Berenang & Mandi Malam Bukan Penyebab Masalah Pernafasan Bayi. Tapi Mama Papa Perlu Elak Kesilapan Ni!

Share

Ramai yang berangggapan aktiviti berenang dan mandi malam boleh menyebabkan masalah kepada sistem pernafasan bayi. Tapi sebelum mama papa daftarkan bayi kelas renang, ambil kira penjelasan doktor pediatrik ini.

Menurut Dr Rosni Jamalludin, Pakar Perubatan Kanak-Kanak (Pediatrik), KPJ Klang Specialist Hospital, paru-paru berair atau dalam istilah perubatannya pneumonia bermaksud jangkitan kuman pada organ paru-paru.

ELAK BAWA BAYI KE TEMPAT AWAM TERTUTUP

Penyebab penyakit ini ialah kuman sama ada virus atau bakteria yang berjaya masuk kedalam sistem pernafasan manusia dan seterusnya menyebabkan radang pada paru-paru. Selalunya jangkitan ini terjadi melalui pemindahan cecair/rembesan pernafasan daripada pesakit yang mengalami simptom seperti batuk, selsema dan demam.

Oleh itu, berada di dalam tempat yang tertutup dimana terdapat ramai orang yang mungkin tidak begitu sihat. Ia adalah antara faktor risiko yang kerap dikaitkan dengan jangkitan paru-paru.

PEREBAKAN KUMAN MELALUI AIR

Walaupun jarang berlaku, terdapat juga sebahagian kuman yang boleh merebak melalui air sekiranya air tercemar oleh sisa kumuh manusia atau haiwan seperti tikus. Jangkitan boleh berlaku sekiranya bayi tertelan atau tersedut air ke dalam sistem pernafasan.

Oleh itu, langkah-langkah harus diambil untuk memastikan kebersihan air kolam  terjamin dari pencemaran dan memantau bayi semasa aktiviti berenang agar tidak tertelan atau tersedut air kolam.

PENJELASAN MENGENAI MANDI MALAM

Mandi malam bukanlah penyebab langsung penyakit asma dalam kanak-kanak. Mama dan papa perlu memahami tentang bronchial asthma atau asma merupakan penyakit yang  boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Sebahagian faktor risiko asma termasuk

  • Faktor keturunan atau genetik.
  • Gaya hidup seperti aktiviti fizikal, tabiat pemakanan dan pendedahan kepada asap rokok.
  • Faktor persekitaran seperti habuk atau debu.
  • Faktor alergi seperti alahan kepada makanan atau bahan tertentu.

PENYEBAB MASALAH KESUKARAN BERNAFAS PADA BAYI

Bagi bayi yang disahkan menghidap asma, suhu persekitaran yang sejuk mungkin boleh merangsang serangan asma.

Malahan semasa menghidap jangkitan sistem pernafasan seperti rhinitis (jangkitan selsema) , pharyngitis (jangkitan tekak), anak yang tiada penyakit asma juga boleh mengalami kesukaran pernafasan disebabkan hidung tersumbat dan kahak yang lebih banyak dan pekat sekiranya dalam kesejukan.

NEBULIZER TIDAK MENYEBABKAN KEBERGANTUNGAN

Terapi nebulizer (nebulized medication) merupakan salah satu rawatan yang diberikan untuk pelbagai jenis penyakit/jangkitan sistem pernafasan seperti bronchiolitis, bronchitis, pneumonia, asma dan lain-lain.

Pelbagai jenis ubat-ubatan boleh digunakan menerusi terapi nebulizer mengikut preskripsi doktor bergantung kepada jenis penyakit yang dirawat. Antara kesan yang paling ketara terapi ini boleh membantu mengurangkan pengeluaran kahak, mencairkan kahak dan juga membantu mengurangkan radang pada rongga pernafasan.

Selain penyakit asma, kebanyakan masalah dan jangkitan paru-paru pada kalangan kanak-kanak merupakan penyakit yang tidak kronik. Oleh itu penggunaan terapi nebulizer untuk penyakit-penyakit berkenaan tidak akan menyebabkan kebergantungan pesakit kepada nebulizer.

Walaubagaimanapun, sekiranya pesakit yang menghidap asma tidak menerima rawatan asma yang bersesuaian dan asma tidak dikawal dengan baik, pesakit tersebut boleh sering mendapat serangan asma yang teruk dan akhirnya kerap memerlukan terapi nebulizer. Secara ringkasnya, penyakit asma yang tidak dikawal dengan baik adalah punca yang menyebabkan pesakit terpaksa sering kali mendapatkan rawatan nebulizer.

 

 

 

 

IKLAN