
Kes influenza semakin meningkat, pastinya ramai ibu bapa risau apabila anak demam. Panik bila suhu badan anak naik mencanak adalah perkara biasa, tetapi penting untuk tahu jenis ubat demam anak yang paling selamat. Memberikan ubat punggung boleh membantu menurunkan suhu dan mengawal demam, tetapi tidak semua jenis sesuai untuk digunakan.
Kita tahu kes influenza di kalangan kanak-kanak semakin meningkat sekarang. Ramai ibu bapa membuat langkah awal dengan memberi ubat punggung (suppository) sebelum berjumpa doktor kerana mudah didapati di farmasi. Namun, pemberian ubat punggung secara sebarangan boleh membahayakan anak.
Jika kanak-kanak sebenarnya menghidap influenza dan ibu bapa memberi ubat punggung jenis NSAIDS, ia boleh meningkatkan risiko komplikasi seperti radang otak atau Acute Necrotizing Encephalopathy (ANEC). Keadaan ini sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa.
Menurut panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan nasihat pakar pediatrik seperti Dr. Izzat dan Dr. Deenish, berikut adalah jenis ubat demam anak yang disarankan dan yang perlu dielakkan:
Bentuk: Cecair (syrup) & suppository (cucuk punggung)
Status: ✔️ Selamat & disyorkan untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur
Tahap bukti: Kukuh dan luas – telah digunakan bertahun-tahun secara selamat di seluruh dunia.
Paracetamol merupakan pilihan utama untuk mengawal demam. Ibu bapa boleh memberikan dalam bentuk minum atau ubat punggung, tetapi pastikan dosnya mengikut berat badan anak seperti disyorkan doktor.
Bentuk: Cecair (syrup) sahaja di Malaysia
Status: ⚠️ Selamat digunakan dengan pemantauan doktor
Tahap bukti: Kukuh dan digunakan secara global
Ibuprofen boleh digunakan jika demam anak tidak turun selepas diberi Paracetamol. Ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 6 bulan ke atas dan hanya digunakan mengikut nasihat doktor.
Bentuk: Suppository
Status: ❌ Tidak diluluskan untuk rawatan demam pada kanak-kanak (off-label)
Tahap bukti: Terhad dan dikaitkan dengan risiko radang otak (ANEC)
Diclofenac sepatutnya dielakkan sepenuhnya bagi kanak-kanak yang demam, terutama jika disyaki jangkitan influenza. Walaupun kesnya jarang berlaku, amaran rasmi telah dikeluarkan oleh KKM dan NPRA agar ubat ini tidak digunakan untuk demam anak.
Kesimpulannya, pilihan terbaik untuk ubat demam anak ialah Paracetamol, manakala Ibuprofen boleh digunakan dengan pemantauan. Elakkan penggunaan Diclofenac bagi kanak-kanak kerana risiko komplikasi serius seperti radang otak. Sentiasa rujuk doktor untuk mendapatkan nasihat dan dos yang tepat agar anak kekal selamat semasa demam.
Sumber: Dr. Deenish dan Izzar Anwari