Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk hubungan baik antara anak-anak mereka. Nak eratkan hubungan antara adik beradik bukan tugasan yang mudah, lebih-lebih dengan perangai mereka yang pelbagai ragam.
Bagi Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, untuk memastikan anak-anak beliau mempunyai hubungan yang erat, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk mendidik mereka.
Melalui posting beliau di Instagram, beliau meletakkan “hugging & kissing” sebagai norma dalam keluarganya. Jika sebelum ini, beliau telah berjaya mengajar anak perempuannya, Bella dan Tasha untuk sentiasa terap kasih sayang antara satu sama lain.
Kali ini, beliau dan isteri, Dr Halina Mohd Yunos dalam proses untuk mengajar anak lelaki kembar mereka pula, iaitu Adam dan Noah untuk merapatkan kali hubungan antara mereka.
Telatah anak kembar itu mendapat perhatian umum apabila mereka masih malu-malu untuk menunjukkan rasa sayang antara satu sama lain.
Malah, terdapat beberapa mengikut Dr Sheikh Muszaphar juga bersetuju dengan cara yang dipraktikkan oleh beliau dan menceritakan kembali pengalaman mereka mengajar anaknya.
Selain dari menerapkan kasih sayang antara anak-anak, ibu bapa juga perlu memainkan peranan seperti:-
Sama adil antara anak-anak
Tidak adil merupakan kesilapan yang sering ibu bapa buat tanpa sedar. Contohnya apabila adik buat silap bukan adik yang dimarahi tetapi yang sulung. Alasan yang tua tidak jaga yang kecil. Apabila situasi ini terlalu kerap berlaku akan membuatkan si sulung membenci adiknya dan mereka secara tidak langsung menjadi jauh dan mencemburui antara satu sama lain. Begitu juga apabila ingin membeli sesuatu pasti kan anda membelinya sama adil agar perasaan kecil hati atau cemburu itu tidak timbul.
Sikap Tolong-Menolong
Walaupun mereka masih kecil tetapi sikap tolong menolong ini perlu diajar dari awal lagi. Contohnya apabila adik keluarkan permainan dan ketika masa berkemas. Minta abang atau kakak tolong mengemas sama-sama. Sambil mengemas mungkin anda boleh berikan pujian atau bermain siapa lagi pantas menyimpan. Mereka akan rasa seronok dan bergembira bekerjasama. Begitu juga apabila abang atau kakak perlukan pertolongan minta adik bantu juga.
Makan sama-sama
Usahakanlah paling tidak sekali dalam sehari untuk semua ahli keluarga berkumpul makan bersama-sama. Saat makan bersama-sama, bercerita dan ketawa akan membuat semua ahli keluarga rasa seronok dan menghargai antara satu sama lain. Malah akan membuatkan kasih sayang makin hari makin kuat antara satu sama lain.
Tunjukkan Contoh Yang Baik
Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Mahu anak-anak jadi baik tetapi anda sendiri tidak begitu. Anda juga perlu pasti kan hubungan anda dengan adik beradik baik. Sentiasa tolong menolong, ziarah menzirahi serta sayang menyayangi antara satu sama lain. Contoh yang baik ini akan mereka jadikan sebagai panduan untuk mereka bila dewasa nanti.
SUMBER: Ig Dr Sheikh Muszaphar Shukor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI