Berkongsi dan tidak memendamkan jadikan kita lebih bersemangat dan yakin menempuh ujian apabila anak keduanya di diagnosis dengan Gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD).

Aktres cantik kacukan Melayu-Scotland, Catriona Bahrin Ross yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkongsi cerita tentang anaknya, Jammal Raess yang telah di diagnosis dengan Gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD). Berikut ialah perkongsian Catriona Ross kepada PA&MA baru-baru ini.

Berkongsi dan Jangan Pendam. Catriona Ross Kongsi Tip Bila Anak Didiagnosis Gangguan Spektrum Autisme

MENUMPUKAN KEPADA KELUARGA

Agak lama saya tidak muncul dalam mana-mana drama kira-kira tiga tahun. Dalam tempoh itu, saya memberikan perhatian kepada keluarga. Kehidupan seorang ibu sungguh menyeronokkan. Sephia Rania, 8 tahun, Jammal Raess, 6 tahun dan Edruce Riyadh, 3 tahun menjadi tumpuan utama saya. Kini bila mereka makin besar, saya sudah boleh membahagikan masa untuk  lakonan dan keluarga. Dalam masa tiga tahun ini, saya bayak memberikan tumpuan kepada anak syurga kami, Jammal Raess yang didiagnosis autisme.

Berkongsi dan Jangan Pendam. Catriona Ross Kongsi Tip Bila Anak Didiagnosis Gangguan Spektrum Autisme

NALURI SEORANG IBU

Saya dan suami mengesan kelainan pada Raess ketika dia berusia setahun apabila dia tidak bertutur dan memberikan reaksi apabila dipanggil. Tidak seperti kakaknya Sephia Rania pada usia itu, Raess langsung tidak boleh menyebut ‘mama’ atau ‘dada’ dan tidak memberikan respons apabila dipanggil.

IKLAN

Walau pun ramai yang cuba memberikan keyakinan mengatakan ‘perkembangan anak lelaki memang lambat’ tapi naluri keibuan saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Raess. Raess telah saya dihantar ke playgroup.  Pihak playschool memberitahu dia tidak mahu berkawan dan tidak suka ikut serta rakan-rakannya. Prinsipal di playschool mengakuinya dan mencadangkan kami membawa Raess untuk mengikuti ujian autisme.

Berkongsi dan Jangan Pendam. Catriona Ross Kongsi Tip Bila Anak Didiagnosis Gangguan Spektrum Autisme

MENERIMA KENYATAAN

Saya terkejut dengan keputusan diagnosis doktor. Betul-betul tak sangka sehingga lemah rasanya anggota. Pada saat itu saya menerima kenyataan bahawa keseluruhan hidup kami akan berubah. Saya amat tertekan sehingga rasa ingin menyerahkan Raess kepada orang lain kerana merasakan tidak mampu untuk memberikan didikan yang sempurna untuk Raees. Saya memencilkan diri selama sebulan untuk menenangkan fikiran sehingga saya mula mencari info mengenai autisme di Google. Dalam masa dua minggu beribu-ribu artikel mengenai autisme saya telaah dan mula berkongsi mengenai keadaan Raees di Instagram.

Saya DM sahabat saya, Fynn Jamal di Instagram dan mula berkongsi bagaimana untuk menghadapi situasi ketika itu dan memberikan saya kata semangat untuk terus kuat. Sangkaan saya salah. Rupa-rupanya apabila berkongsi dan tidak memendamkan kita jadi lebih bersemangat dan yakin menempuh ujian ini. Saya juga mula menyertai grup dan komuniti sokongan atas talian. Dalam masa setahun saya sudah tenang dengan kenyataan ini dan mula mengaturkan hidup Raess supaya diadaptasi dengan kehidupan kami sekeluarga sebelum ini.

IKLAN

Berkongsi dan Jangan Pendam. Catriona Ross Kongsi Tip Bila Anak Didiagnosis Gangguan Spektrum Autisme

TERAPI & STIMULASI

Raess kami hantar ke sekolah berkeperluan khas. Di sana dia melalui terapi dan stimulasi di samping pembelajaran. Raess kelihatan lebih tenang dan faham. Dia kini sudah boleh memberitahu apa yang dimahukan dengan menunjukkannya. Dia jadi lebih peka dan sabar.

Kanak-kanak autistik adalah tiga tahun ke belakang dari segi perkembangan dan kelakuannya. Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu besar. Cukup sekiranya dia boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Saya cukup tersentuh dengan anak ketiga, Edruce Riyadh, 2 tahun yang amat memahami keadaan keluarga. Allah seolah-olah mengurniakan Edruce kepada keluarga kami penyokong dan penjaga abangnya. Diharapkan keadaan ini berterusan sehingga mereka dewasa nanti.

IKLAN

JANGAN MALU BERITAHU MASYARAKAT

Nasihat saya kepada ibu bapa yang ragu-ragu akan keadaan anak supaya membuat ujian diagnosis bagi mengenal pasti keadaan sebenar. Apabila disahkan, hantar anak mengikuti terapi. Jangan disia-siakan peluang untuk mengajar anak belajar, berdikari dan menguruskan diri sendiri. Jangan malu untuk memberitahu masyarakat kerana dengan sikap terbuka ini kita jadi lebih tenang dan lebih ramai lagi yang akan berkongsi tip.

Misalnya apabila ada rakan yang menjemput kami sekeluarga ke majlis hari jadi, saya akan minta untuk datang 30 minit lebih awal sebelum ketibaan tetamu lain dan akan pulang awal. Ini kerana Raess tidak boleh menghadapi orang yang ramai. Jadi mustahak bagi kita untuk mengadaptasi keadaan anak dengan situasi semasa supaya semua pihak berpuas hati.

Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu besar. Cukup sekiranya dia boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Diharapkan keakraban Raess dan Edruce akan kekal sampai bila-bila walau pun nanti saya sudah tiada di dunia ini, mereka saling membantu dan Edruce akan menjadi penjaga abangnya.

 

gambar: Instagram Cat Ross

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI