Bila anak memanjat, melompat cepat je hulur gajet sebab nak bagi anak diam dan tak ganggu kerja. Ingat di usia setahun hingga empat tahun itulah bagus untuk anak aktif dan bergerak. Tapi bila ibu bapa tengok anak aktif, mereka akan suruh anak duduk diam dan bagi gajet sampai 2 3 jam tak bergerak.
Oleh itu, pilihan paling baik nak bagi anak duduk diam, buka TV, bagi iPad, bagi telefon.
“Nah! Ambil, duduk diam-diam, jangan bergerak.”
Di sebabkan ibu ayah sendiri yang menggalakkan, anak pun suka. Fokus bukan main lagi tengok cerita apa pun dalam gajet. Lepas tu leganya mak ayah rasa… aman dunia.
Menurut Liyana Raya (Terapis Cara Kerja), jika diikutkan mak ayah dah buat banyak salah bila ‘divert’ kan perhatian anak kepada gajet dan TV sebab runsing tengok anak-anak bergerak.
Ads
Dalam situasi ini, mak ayah kena tahu kenapa anak kita suka bergerak? Bila anak-anak ni bergerak, tahu tak sebenarnya mereka sedang meransang sistem keseimbangan (vestibular system), sistem otot & sendi (proprioceptive) serta pergerakan motor kasar (gross motor movement) untuk menjadikan mereka lebih fokus, merangsang kebolehan berfikir, membantu menstabilkan otot-otot yang terlibat dalam penulisan, serta membantu anak-anak menjana sistem visual yang membantu dalam proses penulisan dan copying di sekolah.
Pemahaman anak-anak terhadap pembelajaran akan lebih bagus sekiranya anak-anak bergerak. Dengan bergerak, anak-anak akan lebih bersedia untuk mengatur pergerakan dan penulisan dengan lebih tersusun.
Sebab itu saya tak menggalakkan sangat anak-anak usia setahun hingga empat tahun tu belajar dengan flashcards dan gajet sahaja.
Ads
Kita masa kecil pun mana ada mak ayah bagi duduk dan belajar sekitar usia tersebut. Lebihkan bergerak berbanding duduk dan belajar. Sistem visual, tactile, proprioceptive dan vestibular mereka kena banyak bagi exposure dan exploration berbanding sistem ‘duduk diam-diam’ yang mak ayah sekarang buat untuk anak-anak.
Kalau anda rasa rimas bila tengok anak-anak bergerak di rumah orang lain, kawal pergerakan anak-anak anda. Boleh hadkan seketika, boleh bagi gajet.Tetapi ingat, lepas tu kena ganti dengan bagi bergerak balik. Bawa ke taman permainan sama ada indoor ataupun outdoor. Di situ, bagilah dia orang bergerak dengan bebas. Taman permainan adalah tempat yang terbaik untuk membuat pergerakan bebas anak-anak anda.
Ads
Jadi, jangan ingat kalau anak duduk diam tu, banyak yang mereka belajar. Sebenarnya mereka tak belajar apa pun. Sistem dalam badan tak diransang juga. Bagi gajet tak salah, tapi mcm mana kita seimbangkan dengan pemberian ransangan badan, itu yang penting.
Kadang-kadang anak kecil usia dua tahun ni banyaknya kira! Ada masa boleh hilang sabar dibuatnya. Namun, bila kita tahu dan kita sedar yang kita dulu pun macam itu, mungkin kita boleh menjadi lebih sabar dengan mereka.
Menurut perkongsian daripada Ibu Rose yang dikenali sebagai guru keibubapaan, ada sesuatu yang ajaib mengenai anak berusia 2 tahun ni. Mereka hidup di dalam dunia mereka sendiri. Mereka belum betul-betul faham dunia orang dewasa.
Mereka nampak berakhlak buruk, campak barang, makan merata-rata, tendang dan jerit jika mereka tidak dapat apa yang mereka kehendaki.
Oleh itu bila orang dewasa tidak faham, mereka menuduh anak-anak kecil yang belum faham dunia ini dengan perlbagai tuduhan kepada ibu bapa mereka. Malah ada juga ibu bapa yang kerana tidak ada ilmu mengenai perkembangan anak-anak marah berlebihan akan anak-anak ini.
Lantaran itu anak-anak ini semakin keliru dan semakin masuk ke dalam ‘dunia’ dia. Jadilah anak ini membesar dengan keadaan begitu walaupun sudah berusia 4-5 tahun masih di dalam dunia yang sepatutnya hanya untuk anak yang berusia 1.5 tahun – 3 tahun.
Fahamilah jika anak pada usia ini nampak macam berakhlak buruk…ingat itu bukan akhlak dia, itu adalah dia sedang mempelajari dunia dan bagaimana untuk berakhlak mulia.
Maka tunjukkan kepadanya dengan sabar. Jika dia menjerit, ambil tangan dan letak pada bibirnya memberi tanda tidak perlu menjerit. Jika ada masa bawa dia keluar untuk dia boleh bermain dan menjerit.
Jika dia makan bersepah, maka letakkan tempat yang membolehkan dia makan di kawasan itu sahaja. Letak di kerusi baby atau sepertinya.
Jika dia menendang, ambil lembut kakinya dan beritahu bahawa tidak perlu menendang jika mahukan sesuatu.
Ajar dia untuk mengatakan ya atau tidak. Dan belajarlah bertanya seperti meminta izin sebelum dia melakukan sesuatu kepadanya.
Contoh, jika mahu memandikan dia. Katakan, ‘sayang mama nak mandikan sayang, ya’ dan biar dia boleh memilih. Jika dia kata ya, maka bawalah dia mandi dengan gembira. Jika dia mengatakan ‘no’ maka teruskan pujuk dan buat sesuatu yang menarik dibilik mandi.
Bila anak-anak kecil ini sudah belajar mengatakan yes atau no, sebagai tanda mereka boleh memilih serta ibu bapa menghormati perasaannya, maka situasi anak-anak itu menjerit, menendang, makan bersepah dan sebagainya akan cepat berhenti dan anda akan melihat anak-anak 4-6 tahun yang mudah dibimbing. InsyaAllah.
Ha…siapa yang ada anak umur lingkungan 2 tahun atau yang pernah ada anak umur begini cer angkat tangan sikit. Anda mesti faham apa yang Ibu maksudkan kan?. Now, lepas baca apa yang Ibu dah kongsikan, pada pendapat sayang bagaimana harus kita pandang anak 2 tahun yang bersikap ‘terrrsangat comel’ ni? Sharelah sikit kat ruangan komen tu.
Anak suka buat perangai dan dengkikan adik beradiknya yang lain? Jangan abai, periksa segera puncanya.
Tanpa sedar, perasaan dan emosinya terjerut yang kemudiannya akan menjadi punca kepada berontaknya jiwa mereka. Susunan kelahiran boleh memberi kesan kepada anak-anak anda terutamanya anak kedua atau di tengah.
Sindrom anak kedua atau anak tengah adalah masalah besar pada kanak-kanak hingga ada yang mengatakan anak kedua sering menimbulkan masalah dan buat perangai.
Menurut pakar psikologi Kevin Leman dama bukunya, The Birth Order Book,anak tengah adalah anak kedua yang dilahirkan dalam keluarga lebih daripada dua adik beradik. Ada kala, anak tengah merasa kekurangan dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu mama dan papa. Antara gejalanya ialah;
1.Kurang rasa memiliki
Anak tengah mungkin tidak ada rasa “memiliki” kepada keluarga seperti anak-anak lain. Dia rasa dia perlu berjuang untuk lebih untuk dekat dengan keluarga kerana berasa diabaikan dan ‘tidak diingini’. Kadang-kadang, anak tengah juga merasakan dihimpit di antara adik-beradik yang lain. Dia rasa tiada ruang untuk dirinya di dalam keluarganya!
Cara atasi: Mama dan papa perlu memberikan perhatian. Selalu ajaknya bermain dan ucapkan penghargaan dan memuji mereka agar mereka tidak terpinggir.
2.Rendah diri
Anak kedua atau pertengahan selalu merasakan bahawa dirinya tidak diingini dan mungkin mempunyai harga diri yang sangat rendah. Malah lebih buruk lagi, si kecil membina rasa “tidak diperlukan” dalam dirinya hingga boleh menjejaskan emosinya sehingga dewasa. Hal ini mempunyai kesan yang serius kepada pembangunan keseluruhannya. Dia akan mengalami perasaan rendah diri dalam proses pembesarannya. Keyakinan dirinya juga mungkin tipis kerana perasaan yang terlepas pandang oleh mama dan papanya
Cara atasi: Jangan membandingkan mereka dengan adik-beradik lain dan cari jalan untuk mengawal tindak balas anak kepadanya supaya dia berasa seiring dengan anda.
3.Suka menyendiri
Selalunya mereka lebih cenderung menyendiri dalam apa-apa aktiviti serta mempunyai personaliti introvert atau tidak suka bersosial. Mereka merasa seperti orang luar dalam keluarga. Oleh sebab itu mereka suka melakukan semua perkara sendiri seperti memakai pakaian sendiri, makan sendiri atau bermain sendirian. Suka menghabiskan masa dengan bersendirian kerana berasakan tiada orang mengendahkan dirinya. Dia cuba untuk mencipta dunianya sendiri dan berdikari.
Cara atasi: Adakan waktu khas untuk mama atau papa dengan dia si anak tengah. Luangkan masa untuk bermain bersama-samanya. Main peranan masak-masak atau sekadar membaca bersama-sama. Mama juga boleh mengajaknya keluar berdua sahaja tanpa membawa adik-beradik lain. Katakan hari ini girls day out!
4.Kecelaruan
Kanak-kanak yang menghidap sindrom kedua juga tidak jelas arah tuju. Terdapat banyak kekecewaan di dalam diri mereka dan mereka berjuang untuk mencari arah yang sebenar kehidupan mereka. Mereka tidak selesa untuk berhubungan rapat dan bermesra dengan ibu bapa dan adik-beradik mereka. Ada juga keadaan anak tengah lebih rapat dengan kakak atau abang berbanding ibu dan ayahnya sendiri! Kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini mempunyai risiko kecelaruan untuk menentukan minat, menyalurkan bakat serta tiada arah tuju.
Cara atasi: Mereka mahukan perhatian anda dan kata-kata perangsang. Pandulah potensi dan bakat dirinya kepada bidang yang bersesuaian agar dia boleh melihat jelas masa depannya.
5.Keras kepala dan buat perangai
Selalunya, anak kecil akan percaya apa yang dikatakan oleh ibu dan ayahnya dan benar-benar bergantung kepada kedua-duanya. Tetapi tidak bagi si manja yang mengalami sindrom anak pertengahan ini. Mereka yang sudah menanamkan perasaan diabaikan dan tidak disayangi dalam dirinya berasa sukar untuk mempercayai dan mendengar kata-kata orang lain. Ada kalanya mereka ini cenderung untuk keras kepala dan enggan mendengar pendapat orang lain.
Cara atasi: Sementelah dirinya dirasakan terabai, kata-katanya juga enggan didengari. Tidak adil bagi si kecil ini. Justeru, biarkan si kecil meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Biar dia merasakan dirinya ‘didengari’. Mintalah pendapatnya dalam apa-apa hal secara spontan. “Apa pendapat kakak kalau ibu pakai baju ini dengan seluar ini?” atau “Abang rasa kita perlu atau tidak bersihkan sangkar kucing kita? Dah kotor ke? Cuba Abang tengok?”.
TIP TANGANI AWAL SINDROM ANAK TENGAH
Sindrom anak kedua ini memanglah kelihatan tidak berbahaya namun dalam jangka masa panjang ia boleh menjejaskan emosi dan psikologi si anak. Hal ini memanglah mencabar dan perlukan inisiatif dan tanggungjawab dari ibu dan ayah. Berikut adalah perkara yang boleh untuk menangani tanda-tanda awal sindrom ini.
a)Bersikap adil
Berikan sama rata apa jua barang atau hadiah kepada si manja dan adik- beradiknya. Misalnya untuk hadiah hari jadi si abang mendapat kamera digital manakala adiknya mendapat sebuah basikal baru manakala bagi dirinya hanyalah sebuah buku. Ini jelas tidak adil untuk si anak tengah!
b)Luangkan masa untuk setiap anak
Cuba ingati masa yang anda luangkan untuk setiap anak, adakah seimbang adakah adil? Jika merasakan ada anak yang ketinggalan dalam meraih perhatian anda, maka lebihkan fokus dan masa anda kepadanya untuk tempoh tertentu.
c)Beri perhatian
Misalnya si kecil bercerita kepadanya yang dia berasa sunyi dan ingin memasak atau bermain dengan anda. Ini tandanya dia perlukan perhatian anda. sesuaikan dengan keadaan anda. Biarkan dia membantu anda memasak kerana sekurang-kurangnya anda dan dia dapat meluangkan masa bersama-sama.
d)Bijak guna masa
Masa terhad di rumah menjadi kekangan untuk anda memberikan perhatian kepada setiap anak. Manfaatkan masa di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tadika atau semasa makan untuk bertanya tentang perkembangan terkini dirinya. Misalnya tentang apa yang dia makan di sekolah, kawan rapatnya hadir ke sekolah atau tidak dan sebagainya. Hal ini menunjukkan anda berminat kepada dirinya dan dia rasa tidak terabai.
e)Cuba empati
Letak diri anda pada kedudukan anak. Dengan ini anda boleh merasakan jika dia sedang cemburu, menjauhkan diri dan sedih dengan tindakan anda. Anda juga boleh mengesan perubahan dirinya dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membuatnya bersedih.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebenarnya membuatkan anak berasa disayangi tidak memerlukan wang ringgit atau perbelanjaan yang banyak. Tidak perlulah anda membelikan hadiah mahal atau percutian menelan perbelanjaan yang besar. Malah, sekiranya kita membuat anak kita berasa tidak istimewa sepanjang tahun, barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang dibuat di hotel lima bintang tidak akan dapat mengubah perasaan yang dirasai anak kita itu. Apa yang penting dalam jangka masa panjang adalah perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.
Ada enam cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membuatkan anak rasa disayangi:
1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih
Anak-anak perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya mereka sedang sedih. Contohnya, apabila berlaku sesuatu kejadian sehingga menyebabkan dia berasa bersalah. Pada saat-saat seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan kepadanya.
2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan wajah riang ketika menyambut anak anda pulang. Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari pejabat atau apabila keluar bekerja di luar daerah. Katakan yang anda merinduinya.
3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya
Ibu bapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan anak-anak apabila ibu bapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara baik yang mereka lakukan.
Anak-anak akan berasa kurang bersemangat dan mungkin akan cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya untuk menarik perhatian ibu bapa. Apabila memuji anak anda, berikanlah kata-kata pujian yang khusus dan jelas serta ikhlas kepada mereka. Sebagai contoh, “Mama gembira sebab abang mahu berkongsi biskut ini dengan adik” atau “Rajin anak papa menyimpan semula buku-buku itu setelah dibaca” atau “Papa seronok tengok Liza melukis dan bermain dengan adik.”
4. Dengarkan kata-katanya
Apabila anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap. Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti “Jadi Faris ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?” Mendengar tidak bermakna anda mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di atas kesejahteraannya.
Anak anda akan berfikir, “Mama/Papa mengambil berat terhadap diri saya, jadi saya tak perlu bimbang.” Anak anda perlukan keselesaan emosi seperti ini. Kadangkala anak anda perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini berlaku kerana mungkin dia merasakan yang dia telah melakukan satu kesalahan dan kesalahan ini membuatkan dia berasa resah gelisah.
Sekiranya ini terjadi, kawal diri daripada memarahinya. Sebaliknya, pujilah dia kerana bersikap jujur dan berani berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang rendah kepadanya hanya kerana dia telah melakukan kesalahan. Ini bermakna, walaupun dia telah melakukan kesilapan, anda masih menganggapnya istimewa.
5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya
Kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh orang lain.
Apa pun yang anda lakukan bersamanya, biarlah dia yang memilih aktivitinya dan jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya. Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang terlebih dahulu tetapi boleh juga dilakukan secara spontan. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda berdua.
6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya
Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan. Sebagai contoh, jika anak anda sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, “Yang ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas. Warnanya pun lebih terang.”
Elakkan daripada menjawab secara acuh tak acuh, “Papa tengok sama saja kedua-dua lukisan tu.”
Anda mungkin berfikir yang kata-kata pujian akan membuatkan diri anak terlampau berpuas hati dengan dirinya sendiri dan tidak lagi mahu berusaha. Tetapi tiada apa yang lebih memotivasikan seorang anak selain daripada kata-kata perangsang daripada ibu bapanya.
Sumber: Jamilah Samian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!