
Bila tarikh bersalin makin hampir, ramai ibu mula rasa berdebar. Setiap kali doktor atau jururawat sebut tentang bukaan pintu rahim, pasti ibu tertanya-tanya, “Dah 3cm… dah hampir ke nak bersalin?”
Sebenarnya ukuran seperti 2cm, 4cm atau 10cm itu adalah petunjuk penting dalam proses kelahiran. Ia menunjukkan sejauh mana bukaan pintu rahim sudah terbuka untuk memberi laluan kepada bayi keluar.
Memahami setiap peringkat bukaan pintu rahim ini boleh membantu ibu lebih tenang dan bersedia apabila kontraksi mula datang.

Apa Sebenarnya Bukaan Pintu Rahim?
Pintu rahim atau serviks ialah bahagian bawah rahim yang menghubungkan rahim dengan faraj. Sepanjang kehamilan, ia kekal tertutup untuk melindungi bayi di dalam rahim.
Namun apabila tubuh ibu bersedia untuk bersalin, serviks akan mula berubah. Ia menjadi lebih lembut, menipis dan perlahan-lahan terbuka. Proses pembukaan ini dipanggil cervical dilatation.
Bukaan pintu rahim ini diukur dalam sentimeter, bermula dari 0cm hingga 10cm, iaitu tahap di mana bayi sudah boleh dilahirkan.

Maksud Setiap Peringkat Bukaan Pintu Rahim
Setiap nombor yang disebut oleh doktor sebenarnya menggambarkan fasa bersalin yang sedang dilalui oleh ibu.
Bukaan 2cm – 3cm
Ini biasanya berlaku pada fasa awal kelahiran. Kontraksi mungkin sudah bermula tetapi masih tidak terlalu kuat. Ada ibu yang hanya rasa seperti senggugut atau sakit belakang yang datang dan pergi.
Pada tahap ini, bukaan pintu rahim masih kecil dan ibu masih boleh bergerak seperti biasa. Ada yang masih berada di rumah sebelum ke hospital.
Yang penting, cuba bertenang dan kumpul tenaga kerana perjalanan bersalin masih panjang.
Bukaan 4cm – 7cm
Apabila bukaan pintu rahim mencapai sekitar 4cm, ibu biasanya memasuki fasa aktif kelahiran.
Kontraksi mula menjadi lebih kuat dan kerap, biasanya setiap 3 hingga 5 minit. Rasa sakit juga semakin jelas dan ibu mungkin perlu memberi fokus kepada teknik pernafasan untuk mengawal kesakitan.
Kebiasaannya pada tahap ini ibu akan dimasukkan ke wad bersalin supaya proses kelahiran dapat dipantau dengan lebih rapi.
Sokongan daripada suami atau peneman bersalin sangat penting ketika ini.
Bukaan 8cm – 9cm
Ini dipanggil fasa peralihan atau transition phase. Ia sering dianggap bahagian paling mencabar dalam proses bersalin. Kontraksi menjadi sangat kuat dan jaraknya semakin dekat.
Ada ibu yang mula berasa sangat penat, gelisah atau emosi tidak stabil. Pada masa yang sama, rasa ingin meneran mungkin mula muncul ketika bukaan pintu rahim semakin besar.
Di sinilah peranan peneman sangat besar. Pegangan tangan, kata-kata semangat dan sokongan emosi mampu memberi kekuatan kepada ibu untuk terus bertahan.
Bukaan 10cm
Apabila bukaan pintu rahim mencapai 10cm, pintu rahim sudah terbuka sepenuhnya. Ini bermakna tubuh ibu sudah bersedia untuk proses meneran. Doktor atau jururawat akan memberi arahan bila masa yang sesuai untuk menolak bayi keluar.
Dengan bantuan kontraksi dan tolakan yang betul, detik yang dinanti akhirnya tiba… tangisan pertama bayi yang selama ini berada di dalam rahim.

Kenapa Bukaan Pintu Rahim Perlu Dipantau?
Pemeriksaan bukaan pintu rahim membantu doktor melihat perkembangan proses kelahiran.
Jika bukaan tidak bertambah dalam tempoh tertentu, doktor mungkin mempertimbangkan beberapa bantuan perubatan seperti ubat untuk merangsang kontraksi, penggunaan vakum atau dalam keadaan tertentu, pembedahan caesarean.
Pemantauan ini penting bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi sepanjang proses bersalin.
Apa Ibu Boleh Buat Sementara Menunggu Bukaan Bertambah?
Menunggu bukaan kadang-kadang mengambil masa yang lama, tetapi ada beberapa perkara yang boleh membantu ibu melalui proses ini dengan lebih selesa.
Banyakkan bergerak
Berjalan perlahan atau menukar posisi badan boleh membantu bayi turun ke laluan kelahiran.
Gunakan teknik pernafasan
Tarik nafas perlahan dan hembus ketika kontraksi datang. Teknik ini membantu ibu mengawal kesakitan.
Urutan lembut di bahagian pinggang
Sentuhan lembut daripada suami atau peneman boleh membantu melegakan sedikit rasa sakit.
Kekal tenang dan positif
Kata-kata semangat dan sokongan emosi memberi kekuatan yang besar kepada ibu sepanjang proses bukaan pintu rahim berlaku.
Setiap Bukaan Adalah Langkah Mendekati Detik Kelahiran
Ukuran 2cm, 5cm atau 10cm sebenarnya menggambarkan perjalanan luar biasa seorang ibu menuju saat kelahiran.
Ada yang melalui proses ini dengan cepat, ada juga yang mengambil masa lebih lama. Setiap pengalaman bersalin adalah berbeza.
Yang penting, ibu kekal tenang, percaya pada tubuh sendiri dan yakin bahawa setiap kontraksi membawa ibu selangkah lebih dekat untuk bertemu si kecil yang ditunggu-tunggu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





