Bersemut habis ucapan hari lahir Almy Nadia buat suami tercinta. Datuk Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz lahir pada 22 Oktober 1979.
Bersemut Habis Ucapan Hari Lahir Almy Nadia Buat Suami Tercinta
Dalam satu hantaran yang dikongsikan oleh isterinya, Datin Almy Nadia, ucapan hari lahir oleh Almy itu menarik perhatian warga maya. Padat, romantik dan ‘bersemut.’
Berikut perkongsian Almy Nadia di laman Instagramnya.
Today is your day sayang.
Selamat hari jadi sayang @fizzfairuzofficial ,mama sentiasa doa untuk sayang.. semoga sayang panjang umur,sentiasa murah rezeki..
Sayang no 1 in my heart(ckp omputih wei). Mama sentiasa doa apa saja yang sayang nak dimakbulkan ok… mama dan anak-anak. 5A(Arianna/Aurora/Ayra/Aisyah/Alisya) love you so much tau…. Maaf mama tak dapat kasi hadiah sebab mama tak work work..
Mama kasi hadiah anak baru laa yerk alisya…thank you love sebab dah buat yang terbaik untuk mama dan anak-anak, sentiasa dahulukan mama dan anak-anak dalam apa segala hal, sentiasa ada dengan mama dan anak-anak.
Fizz Fairuz mendirikan rumah tangga bersama pelakon Almy Nadia pada 26 April 2014. Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Balik Pulau, Kampung Pondok Upeh.
Pasangan ini dikurniakan lima anak perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 9; Nur Afrina Aurora, 8; Nur Afrina Ayra, 6; Nur Afrina Aisyah, 3 dan Nur Alisya yang dilahirkan pada 18 September lalu. Mereka turut mempunyai seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 15.
Orang dewasa pun takut mahu masuk ke dewan pembedahan, apatah lagi kanak-kanak. Berhadapan dengan ketakutan pesakit kecil yang tidak mahu ke dewan pembedahan, seorang jururawat di Doctors Medical Center in Modesto, California mendapat idea untuk mengatasi masalah ini. Bagi mengurangkan stres kanak-kanak ini, pihak hospital membenarkan mereka untuk ‘memandu’ ke dewan pembedahan.
Jururawat itu, Kimberly Martinez mendapati yang pesakit kecil ini lebih selesa jika perjalanan ke dewan pembedahan boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan, mereke dibenarkan untuk memandu ke dewan pembedahan. Terdapat dua buah kereta mini yang boleh dipilih, sama ada Mercedes hitam atau Volkswagen Beetle merah jambu.
Kanak-kanak itu boleh mengelolakan kereta itu sendiri ataupun menggunakan alat kawalan oleh orang dewasa. Lihat sahaja senyuman kanak-kanak ini, sudah cukup membuktikan cara ini efektif untuk menghilangkan rasa takut mereka ke dewan pembedahan. Martinez turut memberitahu, sejak kaedah ini diperkenalkan, pihak hospital tidak perlu bersusah-payah untuk memujuk pesakit ke dewan pembedahan lagi.
Bahkan jika diberitahu mereka akan menjalani pembedahan, mereka terus ceria dan hilang rasa takut kerana boleh memandu sendiri. Sebenarnya membawa kanak-kanak ke dewan pembedahan adalah pengalaman yang memberi kesan kepada emosi mereka.
Mereka berasa keseorangan kerana terpaksa dipisahkan dengan ibu bapa. Dengan cara ini, sebenarnya ia membantu semua pihak. Salah satu kereta itu dibeli oleh doktor di hospital itu dan sebuah lagi didermakan oleh keluarga salah seorang staf di situ.
Pada admin, ini cara yang unik. Tidaklah anak-anak menjadi trauma apabila dibawa ke hospital untuk berjumpa doktor. Mungkin suatu hari kaedah ini boleh diamalkan di negara kita pula.
Selama lima tahun usia perkahwinan, pasangan ini tidak henti-henti diajukan soalan bila mahu menimang cahaya mata. Bahkan pada setahun pertama, Izyan Syamimi Izman sering menangis apabila sering ditanya tentang anak. Masuk usia perkahwinan mereka tiga tahun Mimi dan suaminya Muhammad Izzam Kayat mula berbincang untuk mencari solusi kepada masalah mereka.
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil. Penantian selama lima tahun dikurniakan dengan dua cahaya mata sekaligus berkat kesabaran dan usaha gigi pasangan ini. Inara Zaina Muhammad Izzam dan Idlan Zahin Muhammad Izzam kini menjadi penyeri rumah tangga Mimi dan Izzam.
“Masuk tahun ketiga perkahwinan kami, saya dan suami berbincang untuk mendapatkan anak. Kami ke klinik pakar untuk mendapatkan nasihat doktor. Hasil ujian yang dibuat menunjukkan kami berdua mempunyai masalah kesuburan. Ketika itu sekitar tahun 2016, doktor cadangkan agar kami buat rawatan IUI. Terbuka dengan sebarang cadangan, kami pun cuba tetapi gagal,” kata Mimi memulakan bicara.
Sedih dan kecewa dengan keputusan ujian IUI, pasangan ini memutuskan untuk berehat selama setahun sebelum mencuba untuk hamil semula. Dalam usahanya untuk mengandung, Mimi mengikuti sebuah grup sokongan IVF dan suatu hari ada iklan tentang seminar kesuburan akan diadakan. Mimi kemudiannya mengajak suaminya untuk mengikuti seminar ini kerana merasa sudah bersedia untuk cuba mengandung sekali lagi.
Ketika seminar tersebut diadakan adalah pada bulan November. Mengikuti seminar tersebut banyak memberi pendedahan kepada pasangan ini dan mereka terus membuat temu janji untuk membuat ujian kesuburan sekali lagi pada bulan Disember.
Memandangkan kedua-dua mereka mempunyai masalah kesuburan, doktor memulakan rawatan dengan pengambilan ubat selama tiga bulan. Apabila keadaan mereka berdua sudah cukup bersedia, Mimi memulakan rawatan dengan suntikan selama sebulan. Mimi memerlukan dua jenis suntikan iaitu suntikan di perut dan di punggung kerana masalah PCOS yang dihidapinya.
Memandangkan Mimi seorang juru rawat ketika itu, mengambil suntikan tidak menjadi masalah kepadanya. Dua jenis suntikan ini bermula Mac 2018 sehingga April 2018. Suntikan di perut perlu dibuat sekali sehari memberi kesan lebam di bahagian itu. Bahagian punggung pula perlu disuntik sebanyak sekali seminggu, Mimi kuatkan semangat demi mendapatkan anaknya sendiri.
Ketika membuat rawatan, doktor mengesahkan ada lima telurnya yang matang. Semasa proses percantuman dibuat, empat sahaja yang elok. Kemudian tinggal tiga telur yang sihat. Mimi dan Izzam ketika itu bersedia dengan kemungkinan sama ada akan mengandung kembar tiga, dua atau anak seorang.
Pada awal waktu rawatan, Mimi dan Izzam ada temu janji bersama doktor setiap dua minggu. Selepas sebulan, jelas kelihatan Mimi hamil anak kembar. Pada usia kandungan 15 minggu ketika mereka membuat ujian imbasan terperinci, pasangan ini dikejutkan dengan berita kembar lelaki dan perempuan.
“Saya mengalami mabuk teruk sehingga lebih kurang enam minggu usia kehamilan. Teruk sangat waktu itu. Makanlah apa pun, akan keluar semula. Saya tetap makan untuk dapatkan tenaga kerana saya masih perlu ambil ubat dan disuntik pada punggung. Waktu itu, berat badan saya turun sehingga 10 kg. Badan pun nampak susut. Masuk trimester kedua baharulah elok sikit dan boleh makan,” cerita Mimi.
Pun begitu, sebaik usia kandungan enam bulan, Mimi mengalami masalah bengkak yang serius. Bahagian kaki, tangan dan wajahnya mulai membengkak dan menyukarkan Mimi untuk bergerak. Ketika kehamilannya masuk lapan bulan, Mimi pun mengambil cuti tanpa gaji.
Ketika mahu melahirkan, didapati air kencing Mimi mengandungi jumlah protein yang tinggi. Ketika melahirkan Inara tiada sebarang masalah. Tidak sempat Idlan keluar, tekanan darah Mimi naik mendadak sehingga bacaan mencecah 200. Mimi kemudiannya tidak sedarkan diri dan hanya berjumpa dengan kedua-dua bayinya selepas sehari melahirkan.
“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh berpantang, suami banyak membantu. Dia ambil cuti seminggu. Habis cuti, sebelum ke pejabat dia akan pastikan anak-anak sudah dimandikan dan makanan untuk saya sudah tersedia. Memandangkan emak dan ibu mertua saya duduk berhampiran dengan kami, mereka bergilir-gilir datang untuk menjaga saya. Yang selebihnya, semuanya suami akan buat untuk saya,” cerita Mimi.
Inara dan Idlan masih menyusu badan sehingga sekarang. Rezeki kembar ini kerana susu badan Mimi banyak dan mencukupi untuk kedua-duanya. Sepanjang proses rawatan untuk mendapatkan kembarnya itu, pasangan ini berhabis sekitar RM15,000. Kata Mimi, dia nekad berbuat apa sahaja asalkan dapat melahirkan zuriatnya sendiri dan kini mereka bersyukur dikurniakan dua orang anak yang comel dan sihat.
Bercerita tentang perkembangan anak kembarnya pada usia setahun tiga bulan sekarang, mereka sudah boleh berdiri tanpa bantuan, respon jika sesiapa bercakap dengan mereka, menari apabila mendengar muzik, sudah mampu menerima arahan, suka mengemas (dan buat sepah juga!), suka bermain blok, pandai makan sendiri dan banyak lagi. Selain itu, anak-anaknya juga suka menconteng. Apabila dibawa berjalan, Mimi akan pastikan board mereka dibawa bersama.
Sehingga sekarang anak-anak kembarnya masih menyusu badan dan di rumah tiada sebarang botol atau puting digunakan di rumah. Penyusuan diberi terus dari badan. Memandangkan mereka kembar, kadang-kadang ada juga menyusu serentak. Tetapi ada masanya, mereka akan ikut giliran.
Hanya ketika dihantar ke rumah pengasuh sahaja, Mimi akan bekalkan susu badan lebih kurang 7oz untuk setiap satu anaknya. Mimi akan pastikan makanan anak-anaknya dimasak sendiri tanpa tambahan gula dan garam.
Hafaz 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan, Ahmad Ziyyad mula hafal 42 surah sejak usia 2 tahun. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, mengukir pencapaian luar biasa dengan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam hanya empat bulan 10 hari.
Dalam suasana tenang di sebuah kediaman di Bukit Payung, Marang, Terengganu, lantunan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran jelas tanpa gangguan televisyen atau gajet.
Ahmad Ziyyad, yang memiliki memori luar biasa serta minat mendalam terhadap al-Quran, menamatkan hafazannya pada 23 Mac lalu melalui program hafazan pantas (fast track) yang ditawarkan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah pusat tahfiz di Terengganu yang menyediakan program intensif khas bagi pelajar berpotensi tinggi.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkongsi bahawa anak sulungnya itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap al-Quran sejak bayi lagi. Pada usia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad sudah mampu menghafal sebanyak 42 surah, termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A’raf, hanya dengan mendengar bacaan.
Menurut beliau, sejak kecil lagi Ahmad Ziyyad menunjukkan reaksi sensitif terhadap bacaan al-Quran. “Saya selalu mendodoikannya dengan al-Quran. Jika saya berhenti membaca pada ayat tertentu, dia akan menangis dan hanya tenang bila saya mula semula dari awal surah,” katanya kepada Bernama.
Disebabkan minat yang luar biasa itu, Nurul Shahida dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, mengambil keputusan untuk berpindah dari Kota Bharu ke Marang bagi membolehkan anak mereka menghadiri kelas hafazan di akademi tersebut setiap hari. Sebelum ini, Ahmad Ziyyad bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh di Kota Bharu, tetapi masa yang terhad menyukarkan hafazan al-Quran dijalankan secara konsisten.
Keluarga ini kemudiannya menemukan Akademi Al-Quran Amalillah pada tahun 2024. Walaupun akademi itu hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diterima masuk ketika baru berusia sembilan tahun berkat keupayaannya menghafal beberapa potong ayat dalam masa 10 minit – satu pencapaian luar biasa yang tidak dimiliki kebanyakan pelajar lain.
Nurul Shahida juga menjelaskan bahawa anaknya mempunyai keistimewaan iaitu hyperlexia dan hypernumeric, yang membolehkannya mengenal huruf dan nombor pada usia lebih awal dari biasa – ciri yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme. “Dia tahu surah, ayat dan muka surat setiap kali membaca al-Quran. Dia suka mendalami nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin kerana semuanya berkait dengan nombor, yang memang menjadi minatnya,” jelas beliau.
Walaupun kadang-kala emosinya tidak stabil dan mudah menangis, Ahmad Ziyyad tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam meneruskan hafazan selepas episod sebegitu. Kini setelah bergelar hafiz, beliau kembali ke SRITI Al-Fateh untuk menyambung persekolahan hingga ke darjah enam sebelum memasuki fasa syahadah – peringkat pengesahan hafazan di hadapan panel.
Apa yang lebih menggembirakan ibunya ialah perubahan positif dalam sikap dan peribadi Ahmad Ziyyad. “Dia kini solat di awal waktu tanpa disuruh, rajin melakukan amalan sunat seperti tahajud, dan semakin matang. Perangai autistiknya juga lebih terkawal dan dia jadi teladan baik buat adik-adiknya,” ujar Nurul Shahida.
Guru hafazannya, Nurfatihar Riduan, turut mengakui kehebatan Ahmad Ziyyad yang mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada kesukaran ayat. Beliau menyatakan, “Ada hari dia boleh tasmi’ satu juzuk sehari, dan ulangkaji pula sampai dua hingga empat juzuk. Fokus dan disiplin Ahmad Ziyyad sangat tinggi.”
Guru itu turut memuji komitmen ibu bapa Ahmad Ziyyad yang sanggup berpindah negeri demi menyokong impian anak mereka menjadi hafiz, satu pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.