Kesihatan

Hanya RM1, Jangan Bertangguh! Ibu Perlu Buat Saringan HPV Demi Diri Dan Keluarga!

Share

Kita selalu sanggup keluarkan duit untuk keperluan anak, membeli makanan kegemaran keluarga atau menjaga kesihatan orang tersayang. Tetapi apabila tiba soal kesihatan sendiri, ramai ibu memilih untuk menangguh saringan HPV.

Hakikatnya, kanser serviks boleh berkembang tanpa tanda yang jelas pada peringkat awal. Sebab itulah saringan sangat penting. Jangan tunggu sakit baru mahu diperiksa.

Menurut Garis Panduan Saringan Kanser Serviks Malaysia 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jangkitan berterusan Human Papillomavirus atau HPV berisiko tinggi mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan kanser serviks.

Malah, ujian HPV kini digunakan sebagai salah satu kaedah utama untuk mengesan wanita yang mempunyai risiko lebih tinggi sebelum perubahan sel berkembang menjadi lebih serius.

Ibu Rasa Sihat? Itu Bukan Alasan Untuk Tak Buat Saringan

Perkara yang ramai wanita tidak sedar ialah jangkitan HPV selalunya tidak menunjukkan sebarang simptom. Seseorang boleh kelihatan sihat, menjalani kehidupan seperti biasa dan langsung tidak mengetahui bahawa dirinya pernah dijangkiti HPV.

Sebahagian besar jangkitan HPV boleh hilang dengan sendiri, tetapi jangkitan HPV berisiko tinggi yang berterusan boleh meningkatkan risiko perubahan pra-kanser dan kanser serviks.

Keputusan HPV positif juga tidak bermaksud seseorang itu sudah menghidap kanser. Ia menjadi tanda bahawa pemeriksaan dan susulan seterusnya perlu dilakukan mengikut nasihat petugas kesihatan.

Hanya RM1 Untuk Pemeriksaan!

Lebih menggembirakan, mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di fasiliti kesihatan kerajaan sangat mampu milik. KKM menyenaraikan caj pesakit luar am sebanyak RM1 bagi satu lawatan, termasuk siasatan, untuk fasiliti kerajaan yang berkenaan.

Jadi ibu, jangan jadikan soal kos sebagai alasan untuk terus bertangguh. Dengan bayaran serendah RM1 bagi lawatan pesakit luar kerajaan, satu kunjungan untuk bertanya tentang saringan HPV mungkin menjadi antara keputusan paling berharga yang ibu lakukan untuk diri sendiri.

Cuma, ketersediaan ujian HPV DNA boleh berbeza mengikut Klinik Kesihatan dan fasiliti. Sebaiknya telefon atau bertanya dahulu kepada Klinik Kesihatan berhampiran mengenai perkhidmatan saringan HPV serta caj yang dikenakan.

Siapa Yang Digalakkan Buat Ujian HPV?

Mengikut garis panduan KKM, ujian HPV disyorkan kepada wanita yang aktif secara seksual berumur 30 hingga 65 tahun.

Bagi wanita yang mendapat keputusan HPV negatif, saringan seterusnya lazimnya dibuat dalam tempoh lima tahun. Wanita berusia lebih 65 tahun yang tidak pernah menjalani saringan rutin juga boleh ditawarkan ujian HPV berdasarkan penilaian kesihatan.

Malah, bagi sesetengah fasiliti, ujian HPV boleh dilakukan menggunakan kaedah pensampelan kendiri

. Wanita mengambil sendiri sampel pada bahagian vagina menggunakan kit yang disediakan, kemudian menyerahkannya kepada jururawat.

KKM turut menyediakan panduan khusus untuk kaedah ini, walaupun jenis ujian dan kemudahan yang tersedia bergantung kepada fasiliti kesihatan masing-masing.

Ini tentunya boleh membantu wanita yang selama ini malu, takut atau kurang selesa untuk menjalani pemeriksaan.

Pernah Berkahwin, Sudah Bercerai Atau Lama Tidak Bersama Pasangan? Jangan Abaikan Saringan HPV

HPV berkaitan dengan aktiviti seksual dan sentuhan kulit pada kawasan genital. Oleh itu, wanita yang pernah mempunyai sejarah hubungan seksual tetap perlu mengambil berat tentang saringan HPV

mengikut umur dan nasihat petugas kesihatan.

Jangkitan HPV juga boleh berlaku tanpa seseorang menyedarinya kerana kebanyakan jangkitan tidak menunjukkan gejala.

Jangan beranggapan, “Saya dah lama tak bersama pasangan, jadi saya tak berisiko.”

Lebih baik periksa dan tahu keadaan sebenar daripada terus hidup dengan andaian.

Ujian Saringan Menerusi LPPKN

Selain Klinik Kesihatan, menerusi Belanjawan 2025, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut sama menyediakan ujian ini secara percuma kepada semua.

Ia diberikan kepada wanita yang layak untuk melakukan pengesanan awal melalui ujian HPV DNA bagi mencegah berlakunya kanser serviks.

Ujian HPV DNA (saringan kanser serviks)

  • Disasarkan kepada wanita berumur 30 hingga 65 tahun
  • Menggunakan kaedah pengesanan DNA virus HPV berisiko tinggi (lebih tepat berbanding Pap smear) melalui kaedah persampelan sendiri
  • Disediakan secara percuma di Klinik Nur Sejahtera melalui program jangkauan (outreach)
    yang terlibat
  • Keputusan ujian membantu mengesan risiko kanser serviks sebelum sel menjadi kanser

Ibu Jaga Semua Orang, Jangan Lupa Jaga Diri

Ibu adalah orang yang selalu memastikan anak makan, anak cukup tidur, temu janji klinik anak tidak terlepas dan seluruh keluarga berada dalam keadaan baik. Kali ini, buat sesuatu untuk diri sendiri pula.

Pergilah ke Klinik Kesihatan berhampiran dan tanyakan mengenai saringan HPV DNA atau saringan kanser serviks yang sesuai untuk anda.

RM1 mungkin nampak kecil nilainya, tetapi langkah untuk membuat saringan boleh menjadi sangat besar maknanya buat masa depan seorang wanita.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Malaysia & Klinik Kesihatan

Published by
SRM