemah, risiko jangkitan serta cara berkesan untuk menguatkan daya tahan badan ibu dan melindungi kandungan.