Apabila umur anak 3 tahun, antara pandai urus diri dan pandai membaca mana lebih penting? Kalau jawapannya bebas diaper, dah cukup melegakan hati.
Kadang-kadang, ada segelintir mak ayah yang lebih pentingkan anak 2-3 tahun pandai membaca tapi tidak kisah anak tidak reti makan dan minum sendiri, tidak reti buka baju seluar dan belum bebas diaper. Ada yang sampai umur 6 tahun, pandai membaca dan mengira tapi masih lagi pakai diaper ke tadika melainkan memang ada masalah kesihatan lain.
Bagi Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, bebas diaper ini bukan sahaja dapat menjimatkan poket mak ayah, malah banyak kepentingannya dalam perkembangan emosi dan sosial anak juga. Seperti yang dikongsikan sebelum ini di artikel “Cara Memanipulasi Anak”, umur setahun hingga 3 tahun adalah fasa anak untuk dapatkan “Autonomy” ke atas dirinya sendiri.
Sebab itulah, masa ini anak akan mula merampas baju yang hendak dipakaikan, merampas sudu atau mengamuk ingin makan sendiri, mahu pakai kasut sendiri, marah apabila barang yang dipegang dirampas dan sebagainya.
Semua ini sebab anak sudah ada ada kesedaran dan keinginan untuk belajar urus diri sendiri. Mereka lihat apa yang mak ayah buat dan mereka ikut walaupun belum cekap. Sokong anak untuk belajar berdikari, bukannya perlekehkan mereka apatah lagi menghalang. Sebab secara tak langsung mak ayah akan menyebabkan perkembangan emosi dan anak terganggu.
Malah kajian tentang ini juga telah dilakukan pada tahun 2002 dan hasilnya kebanyakan anak yang lewat bebas diaper akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing dan masalah usus di masa akan datang (diterbitkan di Journal of Pediatric Urology).
TANDA-TANDA ANAK SUDAH BERSEDIA
Selalunya mak ayah sudah boleh mula mengajar anak bebas diaper pada umur 2-4 tahun, ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas diaper seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau “hancing” seluruh rumah. Lebih baik mak ayah tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas diaper:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (Duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.
6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai diaper dan mahu membuka sendiri diaper lepas “membuang”.
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk “membuang” seperti lepas bangun tidur atau lepas makan.
* Tanda-tanda diatas juga boleh digunapakai untuk anak bekeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza.
Jika anak mempunyai tanda diatas, maka ayuhlah kita mengajar anak bebas diaper ya mak ayah jangan tangguh-tangguh lagi
PERSEDIAAN MAK AYAH
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas diaper. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang bogelkan sahaja diluar, kalau nak “membuang” WAJIB bagitahu kalau tidak tunggulah “hadiah”nya. Hasilnya, sehari dua dah pandai.
Dibawah ini adalah teknik yang selalu digunakan oleh Terapis Carakerja untuk anak bekeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal. Sebelum melatih anak bebas diaper, mak ayah perlulah:
Semua di atas ini boleh mula dilakukan untuk anak berumur setahun keatas untuk persediaan bebas diaper.
AYUH, MULAKAN SEKARANG
Jika mak ayah dah ada “bahan-bahan” untuk melatih anak seperti jadual masa, potty dan seluar dalam anak maka boleh mulakan dengan ikut 3 tahap yang saya rumuskan ini:
Tahap pertama (Masih memakai diaper)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus lepas bangun tidur, lepas makan dan sebelum tidur. Nak lagi bagus, bawa setiap 2 jam. Sebab lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya “membuang” di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas “membuang” di dalam diaper, tunjuk diaper basah pada dia dan kata “abang tak boleh buang dalam ini”.
5. Disarankan mak ayah fokus latih berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (Pakai waktu tidur sahaja)
1. Mak ayah boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan diaper.
2. Pakaikan diaper waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak diaper basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur sampai jadi rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas diaper)
1. Boleh mula kurangkan memakai diaper di waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau “hancing”.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah.
Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana nak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar dah pandai, ada yang seminggu dah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Sebab ia perlu berterusan baru cepat nampak kesan. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Dalam melatih anak bebas diaper, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar ya. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi mak ayah kena bukakan seluar dan jirus setiap kali anak nak “membuang”.
Ada ibu yang bertanya bagaimana dan bilakah kita patut tangan-tangankan anak seperti yang disarankan pepatah? Dan bilakah kita patut mula mendisiplinkan anak?
“Proses disiplin bermula dari peringkat bayi oleh itu kita perlu ‘tangan-tangankan’ anak dari bayi lagi.”
Ini jawapan dari Perunding Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar buat ibu bapa dalam memberi didikan terbaik untuk anak.
Jawapan yang saya berikan ini sering membuatkan ayah dan ibu terdiam sejenak.
Jika disiplin pada tafsiran anda adalah menggunakan kekerasan dan hukuman semata-mata, maka anda silap.
Disiplin bermula dengan membina RASA PERCAYA (trust) dalam diri anak.
Rasa percaya tersebut dibina dengan menggunakan tangan tangan ibubapa.
Ayah dan ibu perlu mengangkat bayi, mendukung bayi, membelai bayi, menenangkan bayi, menyusukan bayi, memandikan bayi, mendodoi bayi, dan bermain dengan bayi.
Bukankah semua ini menggunakan tangan?
Inilah tafsiran ‘tangan-tangankan’ yang perlu diamalkan ketika usia awal.
Seorang anak yang percayakan ayah dan ibu yang menguruskannya dan memberi perhatian kepadanya dari lahir, akan percaya apabila ayah atau ibu berkata
“Adik tak boleh ke situ, bahaya” ataupun “Adik cuma boleh guna fon Ibu selama 10 minit.”
Mereka akan patuh kerana mereka percaya.
BAGAIMANA KAEDAH MENDISIPLINKAN BAYI?
Setiap bayi dilahirkan dengan Attachment Promoting Behaviour (APB) atau Tingkahlaku yang menggalakkan perapatan antara bayi dan ibunya.
InI merupakan fitrah seorang bayi.
APB merupakan bahasa yang paling awal digunakan oleh bayi untuk berkomukasi dan menyampaikan keperluannya sebelum dia mula bertutur.
APB yang utama adalah tangisan bayi.
ASAS DISIPLIN YANG PALING PENTING adalah memberi respon kepada tangisan bayi. Apabila bayi menangis, angkatlah dia dan tenangkanlah dia. Dia cuba berkomunikasi dengan anda. Dia juga cuba membina perapatan atau ‘attachment’ dengan anda melalui APB.
Pesan juga kepada pengasuh bayi supaya tidak membiarkan bayi menangis terlalu lama tanpa dilayan. Bayi bukannya manipulatif atau cuba menyusahkan orang dewasa tetapi bayi cuba berkomunikasi dan mewujudkan rasa percaya kepada orang dewasa yang terdekat dengannya.
Dari sinilah asas kepercayaan terbentuk.
Jika kita memberi respon kepada ketidakselesaan yang bayi alami, bayi akan membina rasa percaya kepada kita. Dia percaya yang kita akan berada di sisinya apabila diperlukan. Dia percaya kita akan pastikan keselamatan dirinya. Suatu hari nanti dia percaya bahawa nasihat dan tegahan kita adalah untuk kebaikannya.
Jika kepercayaan yang asas ini tidak terbina ketika bayi, dia membesar tanpa rasa selamat dan tanpa peduli dengan arahan dan tegahan terhadapnya.
Amalan ini juga melahirkan anak-anak yang peduli akan emosi dan kesusahan yang dialami oleh orang lain kerana mereka biasa dipedulikan oleh ayah, ibu dan penjaga ketika usia bayi.
Aneh bukan, bagaimana menggendong bayi dapat membentuk disiplin anak?
Bukankah gendong cuma trend semasa?
Kajian* menunjukkan bahawa bayi yang digendong menjadi lebih tenang dan kurang meragam. Pergerakan (motion) menenangkan bayi. Merasai degupan jantung ibu atau ayah juga menenangkan bayi.
Rasa tenang dan selamat adalah juga ASAS DISIPLIN YANG PENTING. Anak yang tenang menjadi kurang impulsif dan kurang memberontak dengan kemarahan.
Dengan menggendong, bayi ikut ke mana ibu atau ayah pergi, bayi melihat apa yang dilihat ayah ibu dan bayi mendengar apa yang didengari dan diperkatakan oleh ayah dan ibu dengan jelas.
Ini membuatkan bayi merasakan dirinya penting dan menjadi sebahagian dari dunia ayah dan ibu.
Gendong juga membuatkan ibubapa lebih sensitif kepada keperluan bayi kerana bayi sentiasa dekat dengan ibubapa.
Ayah dan ibu yang ‘connected’ dengan anak akan menjadikan anak lebih sensitif terhadap harapan dan keperluan ibubapa apabila anak semakin meningkat usia.
Anak akan faham jelingan ayah bermaksud tegahan. Dia akan faham ibu mempunyai harapan agar dia berkelakuan baik. Dia akan tahu tingkah laku manakah yang patut dielakkan kerana akan membuatkan ayah dan ibu sedih dan kecewa.
Apa pula kaitan bermain dan disiplin?
Bukankah apabila kanak-kanak bermain mereka akan bergerak lasak ke sana ke mari dan sepahkan rumah? Bukankah jika bermain mereka susah hendak berhenti untuk melakukan rutin yang lain?
Bermain membuatkan ibubapa lebih memahami keupayaan dan kekurangan seorang anak. Ibubapa akan lebih memahami tingkah laku dan emosi pada setiap perkembangan anak melalui bermain.
Apakah yang membuatkan anak gembira?
Apakah yang menyebabkan anak sedih dan kecewa?
Apakah yang membuatkan anak patuh?
Apakah yang membuatkan anak berkecenderungan untuk melawan?
Mengenali anak anda akan membuatkan anda tahu kaedah disiplin manakah yang lebih berkesan ke atasnya dan kaedah disiplin manakah yang tidak diendahkannya.
Adakalanya anak tidak berdisiplin kerana ibubapa menggunakan kaedah yang tidak sesuai dengan pembawaan dan perkembangan mereka.
Bermain juga membuka peluang kepada perkakasan atau ‘tool’ disiplin yang sangat penting iaitu humor.
Gelak ketawa, senyuman dan keletah anak akan:
1) mengenepikan konflik atau stress
2) membina tumpuan anak
3) membuatkan anak terbuka menerima suruhan dan tegahan.
Jika anak sudah biasa mengikut peraturan permainan, dia juga mudah mengikut arahan yang diberikan oleh ibubapa dan patuh kepada ‘authority’.
Praktikkanlah ketiga-tiga kaedah ‘tangan-tangankan’ anak ketika bayi untuk membina asas disiplin. Tanpa RASA PERCAYA dan tanpa PERAPATAN, anak-anak tidak akan peduli dengan arahan ataupun peraturan yang kita tetapkan. Anak juga tidak sensitif terhadap keperluan dan harapan ibubapa.
Apabila usia anak semakin meningkat, dan dia mula memahami konsep ‘kesan dan akibat’, langkah seterusnya bagi ibubapa adalah untuk menetapkan batasan (boundary) ataupun peraturan. Fungsi peraturan bukannya untuk mengongkong sebaliknya ia melatih anak supaya menjadi insan yang berdisiplin, beradab dan berakhlak.
Semakin anak membesar, semakin panjang akalnya dan semakin susah nak dengar cakap kita. Di sebalik rasa seronok dan bangga tengok anak yang semakin bijak, terselit juga rasa risau dan bimbang bila si kecil semakin pandai melawan atau tak dengar cakap ibu ayah. Mereka tak faham limit terhadap sesuatu perkara. Kenapa ya?
Macam mana cara betul nak didik mereka ni?
Perasan tak tuan puan ada anak-anak terutamanya usia antara 3-5 tahun akan sering “test” kesabaran ibu bapanya?
Ramai ibu bapa mengadu pada saya yang mereka tidak dapat mengajar anak mereka di rumah.
“Anak saya tak mahu dengar cakap saya. Tapi, dengan cikgu dia nak dengar.”
“Apa yang saya cakap tak boleh, yang tu lah yang anak saya nak buat. Geram saya dibuatnya”.
Ada juga ibu bapa yang “dikawal” oleh anak-anak (dan anak itu baru berusia 4 tahun). Ibu ayah terpaksa ikutkan apa yang anak mahukan.
Ibu terpaksa juga ke Mc Donalds. Jika tidak, anak tantrum dalam kereta.
Ayah terpaksa juga beli aiskrim. Jika tidak, anak mengamuk terlentang di tengah shopping complex.
Anak tidak mahu buat aktiviti yang diberikan di rumah. Hanya mahu menghadap gadget sahaja. Jika tidak bagi, anak mengamuk tak tentu hala.
Tuan puan.
Kasihanilah anak tuan puan yang tak tahu cara mengawal emosinya.
Kasihanilah anak tuan puan yang tidak pandai melimitkan boundary nya.
Kasihanilah anak tuan puan yang sukar menerima sebarang arahan dan sukar diberi tunjuk ajar.
Mengajar anak-anak “boundary”, apa yang boleh, apa yang tidak boleh adalah amat penting untuk keselamatan, kesihatan dan perkembangannya.
Anak-anak perlu tahu limit apa yang boleh mereka lakukan. Anak-anak perlu tahu sekarang bukan waktu bermain gadget. Jadi, dia perlu berhenti. Anak-anak perlu tahu sekarang waktu tidur. Jadi, dia perlu bersedia untuk tidur. Anak-anak perlu tahu sekarang waktu di sekolah. Jadi, dia perlu mendengar arahan guru. Anak-anak perlu tahu tak semua benda ibu ayah boleh belikan sekarang. Jadi, dia perlu sabar.
Tahukah anda? Anak-anak yang datang berjumpa saya yang punya kesukaran belajar, ramai yang punya masalah dengan pemahaman boundary juga?
Bagi saya, adalah amat penting untuk ibu bapa tahu dan fasih tentang meletakkan boundary pada anak-anak.
Saya berikan sedikit tips untuk tuan puan aplikasikan di rumah:
1. PASTIKAN BOUNDARY IBU DAN AYAH SAMA
Jika ibu kata “aiskrim lepas makan”. Ayah perlu setuju benda yang sama. Jika duduk dengan nenek, pastikan nenek juga setuju perkara yang sama. Kalau “cengelat” (ada yang tiba-tiba membenarkan yang dilarang), akan membuatkan anak-anak keliru akan boundary yang diberikan.
2. PASTIKAN BOUNDARY YANG ANDA BERIKAN KONSISTEN
Jika hari ini anda kata “waktu makan, tv tutup”. Pastikan boundary anda itu konsisten setiap hari.
3. PASTIKAN BOUNDARY ANDA JELAS DAN BERBUNYI ARAHAN, BUKAN LARANGAN
Biasakan beri arahan untuk menetapkan boundary. Elakkan berkata “jangan ambil handphone mama!” Tapi, berikan arahan jelas “letak semula handphone mama atas meja”. Anak lebih mudah memahami boundary jika kita berikan maklumat apa yang perlu dilakukannya berbanding apa yang jangan dilakukannya.
4. ULANG DAN PERTAHANKAN BOUNDARY YANG ANDA BERIKAN
Sentiasa ingatkan, ulang sehingga boundary yang anda berikan difahami jelas oleh anak anda. Bagaimana nak tahu jika anak anda sudah faham boundary nya? Apabila anda kata “kaki bawah meja”. Dan anak anda terus turunkan kakinya dari atas meja ke bawah. Tapi, memang anda perlu ulang dan ingatkan banyak kali. Budak-budak kan namanya….
5. PUJI SETIAP KALI ANAK ANDA MENGIKUT BOUNDARY YANG DIBERIKAN
Saya suka pengukuhan sosial (social reinforcement) berbanding carta bintang dan yang berbentuk material. Percayalah. Anak-anak suka dipuji. Contohnya, anak anda menurut bila anda katakan “aiskrim lepas makan nasi”. Semasa dia sedang makan nasi, berborak tentang betapa bagusnya dia makan nasi, nanti besar jadi anak yang kuat, yang soleh sebab dengar cakap anda. Dan pastikan anda beri apa yang dijanji.
ANDA MUNGKIR JANJI, AKAN MENYEBABKAN ANAK LIHAT BOUNDARY SEBAGAI TIPU HELAH ANDA. Dan anak anda akan mengabaikan boundary yang anda berikan.
Semoga mudah untuk tuan puan aplikasikan tips mudah ini.
Yang penting SABAR SABAR SABAR.
DAN PERCAYALAH… ANAK YANG TAHU BOUNDARY, YANG FAHAM LIMITNYA, YANG TAHU PERATURAN AKAN MENJADI ANAK YANG LEBIH STABIL EMOSINYA, LEBIH MUDAH BELAJAR KEMAHIRAN BARU DAN LEBIH GEMBIRA.