Tular sebuah video memaparkan seorang kanak-kanak ditemui menangis seorang diri akibat kepanasan di dalam sebuah kereta yang terkunci.
Video tersebut dimaut naik di laman sosial dan tontonan mencecah 3 Juta. Difahamkan, kanak-kanak lelaki tersebut ditinggalkan oleh orang dewasa di dalam kereta tersebut dengan enjin kenderaan dimatikan dan cermin bahagian depan dibuka sedikit.
Apa yang membuatkan individu berkenaan kesal dan terkilan adalah kanak-kanak terbabit dibiarkan seorang diri di dalam keadaan cuaca panas.
“Tengok, aku jumpa tadi. Budak menangis dalam kereta, berpeluh sampai pucat. Enjin mati, kemudian dibiarkan tingkap depan sahaja dibuka sedikit. Gila apa la, tinggalkan anak dalam kereta dalam keadaan panas seperti ini,”ciapnya.
Ads
Tengok aku jumpa tadi budak menangis dalam kereta berpeluh sampai pucat. Engine mati pastu tingkap depan je bukak sikit. Giler apa la tinggal anak dalam kereta camni tengah panas pic.twitter.com/I3r64sSDzF
Dalam hantaran seterusnya, individu berkenaan mendedahkan hampir 40 minit dirinya menunggu pemilik kenderaan terbabit datang, namun hampa.
Ads
Susulan itu, dia terpaksa memohon bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan terpaksa memecahkan cermin kereta bagi menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta.
“Dekat 40 min aku kat situ takde pon parents dia datang. So aku mintak tolong orang ramai. Latest update budak tu selamat. Kitorang pecahkan cermin and membawa budak itu tinggal di klinik,”jelasnya.
Ads
Dekat 40 min aku kat situ takde pon parents dia datang. So aku mintak tolong orang ramai. Latest update budak tu selamat. Kitorang pecahkan cermin and bawak budak tu stay dekat klinik pic.twitter.com/vgv2vvN2Um
— arif (@arifjat) August 24, 2023
Ramai meluahkan rasa berang dan marah dengan sikap ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut kerana tergamak meninggalkan seorang budak kecil seorang diri dalam kereta.
Akibat mencubit kedua-dua belah telinga seorang bayi lelaki, anak jirannya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kesan lebam, seorang suri rumah didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Noor Aziana A. Samad, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Ketika ditanya Mahyon alasan tertuduh mencubit telinga bayi berkenaan, Noor Aziana menjawab “Saya berasa geram kerana mangsa sentiasa menangis dan keadaan rumah tiada air pada masa itu,”.
Ibu tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan terhadap bayi lelaki tersebut sehingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua belah telinga mangsa di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 2 petang, 5 Mac lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah bayi.
“Tindakan tertuduh mencubit telinga bayi berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kesan lebam adalah tidak wajar kerana mangsa tidak berdosa.
“Tertuduh mempunyai anak kecil seharusnya dia menjaga mangsa seperti anaknya sendiri dan bukannya melakukan perbuatan tersebut,” katanya.
Noor Aziana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan mempunyai anak kecil berusia setahun serta dia tidak bekerja.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu iaitu ibu mangsa ingin mengambil anaknya dari rumah tertuduh terdapat kesan lebam pada kedua-dua belah telinga dan luka pada dahi serta tangan kiri mangsa.
Pengadu telah bertanya kepada tertuduh dan diberitahu anaknya yang menggigit mangsa.
Namun, selepas pengadu memberitahu yang dia mahu membuat laporan polis, tertuduh terus mengaku mencubit mangsa kerana bayi itu menangis selain tertekan dengan keadaan di rumahnya yang tiada air selain gagal mengawal kemarahan.
Orang kata anak ramai rezeki. Tapi dalam keadaan hari ini, bila pasangan yang mempunyai anak lebih dari 5 orang pun orang dah menjeling tengok bila bawa keluar ke mana-mana. Mungkin dulu orang tak kisah sangat tapi sekarang ia sedikit berbeza.
Lagi satu kebanyakan daripada kita akan fikir jika anak dua atau tiga dah cukup untuk zaman sekarang. Ini kerana semua kos mahal selain masa untuk membesarkan anak agak terhad. Ada sesetengah pendapat menyatakan tak boleh tengok pada kuantiti tetapi kena nilai melalui kualiti.
Walau apa pun pendapat, pasangan suami isteri sendiri yang tahu. Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. Setiap orang ada pendapat berbeza. Bagaimana kita nak mencorakkan anak-anak semuanya dari acuan ibu bapa sendiri.
Namun bagi Puan Wan Melisa, 33, yang kini mempunyai 8 orang anak dan sekarang tengah mengandungkan anak yang ke-9 dia menganggap kehadiran anak-anak ini dianggap rezeki buatnya dan suami.
“Ramai orang tak percaya bila tahu saya ibu kepada 9 orang anak. Di usia yang masih muda dan dengan keadaan sekarang ini, pergi mana-mana pun bila orang lihat saya bawa anak-anak yang masih kecil ada yang tanya anak sendiri atau anak buah.
“Bila jawab anak sendiri mereka tak percaya tapi bila terangkan baru mereka faham,” katanya.
Anak ramai rezeki tak putus
Wan Melisa berkongsi semasa berkahwin dia berusia 20 tahun manakala suami 21 tahun. Dapat anak setahun kemudiannya.
“Asalnya kami tak plan nak berapa anak kerana suami seorang saja yang bekerja dan saya pula suri rumah saja.
“Namun betullah orang kata, bila kita melahirkan anak ni setiap dari mereka pembawa rezeki yang tak disangka. Dari saya tak bekerja lepas kehadiran anak-anak saya dapat buat bisnes online dan kini sepenuh masa buat bersama suami.
“Saya sekarang ada lapan orang anak. Enam lelaki dua perempuan. Seorang lagi dalam kandungan usia 6 bulan lebih. Tu pun ada yang bising cakap jangan beranak lagi. Tapi sebenarnya bila makin ramai anak makin murah rezeki keluarga kami.
“Bermula anak ketiga selang setahun je anak-anak kami. Sampai la anak ke-6 dan ke-7 dapat kembar lelaki. Sekarang anak ke-8 pun lelaki dah nak masuk 10 bulan.
“Sebenarnya saya juga pernah keguguran sebanyak 3 kali. Kalau semua ada sekarang dah 12 orang anak,” katanya.
Target 12 orang anak
Wan Melisa menyatakan memandangkan dia pun mempunyai 9 beradik dan dari keluarga besar, bila anak ramai lagi seronok. Manakala suami pula ada 4 beradik dan mempunyai kembar.
“Masa mula-mula nak jaga anak ramai memang rasa susah, tapi alhamdulillah Allah sangat mempermudahkan urusan saya dan suami. Anak-anak seolah faham dan mereka jarang nak buat perangai.
“Saya bersyukur dengan membuat bisnes online ni dalam masa sama dapat tengok dan pantau anak-anak. Semua saya jaga sendiri dan tak ada pembantu rumah.
“Anak-anak pun tak mengeluh bila saya bawa ke mana-mana untuk ambil barang berniaga. Sampai sekarang anak 8 orang syukur sangat-sangat dari hidup kami susah, Allah berikan keselesaan untuk kami anak beranak tinggal di rumah selesa dan makan pakai semua cukup. Sebab tu suami cakap kalau boleh dia nak 12 orang anak,” jelasnya.
Kena pandai urus masa
Tak dinafikan anak ramai dan masih kecil memang penat. Jadi sebagai ibu saya memang dah tahu nak urus masa. Mula dari bangun pagi hingga nak tidur malam semua dah ada jadual.
“Kadang-kadang suara terkuat tu biasa. Tapi anak akan faham sendiri sebelum saya marah. Bagi saya juga ada anak ramai ni mak akan jadi awet muda. Sebabnya sentiasa melayan karenah anak-anak dari pagi sampai malam.
“Lagi satu ada juga yang bertanya saya dengan keadaan sekarang tak sesuai untuk memiliki anak ramai kerana susah nak jaga dan ekonomi pun tak menentu.
“Bagi saya mudah saja, itu atas pasangan masing-masing. Kalau susah kita fikir, maka susahlah jadinya. Sentiasa fikir positif, Allah akan lorongkan perkara yang positif buat kita sekeluarga,” katanya lagi.
Mengandung tak ada alahan, bersalin normal
Wan Melisa menambah, dia bersyukur sepanjang mengandung tiada alahan teruk. Cuma dalam trimester pertama saja alahan. Selepas itu dia kembali cergas dan boleh urus anak macam biasa.
Begitu juga melahirkan anak, semua 8 anak saya lahirkan secara normal dan mudah. Kini anak-anak saya berusia 12 tahun (lelaki), 9 tahun (perempuan), 7 tahun (perempuan), 6 tahun (lelaki), 4 tahun (lelaki), kembar 2 tahun (lelaki), bayi 10 bulan (lelaki).
Keluar berjalan pakaikan baju sama
Memandangkan saya anak ramai, bila keluar akan pakaikan baju yang sama untuk anak yang kecil. Ini cara saya untuk mudah nak tengok anak pergi mana-mana.
Kadang ada juga soalan yang tanya, ni anak asuhan ke anak sendiri? Bila cakap anak sendiri mereka pula tak percaya.
Pertanyaan ini dah lali untuk saya. Lagipun suami memang tak akan bagi tinggalkan anak-anak di rumah kalau nak keluar. Memang kena bawa semuanya.
Setakat ini bila anak-anak dikhalayak ramai, semua masih boleh mendengar kata. Syukur juga bila ada anak yang dah besar, mereka pula boleh tolong jaga dan pantau adik-adik.
Masa nak keluar, tip yang selalu saya gunakan untuk anak-anak adalah pesan siap-siap supaya jangan nakal-nakal, dengar cakap dan bila berjalan pimpin tangan. Kalau tak dengar duduk saja di rumah. Alhamdulillah sangat menjadi.
Begitu juga bila di rumah. Lepas main, makan semua kena kemas. Anak-anak ni bila dah terbiasa dengan disiplin automatik mereka akan faham dan ingat sampai bila-bila.
Percayalah bila kita yakin dengan perancangan Allah, rajin mencari rezeki dengan niat untuk membahagiakan keluarga, semua itu dipermudahkan.
Sumber: Wan Melisa
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kasihnya ibu membawa ke syurga. Walau pun tidak dapat diluahkan, air mata yang mengalir dan tangisannya cukup menjelaskan tulusnya cinta seorang ibu.
Nor Fadilla yang melahirkan anak sulungnya pada sembilan bulan lalu mengalami komplikasi yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri (koma) selama dua bulan.
Menurut kakak Nor Fadilla, Nur Hasirah Che Par ibu muda ini masih terlantar selepas tersedar daripada koma ketika berjuang melahirkan anak tunggalnya, Muhamad Syahmi Mohd Saiful secara pembedahan hampir sembilan bulan lalu.
Dalam perkembngan terkini, adiknya itu perlu diuruskan 100 peratus oleh suami selepas dibenarkan pulang dua bulan lalu.
“Kami perlu menguruskannya kerana dia tidak boleh bergerak langsung termasuk untuk mendakap anak tunggalnya, namun faham apabila kami memberi arahan,” kata Nur Hasirah tentang keadaan adiknya yang mesra dengan panggilan manja Moklaa itu.
KASIH IBU SAUDARA
Nur Hasirah juga turut menumpahkan kasih sayangnya buat anak pasangan ini. Anak tunggal Nor Fadilla Muhamad Syahmi, 9 bulan masih belum merasa didakap ibunya. Si kecil ini dijaga Nur Hasirah sepenuh masa.
“Saya mengambil alih menjaga anak tunggal mereka. Memandangkan Nor Fadilla memerlukan penjagaan rapi termasuk diberi susu khas dan memakai lampin pakai buang,” kata ibu saudara yang penyayang ini.
TIDAK MAMPU MENGGERAKKAN ANGGOTA
Nur Hasirah berkata, adiknya kini berada di rumah ibunya di Kampung Kok Lintang, Gunong, dekat Bachok tidak boleh bercakap dan tidak mampu menggerakkan anggota badan serta bergantung kepada suaminya, Mohd Saiful Sudin, 29.
KERAP MENANGIS SEMASA AWAL KEPULANGAN KINI SENTIASA CERIA
Ibu kepada dua anak ini mengakui adiknya itu dulu kerap menangis. Namun melihat Syahmi dan suaminya sentiasa ada di depan mata, ibu istimewa ini
“Ketika awal pulang ke rumah, dia kerap menangis mungkin terlalu gembira dan sedih apabila dapat berjumpa anaknya setiap hari. Namun, kini wajahnya sentiasa ceria kerana dapat berada di sisi suami dan anak,” katanya.
SYAHMI MENUMPANG KASIH IBU SAUDARA
Menurutnya, dia sepenuhnya menjaga Muhamad Syahmi bagi meringankan beban Mohd Saiful yang perlu memberi sepenuh perhatian kepada isterinya.
Katanya, pada waktu malam, dia akan membawa Muhamad Syahmi pulang ke rumahnya yang tinggal berdekatan dan siang hari akan membawa bayi itu untuk berjumpa dengan ibunya.
SUAMI MENJAGA SEPENUH MASA KINI TIDAK DAPAT BEKERJA
“Sejak adik sakit, suaminya tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 sebulan, selain bantuan susu khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta dibeli sendiri,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300941000166384 atas nama Mohd Saiful Sudin.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Nor Fadilla koma selama empat bulan selepas mengalami komplikasi ketika melahirkan anak sulungnya November tahun lalu.
Sebaik tersedar, Nor Fadilla yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkan diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.