Pelakon yang popular menerusi watak Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku, Datin Niena Baharun yang telah pun selamat bersalin anak lelaki secara pembedahan seberat 3.03 kilogram, pada 24 Oktober lalu telah berkongsi tip yang diamalkan sepanjang berpantang.
Niena yang dijaga oleh ibu mertua dan seorang bidan menyatakan walaupun pertama kali berpantang tiada masalah baginya untuk ikut beberapa petua orang tua.
Menurut Niena, perkara pertama yang ibu dalam pantang risau adalah sembelit.
Apa yang diamalkannya adalah dengan banyak minum air masak, makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Ads
Malah tip yang dikongsikan oleh doktor juga adalah kalau rasa sakit perut, terus pergi tandas dan jangan tahan.
Lagi satu, Niena juga elakkan minum air Milo sebab boleh jadi punca sembelit. Mungkin bagi sesetengah orang ok je. Jadi terpulang pada setiap individu.
Ads
Niena turut menyatakan, bila bersalin secara czer masalah utama adalah untuk berbengkung. Bagi Niena cara yang dipraktikkannya adalah dengan cara pakai bengkung yang diberikan doktor.
Ads
Amal minum air halba banyakkan susu
Selain itu, untuk bab penyusuan pula, Niena mengamalkan minum air rendaman halba untuk memperbanyakkan susu.
Air rendaman halba itu diminum ketika suam dan elok untuk ibu lepas bersalin. Dengan cara yang mudah, setakat ini Niena tiada masalah untuk menyusukan bayinya.
Sumber: ig nienabaharun
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Situasi nak tumbuh gigi antara situasi yang sangat sakit dan tidak selesa buat bayi anda. Perubahan-perubahan pada emosi dan fizikal anak akan jelas terlihat antaranya air liur meleleh, menangis, mengigit, demam dan banyak lagi.
Ibu ayah kena sentiasa waspada pada tahap kesihatan anak. Lakukan beberapa perkara seperti yang dikongsi untuk melegakan kesakitan gusi si manja anda. Selamat mencuba!
BAYI 6 BULAN KE ATAS MERAGAM, DEMAM PETANDA NAK TUMBUH GIGI. 7 CARA INI MERAWAT KESAKITANNYA
Tanda Bayi Tumbuh Gigi
1. Kegatalan Gusi
Kegatalan gusi ini boleh dikurangkan dengan memberi teether atau tuala sejuk untuk digigit agar bayi tumbuh gigi lebih selesa.
2. Gusi Sakit
Bayi tumbuh gigi juga mungkin banyak merengek dan menangis kerana tidak selesa kerana gusi kelihatan berwarna merah dan terasa panas.
3. Demam
Ada juga bayi tumbuh gigi yang mungkin demam setiap kali tumbuh gigi. Hal ini boleh diatasi dengan memberikan bayi ubat tahan sakit seperti paracetamol. Namun pastikan dos yang diberi betul dan tidak melebihi had maksimum dalam sehari.
4. Kurang Makan
Anda akan mendapati selera makan bayi tumbuh gigi juga akan kurang. Jika bayi tidak mahu makan, pastikan si manja anda mendapat cukup cecair dengan cara memberikan lebih susu dan air.
5. Pengeluaran Air Liur
Kebiasaannya pertumbuhan gigi akan merangsang pengeluaran air liur dan perkara ini pada umumnya terjadi pada bayi tumbuh gigi yang berusia 10 minggu hingga 3 atau 4 bulan.
6. Ruam Pada Dagu Atau Wajah
Kemungkinan bayi tumbuh gigi akan mengalami ruam kulit yang muncul di sekitar kawasan mulut, dan juga dagu dan kadangkala ruam itu juga muncul di kawasan leher. Atasi ruam ini dengan menggunakan krim kulit khusus untuk bayi.
7. Bayi Sering Menggigit
Tekanan yang ditimbulkan oleh gigi yang akan keluar melalui gusi biasanya menyebabkan bayi tumbuh gigi merasa tidak selesa. Ketidak selesaan ini biasanya akan menyebabkan anak anda mula menggigit apa juga barang yang ada padanya seperti barang mainan.
Tip Atasi Sakit Ketika Bayi Tumbuh Gigi:
Penjagaan Gigi Bayi
Apabila gigi anak anda telah tumbuh, gigi tersebut perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Gunakan tuala basah yang lembut untuk membersihkan gigi. Malah anda juga boleh membeli berus gigi bayi yang lembut di pasaran. Bayi yang kecil tidak tahu meludah jadi penggunaan ubat gigi adalah tidak perlu untuk bayi pada umur begini.
Sementara itu amalan pemakanan sihat perlu diamalkan. Berikan makanan yang seimbang dengan lebihkan pemberian buah-buahan dan sayur-sayuran untuk pembentukan tulang, gigi dan kulit yang sihat. Elakkan dari memberikan bayi anda sebarang makanan yang manis pada umur semuda ini.
Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
Ramai ibu muda yang mengalami keguguran, kurang arif tentang amalan berpantang yang sepatutnya dilakukan.
Sudahnya, ada yang tidak memberi perhatian sewajarnya kepada amalan berpantang keguguran secara tradisional.
Sebenarnya, rawatan pantang keguguran adalah sama penting seperti ibu berpantang selepas melahirkan anaknya.
Malah ada orang tua-tua berpendapat, pantang keguguran perlu diambil perhatian yang lebih serius kerana ia cenderung membuatkan anda terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang lainnya. Jika tidak dijaga dengan betul, anda mudah berasa sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.
Bidan zaman dahulu menggalakkan wanita yang mengalami keguguran menjalani amalan berpantang sama seperti ibu bersalin. Oleh sebab itulah, ada yang mengesyorkan supaya ibu keguguran berpantang selama 44 hari.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan zaman sekarang di mana kebanyakan wanita bekerjaya, maka agak sukar mengikuti cara ini. Namun, semasa bercuti sakit selama 14 hari itu, anda patut gunakannya dengan betul-betul mengikuti rutin berpantang. Jaga makan, pakai stoking, berbengkung, bertungku dan sebagainya.
Jika anda tergolong dalam kalangan orang yang rajin mengikut pantang-larang, amalkanlah cara pemakanan berpantang sama seperti yang diamalkan oleh ibu berpantang yang lainnya.
Pling tidak pun amalkan makanan yang seimbang dan mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Dalam pada itu, elakkan makanan berminyak, berlemak, makanan manis dan makanan segera. Seelok-eloknya banyakkan minum air suam atau panas dan makan makanan berkhasiat.
Sama seperti ibu berpantang yang lain, anda pun kena jaga dan hadkan pergerakan yang aktif sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan selepas keguguran. Elakkan juga daripada mengangkat benda-benda berat.
Penjagaan rahim yang rapi selepas keguguran adalah sangat perlu. Jika rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh meresap ke sistem tubuh lalu menyebabkan masalah kesihatan yang mungkin boleh mengundang maut.
Oleh sebab itulah, anda melakukan urutan, bertungku, mandi herba dan lain-lain. Rutin ini dapat membantu melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan dan memberi keselesaan dan kesegaran kepada tubuh.
Sepanjang tempoh ini juga, anda sangat digalakkan untuk memakai stoking dan memakai baju berlengan panjang bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan.
Anda tidak digalakkan untuk melakukan hubungan intim dalam tempoh 14 hari selepas berlakunya keguguran. Mengikut kata orang lama, tunggulah sehingga satu bulan untuk ‘bersama’ suami semula.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!