Bentuk Pelvis Wanita: Faktor Penting Yang Menentukan Bersalin Normal Atau Czer

Share

Ramai ibu hamil berdoa agar dapat melahirkan bayi secara normal tanpa bantuan alat atau perlu melalui pembedahan caesarean (czer). Namun, tidak semua kehamilan berakhir dengan kelahiran semula jadi kerana setiap tubuh wanita diciptakan berbeza. Ada yang mudah bersalin, ada pula yang perlu melalui proses panjang dan mencabar. Sebenarnya, tiada istilah “tak pandai teran”, kerana faktor utama yang mempengaruhi proses kelahiran ialah bentuk pelvis wanita atau ruang tulang pinggul setiap ibu.

Setiap Ibu Ada Bentuk Pelvis Berbeza

Menurut pakar, bentuk dan kapasiti pelvis wanita memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang ibu boleh melahirkan bayi secara normal. Dalam bahasa mudah, pelvis ialah laluan utama bayi untuk keluar dari rahim ke dunia luar. Jika ruangnya sempit, bayi mungkin sukar melalui laluan itu walaupun ibu sudah meneran sekuat tenaga.

Seorang wanita pernah berkongsi di Threads bahawa selepas mendapatkan penjelasan doktor, barulah dia faham mengapa sesetengah ibu terpaksa bersalin secara czer. Katanya, “tak ada istilah tak pandai teran, cuma kapasiti pelvis kita tak sama.” Ramai ibu lain turut bersetuju dan berkongsi pengalaman serupa  bukaan sudah ada, kontraksi kuat, tetapi bayi tetap tidak dapat keluar secara normal.

 

View on Threads

 

Bila Kepala Bayi Tak Muat Keluar – Komplikasi CPD

Salah satu sebab utama ibu gagal bersalin normal ialah cephalopelvic disproportion (CPD), iaitu keadaan di mana kepala bayi tidak muat untuk melalui pelvis ibu. CPD boleh berlaku kerana:

  • Kepala bayi terlalu besar.
  • Kedudukan bayi tidak betul, seperti mengiring atau berpusing ke sisi.
  • Bentuk atau saiz pelvis wanita terlalu kecil atau tidak normal.

Biasanya doktor akan mengesan CPD apabila proses bersalin mengambil masa terlalu lama. Dalam situasi sebegini, doktor akan mencadangkan alternatif seperti pembedahan czer bagi mengelakkan risiko kepada ibu dan bayi.

Empat Jenis Bentuk Pelvis Wanita

Secara anatomi, terdapat empat jenis utama bentuk pelvis wanita, dan setiap satu boleh mempengaruhi cara kelahiran:

  • Ginekoid – Bentuk pelvis yang paling biasa dan sesuai untuk bersalin normal. Bentuknya bulat, luas dan terbuka, memudahkan bayi keluar.
  • Android – Bentuk seperti hati dan lebih menyerupai pelvis lelaki. Ruangnya sempit dan berisiko menyebabkan CPD.
  • Antropoid – Bentuknya bujur dan dalam, memberi ruang luas dari depan ke belakang. Ibu dengan bentuk ini masih boleh bersalin normal, tetapi prosesnya mungkin lebih lama.
  • Platypelloid – Dikenali sebagai pelvis rata, bentuknya lebar tetapi tidak dalam. Bayi mungkin sukar masuk ke laluan pelvis, dan ibu cenderung memerlukan pembedahan czer.
Sumber: Healthline

Bukan Bentuk Pelvis Sahaja Penentu Bersalin Normal

Walaupun bentuk pelvis wanita memainkan peranan penting, pakar menegaskan bahawa ia bukan satu-satunya faktor yang menentukan cara kelahiran. Kekuatan kontraksi rahim, kedudukan bayi, saiz bayi, serta tahap pembukaan serviks juga antara faktor yang memberi kesan.

Doktor boleh menganggarkan bentuk pelvis melalui pemeriksaan fizikal, imbasan ultrasound atau sinar-X (ketika tidak hamil). Namun, penilaian menyeluruh hanya boleh dibuat semasa proses bersalin itu sendiri.

Jangan Salahkan Diri Jika Perlu Bersalin Czer

Kelahiran secara pembedahan bukan tanda kegagalan. Ia adalah langkah terbaik bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi. Ramai ibu berasa kecewa apabila tidak dapat bersalin normal, sedangkan hakikatnya setiap kelahiran itu unik dan berbeza.

Yang penting, ibu dan bayi selamat. Proses melahirkan, tidak kira secara normal atau czer, tetap membuktikan kekuatan dan pengorbanan luar biasa seorang wanita.

💖 Ingat, tiada istilah “tak pandai teran” – yang ada hanyalah tubuh yang berbeza dan rezeki kelahiran yang tersendiri.

Published by
Nana