Kadangkala anak sengaja ugut nak buat sesuatu yang dia tahu kita akan marah, itu tandanya dia cuma nak dapatkan perhatian dari ibu ayah. Tak perasan atau memang biasa situasi ini berlaku tanpa kita sedar ia adalah petunjuk yang anak-anak mahukan ibu ayah memberi perhatian kepadanya.
Sedar atau tidak kurangnya perhatian dari ibu ayah akan membuatkan si kecil menjadi nakal, tak duduk diam dan mengamuk tak tentu pasal. Mungkin anda beranggapan ia perkara remeh kerana ketika itu anda sedang sibuk dengan urusan kerja atau menghadap handphone. Namun disebabkan hal yang kecil dan remeh ini ia boleh memberi kesan terhadap tingkah laku dan emosi anak.
Perkongsian daripada Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) ini boleh dijadikan panduan berguna kepada semua yang bergelar ibu bapa!
“Pecahkan ni ye Mama. Pecahkan ye!”
Tumpuan kepada kerja-kerja saya terganggu apabila mendengar nada ugutan yang keluar dari mulut seorang anak kecil kepada ibunya.
Saya menjeling ke arah datangnya suara itu. Seorang wanita duduk bersama dua orang anaknya, seorang lelaki yang berusia lingkungan 8 tahun dan seorang perempuan yang berusia lingkungan 6 tahun.
Anak perempuan masam mencuka sementara anak lelaki buat hal sendiri seakan kebosanan.
“Tengoklah abang ni Mama. Tengoklah, Dia kacau.”
Ibu masih khusyuk dengan telefonnya tanpa sebarang ekspresi. “Sekejap la, Mama nak balas ni kejap.” Si Ibu bersuara memberi respon kepada anak tanpa memandangnya.
“Nak pecahkan ni! Nak pecahkan!” Anak perempuan masih mengugut hendak pecahkah ‘tablet’ yang dipegangnya. “Sekejap la.” Balas ibu lembut dengan matanya melekap pada telefon. Sedikit pun tidak dijelingnya kepada anak yang mengugut.
Anak itu kelihatan kecewa kerana tiada perhatian daripada ibu.
“Nak kencing dalam seluar!” Ugutan anak berterusan tetapi kali ini bukan lagi tentang ‘tablet’.
“Kencing dalam seluar!” Sambil anak memegang seluarnya dan memerhatikan si ibu. Mata ibu masih pada telefonnya. Langsung tidak terganggu seolah-olah itu perkara biasa.
Rimas saya melihat si Ibu. “Oh ibu, pandanglah sekejap anak itu. Sudah lama dia cuba mencuri perhatianmu. Sekejap pun jadilah. Dia hanya ingin mengadu.” Getus hati saya.
Selama hampir 20 minit anak mengugut ibu supaya memberi perhatian kepadanya. Dia ingin mengadu tentang abangnya yang mengganggu.
Abang kebosanan, adik diganggunya. Itu biasa.
Balasan ibu hanyalah “Sekejap” “Sabar” “Ibu perlu balas e-mail” Jeling pun tidak. Mungkin itu juga perkara biasa dalam dunia yang serba terkejar-kejar sekarang ini.
Tetapi anak kecil mengugut untuk merosakkan harta benda dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, itu luar biasa.
Anak sanggup lakukan apa saja untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Apa saja seperti anak perempuan ini. Perhatian yang diberikan adalah isyarat bahawa dirinya bernilai dan dihargai. Jika dirinya dirasakan tidak bernilai bagi ibu, kenapa perlu dia peduli tentang tablet atau seluar yang dikotorkan? Itu hanyalah material yang boleh diganti.
‘Attention seeking’ adalah sifat semulajadi anak-anak, tidak kiralah kecil atau remaja. Tingkah laku anak akan dipengaruhi oleh matlamat inginkan perhatian.
Ingatkah lagi penulisan saya tentang ‘sense of belonging?’
Noor Afidah Abu Bakar Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Bila anak sakit, ibu ayah terpaksa berperang nak berikan anak ubat ikut jadual. Kalau anak yang senang makan ubat, tidak timbul masalah. Tapi kalau yang jenis susah makan ubat, boleh jadi konflik pula.
Menghadapi kerenah anak yang susah makan ubat ialah normal. Bila mereka sakit, ibu ayah akan berhadapan dengan rutin memberikan anak ubat dan ia akan berlaku berulang kali dalam sehari. Jadi bayangkan jika anda tidak mempunyai alternatif cara yang lebih mudah, tentu akan mudah stres dan tertekan. Lama-kelamaan boleh jadi marah.
Dr Zubaidi Hj Ahmad telah berkongsi 8 tips yang boleh digunakan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang susah makan ubat. Berikut ialah perkongsian beliau;
Tips Memberikan Anak Ubat
Banyak tips yang dikongsikan untuk memudahkan para ibu bapa memberikan ubat pada anak-anak mereka. Ada kalanya ibubapa terpaksa “berperang” dengan anak mereka.
Antara tips yang hendak saya kongsikan ialah:
Jangan memaksa anak. Jika dipaksa dalam keadaan anak tidak bersedia, ia menyebabkan anak akan meronta, memuntahkan semula atau berlari sekelilig rumah. Pujuk, beritahu kenapa mereka harus mengambil ubat tertentu dan berikan dengan penuh kasih sayang.
Berikan ubat yang perlu saja. Sebagai contoh jika anak agak sukar mengambil ubat, cuba minta nasihat doktor agar memberikan dua kesan sekali gus. Contoh ubat demam yang dapat mengurangkan rasa sakit. Ubat batuk yang dapat mengurangkan selsema. Ini memudahkan tugas ibubapa memberikan ubat untuk anak.
Berikan ubat dalam jumlah yang sedikit, demi sedikit dengan menggunakan syringe (picagari). Mungkin setiap kali berikan satu ml. Ambil sedikit masa untuk anak menghabiskan 5ml ubat.
Campurkan dengan madu. Bagi anak yang berusia 2 tahun ke atas, berikan ubat dan campurkan sedikit madu bagi membantu mengurangkan rasa pahit ubat yang bakal ditelan.
Berikan anak air yang mencukupi beberapa jam sebelum ubat diberikan. Anak yang mengalami dehidrasi selalunya lidah mereka lebih sensitif dan lebih mudah menolak ubat yang rasanya pahit.
Masukkan ubat dari tepi lidah supaya anak tidak mudah tercekik sepertimana kita memberikan ubat terus ke tengah lidah.
Ada beberapa ubat yang diformulasikan sebagai suppositories (ubat masuk punggung) terutamanya ubat demam. Boleh gunakan dengan meletakkan sedikit minyak bagi memudahkan masuk ke dalam punggung.
Tunjukkan kasih sayang ketika memberikan ubat pada anak, kerana pada masa itu anak-anak mahu rasa selamat, dilindungi dan disayangi. Memarahi anak bukan cara terbaik memujuk anak memakan ubat.
Rasa risau dan juga rasa takut ialah dua perasaan yang lazim dalam hidup manusia. Bukan manusia namanya jika kita tidak pernah berasa risau dan takut! Begitu juga kisahnya tentang kanak-kanak dalam lingkungan usia 0-6 tahun. Yang pasti, pada peringkat usia ini ketika mereka sedang melalui proses pendidikan separa formal (praformal) yang menjadi jambatan antara rumah kediaman dan institusi prasekolah, banyak hal dan perkara yang boleh menjadikan seorang anak kecil risau lagi takut.
Apakah reaksi pertama anda sebagai papa atau mama ketika si kecil berkata dia risau atau takut akan sesuatu? Ingat, hanya kerana hari ini kita sebagai orang dewasa punya banyak pengalaman hidup dan kita tidak lagi takut tidur di dalam gelap, kanak-kanak masih belum punya pengalaman yang sama.
Lebih tragis, ada pula mama dan papa yang cenderung meremehkan kerisauan dan juga ketakutan anak kecil mereka! Memang betul (rasanya) di bawah katil kita tidak ada monster yang sedia untuk menyerang dan memakan kita. Tetapi papa dan mama juga perlu ingat bahawa imaginasi kanak-kanak 0-6 tahun amat aktif berbanding dengan kita. Maka, untuk bulan ini saya kongsikan beberapa cara untuk membantu anak anda yang mungkin sedang berasa risau lagi takut.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM dan Penyelidik Aktil Ilmu Psikologi perkembangan tahun awal sosiologi Pendidikan praformal kanak-kanak dari usia 0-6 tahun senaraikan 7 cara untuk ibu bapa bantu anak-anak atasi rasa takut dan risau.
Pertama: Risau, cemas dan takut perlukan masa untuk ditangani
Hakikatnya, tidak semua kanak-kanak sama walaupun umur mereka mungkin sebaya. Ada yang bersifat terlalu berani, ada pula yang sering dilanda risau, cemas dan takut hingga anak kecil itu kelihatan gelisah pada setiap detik. Tangani perasaan negatif itu satu persatu dengan aktif dan fahami sebanyak mungkin hal dan keadaan yang boleh menerbitkan rasa negatif itu dalam diri anak kesayangan anda.
Didik anak secara berperingkat untuk memerangi rasa risau dan takut. Misalnya, kalau dia takut tidur dalam gelap, belikan lampu tidur yang sesuai dengan citarasanya sebagai satu cara untuk melawan rasa takut kepada gelap. Perlahan-lahan, anak anda akan terbiasa dengan kegelapan dan akan sampai waktunya dia tidak lagi menggunakan lampu itu (atau mungkin juga dia akan kekal memakai lampu tidur sampai ke tua, macam saya juga).
Kedua: Kalau anak anda terlampau cepat risau… biarkan sahaja dia risau!
Percayalah, anak anda tidak akan berhenti berasa risau atau takut hanya kerana anda suka memekik, “Janganlah takut!” atau “Jangan risaulah!” ditelinganya. Percaya atau tidak, rasa risau dan takut mempunyai asas genetik iaitu kewaspadaan. Pada zaman Jurassic dahulu kala, manusia prasejarah harus sentiasa berwaspada takut-takut kalau mereka menjadi lauk dinosaur Velociraptor atau Tyrannosaurus Rex pada hari itu.
Asas genetik ini tetap ada dalam diri setiap manusia hingga ke hari. Ajaklah si kecil anda berdialog dan dengar luahan hatinya. Siapa tahu? Dia takut pergi ke tandas seorang diri bukan kerana ada hantu di dalam tandas rumah anda tetapi kerana dia terlalu pendek untuk mencapai suis lampu. Begitu juga dia takut tidur di dalam gelap kerana hidungnya sering berdarah hingga habis bantal dan cadar (bukan kerana ada monster di bawah katil).
Ketiga: Elakkan asyik mengelak daripada berdepan dengan risau dan takut
Meneruskan contoh saya beri tentang kanak-kanak yang takut untuk tidur di dalam gelap, ada banyak lagi usaha yang boleh kita lakukan agar rasa takut dan rasa risau mereka dapat ditangani dengan baik lagi efektif. Perlu difahami, mama dan papa harus mengelakkan diri daripada asyik mengelak untuk berdepan dengan rasa risau dan takut si kecil. Mengelak bukan suatu strategi yang baik dan hanya akan menguatkan rasa risau dan takut itu.
Jika si kecil anda takut kepada anjing misalnya, mendukung si kecil sekuat hati dan terus melarikan diri daripada semua anjing yang anda jumpai tidak akan membantu si kecil anda menjadi berani untuk berdepan dengan anjing (silap haribulan anda juga bakal dikejar anjing kerana lari daripadanya). Lebih elok jika anda memegang tangan anak anda dengan erat dan melintas di depan seekor anjing daripada mengelakkan situasi itu.
Keempat: Ajar anak anda untuk berfikir secara logik apabila dia risau atau takut
“Macam mana?”, “Boleh ke?”, “Takutlah kalau-kalau…” Semua ini sering keluar daripada mulut si kecil yang terlalu risau dan cepat takut. “Macam mana kalau monster keluar bila papa padam lampu nanti?” Pemikiran logik dapat membantu anak manja anda berdepan dengan banyak perasaan negatif yang dia rasai. Tambah juga humor dan gelak ketawa supaya kesan perasaan negaatif berkenaan dapat dikurangi.
Bermacam-macam rasa risau dan takut boleh dirasai dalam setiap keadaan. Ada kanak-kanak yang tidak suka ke tadika kerana dia takut dia tidak diterima oleh rakan sebayanya. Ada pula yang berasa cemas bila terlihat sesuatu rangsangan negatif di depan matanya. Supaya si kecil comel anda menjadi lebih yakin dan berani, pemikiran logik dan humor akan memberi kesan positif pada jangka masa panjang dengan izin Tuhan.
Kelima: Selain logik ada kemahiran lain untuk mengatasi rasa cemas dan takut
Strategi jangka panjang yang bermanfaat untuk membantu anak anda mengatasi rasa cemas dan takutnya ialah strategi yang berasaskan kemahiran dalam diri sendiri. Semakin banyak kemahiran yang dikuasai, semakin kurang kesan perasaan negatif seperti risau dan takut dalam hidup seharian anak anda. Selain strategi berasaskan pemikiran seperti fikiran logik dan fikiran positif, strategi fizikal juga boleh dicuba.
Contohnya, memegang erat tangan si kecil anda atau memeluknya dengan penuh kasih-sayang jika dia terlampau cemas atau takut. Latih juga anak anda untuk bernafas dengan stabil dan merehatkan otot-otot jika dilanda perasaan negatif. Kemahiran pernafasan memang terbukti untuk mengurangkan stres dan rasa negatif, begitu juga kemahiran merehatkan otot yang cepat tegang ketika kita sedang cemas, takut atau pun marah.
Keenam: Jangan lupa perkara-perkara asas dalam tumbesaran si kecil
Jangan dipaksa si kecil anda melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan dia risau atau pun takut. Memaksa hanya mengundang tindak balas ekstrem kelak malah boleh menerbitkan risau dan takut yang melampau pula. Pada masa yang sama, pastikan semua perkara asas mencukupi dan terjaga dalam hidup anak anda seperti waktu tidur yang cukup, makanan yang berkhasiat, air yang mencukupi, waktu beriadah dan lain-lain lagi.
Perasaan negatif mudah menguasai diri kita apabila kita tidak dapat berehat atau berasa tenang. Fakta ini bukan hanya terpakai dalam hidup orang dewasa tetapi juga untuk
kanak-kanak. Jika semua keperluan asas tumbesaran ini dapat dipenuhi maka risiko perasaan risau, cemas, takut dan marah pun dapat dikurangkan dengan banyak. Jadi, pastikan semua keperluan asas si kecil kesayangan anda dipenuhi pada setiap masa.
Ketujuh: Si kecil yang selalu risau dan takut perlukan empati mama juga papa
Kerisauan dan ketakutan sebenarnya boleh ‘melumpuhkan’ diri dan peribadi si kecil anda. Anak anda yang tidak mahu tidur di dalam gelap akan berperang dengan dirinya (dan juga dengan anda pastinya) dan dia akan bertahan selama mana boleh daripada tidur kerana dia dikuasai kepercayaan yang ada monster tinggal di bawah katilnya. Seboleh-bolehnya, jangan dimarahi si kecil itu dan cubalah berempati dengan perasaannya.
Empati daripada papa dan mama akan membantu kanak-kanak yang cenderung berasa risau dan takut untuk memahami bahawa mereka tidak bersendirian dalam hidup, dan orang tua mereka akan sentiasa bersama dengan mereka. Hari bertukar minggu bertukar bulan, perlahan-lahan rasa risau dan takut itu pasti berkurangan sejajar dengan masa.
Oh ya, jangan lupa mama dan papa semua memantau keperluan anda sendiri. Mengasuh anak kecil yang cepat risau dan cepat takut boleh memakan masa yang lagi di samping menguji kesabaran kita orang dewasa. Waktu tidur si kecil yang terganggu atau pun kerisauannya yang berterusan, boleh memberi kesan negatif juga kepada kita orang dewasa. Maka, beri juga keutamaan kepada keperluan kesihatan anda supaya anda memiliki tenaga yang diperlukan untuk membantu anak comel manja anda melalui tempoh masa yang sukar ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cuba perhatikan, zaman sekarang zaman semua hendak CEPAT. Kita ada perkhidmatan fast food. Drive Thru Service. Jimat masa makan dalam kereta sahaja.
Ada perkhidmatan grab car, grab food. Dari segi pengangkutan semua kalau boleh hendak naik LRT jika kerja di kota raya KL. Sebab hendak cepat mengelak jem.
Dan ada juga ibu bapa berlumba-lumba supaya perkembangan anak mereka cepat.
Cepat BACA
Cepat TULIS
Pendek kata kalau lambat seolah olah kita ini tewas. Tapi benar ke kita tewas?
Yang peliknya ibu bapa masih lagi tidak mahu anak main kotor.
Bagi pakai sarung kaki tangan sejak bayi.
Tidak bagi anak jatuh.
Tidak bagi anak buat kerja rumah.
Tapi hendak CEPAT.
Baiklah sebenarnya tidak salah jika kita hendak cepat tapi perlulah bertempat.
Memahami fitrah perkembangan si cilik terutama pada umur kritikal 0 hingga 5 tahun amatlah penting.
Mahukan anak kenal abc dan membaca pada umur 4 tahun sedangkan otak yang memproses maklumat membaca hanya bersedia pada umur 7 tahun. Ada anak sudah boleh tapi bukan semua anak ya.
Beri peluang untuk anak tingkatkan kemampuan mereka dan yang paling penting Asas Perkembangan itu perlu KUAT.
Jadi rumah yang dibina tidak roboh.
Antara tips dari sumber bacaan Mummy Nurul bagaimana ingin terus menjadi guru pertama buat si cilik ialah
– Ibu ayah perlu menjadi rakan kongsi yang bagus. Saling bekerjasama. Bila ibu penat si ayah perlu bantu.
– Jangan tunjuk emosi marah depan anak. A big NO. Anak senang copy paste ibu ayah.
– Penyumbang terbesar kepada emosi anak selalunya si ibu. Ayah kena pandai jaga hati ibu jika mahu anak membesar dengan baik.
Persaingan dalam memahami perkembangan anak-anak ialah satu persaingan yang sihat dan baik. Maka tidak salah mahu cepat asalkan dengan asas yang betul.
**Mahu dapatkan keperluan bayi pada harga yang berbaloi, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Buat julung-julung kalinya, Pa&Ma membawakan Edutainment Fest Simpan SSPN 2024 yang telah berlangsung pada 24 & 25 Ogos lalu di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur yang diinspirasikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).