Buang bayi lelaki, dimasukkan dalam kotak, letak belakang kilang kek. Seorang bayi lelaki telah diletakkan di dalam kotak sebelum ditinggalkan di belakang kilang kek di Kempas, Johor Bahru.
Buang Bayi Lelaki, Dimasukkan Dalam Kotak, Letak Belakang Kilang Kek
Itu nasib malang bayi lelaki baru dilahirkan yang kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai Pembangunan Masyarakat Unit Pembangunan Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, Lily Norliyana Azfar Norli berkata, bayi itu kini berusia empat bulan.
Menurutnya, ketika ditemui di belakang kilang kek Jalan Selasih 8, Kempas, Jalan Kempas Lama, 81200, Skudai, Johor, September lalu, bayi itu masih bertali pusat dan tidak berbaju di dalam sebuah kotak.
Katanya, tiada sebarang dokumen berkaitan bayi atau waris ditemui.
“Mengikut maklumat diperoleh, bayi itu ditemui seorang wanita tempatan berusia 25 tahun.
“Wanita itu terdengar suara tangisan bayi sebelum menemui bayi terbabit. Bayi itu kemudian dibawa pulang ke rumah sebelum laporan polis dibuat,” katanya.
Lily Norliyana berkata, bayi itu kemudian dinamakan sebagai Muhammad Raees Mikhail.
Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di Kulai, Johor di bawah seksyen 19 (2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Impian sepasang suami isteri untuk menyambut cahaya mata sulung hancur berkecai apabila detik kelahiran berakhir dengan tragedi.
Hati mereka luluh tatkala bayi yang dikandung selama sembilan bulan meninggal dunia akibat lemas selepas dilahirkan secara songsang di bilik air rumah sendiri.
Tragedi menyayat hati ini berlaku pada 19 November, sekitar jam 5.40 petang, di kediaman mereka di Puncak Alam.
Menurut pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai, yang berkongsi kisah ini di Instagram, detik cemas bermula apabila ibu tiba-tiba mengalami kontraksi. Suaminya segera berusaha mendapatkan bantuan kecemasan, namun gagal berhubung dengan pihak berkenaan.
Dalam panik, si ibu nekad menuju ke bilik air, merasai tubuh kecil bayinya yang sudah separuh keluar dalam keadaan songsang tanpa sempat mendapat bantuan perubatan di talian 999 namun tidak berjaya disambungkan. Walaupun telah menerima bimbingan dalam talian, takdir telah menetapkan bahawa anak yang dinanti-nanti itu pergi buat selama-lamanya.
“Dalam kesakitan yang semakin memuncak, si isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan sudah hendak bersalin.
“Suami yang tidak berputus asa terus mencuba menghubungi talian kecemasan, dan panggilannya dijawab oleh operator namun talian terputus beberapa saat kemudian. Bimbang akan keadaan isterinya, si suami segera menuju ke bilik air.
“Di situ, dia mendapati isterinya sudah terbaring, dan bayi mereka telah keluar dari bahagian kaki hingga ke paras leher dalam keadaan songsang.
“Si suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, tetapi dia tidak berani menariknya keluar walaupun didesak oleh isteri. Dalam keaadan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha meneran berulang kali sehingga akhirnya kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.
“Tidak lama kemudian, si bapa dapat menghubungi talian kecemasan. Operator perubatan bertindak membimbingnya melakukan bantuan pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) ke atas bayi,” kongsinya.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu yang diletakkan dipangkuan si ibu tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan bahawa bayi itu telah meninggal dunia.
Ibu dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat.
Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi kisah berkenaan di Instagram turut memuat naik situasi pilu pengurusan jenazah jasad wildan syurga yang dinamakan Muhammad Amir Faris.
Jenazah si kecil dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus untuk urusan pengurusan jenazah. Detik paling mengharukan adalah ketika si bapa diberi peluang memandikan dan mengafankan anaknya sendiri, dengan air mata yang tidak henti mengalir.
Sebelum dikebumikan, ciuman terakhir diberikan sebagai tanda perpisahan sementara di dunia. Sementara itu, si ibu menangis dan tidak henti-henti memohon maaf, mungkin dihantui rasa terkilan dan bersalah atas pemergian anak syurga itu yang tidak sepatutnya ditanggungnya.
Difahamkan jenazah si kecil itu disemadikan berhampiran pusana nenek di sebelah ibunya.
“Pengurusan anak tanpa dosa ini dijalankan dalam suasana pilu apabila si bapa diberi peluang memandikan anaknya sendiri.
“Kelihatan berkali-kali si bapa mengalirkan air mata, meratapi kehilangan anak yang dinanti. Alhamdulillah, jasad Muhammad Amir Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur, 20 November.
“Si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara kecil anaknya. Terdengar kata-kata kesal ‘Maafkan mama’ diungkapkan membuatkan kami yang berada di situ tidak dapat menahan sebak. Pemergian anak syurga ini pasti meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi.
“Namun setiap titisan air mata ibu dan ayah adalah bukti cinta yang tidak akan pernah hilang. Percayalah, anak kecil ini kini berada di tempat yang paling aman, dalam jagaan ALLAH SWT,” kongsinya yang turut memaklumkan kos liang lahad dibayar menggunakan dana Wakaf Liang Lahad.
Warga maya tidak dapat menahan pilu menyaksikan kehilangan itu menitipkan ucapan takziah dan kata-kata semangat agar pasangan tersebut terus kuat menemuh hati mendatang.
“Ya ALLAH jadikanlah dia pendahulu dan simpanan pahala bagi ibu bapanya. Beratkanlah timbangan amal mereka dengan sebabnya.”
“Berpantang tanpa bayi di sisi, hanya mak-mak yang faham. Moga pasangan ini tabah.”
“Salam takziah buat kedua ibu bapa wildan syurga.”
Elisya Sandha dapat layanan ‘Five Star’ masa berpantang, Sheila Rusly masak makanan sedap-sedap. Perkongsian video pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly yang menyediakan hidangan berpantang buat menantunya, Elisya Sandha, mencuri perhatian ramai di platform Instagram miliknya.
Dalam video tersebut, Sheila, 53, meluahkan rasa teruja apabila Elisya memilih untuk menjalani tempoh berpantang di rumahnya sendiri. Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan tentang perkara itu, dia terus merancang menu berpantang khas untuk menantu tersayang.
Elisya pula kelihatan menikmati sajian tersebut dengan penuh berselera, dan turut memeluk ibu mentuanya sebagai tanda penghargaan atas layanan yang cukup istimewa itu.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dan menyifatkan Elisya sebagai seorang menantu yang sangat bertuah. Malah, ramai yang memuji keperibadian Sheila, dan menggelarnya sebagai “ibu mentua dari syurga”.
Terdahulu, pada Jumaat lalu, Elisya memaklumkan bahawa dia telah selamat melahirkan anak keduanya yang dinamakan Bahtera ElHaq.
Untuk makluman, Elisya mendirikan rumah tangga dengan Uzair Haqimy, anak sulung Sheila Rusly, pada Ogos 2017. Pasangan ini turut mempunyai seorang anak perempuan sulung bernama Bunga ElHaq yang kini hampir mencecah usia tiga tahun.
Melihatkan jumlah kes baru yang hanya 69 kes seperti yang dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian yang berlangsung sebentar tadi pastinya menampakkan sedikit harapan buat kita dalam membendung wabak ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 201 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh adalah 2,967 kes atau 56.5 peratus jumlah keseluruhan kes. Kes sembuh ini juga membuktikan bahawa usaha kita dalam membendung masalah ini mula menampakkan hasilnya buat negara kita. Satu perkembangan yang cukup positif buat semua.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata statistik terbaharu itu menyaksikan bilangan kes yang didiscaj terus menunjukkan peningkatan berbanding kes baharu yang dilaporkan setakat Jumaat.
“Sehingga 17 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 69 kes baharu yang telah dilaporkan.
“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,251 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,198 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, seramai 51 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata dua lagi kematian dilaporkan akibat COVID-19 di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 86 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Jelasnya, kedua-dua mangsa yang merupakan warganegara Malaysia disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
“Kes kematian ke-85 (kes ke-5064) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke4657 berkaitan dengan kluster PUI Bali,”katanya lagi.
Perkembangan memberangsangkan ini membuktikan usaha kerajaan menjalankan PKP dengan sekatan kepada pelbagai aktiviti dilihat sebagai positif. Teruslah berada di rumah sebagai tanda sokongan di samping menjalankan tanggungjawab kita untuk sama-sama membentung wabak Covid-19 ini. Ia tanggungjawab kita bersama.