Siapa sangka bakat anak kecil yang dulunya mempunyai masalah speech delay punya bakat luar biasa menghasilkan tulisan kaligrafi seperti pakar.
Tulisan kaligrafi indah seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mencuri perhatian ramai apabila hasil tangan halusnya dalam menyalin ayat-ayat suci al-Quran tular di media sosial.
Menurut perkongsian ibunya, Syina Hakim, bakat anak kecilnya, Aiman untuk menulis tulisan-tulisan kaligrafi bermula sejak kecil lagi.
“Alhamdulillah, anak soleh abah dan mama memang minat tulis ayat-ayat suci al-Quran sejak mengenal alif ba ta…sekarang suka salin ayat al-Quran,” tulisnya ringkas.
Keistimewaan Aiman bukan hanya pada minatnya yang mendalam terhadap ayat-ayat suci, tetapi juga pada kehalusan dan ketelitian tulisan tangannya yang membuatkan ramai terpesona.
Ads
Tulisan Jawi yang disalin olehnya kelihatan seakan ditulis oleh seorang pakar khat profesional, malah ramai orang dewasa mengakui tidak mampu menghasilkan tulisan seindah itu.
Tidak hairanlah warga maya yang tidak putus-putus meluahkan rasa kagum dan mendoakan kejayaannya.
Diuji speech delay waktu kecil
Ads
Aiman bukanlah anak yang ‘biasa-biasa’. Menurut perkongsian ibunya, Aiman pernah mengalami masalah speech delay dan hanya mula bercakap ketika berusia enam tahun.
Namun, daripada ujian itulah muncul bakat muncul anugerah Allah yang tidak disangka-sangka iaitu seni menyalin ayat al-Quran dengan penuh kasih dan ketelitian.
Menurut Syina, minat Aiman sebenarnya datang sendiri. Bermula daripada kecintaan terhadap melukis, kemudian berkembang kepada menyalin ayat al-Quran yang dilihat di YouTube.
Ads
“Dia suka tengok video kaligrafi dan terus tiru. Kami cuma sokong minat dia,” ujar Syina ringkas sambil merendah diri walaupun anaknya kini menjadi inspirasi buat ribuan orang.
Dalam ruangan komen, warga maya tidak henti-henti mendoakan kejayaan Aiman dan berkongsi rasa kagum mereka.
Moga Aiman membesar jadi anak yang soleh, cinta pada al-Quran dan jadi sinar kebanggaan buat keluarga dan ummah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nuraina Humaira ditemui tidak bernyawa, dilaporkan hilang sejak Jumaat. Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ditemui telah meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.
Mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.
“Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan ke atas tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Bagaimanapun kita masih menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dalam radius 2 kilometer dengan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang awam yang turut menyertai operasi ini berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput bagi proses bedah siasat,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah pergi ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya bagi membeli ayam.
Mangsa bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara menyuruhnya menunggu seketika untuk mengajaknya ke kedai lain.
“Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap sementara dia menghabiskan kerja.
“Sepanjang temopoh menunggu itu, mangsa didapati sedang bermain buaian di kawasan itu, namun bila bapa saudara keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada,” katanya.
Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan Siti Mariam Daud, 31, dan suaminya Mohd Azrul Ramli, 33, mula mencari jalan untuk mendapatkan anak. Kehamilan secara semula jadi tidak berjaya mereka kecapi, lantas tidak membuang masa berjumpa dengan doktor. Pertama kali berjumpa pakar kesuburan, pasangan ini diberitahu masalah kesuburan pada sebelah suami menyukarkan usaha mereka untuk hamil. Tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak, mereka berusaha lebih gigih untuk mendapatkan zuriat.
Bukan setakat berurut dan rawatan kampung, akhirnya mereka memutuskan untuk mencuba rawatan kesuburan IVF. Cadangan ini diberikan oleh pakar kesuburan pertama yang mereka jumpa. Dalam tempoh empat tahun, mereka mengumpul duit untuk memastikan mereka dapat menjalani rawatan ini. Ikuti perjalanan kisah kehamilan Mariam demi mendapatkan si comel Maryam Assyifa, 9 bulan, (ketika sesi fotografi dibuat).
Bukan Sekadar Satu Pakar
“Untuk merujuk masalah kami, bukan sekadar seorang pakar yang kami temui. Beberapa orang pakar yang kami jumpa mencadangkan agar kami mencuba rawatan IVF. Saya dan suami berbincang serius dan akhirnya kami putuskan untuk mencuba,” kata Mariam memulakan cerita. Dek kerana kesungguhan untuk mendapatkan anak, Mariam dan suaminya berusaha untuk mengumpul duit demi menjalani rawatan tersebut.
Dalam tempoh dua ke empat tahun perkahwinan, mereka tanpa jemu berusaha dan akhirnya berjaya mengumpul sejumlah wang untuk membuat rawatan yang disarankan oleh pkar kesuburan. Pada hujung tahun 2017, mereka memulakan rawatan dengan suntikan untuk merangsang telur Mariam agar berupaya untuk hamil.
“Saya diminta untuk membuat suntikan selama dua minggu. Selang sehari, ada hari perlu dua suntikan. Ada hari lain pula hanya satu suntikan diperlukan. Dalam tempoh itu, saya komited mengikut jadual yang diaturkan oleh doktor untuk menjayakan usaha ini. Alhamdulillah selepas satu kali rawatan, saya kemudiannya disahkan hamil pada awal tahun lepas,” cerita Mariam lagi.
Menurut Mariam lagi, rawatan itu berkesan dan hanya mengambil masa yang singkat kerana mereka melakukan fresh transfer. Sepanjang kehamilan, Mariam tidak mengalami sebarang komplikasi.
Suami Jaga Diet, Makan Tak Boleh Sembarangan
Pada awalnya semasa menjalani rawatan kesuburan, Mariam dinasihatkan oleh juru rawat untuk menjaga pemakanannya. Mariam tidak digalakkan untuk mengambil makanan pedas, makanan segera mahupun makanan yang diproses. Juru rawat meminta Mariam untuk berdiet dan amalkan pemakanan sihat. “Dalam tempoh itu, saya memang berpantang. Bahkan suami yang jaga diet saya. Untuk mengelakkan saya makan yang bukan-bukan, dia yang memasak untuk saya,” tambah Mariam lagi. Mariam juga memberitahu suaminya sangat berdisiplin dan menjaga pemakanannya tanpa gagal.
Dugaan untuk mendapatkan anak, Mariam mengalami mabuk teruk sepanjang tiga bulan pertama kehamilannya. Dia terpaksa mengambil cuti kerana keadaannya ketika itu memerlukan Mariam untuk bed rest. “Saya tak boleh makan apa pun waktu itu. Bila makan akan termuntah. Mabuk teruk jugalah sampaikan saya tidak boleh bangun. Selera makan pun tak ada ketika itu,” kata Mariam lagi.
Tiba Waktu Bersalin Nekad Letak Jawatan
Melepasi trimester pertama kehamilan, kesihatan Mariam semakin pulih. Dia sudah mampu bekerja. Masuk trimester kedua dan ketiga kehamilannya, Mariam terus bekerja seperti biasa. Sehinggalah tarikh kelahiran Syifa semakin tiba, Mariam nekad untuk berhenti kerja. Keputusannya itu disokong sepenuhnya oleh Azrul memandangkan mereka sudah banyak berusaha untuk mendapatkan anak.
“Saya melahirkan Syifa pada 31 Ogos 2018. Tarikh itu memang saya pilih memandangkan kebetulan pada tarikh itu kandungan saya pun sudah 38 minggu. Beberapa hospital yang kami pergi, kesemuanya mencadangkan kelahiran melalui pembedahan. Mereka tidak mahu ambil risiko walaupun kes saya dirujuk ke hospital kerajaan. Akhirnya saya dan suami memutuskan untuk saya bersalin di sebuah hospital swasta,” kata Mariam menceritakan tentang kelahiran Syifa.
Segalanya Demimu, Syifa…
Si comel Syifa dilahirkan pada usia kandungan 38 minggu melalui pembedahan dengan berat 3.3kg. Kini Syifa membesar dengan sihat dengan susu ibunya. Sudah mula makan, Mariam memberitahu Syifa gemarkan bubur yang disediakan sendiri oleh Mariam.
“Saya tidak kisah terpaksa melalui segala kesakitan, kemudian berhenti kerja hanya untuk mendapatkan Syifa. Kini saya bahagia dapat melihat dia membesar di hadapan mata saya sendiri. Untuk hamil lagi, saya mungkin terpaksa melalui prosedur IVF sekali lagi,” akhiri Mariam yang telah membelanjakan sekitar RM20,000 sepanjang enam tahun usahanya berusaha mendapatkan Maryam Assyifa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh turut memerintahkan tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan. Hukuman ini dijatuhkan selepas mahkamah mendapati Ismanira gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaannya.
Menurut Sinar Harian, Prosiding diteruskan dengan sesi mitigasi oleh pihak pembelaan yang merayu agar hukuman penjara ditangguhkan, namun keputusan mahkamah tetap kekal.
Kisah ini menggemparkan seluruh Malaysia pada Disember 2023 apabila Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Damansara Damai, kira-kira 200 meter dari blok rumah.
Menurut pertuduhan pindaan, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa bersama-sama mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. Kesalahan itu berlaku antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga jam 9.55 malam keesokannya.
Namun pada 21 Julai tahun lalu, mahkamah membebaskan Zaim selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Ketika keputusan dibacakan, suasana di dalam mahkamah bertukar pilu. Ada yang menunduk, ada yang menitiskan air mata. Keluarga dan suami tertuduh dilihat terkejut dan kedengaran laungan “Allahuakbar” dari galeri awam.
Kisah Zayn Rayyan bukan sekadar kes mahkamah, tetapi tragedi yang menyentuh hati ramai ibu bapa terutamanya mereka yang mempunyai anak istimewa.
Zayn Rayyan merupakan kanak-kanak autisme yang memerlukan perhatian dan kasih sayang istimewa. Bagi anak-anak dalam spektrum autisme, dunia mereka sering berbeza rutin harian, suasana tenang dan sentuhan emosi yang lembut amat penting dalam perkembangan mereka.
Pakar perkembangan kanak-kanak menasihatkan agar ibu bapa yang mempunyai anak autisme tidak memikul tanggungjawab ini sendirian. Dapatkan sokongan daripada pakar terapi, komuniti sokongan ibu bapa serta rakan yang memahami. Langkah ini bukan sahaja membantu anak berkembang lebih baik, tetapi juga menjaga kestabilan emosi ibu bapa.
Kisah Zayn Rayyan seharusnya menjadi peringatan dan pengajaran buat semua. Dalam tekanan hidup yang kian mencabar, jangan sesekali mengabaikan keperluan emosi dan keselamatan anak-anak. Luangkan masa, dengar mereka, dan peluk mereka selalu.
Semoga roh Allahyarham Zayn Rayyan ditempatkan di kalangan anak-anak syurga, dan kisah ini membuka mata kita semua bahawa tanggungjawab seorang ibu dan ayah bukan sekadar membesarkan anak, tetapi juga melindungi mereka dengan sepenuh hati.
Anak istimewa adalah anugerah, bukan ujian semata. Moga setiap ibu bapa terus kuat mendidik, menyayangi dan melindungi amanah kecil ini dengan penuh kasih dan kesabaran. ❤️
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!