Kelahiran cahaya mata pertama selalunya menjadi detik paling membahagiakan buat pasangan suami isteri. Tapi bagi pelawak dan penyampai radio Suria FM, Chiwan atau nama sebenarnya Mohd Azwan Sabri, 39, kenangan selepas kelahiran anak sulungnya sangat mencabar dan sukar dilupakan.
Baru sahaja enam bulan bergelar bapa, Chiwan berkongsi bahawa isterinya, Amira Ayuni Hashim, pernah melalui pengalaman gangguan emosi ketika berpantang yang ramai kenal sebagai meroyan.
“Dia Dengar Bisikan Aneh Dua Minggu Lepas Bersalin…”
Chiwan mendedahkan, sekitar dua minggu selepas melahirkan bayi perempuan mereka, Canteq Kesuma, Amira mula menunjukkan perubahan emosi yang sangat ketara.
“Dia cakap ada bisikan… bisikan tu suruh campak anak. Masa tu dia nampak serabut dan ketakutan. Memang dia tak buat, tapi dia risau kalau satu hari dia tak boleh kawal diri,” cerita Chiwan dengan nada serius.
Sebagai suami, pada mulanya Chiwan sukar untuk percaya sepenuhnya, tapi naluri sebagai bapa dan pasangan membuatkan dia terus mengambil berat dan tak memandang remeh.
“Saya ni jenis susah nak percaya benda-benda macam ni. Tapi saya tak abaikan. Kalau benda tu betul-betul jadi, saya juga yang salah.”
Ads
“Apa-apa berlaku, telefon saya…”
Chiwan mengambil pendekatan paling wajar – sentiasa ada di sisi, dan memberi ruang untuk isterinya meluahkan segala yang terbuku di hati.
“Saya pesan pada dia, jangan ikut sangat bisikan tu. Saya kata Allah ada, saya pun ada. Apa saja yang dia rasa, boleh cerita. Semua boleh bincang.”
Walaupun perlu keluar bekerja, Chiwan tetap risau memandangkan Amira dan bayi tinggal berdua di rumah, tanpa ahli keluarga lain bersama.
“Kami tak ada adik-beradik dekat. Mak ayah dia pula di Klang. Jadi memang risau kalau tinggal dia seorang.”
Ads
Nasib menyebelahi mereka apabila Amira dijaga oleh seorang kakak confinement lady (CL) sepanjang tempoh berpantang. Menurut Chiwan, dialah satu-satunya individu yang dia benar-benar harapkan untuk pantau dan bantu isterinya waktu itu.
Jangan Pandang Ringan Masalah Emosi Ibu Berpantang
Kata Chiwan, walaupun keadaan ketika itu menakutkan, gangguan yang dialami isterinya tidak sampai ke tahap terlalu serius, dan mereka bersyukur Amira kini kembali stabil.
Ads
Namun, pengalaman itu membuka mata Chiwan tentang betapa pentingnya kesihatan mental ibu selepas bersalin.
“Ramai tak tahu, meroyan ni bukan sekadar ibu murung atau marah-marah. Kadang-kadang sampai dengar suara halus, ada yang rasa nak cederakan diri sendiri dan bayi. Tapi semua tu boleh dibantu, kalau cepat bertindak.”
“Isteri saya kuat, dan saya bersyukur sebab saya tak ambil mudah. Harap lebih ramai suami buka mata.”
Meroyan BUKAN Mitos!
😟 Ibu termenung lama-lama? 😢 Tiba-tiba menangis tak tentu arah? 🤯 Mengadu dengar suara pelik atau rasa takut nak dekat dengan anak?
Tolong jangan anggap itu perkara biasa. Itu mungkin tanda Psikosis Postpartum, sejenis gangguan mental selepas bersalin yang sangat serius – tapi boleh dirawat dengan bantuan pakar.
Semoga kisah ini jadi pedoman buat ibu bapa lain di luar sana.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jahitan selepas bersalin sememangnya buat ibu trauma seketika walaupun diberikan ubat bius. Terasa ngilu yang berpanjangan pada kawasan faraj. Inilah yang menakutkan semua ibu. Namun bukan semuanya merasai jahitan ini, ada juga ibu bertuah yang berjaya melahirkan anak tanpa sebarang koyakan. Jahit pun tak!
Perkongsian ibu Farhain Azmi ini memang hebat. Dia sebelum ini melahirkan anak ketiganya yang kini berusia 4 bulan di rumah kerana tidak menyangka telah sampai waktu melahirkan.
Akhirnya suami disebelah menjadi peneman menyambut si comel. Paling hebat bersalin tanpa koyakan dan jahitan. Apa rahsianya? Ini yang dikongsikan olehnya.
TIPS MUDAH BERSALIN TANPA KOYAKAN DAN JAHITAN
Haritu kak yong ada buat post tentang pengalaman sendiri bersalin di rumah. Boleh klik link ini untuk baca.
Ramai yang minta share tips mudah bersalin tanpa ada koyakan dan tak perlu dijahit. Kebelakangan ni memang agak sibuk. Ini curi sikit masa untuk menaip. Amaran! Posting ni agak panjang tapi In shaa Allah semoga bermanfaat.
Pengalaman kak yong sendiri anak pertama bersalin normal dan melalui prosedur episiotomy. Nak kena jahit sikit je tapi ngeri bila terbayang jarumnya. Manakala anak kedua dan ketiga bersalin normal dan alhamdulillah tiada koyakan dan melalui proses jahitan.
Ini antara apa yang kak yong amalkan :
1. SENTIASA AKTIFKAN DIRI
Masa awal trimester mengandung je kakyong ada alahan mengandung. Masa ini balik kerja je tidur dan banyak berehat. Jarang buat kerja rumah. Tapi bila kandungan dah masuk 4-5 bulan camtu, memang kakyong aktifkan diri.
Sentiasa buat kerja rumah termasuk masak dan sempat lagi amik tempahan mooncake. Pergi kerja pula naik motor dan LRT. (Part naik motor tu kalau rasa kandungan lemah, jangan pula ikut ye). Banyak naik turun tangga di rumah dan pejabat, Maklumlah dok kuarters flat.
2. MINUM AIR KELAPA
Kakyong memang suka minum air kelapa. Sepanjang kehamilan, memang selalu minum. Ini terus terang mengaku taktau kebetulan ke apa, tapi kulit anak semua bersih je bila keluar.
3. AMALKAN MINUM MINYAK KELAPA DARA (VC0)
Kakyong guna minyak kelapa jenama D’Aura. Beli yang set. Ada yang kakyong sapu minyak di perut untuk kurangkan stretchmark, makan kapsul pil dan minum minyak kelapa dara tu.
Ramai orang nasihatkan amik masa kandungan 7 bulan ke atas kan? Kakyong bedal je makan kapsul tu dari kandungan 4 bulan. Dah masuk 7 bulan baru minum minyak kelapa dara. Tak salahkan kita ikhtiar?
4. AMALKAN MAKAN MAKANAN SUNNAH
Kurma antara contoh makanan Sunnah. Kurma banyak khasiat seperti membekalkan tenaga.
Nak bersalin tanpa koyak ni tips pentingnya kena ada tenaga yang cukup. Sekali teran je baby dah terus keluar. Selain dari makan kurma, boleh juga minum air rendaman kurma. Contoh malam sebelum tidur, rendam 3 biji kurma dalam segelas air masak. Pagi esok dah boleh minum.
5. URUTAN FARAJ/PERINEUM
Segan nak cerita hal ni. Tapi ini ilmu. Urutan faraj atau urutan perineum adalah urutan di kawasan antara kulit vagina dan dubur. Boleh google teknik urutan ni. Jangan risau untuk buat.
Boleh buat masa mandi. Kalau rasa susah, minta tolong suami. Kakyong buat sendiri la, ishh segan aih nak minta tolong suami. Hehe. Kandungan dah 8-9 bulan, boleh dah buat. Urutan ni mengurangkan risiko vagina terkoyak ketika meneran. Urutan ini baik sebab ia melatih kawasan perineum untuk meregang sebesar mungkin. Jadi, baby senang keluar.
6. AMALKAN MENGAJI DAN BERZIKIR
Antara surah elok untuk ibu mengandung surah Maryam, surah Luqman, surah Yasin, surah Yusuf dan surah Hujarat. Surah Maryam ni memudahkan urusan bersalin.
Lagi bagus kalau kita dapat baca satu al-Quran. Sekurang-kurangnya sehari sehelai muka surat. Mak selalu pesan kat kakyong, sentiasa baca doa nabi Yunus terutama ketika tengah tahan sakit kontraksi.
Doa Nabi Yunus. Surah al-Anbiya ayat 21:87
La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”
7. SENTIASA BERCAKAP DENGAN BAYI
Bayi dari dalam perut dia dah kenal suara ibunya. Jadi rajinkan bersembang dengan bayi. “Adik, umi tak sabar nak jumpa adik. Adik mesti comel dan sihatkan? Adik keluar baik-baik ye nanti.”
Sembang je apa-apa pun dengan anak dalam perut tu. Positifkan diri. Fikir kita nak lalui satu proses bersalin yang indah. Tak semua orang dapat melaluinya.
8. GUNAKAN TEKNIK MENERAN DENGAN BETUL • Berbaringlah dengan lutut berlipat dan kedua kaki dibuka. • Angkat kepala, dagu cecah dada. • Mata pandang perut (tidak digalakkan tutup mata) • Tangan pegang buku lali kaki • Masa teran jangan keluarkan suara. • Masa teran jangan angkat punggung. • Baca bismillah atau apa-apa doa yang terlintas difikiran. • Tarik nafas dalam-dalam, tutup mulut dan teran (bayangkan kita nak beri oksigen pada baby) (-sumber: google)
Ramai ibu mengandung terutama yang mengandung kali pertama risau, takut dan keliru dan cara meneran yang betul. Sebenarnya ini tips paling penting, silap cara teran keberangkalian akan berlaku koyakan.
Masa kakyong bersalin dalam bilik di rumah, walaupun dalam keadaan panik kak yong tetap ingatkan diri. Jangan sesekali angkat punggung dan kangkang seluas yang boleh sambil tangan pegang hujung buku lali kaki.
Bila dah sampai rasa baby nak keluar sangat-sangat ini, terus tarik nafas yang panjang dalam-dalam , rapatkan dagu dan pandang perut. Jangan menjerit, sebab bila banyak keluar suara tenaga kita akan makin berkurang. Kita jadi makin penat. Kawal pernafasan dan terus teran sekali je sampai bayi dah keluar.
Paling bagus jika anda dan pasangan menghadiri kelas antenatal. Sekarang ni dah banyak hospital kerajaan dan badan swasta yang anjurkan kelas sebegini. Ini sebagai persiapan awal untuk menyambut bayi. Kak yong dan suami pernah hadiri kelas antenatal di Hospital Kuala Lumpur semasa mengandung anak pertama.
Tips ni semua atas pengalaman dan amalan kak yong sendiri. Sebab tu ada tips yang orang lain guna, kak yong tak guna pun. Contoh makan telur ayam kampong mentah dan minum air selusuh. Tak lalu nak makan telur mentah-mentah. Air selusuh tu minum masa bersalin anak pertama je. Anak kedua dan ketiga tak minum pun, tapi yang ni la paling cepat bersalin berbanding anak pertama.
Takda isu saiz baby untuk bersalin normal dan tanpa koyakan. Anak kedua kakyong, Firas lahir 3.32kg. Zuhayra pula lahir 2.88kg.
Bersalin tanpa koyakan ni memudahkan kita bergerak (tetap kena jaga pergerakan), nak jaga senang, nak makan pun takda la kena pantang sangat . Pantang tetap kena pantang. Satgi hampa hentam kakyong pula. (ada orang katanya awal bersalin, tak elok makan ayam. Kakyong makan je sup ayam/ayam bakar). Alhamdulillah takda gatal.
Nak membuang pun senang. Ingat lagi bersalin anak ketiga, Zuhayra (Ala budak keluar dalam rumah tu) lepas bersalin terus turun tangga nak ke hospital untuk keluarkan uri pula. Sampai di katil, terus bagitau nurse nak terkencing. Pastu selamba bangun pi tandas, sampai nurse kena marah dengan kawannya sebab biar kak yong ke tandas. Risau agaknya kakyong pitam. Dah nak terkencing takkan nak kencing atas katil, tak selesalah.
Tak salah berikhtiar selagi tak memudaratkan diri. Lain orang lain caranya. Kak yong doakan ibu-ibu semua dipermudahkan urusan bersalin dan dapat merasai nikmat bersalin tanpa koyakan.
Jangan bersedih andai kata kalian melalui pengalaman bersalin normal dengan jahitan ataupun ceaser. Kalian tetap ibu hebat 🙂
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Adakalanya sesetengah tabiat buruk yang anda lakukan boleh menjadi punca gigi rosak tanpa anda sedari? Eh, takkanlah! Betul…jom ketahui 8 amalan yang sering anda buat.
Memberus gigi adalah antara cara untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut. Namun, tanpa kita sedari, terdapat beberapa tabiat buruk yang sering kita lakukan boleh menjadi punca gigi kita rosak.
Berikut adalah senarai tabiat buruk sering dibuat yang menjadi punca gigi rosak;
Mengunyah ais
Anda mungkin menganggap ais tidak berbahaya kepada gigi memandangkan ia adalah semula jadi dan bebas gula. Tetapi ais yang keras dan beku boleh membuatkan gigi anda retak, sekali gus menjadi punca gigi rosak.
Mengunyah ais boleh menyebabkan iritasi pada tisu lembut di dalam gigi dan ia boleh mengakibatkan anda merasa sakit gigi. Makan makanan yang panas atau sejuk boleh mencetuskan rasa sakit dan mencucuk pada gigi.
Jika anda berkeinginan untuk mengunyah ais, apa kata sebaliknya pilih untuk mengunyah gula-gula getah tanpa gula?
Gula-gula jeli
Gula-gula sememangnya tidak baik untuk kesihatan mulut. Tetapi gula-gula jeli jenis masam mengandungi lebih banyak asid yang tidak baik untuk gigi anda.
Malahan gula-gula jeli yang kenyal secara umumnya akan melekat pada gigi anda untuk masa yang lebih lama dan menjadikannya berpotensi menyebabkan kerosakan.
Jika anda menginginkan sesuatu yang manis, anda boleh mengambil coklat. Dan selepas makan, jangan lupa membersihkan mulut, ia dapat mengurangkan risiko terdedah kepada punca gigi rosak.
Minuman karbonat
Pastinya anda sudah sedia maklum bahawa air karbonat tidak mendatangkan sebarang kebaikan walaupun ia mempunyai perkataan ‘diet’. Soda karbonat menyebabkan plak menghasilkan banyak asid untuk melawan enamel gigi.
Oleh kerana itu, jika anda menghirup air karbonat sepanjang hari, ini bermakna anda menyaluti gigi anda dengan asid. Air karbonat yang berwarna gelap boleh mengotorkan gigi anda.
Tetapi jangan terus memberus gigi selepas minum air karbonat, kerana ia akan mempercepatkan kerosakan pada gigi anda.
Botol susu
Menyusukan anak anda dengan botol susu tidak salah, tetapi membiarkan anak anda tertidur dan botol susu masih meletak di mulut adalah salah.
Ia akan menyebabkan gula berada dalam mulut anak anda semalaman. Perbuatan ini boleh menyebabkan gigi anak anda rosak. Cuba elakkan perkara ini dari berlaku untuk mencegah sebarang kerosakan gigi pada anak anda.
Bertindik
Menindik lidah atau bibir dan memakai subang logam boleh menyebabkan gigi anda pecah atau retak. Apabila logam berlaga dengan gusi, ia boleh menyebabkan kerosakan pada gusi yang turut boleh menyebabkan anda kehilangan gigi.
Tindikan yang dibuat juga boleh menimbulkan risiko jangkitan dan luka. Menindik lidah juga berpotensi menyebabkan risiko pendarahan yang teruk jika tertindik pada saluran darah besar. Adalah lebih baik untuk anda mendapatkan nasihat dan pandangan doktor terlebih dahulu.
Buah-buahan sitrus
Oren, limau gedang (grapefruit), dan lemon adalah buah-buahan yang lazat dan berjus serta tinggi kandungan vitamin C. Ia adalah buah-buahan yang baik untuk kesihatan.
Namun pastikan anda tidak mengambilnya dalam kuantiti yang berlebihan, walaupun dengan memerahnya ke dalam air minuman kerana kandungan asid yang tinggi boleh menyingkirkan enamel dan menjadikan ia antara punca gigi rosak untuk berlaku.
Tambahan lagi, asid yang terkandung dalam buah-buahan sitrus boleh menganggu luka di mulut. Jika anda ingin mendapatkan kandungan antioksidan dan vitamin dari buahan seperti ini, ambilnya dalam jumlah yang terkawal dan bilas mulut anda dengan air selepas itu.
Mengetap gigi
Merupakan satu tabiat buruk yang sukar dikawal kerana sering berlaku ketika tidur atau ada masanya ia dilakukan kerana tekanan perasaan. Memakai pelindung mulut (mouth guard) boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan gigi ketika tidur.
Merokok
Rokok dan pelbagai produk lain yang berasaskan tembakau, boleh mengotorkan gigi dan menyebabkan jangkitan pada gusi. Tembakau juga merupakan faktor penyebab kanser mulut, bibir dan lidah.
Kredit: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu yang menyusukan pastinya lebih letih dan merasa lapar ketika berpuasa. Anda tidak perlu meninggalkan ibadah berpuasa asalkan ada pengetahuan bagaimana untuk mengekalkan tenaga berpanjangan. Paling penting, usah lupa bersahur dan ambil makanan berkhasiat.
Berikut Pa&Ma kongsikan 25 tip untuk berpuasa walaupun anda aktif menyusukan anak. Tip-tip berguna ini dikongsikan oleh Kaunselor penyusuan, Juzaila Abd Satar.
Kaunselor Penyusuan, Juzaila Abd Satar.
Sentiasa positif dan berdoa serta yakin Allah SWT akan membantu memudahkan proses penyusuan ibu dan anak.
Minum air yang cukup ketika berbuka puasa, sebelum tidur, antara waktu tidur dan semasa bersahur.
Lewatkan waktu bersahur. Banyakkan pengambilan air masak dan makanan pemberi tenaga seperti susu dan kurma sebelum makan berat.
Kekalkan kekerapan memerah jika bekerja. Jangan risau jika susu sedikit kurang, teruskan mengepam dan menyusukan. Jika permintaan tinggi, penghasilan susu juga akan bertambah.
Tingkatkan kekerapan menyusu terus ke payudara ketika bersama
Seimbangkan pengambilan karbohidrat kompleks. Anda boleh ambil lebih sedikit kuantiti karbohidrat jika berpuasa dan menyusukan.
Ambil makanan tinggi protein seperti daging tanpa lemak, ikan, ayam, dan telur yang dimasak dengan baik.
Berbuka dengan air kelapa tanpa gula. Air kelapa bukan sahaja baik untuk melegakan rasa dahaga tetapi ia boleh membantu mengatasi masalah dehidrasi ketika berpuasa.
Elak makanan tinggi garam kerana ia akan menyebabkan kehausan.
Lebihkan sayuran ketika berbuka puasa dan bersahur. Anda boleh makan salad dan tambahkan telur rebus serta mayones untuk hidangan pantas tetapi cukup nutrisi untuk bekalan tenaga ketika berpuasa.
Ambil makanan berasaskan sup. Paling baik, anda buatlah sup sayur. Jika menyusukan, makanlah sup lobak putih untuk membekalkan tenaga dan menggalakkan penghasilan susu badan.
Kurangkan pengambilan gula dan lemak secara berlebihan kerana ia akan mengakibatkan kurang air dalam badan serta membuat badan menjadi mudah letih.
Ambil buah-buahan tinggi air seperti tembikai atau buah yang kaya dengan kalori seperti pisang.
Elak terdedah pada cuaca diluar yang panas dalam tempoh yang lama untuk mengelakkan dehidrasi.
Hentikan pengambilan makanan segera.
Elakkan makanan yang bergoreng dan tinggi kandungan rempah di dalamnya.
Kurangkan pengambilan kafein seperti teh dan kopi yang akan menyebabkan ibu asyik membuang air kecil. Tanpa pengambilan air masak yang secukupnya, ibu menyusu boleh mengalami dehidrasi dan mengganggu penghasilan susu.
Tidur awal supaya tidak letih dan mengganggu emosi.
Jadikan kurma dan kekacang sebagai kudapan pada waktu malam.
Sentiasa positif dan kekalkan emosi ceria.
Ambil jus buah-buahan sebenar tanpa gula supaya tidak mengganggu khasiatnya.
Tangguhkan dahulu kerja-kerja berat yang memerlukan tenaga yang banyak.
Berehat atau tidur sebentar pada waktu tengahari.
Sediakan stok susu secukupnya jika perlu dibekalkan kepada anak. Jika jumlah susu kelihatan berkurangan dan memberi kesan kepada anda dan bayi, berehatlah dari berpuasa untuk satu atau dua hari.
Jangan paksa diri dan kenali tanda-tanda dehidrasi. Jika ada, banyakkan pengambilan air masak serta buah-buahan yang tinggi kandungan air.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.