
Perkongsian ini dikongsikan oleh bekas guru, Mohd Fadhli Othman, seorang pendidik yang sudah lama berada dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan memahami realiti sebenar di sebalik tabir bukan sekadar apa yang nampak di media sosial.
Isu buku teks koyak bukan perkara baharu. Setiap tahun ia berulang. Sistem sudah lama wujud. Prosedur sudah jelas. Guru sudah pesan. Tetapi apa yang makin menjadi-jadi hari ini bukan masalah buku, sebaliknya perangai sebahagian ibu bapa yang lebih suka memviralkan daripada menyelesaikan.
Inilah realiti yang ingin diketengahkan.

Setiap tahun, ribuan guru sekolah rendah menguruskan buku teks untuk anak-anak kita. Buku itu bukan keluar panas-panas dari kilang setiap kali sesi bermula. Buku tersebut ialah buku kitar semula, dipinjamkan daripada seorang murid kepada murid seterusnya.
Itulah sistem SPBT yang sudah berjalan berpuluh tahun supaya semua anak, tanpa mengira latar belakang, tetap ada buku untuk belajar.
Guru-guru bukan sekadar agih buku. Mereka susun, semak, tampal, ikat, bersihkan. Ada yang bawa balik ke rumah untuk baiki. Ada yang duduk di bilik SPBT sampai petang, hanya untuk pastikan anak-anak dapat buku yang boleh digunakan.
Hari agihan, guru berpesan berkali-kali,
“Balik rumah, semak. Kalau ada yang rosak atau koyak, bawa semula esok. Cikgu tukar.”
Arahan itu mudah. Jelas. Tidak perlu sijil universiti untuk faham.
Tetapi ada jenis ibu bapa, perangainya lain.
Malam pertama, buku disemak. Jumpa yang koyak. Bukan terus beritahu guru. Bukan hantar semula ke sekolah. Sebaliknya, telefon dicapai. Gambar diambil. Status ditulis. Emosi dilambakkan. Lalu bahan itu diviralkan.
Seolah-olah baru terbongkar skandal nasional.

Padahal, guru sudah beri ruang untuk menukar. Sekolah sudah sediakan prosedur. Sistem sudah ada. Tetapi semua itu tidak penting. Yang penting, konten. Yang penting, nampak seperti pejuang. Yang penting, sekolah dan guru kelihatan bersalah.
Inilah masalah sebenar dalam dunia pendidikan hari ini.
Bukan kekurangan sistem.
Bukan kekurangan usaha guru.
Tetapi kekurangan adab dan akal waras dalam sebahagian orang dewasa.
Buku itu dipinjam, bukan dibeli. Dibiayai dengan duit rakyat. Digunakan bertahun-tahun. Dalam sistem sebesar itu, mustahil semuanya sempurna. Sebab itulah guru minta semak. Sebab itulah ada tempoh tukar.
Tetapi mak jenis ini lebih rela memalukan sekolah di media sosial daripada menyelesaikan masalah dalam masa lima minit di bilik guru.
Jenis beginilah selalunya paling kuat merungut, tetapi paling jarang muncul di sekolah.
Mesyuarat PIBG tidak pernah nampak muka.
Program gotong-royong sunyi.
Hari sukan, tidak datang.
Bila guru minta kerjasama, terus hilang.
Tetapi bila ada buku koyak sedikit, dialah pejuang nombor satu di media sosial.

Sikap seperti ini bukan tanda prihatin. Perangai tersebut tanda tidak matang. Tanda suka membuka aib. Tanda lebih gemar mencari salah daripada mencari penyelesaian.
Kalau benar seorang ibu yang bertanggungjawab, langkahnya mudah.
Esok pagi, hantar buku itu kepada guru.
Minta tukar.
Selesai.
Tetapi tidak. Jalan yang dipilih ialah jalan paling bising, paling sensasi, dan paling memalukan orang lain. Bukan untuk anak, tetapi untuk kepuasan diri.
Anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat.
Jika ibu sendiri tunjuk sikap suka viralkan, suka memalukan orang, dan suka menyalahkan tanpa berbincang, itulah pelajaran sebenar yang dibawa ke dalam hidup.
Buku koyak boleh ditampal.
Boleh ditukar.
Boleh diganti.
Tetapi perangai suka mencari salah, suka membuka aib, dan suka jadi jaguh media sosial itu kerosakan yang jauh lebih sukar untuk diperbaiki.
Inilah mak ayah yang ‘sakit’.
Kementerian Pendidikan Malaysia tak payah layan mak ayah macam ini.
Guru-guru sudah buat yang terbaik
Sumber: FB Mohd Fadhli Othman
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





