
Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat, mendedahkan dia masih berdepan masalah kesihatan akibat slip disc. Menurut Ayda, sepatutnya dia menjalani rawatan fisioterapi sekurang-kurangnya dua kali seminggu atau sekiranya lebih kerap adalah lebih baik untuk mempercepatkan proses pemulihan. Namun, jadual kerja yang terlalu padat membataskan perkara itu.
“Sekarang ni memang tengah sakit. Saya kena slip disc dan sepatutnya jalani fisioterapi dua kali seminggu, atau lebih kerap pun lagi bagus. Tapi terpaksa tangguh sebab kerja sangat sibuk.”
Disebabkan kekangan masa dan kesakitan yang dialami, Ayda kini bergantung kepada ubat tahan sakit bagi mengurangkan rasa tidak selesa.
“Sekarang ini saya bergantung pada pain killer. Bila sakit sangat, saya makan ubat.”
Dalam masa sama, Ayda turut mengurangkan aktiviti fizikal berat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Dia juga mengambil peluang untuk berehat bila ada masa terluang.
“Saya kurangkan aktiviti. Kalau ada masa, saya akan rehat dan cuba elakkan daripada buat kerja yang boleh bebankan tulang belakang.”
Ayda turut meluahkan rasa syukur kerana pihak produksi memahami keadaan kesihatannya dan sentiasa memberi ruang untuk menyesuaikan jadual penggambaran mengikut kemampuan.
“Alhamdulillah, pihak produksi faham keadaan saya dan banyak beri kerjasama.”
Meskipun berdepan dengan cabaran kesihatan, Ayda tetap komited menjalankan tugasan seni dan kerjayanya dengan penuh dedikasi. Semangatnya wajar dijadikan inspirasi buat mereka yang turut mengalami masalah kesihatan tetapi enggan menyerah kalah.