
Ramai yang menganggap denggi hanya berbahaya kepada orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar. Namun hakikatnya, bayi yang baru dilahirkan juga boleh terkena jangkitan denggi, malah ada yang mendapat virus itu daripada ibu sendiri.
Bayangkan situasi ini bili seorang ibu yang sedang menunggu hari untuk bersalin dimasukkan ke hospital kerana mengalami demam, sakit badan dan bacaan platelet yang semakin menurun. Setelah menjalani pemeriksaan, beliau disahkan menghidap denggi.
Ketika bayi dilahirkan, semuanya kelihatan normal. Bayi menangis dengan kuat, bernafas dengan baik dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang membimbangkan. Namun beberapa hari kemudian, keadaan mula berubah.
Bayi mula demam, kurang menyusu dan kelihatan semakin lemah. Pemeriksaan darah mendapati bacaan plateletnya turut menurun. Selepas siasatan lanjut dilakukan, doktor mengesahkan bayi tersebut mengalami denggi neonatal, iaitu jangkitan denggi yang berlaku daripada ibu kepada bayi.

Boleh Berlaku Jika Ibu Dijangkiti Denggi Di Penghujung Kehamilan
Walaupun keadaan ini tidak berlaku dalam semua kes, risiko tetap ada terutama apabila ibu dijangkiti denggi pada minggu-minggu terakhir kehamilan atau hampir waktu bersalin.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), risiko penularan virus daripada ibu kepada bayi perlu diberi perhatian jika ibu mengalami gejala denggi ketika lewat kehamilan atau semasa proses kelahiran. Bayi pula biasanya mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan dalam tempoh 14 hari selepas lahir, kebanyakannya pada minggu pertama kehidupan.
Apa yang membimbangkan, bayi mungkin kelihatan sihat sepenuhnya ketika dilahirkan. Gejala hanya muncul beberapa hari kemudian.
Tanda-Tanda Denggi Neonatal Yang Perlu Diperhatikan
Ibu bapa perlu lebih peka jika bayi yang baru lahir menunjukkan tanda-tanda seperti:
- Demam
- Kurang menyusu
- Kelihatan lemah atau lesu
- Ruam pada kulit
- Bintik-bintik merah pada badan
- Muntah
- Perut kembung
- Pendarahan
- Tangan dan kaki terasa sejuk
- Bayi kurang aktif berbanding biasa
Masalahnya, kebanyakan gejala ini juga hampir sama seperti jangkitan kuman biasa yang sering berlaku pada bayi baru lahir. Sebab itu sejarah kesihatan ibu memainkan peranan yang sangat penting.
Jika ibu pernah disahkan denggi sebelum bersalin, ketika bersalin atau dalam tempoh selepas bersalin, maklumkan perkara tersebut kepada doktor yang merawat bayi.

Kajian Tempatan Turut Menunjukkan Risiko Ini Wujud
Satu kajian kecil yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang melibatkan 22 bayi yang dilahirkan oleh ibu yang disahkan menghidap denggi. Daripada jumlah tersebut, 14 bayi didapati mempunyai keputusan ujian serologi denggi yang positif.
Walaupun angka ini tidak mewakili keseluruhan kes di Malaysia, ia cukup untuk mengingatkan kita bahawa bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami denggi memerlukan pemantauan yang rapi.
Penemuan seperti ini menunjukkan bahawa kemungkinan berlakunya denggi neonatal tidak boleh dipandang ringan. Pemantauan awal selepas kelahiran boleh membantu mengesan perubahan kesihatan bayi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Jangan Pandang Ringan Denggi Pada Bayi
Ada bayi yang mengalami jangkitan ringan dan pulih tanpa komplikasi serius. Namun dalam sesetengah keadaan, denggi boleh menyebabkan penurunan platelet yang ketara, pendarahan, kejutan (shock) dan komplikasi lain yang memerlukan rawatan segera.
Oleh sebab itu, doktor biasanya akan lebih berhati-hati memantau bayi sekiranya ibu mengalami denggi hampir dengan waktu kelahiran.
Dalam kes denggi neonatal, pemerhatian yang teliti amat penting kerana keadaan bayi boleh berubah dengan cepat dalam beberapa hari pertama kehidupan. Pemeriksaan berkala membantu doktor menentukan sama ada rawatan tambahan diperlukan.

Demam Ketika Hamil Bukan Perkara Yang Boleh Diabaikan
Bagi ibu hamil, jangan sesekali menganggap demam sebagai masalah biasa, terutama jika tinggal di kawasan yang mempunyai kes denggi atau terdapat banyak nyamuk Aedes.
Segera dapatkan pemeriksaan jika mengalami gejala seperti:
- Demam berpanjangan
- Sakit kepala
- Sakit sendi dan otot
- Loya atau muntah
- Ruam pada badan
- Tanda-tanda pendarahan
Pengesanan awal bukan sahaja penting untuk kesihatan ibu, malah boleh membantu doktor merancang pemantauan yang lebih baik terhadap bayi selepas kelahiran.
Rawatan awal dan pemantauan rapi boleh mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin dikaitkan dengan denggi neonatal. Semakin cepat jangkitan dikenal pasti, semakin baik peluang untuk bayi menerima rawatan yang sesuai.
Lindungi Dua Nyawa Sekaligus
Apabila seorang ibu disahkan menghidap denggi selepas bersalin, perhatian bukan hanya perlu diberikan kepada ibu semata-mata. Bayi juga perlu dipantau dengan teliti supaya sebarang tanda jangkitan dapat dikesan lebih awal.
Bukan untuk menakutkan atau mencetuskan panik, tetapi kerana rawatan yang cepat boleh mengurangkan risiko komplikasi yang lebih serius.
Hakikatnya, denggi bukan sekadar masalah nyamuk di luar rumah. Bagi wanita hamil, ia boleh melibatkan keselamatan dua nyawa sekali gus.
Baca lagi: Budak 10 Tahun Patah Rahang, Abang Tingkatan 5 Marah Basikal Terkena Kaki
Kamal Adli Prihatin Hulur RM100, Tersentuh Hati Tengok Anak Kira Duit Syiling/
Sumber: Public Health Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





