Ruang Terapi Sensori Percuma Bantu Perkembangan Anak Istimewa, Legakan Beban Ibu Bapa

Share

Setiap ibu bapa yang memiliki anak istimewa pasti mengimpikan kemudahan terbaik demi membantu merangsang perkembangan anak mereka agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera dan bermakna.

Lebih-lebih lagi, kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai keperluan unik yang perlu diberi perhatian khusus. Mereka bukan sahaja memerlukan kasih sayang dan sokongan emosi, malah ruang yang selamat dan sesuai untuk membantu meningkatkan kemahiran kognitif, keyakinan diri serta keupayaan berinteraksi dengan persekitaran.

Menurut laporan Harian Metro, antara keperluan penting anak istimewa ialah ruang khas yang dapat merangsang deria secara terkawal. Justeru, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald dilihat mampu membantu mereka mempelajari cara mengawal emosi, melatih kemahiran motor halus dan kasar, meningkatkan fokus serta membina kemahiran sosial melalui aktiviti yang menyeronokkan dan selamat.

SUASANA Bilik Terapi Sensori Ronald Mcdonald di Tampin, Negeri Sembilan. – Gambar NSTP/RAIHANA MANSOR

Permintaan Tinggi, Keperluan Semakin Mendesak

Walaupun Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) telah menyediakan kemudahan terapi sensori di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada kanak-kanak berkeperluan khas, keperluan terhadap fasiliti ini dilihat semakin mendesak berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak yang memerlukan sokongan terapi khusus.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, pihaknya melihat keperluan mendesak untuk memperluaskan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, khususnya di kawasan luar bandar yang masih kekurangan kemudahan seumpama ini.

“Kita dapati banyak pusat jagaan anak autisme tidak mempunyai bilik terapi sensori. Jika ada sekalipun, kosnya tinggi dan tidak mampu ditanggung kebanyakan ibu bapa.

“Selain itu, kebanyakan kemudahan seperti ini tertumpu di bandar utama sahaja. Di hospital atau klinik kesihatan kerajaan pula, jumlah pesakit terlalu ramai,” katanya.

Menurut beliau, RMHC Malaysia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan dan menyelenggara pusat terapi sensori, berbekalkan kepakaran organisasi itu sejak ditubuhkan pada tahun 1999.

36 Bilik Terapi Sensori, Manfaat Ribuan Anak Istimewa

Sehingga kini, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald telah diwujudkan di hospital, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta pusat jagaan anak autisme di seluruh negara. Secara keseluruhan, RMHC Malaysia telah membantu menyediakan sebanyak 36 bilik terapi sensori yang memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 kanak-kanak berkeperluan khas setiap tahun.

“Untuk mewujudkan pusat terapi mungkin mudah, tetapi untuk mengekalkannya memerlukan komitmen tinggi dari segi kepakaran, penyelenggaraan serta sokongan berterusan,” jelas beliau.

“Sebab itu kami tampil sebagai pemangkin dan menggalakkan institusi lain, khususnya syarikat korporat dan swasta untuk bersama-sama membantu menyediakan fasiliti ini,” tambahnya lagi.

Beliau turut menegaskan kejayaan RMHC Malaysia dalam membantu komuniti anak istimewa tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu McDonald’s Malaysia, pelanggan setia serta rakan niaga yang sentiasa menyumbang demi meneruskan misi kebajikan tersebut.

Gambar hiasan

Bilik Terapi Sensori Paling Komprehensif di Tampin

Sementara itu, Pakar Terapi Cara Kerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Tampin merupakan satu-satunya kemudahan seumpamanya yang terletak di kawasan restoran McDonald’s.

Menurutnya, bilik terapi itu dianggap paling komprehensif kerana menggabungkan pelbagai elemen terapi yang sesuai untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa daripada pelbagai kategori keperluan khas.

“Sesetengah bilik terapi hanya memberi fokus kepada satu kategori sahaja. Namun di sini, ia dilengkapi pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori dan muzik latar yang menenangkan,” katanya.

“Rangsangan visual yang disediakan juga membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan serta merangsang perkembangan deria mereka secara lebih seimbang,” jelasnya.

“Kami Tak Mampu Terapi Berbayar, Syukur Ia Percuma”

Bagi Nur Azimah Md Rosli, 30, ibu kepada Naurah Sofea Nur Aliff Izzuddin, 6, kemudahan ini amat bermakna buat keluarganya. Anaknya disahkan mempunyai Sindrom Down dan pernah diuji dengan penyakit tuberkulosis meningitis ketika berusia empat tahun.

“Sebelum ini kami sempat menghantarnya ke PPDK, tetapi kaedah terapi di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ini sangat berbeza. Saya dapat lihat perubahan dan perkembangan anak saya dengan lebih ketara,” katanya.

Sebagai suri rumah manakala suaminya bekerja di Majlis Daerah Tampin, Nur Azimah mengakui mereka tidak mampu menanggung kos terapi berbayar yang biasanya memerlukan perbelanjaan tinggi setiap bulan.

“Alhamdulillah, di sini semuanya percuma. Kami sangat bersyukur kerana kemudahan seperti ini ada di kawasan luar bandar. Ia dekat, percuma dan sangat membantu kami sekeluarga,” katanya dengan nada terharu.

Kewujudan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald jelas memberi sinar harapan kepada ribuan keluarga yang mempunyai anak istimewa, sekali gus membuktikan bahawa akses kepada terapi berkualiti tidak seharusnya menjadi satu beban, tetapi satu hak untuk semua.

BACA LAGI : Nak Elak Anak Menulis Terbalik, Kena Banyakkan Latihan Sensori & Permainan Latih Memori. Terapis Kongsi 4 Puncanya

Published by
Nana