
Kebolehan berbahasa Inggeris kanak-kanak zaman sekarang memang sangat dikagumi. Kebanyakan kanak-kanak era millenial ini sangat fasih berbahasa Inggeris sehingga kadangkala jika tidak melihat wajah mereka, kita sangka sedang menonton program Inggeris dari luar negara.
Perkembangan teknologi dan kemodenan membuatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak bukan lagi satu perkara pelik.
Bagaimanapun keupayaan mereka berbahasa Inggeris mengikut slang atau accent asli bahasa tersebut memang sangat dikagumi.
Pelakon dan usahawan jelita Faezah Elai turut mempunyai dua orang anak perempuan yang sangat fasih berbahasa Inggeris dengan slanga asli ‘mat salleh’.
Perkongsian video yang dimuat naik dalam Instagramnya menarik perhatian ramai pengikut Faezah yang seronok mendengar Dealova dan adiknya Aurora bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Dalam video tersebut kedua beradik ini membuat video review hasil alat permainan yang mereka beli sendiri.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Faezah Elai, 40, kedua anaknya yang gemar membuat video review ala-ala Youtuber meminta ibunya memuat naik video tersebut di TikTok kerana mereka tiada sebarang akaun media sosial.
Jadi untuk tidak menghampakan permintaan anaknya Faezah telah berkongsi video tersebut.
Video ni amik masa kami kt Aloq Setaq shoot drama
so depa ni dok kt hotel.. Pi beli toys kt depa so depa tk kacau mommy nk shooting..
Bila dh beli depa kalut nk buat review toys ala2 YouTuber.. paihtu habaq pulak suruh boh dlm TikTok sbb depa tkdak media social.. ehhhh kalut aihhh!! Dh la toys tu beli duit sendiri dok kena buat review pulak.. Citt!!
Nyata gelagat kedua beradik tersebut mencuri hati ramai pengikut Faezah. Malahan ada yang berpendapat mereka berbakat menjadi pengacara rancangan kanak-kanak.
Sebelum ini Faezah pernah memberitahu anaknya memang lebih gemar bertutur Bahasa Inggeris sejak usia kecil lagi.
Selain fasih menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, Dealova Heyrinna, 9, juga fasih berbahasa Mandarin yang dipelajari dalam kelas secara online.
Untuk rekod, Faezah Elai yang mendirikan rumah tangga dengan Pengarah drama Heykal pada 9 September 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan Dealova Heyrinna, 9, dan Aurora Heyrinn, 6 tahun.
Sumber: Faezah Elai
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini
https://youtu.be/ndjIJQR6XoA
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak 5 Tahun Hanya Dibenarkan 1 Jam Masa Skrin Sehari? Ketahui Garis Panduan Penggunaan Gajet

Isi Kandungan
ToggleApabila melangkah sahaja ke alam keibubapaan, anda pasti tahu setiap dilema yang dihadapi ibu bapa; daripada pemilihan susu, sekolah, makanan dan pelbagai lagi keputusan yang perlu dibuat. Membuat keputusan mengenai si kecil anda bukanlah mudah, apatah lagi jika keputusan tersebut mungkin memberi kesan jangka masa panjang untuk mereka.
Dengan kemuculan penggunaan gajet atau alat elektronik yang kini ditargetkan untuk kanak-kanak, mungkin akan timbul pula persoalan sama ada ia akan memudaratkan atau tidak.
Apa kata pakar?
Terlalu banyak masa skrin bermakna kurang masa dihabiskan kanak-kanak menjadi aktif, yang boleh memudaratkan perkembangan kemahiran mereka. Garis panduan American Academy of Pediatrics sebelum ini adalah jelas dan tegas. Dilarang sama sekali untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dan hadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 18 tahun.
Tetapi tak usahlah kita menipu diri sendiri, kebiasaan remaja bawah 18 tahun mengahabiskan masa berjam-jam dengan gajet sementara si kecil anda yang berusia 2 tahun mungkin lebih mahir menekan butang ‘play’ pada youtube berbanding diri anda sendiri. Bahkan mungkin ada ibu bapa yang mengatakan “Saya dulu sewaktu kecil pun tengok kartun 5 jam di hujung minggu,” dan merasakan mereka membesar dengan baik tanpa masalah perkembangan.
Jadi, garis panduan apa yang sepatutnya diikuti? Sebagai permulaan, anda bukanlah satu-satunya orang yang mendapati topik ini mengelirukan. Perdebatan tentang kanak-kanak dan teknologi masih menjalani penelitian dan penyelidikan oleh ahli akademik dan pembuat dasar. Sebagai contoh, United Kingdom telah mengumpulkan bukti bertulis dan lisan daripada pakar untuk menyelesaikan pertanyaan parlimen mengenai kesan media sosial dan masa skrin pada kesejahteraan kanak-kanak yang sehingga kini masih berterusan dan belum mencapai kata putus.
Salah satu masalah dengan garis panduan tentang masa skrin, menurut pakar, adalah masalah bahawa masa skrin itu sendiri adalah konsep yang tidak jelas. Walaupun kita mudah untuk melabelkan semua masa skrin sebagai sama, sebenarnya ia tidak. Masa skrin adalah konsep yang mencakupi pendedahan kepada skrin pelbagai alat elektronik, dari televisyen ke telefon pintar dan gajet lain, dengan atau tanpa internet.
Jelasnya, 10 perbualan video tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti menonton 10 minit video dalam talian atau 10 minit yang dihabiskan untuk media sosial. Disebabkan itu, garis panduan American Academy of Pediatrics yang dikemaskini pada tahun 2016 mencerminkan aturan yang sangat longgar yang harus diubahsuai oleh ibu bapa sendiri:
- Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 bulan, masa skrin harus dihadkan kepada perbualan video sahaja
- Kanak-kanak 18-24 bulan hanya boleh didedahkan kepada media berkualiti tinggi, dengan ibu bapa menonton bersama untuk membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan bahan tontonan
- Kanak-kanak 2-5 tahun harus dihadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti tinggi. Ibu bapa juga harus mengawasi bersama mereka untuk membantu mereka berinteraksi
- Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas harus mempunyai had masa skin yang ditetapkan secara konsisten, dengan ibu bapa memastikan bahawa media digital tidak mengambil masa tidur, aktiviti fizikal atau interaksi peribadi sebenar
Garis panduan berikut mungkin lebih longgar dan mencerminkan keperluan ibu bapa menetapkan had mereka sendiri. Mengetahui beberapa parameter boleh membantu anda membuat keputusan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
Berhubung atau terlebih berhubung?
Membenarkan telefon pintar ke dalam kehidupan anak-anak anda bermakna rumah tidak lagi menjadi tempat selamat daripada semua perkara yang berlaku dalam lingkungan sosial mereka. Buli siber adalah ancaman yang kerap berlaku bagi kanak-kanak dan remaja bersekolah. Membenarkan telefon pintar boleh bermakna membenarkan pembuli dibawa ke rumah.
Anda juga harus mempertimbangkan jika masa skrin mempengaruhi perkembangan personaliti anak anda. Adakah media sosial memberi kepuasan peribadi kepada anak-anak anda dengan jumlah ‘like’ dan pengikut yang mereka miliki? Adakah ia menjejaskan keinginan mereka untuk membina persahabatan yang sebenar diluar talian?
Semua ini perlu dipertimbangkan dengan menetapkan masa bebas gajet bersama-sama, seperti waktu makan malam atau dalam kenderaan, serta lokasi khusus bebas gajet di rumah, seperti bilik tidur. Anda juga harus berkomunikasi berterusan tentang etika netizen dan keselamatan dalam talian, termasuklah melayan orang lain dengan hormat dalam dan luar talian. Selain ancaman dibuli, anak anda sendiri berpotensi menjadi pembuli.
Kandungan, pengawasan dan interaksi bersama
30% daripada internet adalah pornografi dan pemangsa seksual mungkin bersembunyi di tempat yang tidak anda sangka seperti permainan video. Selain itu, imej badan yang sempurna, kulit sempurna dan pakaian berjenama yang digambarkan dalam talian juga boleh menjadi toksik kepada anak gadis anda yang semakin membesar.
Disebabkan itu, kandungan yang anda benarkan dalam hidup anak anda lebih penting berbanding menentukan masa skrin itu sendiri. Bahkan masa skrin pasif boleh ditukar menjadi aktif dengan permainan video yang mempromosikan aktiviti seperti menari dan bersenam. Dalam kajian membandingkan penggunaan tenaga sewaktu masa skrin, penggunaan tenaga meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila masa skrin pasif ditukar kepada masa skrin aktif.
Tetapi kandungan sahaja tidak mencukupi, perkembangan kanak-kanak memerlukan interaksi, disebabkan itu, penekanan pada interaksi bersama digariskan dalam panduan tersebut. Dalam satu kajian, bayi berusia sembilan bulan yang menerima beberapa jam pengajaran bahasa Mandarin dari manusia hidup boleh mengasingkan unsur fonetik tertentu bahasa tersebut sementara pengajaran video yang sama tidak dapat memberikan hasil yang sama.
Oleh itu, menonton bersama anda membolehkan anda menyediakan interaksi manusia secara langsung yang mereka perlukan. Sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar, ia membolehkan anda mengawasi mereka daripada ketagihan imej lucah dan yang ancaman lain.
Fokus pada apa yang kita tahu
Selain melaksanakan pengawasan yang munasabah dari segi masa skrin, anda juga patut memberi tumpuankepada apa yang telah kita ketahui mengenai tip keibubapaan yang baik. The British cohort adalah kajian dalam masa 70 tahun yang membabitkan 70,000 kanak-kanak sejak tahun 1946 yang mengkaji corak keibubapaan dan kesannya. Ia adalah satu-satunya kajian komprehensif di dunia mengenai topik tersebut.
Tip keibubapaan yang baik sebenarnya sangat mudah dan kita sebagai ibu bapa seringkali terlupa akibat disibukkan dengan pelbagai perdebatan keibubapaan. Dalam kajian tersebut, perkara-perkara yang paling memberi kesan keapda perkembangan anak kecil ialah:
- Bercakap dan mendengar pandangan mereka
- Menunjukkan dengan jelas bahawa anda mempunyai cita-cita untuk masa depan mereka
- Menunjukkan kemesraan
- Mengajar mereka huruf dan nombor
- Membawa mereka keluar berjalan
- Membaca buku untuk mereka pada setiap hari (dan menggalakkan mereka membaca sebagai hobi)
- Menetapkan waktu tidur harian
Sekarang setelah anda diberikan garis panduan mengenai cara menjadi ibu bapa yang baik, tanya diri anda jika masa skrin menjejaskan perkara berikut. 90% kajian mengenai masa skrin dan tidur dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah mendapati bahawa masa skrin dikaitkan dengan tempoh tidur yang lebih pendek.
Oleh itu, sekiranya masa skrin menjejaskan tip keibubapaan yang disebutkan itu, betulkan dengan sewajarnya. Anak remaja anda mungkin perlu dinasihatkan untuk menghadkan atau mengurangkan pendedahan masa skrin, terutamanya sebelum atau semasa waktu tidur untuk mengurangkan sebarang kesan berbahaya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ibu bapa zaman moden sebenarnya mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding zaman dahulu disebabkan pengurangan waktu kerja. Tetapi penglibatan antara ibu bapa dan anak-anak kini menjadi kurang berkesan, disebabkan ibu bapa sendiri kurang memberikan kemesraan kerana terikat dengan telefon pintar kita sendiri. Dan barangkali keinginan kita untuk mengawal masa skrin anak-anak adalah cerminan rasa ketidakupayaan kita dalam mengawal masa skrin kita sendiri. Oleh itu, sebelum mula melaksanakan peraturan pada masa skrin anak-anak, mulakanlah dengan diri anda sendiri.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Memang Sekolah Pertama Seorang Anak Tetapi Ayah Adalah Pengetuanya. Sudahkah Anda Memainkan Peranan?

Hubungan antara ibu dan anak memang sangat rapat. Ibu umpama sekolah dan guru pertama seorang anak tetapi ayah tetap menjadi pengetuanya.
Bergelar ayah bukan sekadar pada gelaran tetapi tanggungjawab yang digalas perlulah dilaksanakan dengan betul.
Menjadi ayah bukan sekadar menyediakan keperluan material anak sahaja tetapi perlu mengasuh dan mendidik anak menjadi seorang hamba Allah yang mampu memberikan sumbangan kembali kepada agama, bangsa dan negara.
1. Sebenarnya apabila kita mempunyai anak, ramai yang sudah mengaku menjadi AYAH, sebenarnya belum lagi, ibarat orang yang baru memiliki bola, dah mengaku jadi footballer.. Kena belajar bagaimana nak imbang bola itu..
2. AYAH itu sebenarnya gelaran untuk lelaki yang mahu mengasuh anak, bukan sekadar ‘membuat’ anak.. astaghfirullah. Maaf ye macam kasar je.. kerana ramai lelaki begitu, tapi bukan semua.
3. Seorang AYAH yang mahu terlibat mengasuh anak-anak bersama isterinya, sebenarnya separuh permasalahan keluarganya ini telah di atasi.. Tak caya tanyalah isteri-isteri..( tak kiralah berapa isterinya ).
4. Sekiranya seorang AYAH yang tugasnya cuma menyedia dan memberi wang sahaja, ia telah menyamakan dirinya dengan mesin ATM. Di datangi anak ketika diperlukan sahaja. Hu hu Muhasabah diriku..
5. Hari ini memang telah hilangnya fungsi tarbiyah dari AYAH, banyak AYAH tidak sedar bila anak lelakinya memasuki alam baligh.. dan anak perempuannya dah mula malu-malu.. Ruginya ayah..
6. Jika ada anak yang durhaka, sebenarnya ia juga dari AYAH yang durhaka. Ini istilah Sayyidina Umar Al Khattab..
7. Sekiranya seorang AYAH yang ingin didoakan oleh anaknya, berdoalah selalu dari sekarang untuk anaknya dan didiklah dengan agama.
Ayah Sebagai Pengajar Ilmu Agama
8. Sekiranya AYAH ingin dimuliakan oleh anaknya, usahalah memuliakan anaknya dengan ilmu agama.
9. Mengikut kajian, ramai ayah-ayah yang hampir kehilangan ciri-ciri AYAH yang sebenar. Kerana semua pengajar anak di masa kanak-kanak diisi dan di kuasai oleh kaum ibu sahaja.
10. Padahal keberanian, survival dan ketegasan, harus diajarkan di usia kecil oleh ayah-ayah. Dimanakah AYAH sang pengajar utama?
11. Dunia AYAH ketika ini bagi anak-anak hanyalah angan-angan mereka sahaja. Anak-anak mencari ayah mereka di surat khabar, tv dan komputer…
12. Banyak anak-anak sudah merasa yatim sebelum waktunya, sebab AYAH dirasakan tak hadir lagi dalam kehidupan mereka. Kerana amat sibuk dengan dunia ayah.
13. Ayuh wahai ayah-ayah semua, ambillah Semangat Al Quran mengenai pendidikan mengedepankan AYAH sebagai tokoh. Kita kenal Lukmanulhakim, Ibrahim, Ya’qub, Imron. Dalam Al Quran mereka adalah contoh AYAH yang prihatin.
14. Ibnul Qoyyim dalam kitab Tuhfatul Maudud berkata: Jika terjadi kerosakan pada anak, penyebab utamanya adalah AYAH..
15. Ingatlah! Seorang anak bernasab kepada AYAHnya bukan ibu. Nasab yang merujuk kepada anak menunjukkan kepada siapa Allah meminta dipertanggung jawapan kelak.
16. Rasulullah yang mulia, sejak kecil ditinggal yatim oleh AYAHnya. Tapi nilai-nilai keAYAHan tak pernah hilang dan diperolehi dari datok dan ayah saudaranya sendiri..
17. Generasi sahabat menjadi generasi gemilang kerana AYAH terlibat dalam mengasuh anak bersama ibu-ibu mereka. Mereka digelari umat terbaik.

Kisah Ayah Lebih Banyak Dalam al-Quran
18. Di dalam al-Quran ternyata terdapat 17 dialog pendidikan anak-anak. 14 diantaranya iaitu antara AYAH dan anak. Ternyata AYAH lebih banyak disebut di dalam alquran!
Tahukah anda di dalam al-Quran ada lebih banyak kisah mengenai ayah dan anak berbanding ibu dan anak?
Kisah Luqmanulhakim dan anaknya, Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (serta anak-anak yang lain), Kisah Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf (serta anak-anak yang lain), Kisah Nabi Nuh dan anak2nya, Kisah Nabi Luth dan anak-anak perempuannya, Kisah Sheikh Madyan dan 2 orang anak perempuannya dan beberapa lagi yang lain.
Ini menunjukkan ayah memainkan peranan yang SANGAT PENTING dalam Islam. Sudahkah kita memainkan peranan kita wahai bapa-bapa sekalian?
Tepuklah dada dan tanyalah Iman sebelum Allah bertanya kepada kita akan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai ketua dalam keluarga…
19. Marilah semua wahai AYAH-ayah untuk melibatkan diri dalam pendidikan baik di rumah, sekolah dan dimasjid..
20. Ibu memang madrasah pertama seorang anak. Tetapi AYAH yang menjadi mudirnya. (Pengetuanya).
21. Ibarat burung yang punyai dua sayap. anak memerlukan kedua-duanya untuk terbang tinggi ke angkasa. Kedua sayap itu adalah AYAH dan ibunya.
22. Ibu mengasah kepekaan rasa, AYAH memberi makna terhadap logik. Kedua-duanya diperlukan oleh anak
23. AYAH mengajarkan anak menjadi pemimpin yang tegas. Ibu membimbingnya menjadi pemimpin yg peduli. Tegas dan perihatin itu sikap utama.
24. Jom wahai ayah-ayah pujuklah diri dan perkongsian ini agar makin banyak AYAH-ayah yang prihatin dengan urusan pengasuhan yang dikuasai oleh ibu-ibu dan membentuk generasi pejuang dunia akhirat.
Sumber: Ibu Bapa Prihatin
Kredit foto: IG bazliunic
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lahir Waktu Pagi, Petang Atau Malam Boleh Mempengaruhi Peribadi Anak Bila Besar

Waktu bayi lahir boleh menentukan apa peribadinya pada masa depan. Mungkin sukar untuk percaya, namun ilmu astrologi mengajar yang waktu lahir bayi memang memberikan pengaruh besar terhadap watak si anak. Mari lihat penjelasan lengkap dari kami untuk mengetahui watak anak anda berdasarkan waktu lahirnya.
Waktu lahir bayi jam 5-7 pagi: Waktu Subuh
Anak yang lahir di waktu ini adalah anak yang sangat lembut, dia suka kebersihan dan juga suka berpakaian rapi. Anak yang lahir pada waktu subuh sangat peramah, dan bersikap rendah diri. Dia juga cenderung memiliki akhlak yang sopan. Anak yang lahir waktu subuh sangat sesuai untuk menjadi seorang ahli psikologi kerana karakternya yang memahami orang lain, murah hati, dan selalu membantu orang lain.
Waktu bayi lahir jam 7-9 pagi: Waktu Pagi
Karakter bayi yang lahir di waktu pagi memiliki cita-cita tinggi, dan sedikit kurang sabar juga keras hati. Namun demikian, dia juga memiliki komitmen kuat, bersifat jujur, harga diri tinggi yang membuatnya boleh mencapai masa depan cerah berkat usahanya sendiri.
Waktu lahir anak jam 9-11 pagi: Waktu Pagi
Bayi yang lahir di waktu awal tengahari akan membesar sebagai seorang yang mementingkan penampilan. Dia juga memiliki sifat tenang, ceria, pintar, pandai berbicara dan pandai menyimpan perasaan. Dia menyukai persaingan, dan sangat gembira jika boleh memenangi sesuatu dan berada di puncak. Dia juga seorang yang suka merancang secara bijak.
Waktu bayi lahir jam 11 pagi: Waktu Pagi
Jam sebelas pagi adalah masa kelahiran para atlet yang memiliki banyak tenaga dan kekuatan. Dia juga seorang pengembara dan bersikap murah hati. Anak ini juga memiliki banyak ruang untuk cinta di dalam hatinya. Cinta kepada keluarga dan temannya akan membuatnya menjadi seorang yang suka bekerja keras demi kebahagiaan orang lain.
Waktu lahir anak jam 12 – 1 petang: Waktu Tengahari
Anak yang lahir di waktu siang dan pada waktu tengahari khususnya adalah anak yang aktif dan energetik. Dia penuh rasa ingin tahu dan suka bermain. Selain itu, bayi yang lahir di waktu matahari sedang tinggi memiliki kemampuan mengajar yang bagus. Dia akan menjadi orang yang bercita-cita tinggi namun penuh rasa tanggungjawab. Dia juga akan mudah bertemu jati dirinya kerana dia tahu apa yang diinginkan dalam hidup ini.
Bayi yang lahir pada pukul 2-5 petang: Waktu Petang
Anak yang lahir pada jam ini bersopan santun, ramah, tenang, dan lembut. Anak ini juga sering kelihatan sedih, padahal dia hanya sedang berfikir. Jika diperlakukan secara buruk oleh orang lain, dia akan melawan dan membela diri. Kepercayaan dirinya tersembunyi di sebalik sikap yang tenang. Dia membenci kekerasan, namun juga bersifat keras kepala untuk meraih kejayaan sebanyak-banyaknya.
Waktu bayi lahir jam 5-7 malam: Waktu Menjelang Maghrib
Anak yang lahir di waktu ini memiliki keperibadian terbuka, namun juga kurang sabar dan cenderung untuk melawan. Meski demikian, dia akan membesar menjadi seorang yang bijaksana, pintar, berani melakukan hal yang benar, perancang yang baik, dan juga tahu bagaimana caranya untuk bertahan dalam situasi sukar. Anak ini juga memiliki kemampuan beradaptasi dengan orang-orang di sekelilingnya. Dia mempunyai dedikasi tinggi pada pekerjaan dan juga boleh dipercayai. Selain itu, dia mudah menarik perhatian orang di sekelilingnya dengan gayanya yang suka bergurau namun tetap tegas saat diperlukan.
Waktu anak lahir jam 7-8 malam: Waktu Maghrib
Bayi lahir waktu magrib sehingga Isyak akan membesar menjadi seorang yang penuh rasa empati. Dia akan selalu tulus membantu orang lain. Dia juga memiliki pembawaan diri yang ceria dan menerima apa saja dalam hidupnya.
Waktu lahir anak jam 8-12 malam: Waktu Malam
Anak yang lahir di waktu malam memiliki kepercayaan diri dan semangat tinggi. Karakter ini boleh dilihat sejak usia muda.
- 8 – 10 malam:Anak akan suka membantu orang lain dan bertemu kebahagiaan dalam berbuat kebaikan. Sayangnya, dia akan menjadi seorang yang perfectionist dan benci melakukan kesalahan.
- 10 – 12 malam:Bayi yang lahir pada waktu ini membesar menjadi anak periang. Dia sangat menghargai kreativiti dan pantang menyerah untuk mencapai apa yang diingini.
Waktu bayi lahir 12 malam–4 pagi: Waktu Tengahmalam Menjelang Pagi
Tengah malam hingga menjelang pagi adalah waktu kelahiran anak-anak yang penuh imaginasi. Ia disertai dengan keperibadian yang sedikit sensitif.
- 12 – 2 pagi: Bayi yang lahir ketika ini cenderung memiliki kepercayaan diri tinggi dan berasa senang berkawan. Mereka juga suka berkongsi pengetahuan dan mendorong orang lain untuk berfikiran positif dan menjalani hidup dengan baik. Keluarga adalah hal utama bagi mereka yang lahir di tengah malam.
- 2 – 4 pagi: Anak yang lahir di waktu awal pagi sehingga menjelang subuh akan membesar menjadi seorang yang mahir berkomunikasi. Dia juga penuh rasa ingin tahu. Peluangnya untuk berjaya dalam karier sangatlah besar. Dia selalu berusaha keras dan teguh menjaga harga diri.
Semua ramalan di atas adalah berdasarkan ilmu astrologi. Sama ada benar atau tidak, terpulanglah pada diri untuk percaya atau sebaliknya. Paling tidak, ia boleh menjadi panduan karakter yang harus ada pada diri setiap anak itu. Yang pastinya, jam berapa pun anak anda lahir, dia akan membesar dan mempunyai peribadi yang luar biasa jika betul cara didikan kita.
Sumber: eyqahasnan.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI