
Botol air anak yang kerap hilang di sekolah memang boleh membuatkan ibu bapa berasa geram. Ada anak yang setiap bulan kehilangan botol air. Ada yang lebih “power”, seminggu pakai botol baru, minggu depan dah entah ke mana perginya.
Mula-mula memang boleh gelak. Tetapi bila kerap sangat berlaku, mak ayah mula rasa geram. Sudahlah harga botol sekarang bukan murah, belum masuk lagi yang ada karakter kartun kegemaran anak atau botol jenama terkenal yang harganya boleh mencecah puluhan ringgit.
Namun di sebalik isu ini, ada satu perkara yang lebih penting untuk diberi perhatian iaitu memastikan anak minum air secukupnya sepanjang berada di sekolah.

Kenapa Botol Air Anak Selalu Hilang?
Sebenarnya kebanyakan kes bukanlah kerana dicuri. Kanak-kanak memang sedang belajar menguruskan barang peribadi mereka.
Ada yang tertinggal di kantin selepas rehat. Ada yang terlupa di padang selepas pendidikan jasmani. Tidak kurang juga yang meletakkan botol di perpustakaan atau bilik khas dan terus terlupa mengambilnya semula.
Lebih mencabar apabila kebanyakan botol air murid kelihatan hampir sama. Warna sama, bentuk sama, malah ada yang menggunakan watak kartun yang sama. Akhirnya berlaku situasi tertukar botol secara tidak sengaja.
Bagi murid sekolah rendah terutama Tahun 1 hingga Tahun 3, perkara seperti ini sebenarnya normal kerana mereka masih dalam proses belajar bertanggungjawab terhadap barang sendiri.
Dalam banyak keadaan, kehilangan barang bukan berpunca daripada sikap cuai semata-mata. Kanak-kanak masih membina kemahiran mengurus masa, mengingati rutin harian dan menyusun keutamaan mereka sendiri. Sebab itulah ibu bapa perlu melihat situasi ini sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang berlaku secara berperingkat.
Fokus Utama Bukan Botol, Tetapi Pengambilan Air
Ramai ibu bapa terlalu risau apabila botol hilang sehingga terlupa perkara yang lebih utama.
Hakikatnya, botol hanyalah bekas. Yang paling penting ialah anak mendapat air yang mencukupi setiap hari.
Apabila anak kurang minum air, mereka lebih mudah mengalami keletihan, sukar memberi tumpuan ketika belajar, cepat mengantuk dan boleh mengalami dehidrasi terutama ketika cuaca panas atau selepas aktiviti fizikal.
Air yang mencukupi membantu badan berfungsi dengan baik, menyokong tahap tenaga yang stabil dan membantu proses pembelajaran di dalam kelas. Murid yang kekal terhidrat biasanya lebih selesa mengikuti aktiviti sekolah berbanding murid yang kurang minum.
Sebab itu walaupun bekas minuman sering hilang, jangan sesekali menghentikan rutin membawa air ke sekolah.

Apa Yang Mak Ayah Boleh Buat?
1. Pilih Botol Yang Praktikal, Bukan Semestinya Mahal
Tidak salah membeli botol yang cantik, tetapi jika anak memang mempunyai rekod menghilangkan barang setiap bulan, pilihlah botol yang berkualiti dan tahan lasak pada harga yang berpatutan.
Sekurang-kurangnya jika hilang, ia tidak terlalu membebankan poket ibu bapa.
2. Letakkan Nama Dengan Jelas Pada Botol Air Anak
Gunakan pelekat kalis air yang mengandungi nama dan kelas anak.
Lebih mudah untuk guru atau murid lain mengenal pasti pemilik jika botol tersebut ditemui. Maklumat yang jelas juga meningkatkan peluang barang yang tertinggal dikembalikan kepada pemilik asal.
3. Pilih Warna Yang Mudah Dikenali
Elakkan memilih botol yang terlalu biasa digunakan ramai murid.
Warna terang atau corak unik boleh membantu anak mengenali botol mereka dengan lebih cepat dan mengurangkan risiko tertukar.
4. Ajar Anak Buat Checklist Sebelum Pulang
Biasakan anak membuat pemeriksaan ringkas sebelum meninggalkan kelas.
✔️ Beg sekolah
✔️ Bekas makanan
✔️ Botol air
Rutin mudah ini boleh membantu membentuk sikap lebih bertanggungjawab terhadap barang sendiri. Lama-kelamaan, amalan ini boleh menjadi tabiat yang berguna sehingga ke peringkat sekolah menengah.
5. Sediakan Botol Simpanan Di Rumah
Ini mungkin antara tip yang paling menyelamatkan ramai ibu bapa.
Simpan satu atau dua botol tambahan di rumah supaya jika botol hilang, anak masih boleh membawa bekalan air ke sekolah keesokan harinya tanpa perlu tergesa-gesa membeli yang baru.

Botol Boleh Diganti, Kesihatan Anak Jangan Diabaikan
Jika anak pulang dan memberitahu botol airnya hilang lagi, tarik nafas dahulu sebelum marah. Memang menyakitkan hati apabila perkara yang sama berulang kali berlaku. Namun ingatlah bahawa mereka masih belajar menjadi lebih bertanggungjawab.
Apa yang lebih penting ialah memastikan anak terus membawa bekalan air dan membina tabiat minum air yang mencukupi setiap hari. Dengan sokongan, bimbingan dan sedikit kesabaran daripada ibu bapa, anak akan belajar mengurus barang mereka dengan lebih baik dari semasa ke semasa.
Baca lagi: Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!
MyKad Lebih Selamat, 3 IC Lama Ni Wajib Tukar Dahulu!
Sumber: Public Health Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





