
Isi Kandungan
ToggleCoklat dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan. Boleh dikatakan hampir setiap kanak-kanak menggemari coklat. Namun, pemberian coklat kepada kanak-kanak sering disekat dan sesetengah ibu bapa memandang coklat sebagai suatu jenis makanan yang perlu dielakkan untuk diberi kepada si kecil. Antara penyebab ibu bapa tidak menggalakkan anak makan coklat adalah kerana khuatir gigi anak rosak dan takut anak menjadi gemok.
Di sebalik keburukan coklat, mungkin tidak ramai ibu bapa yang tahu bahawa kandungan di dalam coklat itu juga mengandungi khasiat untuk tumbesaran kanak-kanak. Cuma, pemberian sedikit coklat sekali-sekala kepada kanak-kanak tidaklah memudaratkan seperti yang selama ini dimomokkan kepada ibu bapa. Malahan, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa coklat yang dihasilkan daripada koko ini memberikan manfaat dari segi kesihatan.
Apa yang ada dalam coklat?
Coklat mengandungi karbohidrat, protein, lemak, dan vitamin; yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak. Selain itu, coklat juga mengandungi antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas. Coklat juga dapat membantu anak anda melegakan tekanan dan menenteramkan emosi mereka. Malah, antioksidan ini juga mampu membaiki dan menguatkan sistem imunisasi badan si manja.
Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak mengambil coklat kerana kandungan kafein yang ada pada coklat. Malah, ada juga ura-ura yang mengatakan kandungan kafein yang ada dalam coklat menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif dan sukar tidur. Namun, tahukah anda sebenarnya kafein yang ada dalam coklat adalah sangat kecil jumlahnya daripada yang ada dalam secawan kopi. Sebagai contoh, satu auns coklat adalah 5 miligram. Sementara, satu cawan kopi mengandungi antara 93 dan 153 miligram kafein secawan. Jadi, pengambilan coklat dalam kuantiti yang sedikit dan sekali-sekala adalah tidak memudaratkan kesihatan anak anda.
Selain itu, coklat juga mengandungi magnesium yang dapat membantu membina otot dan menguatkan tulang kanak-kanak. Malah, kandungan tenaga dan protein yang ada dalam coklat adalah baik untuk menambahkan stamina kanak-kanak terutama di peringkat usia mereka yang sedang lasak.
Ramai juga ibu bapa yang mengalami masalah anak cerewet makan. Namun, dengan memberi anak makan coklat, anda tidak perlu risau kerana secawan coklat panas boleh membantu meningkatkan selera makan anak anda.
Benarkah coklat boleh merosakkan gigi kanak-kanak?
Ramai ibu bapa yang percaya bahawa pemberian coklat kepada kanak-kanak boleh menyebabkan gigi mereka rosak. Namun, menurut Lembaga Koko Malaysia, kajian yang dilakukan menunjukkan sebenarnya salah satu bahan yang ada dalam serbuk koko dapat menghalang pembiakan bakteria daripada membentuk plak gigi. Malah, kandungan fosforus pada coklat dapat menguatkan gigi kanak-kanak.
Selain itu, lemak koko yang merupakan bahan asas dalam pembuatan coklat juga adalah mudah cair di dalam mulut. Jadi, coklat yang dimakan anak anda tidak akan tersimpan lama di dalam mulutnya. Oleh itu, pembentukan plak dapat dicegah.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Payudara ‘Lari’ Bentuk Sebab Anak Menyusu Badan. Tak Cantik Tak Apa, Fikirkan Pahalanya

Isi Kandungan
TogglePernahkah Mama berasa pelik apabila melihat saiz payudara yang tidak sama antara kedua-duanya? Sebelah besar, sebelah kecil. Itu perkara normal jika anda menyusukan bayi. Perbezaan saiz payudara biasanya berlaku jika ibu kerap menyusukan bayi pada sebelah payudara sahaja.
Pada asasnya saiz payudara wanita memang berbeza antara kedua-duanya. Tetapi perubahan saiz semakin ketara apabila si ibu membuat kaedah penyusuan yang tidak seimbang. Perbezaan ini dapat dilihat sekiranya ibu tidak menyusukan anak secara seimbang pada kedua-dua belah payudara tersebut.
Artikel Berkaitan: [Nak Capai Target Susukan Anak Hingga Usia Dua Tahun Lakukan Persediaan Ini Dari Awal!]
Menyusu Sebelah Payudara, Susu Ibu Akan Kering
Pada kebiasaannya payudara ibu akan kelihatan lebih besar atau tidak seimbang saiznya semasa beberapa minggu pertama penyusuan susu ibu berlangsung kerana ia sedang menyesuaikan diri dengan fasa penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Penyusuan susu ibu sepatutnya diberikan secara seimbang pada kedua-dua belah payudara ibu agar penghasilan susu ibu enjadi sama rata.
Jika ibu hanya memberi bayi menyusu sebelah sahaja, ini boleh mengundang risiko payudara menjadi bengkak akibat saluran susu yang tersumbat dan boleh membawa mudarat kepada mastitis disebabkan susu tidak dikeluarkan dengan baik.
Lama-kelamaan jika bayi tidak menyusu di payudara sebelah itu bakal membuatkan susu di payudara tersebut kering dan menjadikan payudara kekal berbeza saiznya!
Saiz Berbeza Itu Normal
Saiz payudara yang berbeza bagi ibu menyusu adalah sesuatu yang tidak perlu dirisaukan sekiranya bayi menyusu di kedua-dua belah payudara. Payudara yang kecil sebelah kerana bayi menyusu itu normal kerana lekapan bayi dan penyusuan adalah efektif.
Namun jika payudara bengkak dan besar serta terdapat kemerah-merahan maka haruslah mendapatkan khidmat bantuan kaunselor laktasi atau rujuk pada doktor.
Susukan Selalu Elak Block Duct
Pada asasnya bentuk atau saiz tidak mempengaruhi aliran kelancaran susu. Bentuk dan saiz hanyalah berbeza mengikut kepadatan atau ketebalan lemak pada payudara tersebut. Bagi memastikan kelancaran susu adalah melalui lekapan bayi. Lekapan dan penyusuan secara efektif akan membantu melancarkan penyusuan susu ibu. Ibu harus kerap mengosongkan payudara agar tiada susu yang terkumpul sehingga boleh menyebabkan block duct.
Artikel Berkaitan: [Anak Menangis Nak Menyusu, Ibu Pula Nak Bersolat. Mana Satu Lebih Utama, Solat Atau Menyusukan Anak?]
Besar Atau Kecil Bukan Petanda Kuantiti Susu
Ukuran saiz payudara tidak mempengaruhi kuantiti susu ibu. Saiz payudara yang berbeza adalah disebabkan oleh kadar lapisan lemak yang ada padanya. Tidak semestinya payudara dengan lemak yang lebih boleh menghasilkan susu lebih banyak berbanding payudara yang kecil. Penghasilan susu ibu adalah bergantung pada jaringan kelenjar susu ibu, dimana kelenjar susu merupakan tempat untuk menghasilkan serta menyimpan susu ibu.
Kelenjar susu sudah menghasilkan susu sejak dari kehamilan sebagai persiapan kelahiran bayi. Ketika saat ibu hampir melahirkan, kelenjar susu akan mula membengkak kerana susu sudah terbentuk dan matang untuk diberikan pada bayi bila-bila masa. Setiap payudara, biar besar atau kecil mana pun saiznya pasti cukup untuk menghasilkan susu.
Kapasiti payudara yang kecil akan membuatkan bayi kerap menyusu dan sekaligus susu akan kembali terhasil untuk penyusuan seterusnya. Bekalan susu tetap cukup untuk bayi cuma jarak penyusuan adalah lebih kerap berbanding ibu yang mempunyai payudara berkapasiti besar.
Artikel Menarik: [Susu Yang Diperah Pada Waktu Malam Boleh Menyebabkan Bayi Mengantuk & Kurang Aktif. Ini Jawapannya]
Secara kesimpulannya, saiz payudara tidak mempengaruhi kuantiti atau kualiti susu. Jika ibu mahukan kuantiti susu yang lebih banyak dan tidak terputus bekalannya sehingga dua tahun, fahami konsep demand vs supply. Lebih kerap payudara dikosongkan, lebih banyak susu yang akan terhasil tidak kira apa sekalipun saiz payudara ibu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadikan Aktiviti Memberus Gigi Menyeronokkan! Biarkan Anak Anda Meniru Anda

Isi Kandungan
ToggleSama seperti kesihatan dan kebersihan tubuh badan yang lain, gigi juga perlu diutamakan! Ini kerana gigi yang cantik, bersih, putih mampu membentuk satu senyuman yang menawan. Semua individu dewasa sudah pasti mengetahui akan kepentingan menggosok gigi dan mungkin akan melakukannya sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
Namun, bagaimana pula dengan seorang bayi atau kanak-kanak? Kadangkala, ibu bapa tidak mengambil berat akan kepentingan menggosok gigi anak atau pemilihan berus gigi dan ubat gigi anak.
Sebenarnya, ini adalah tidak sepatutnya berlaku. Gigi anak yang masih kecil juga memerlukan penjagaan dan perhatian yang sama dengan individu dewasa. Disebabkan anak anda masih kecil dan tidak boleh lagi membeli peralatan penjagaan gigi mereka sendiri, anda sebagai ibu bapa perlu membantu mereka. Persoalannya, bagaimana untuk membantu mereka? Apa yang ibu bapa perlu tahu mengenai berus gigi anak? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Fakta mengejutkan mengenai berus gigi!
Sebelum artikel ini mengupas lebih lanjut mengenai berus gigi bayi dan kanak-kanak, apa kata kita lihat dahulu beberapa fakta mengejutkan mengenai berus gigi.
Setiap kali berbicara mengenainya, apa yang akan terlintas di dalam fikiran anda terlebih dahulu? Sudah pasti anda akan beranggapan ia adalah alat yang berguna untuk membantu anda memastikan gigi anda sentiasa bersih dan sihat.
Disebabkan ia selalu digunakan, anda mungkin menyangka bahawa ia adalah objek yang paling bersih di dalam rumah anda. Namun begitu, ini tidak benar sama sekali. Berikut merupakan beberapa fakta mengejutkan mengenainya.
#1. Ia adalah rumah berjuta-juta bakteria
Ya, walaupun agak mengejutkan dan menjijikkan, hakikatnya ia adalah rumah kepada pelbagai jenis bakteria seperti berikut:
- Najis, najis mungkin melalui udara dan melekat padanya jika anda membiarkan penutup tandas terbuka.
- Coli, punca utama cirit-birit.
- Herpes simplex, yang menyebabkan lepuh sejuk.
- Hepatitis A, B, dan C.
- Streptococcus mutans,yang menyebabkan hakisan enamel gigi, pereputan gigi dan kerosakan gigi.
- Streptokokus Beta-hemolitik, penyebab jangkitan strep pada tekak anda.
- Staphylococci, yang menyebabkan jangkitan kulit.
- Porphy-romonas gingivalis, yang menyebabkan penyakit gusi.
- Candida albicans, yang menyebabkan ruam, kulit kering, kelemumur, kurap, kaki makan air.
#2. Ia sangat mudah tercemar
Sinki
Setiap kali anda mencuci tangan, air yang terpercik dari tangan boleh melekat pada berus gigi anda. Dengan itu, bakteria yang cuba anda singkirkan dengan membasuh tangan boleh terbawa terus ke mulut anda!
Tandas
Setiap kali anda mengepam tandas dengan penutup yang terbuka, bakteria dan virus daripada semburan tandas boleh kekal dalam udara cukup lama untuk sampai kepada setiap permukaan bilik mandi. Sekiranya ia jatuh di atas lantai bilik mandi, ia adalah sama seperti anda memberusnya pada kaki anda.
Jadi ternyatalah ia bukanlah satu objek yang paling bersih seperti mana yang anda sangkakan selama ini. Sebaliknya, ia adalah objek yang sangat mudah tercemar dengan bakteria kerana ia seringkali diletakkan di tempat yang terdedah dengannya seperti sinki atau tandas. Jadi apa yang boleh dilakukan?
Bagaimana untuk memastikan ia bersih?
Caranya mungkin kedengaran mudah sahaja namun itulah satu-satunya cara yang boleh dilakukan. Ia perlu disimpan dengan baik untuk memastikan ia kekal bersih.
Cara penyimpanannya tidak semudah yang difikirkan kerana ia boleh mengandungi berjuta-juta bakteria. Oleh itu, pastikan anda simpannya di tempat yang ia boleh kering dengan mudah dan cepat. Anda juga harus elakkan daripada meletakkan kesemua berus gigi dalam satu bekas kerana kuman boleh berpindah dengan mudah.
Kebanyakan kita menyimpannya di dalam bilik air yang merupakan tempat penuh dengan bakteria. Maka, jangan letakkan berus gigi anda berdekatan sinki atau tandas kerana bakteria daripada situ boleh berpindah melalui udara dan sampai ke berus gigi anda. Anda juga dinasihatkan agar menutup penutup mangkuk tandas sebelum mengepam air.
Cara yang mudah ini mungkin akan membantu anda menghalang dan membasmi bakteria daripada menjadikan berus gigi anda sebagai rumahnya. Dengan itu, ia sekali gus akan memberi kesan yang sangat positif dalam hal penjagaan gigi bayi dan kanak-kanak.
Asas penjagaan berus gigi
Dalam pada itu, anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa perkara mengenai asas penjagaan berus gigi yang sangat penting.
#1. Jangan berkongsi
Sama seperti jangkitan lain, berkongsi berus gigi adalah perbuatan yang tidak patut kerana ia boleh membawa kepada jangkitan yang disebarkan melalui air liur dan cecair tubuh badan yang lain. Amalan ini boleh menjadi kebimbangan khusus bagi mereka yang memiliki sistem imunisasi badan yang rendah atau sememangnya sudah dijangkiti penyakit berjangkit berbahaya seperti HIV atau AIDS.
#2. Elak simpan di dalam bekas
Anda mungkin menyangka bahawa menyimpannya di dalam bekas boleh melindungi berus gigi anda dari sebarang kekotoran yang lain. Akan tetapi, menyimpannya di dalam bekas tertutup sebenarnya boleh menyebabkan pertumbuhan mikroorganisma lebih kondusif berbanding dalam udara terbuka.
#3. Ganti berus gigi
Berus gigi akan menjadi haus selepas beberapa bulan digunakan dan ia bergantung kepada kekerapan penggunaannya. Berus gigi bayi dan kanak-kanak perlu lebih kerap diganti berbanding berus gigi dewasa kerana ia lebih lembut dan mungkin anak anda yang masih kecil belum pandai untuk menjaganya dengan betul.
Sama seperti individu dewasa, berus gigi bayi dan kanak-kanak juga perlu dipandang serius. Berikut merupakan apa yang ibu bapa perlu tahu mengenai berus gigi anak.
Berus gigi & bayi
Ibu bapa yang mempunyai anak sahaja yang akan memahami kesukaran dan kesusahan menggosok gigi anak. Disebabkan sudah lumrah seorang kanak-kanak itu bersemangat dan berakal, mereka sudah pasti akan melakukan bermacam cara untuk melarikan diri atau melepaskan diri mereka daripada aktiviti yang menggunakan berus gigi dan ubat gigi itu.
Mengapa ini berlaku? Sebenarnya, kanak-kanak ini liat dan tidak mahu untuk menggosok gigi kerana mereka tidak diajar seawal usia mereka. Menurut seorang doktor gigi iaitu Dr. Zulaika Hosni, penjagaan gigi kanak-kanak perlulah dimulakan sejak mereka masih bayi lagi iaitu ketika sebelum gigi kanak-kanak tumbuh.
Mungkin bagi ibu bapa, ia jauh lebih sukar untuk menggosok gigi bayi memandangkan mereka masih tidak memahami kata-kata dan arahan anda. Pun begitu, ia sebenarnya agak mudah untuk dilakukan jika betul caranya.
Paling penting, ibu bapa perlu mengetahui apa dan bagaimana berus gigi bayi yang paling sesuai untuk digunakan. Ia sebenarnya adalah bergantung kepada keadaan dan situasi.
Anda mungkin berasa lebih mudah untuk menggosok gigi bayi anda dengan menggunakan kain kasa atau tuala basah sahaja. Jika ya, anda boleh lilitkannya di sekeliling jari dan letakkan lapisan nipis ubat gigi bayi ke atasnya. Kemudian, gosokkan ia kepada gusi dan gigi perlahan-lahan.
Namun begitu, pilihan yang lebih tepat adalah dengan menggunakan berus gigi bayi. Apa yang penting adalah berus gigi tersebut mempunyai kepala yang kecil, nilon yang lembut dan selesa untuk dipegang. Caranya juga sama iaitu letakkan lapisan ubat gigi bayi ke atasnya dan gosokkan secara perlahan-lahan di bahagian dalam dan luar gigi bayi.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan berus gigi yang direka khas untuk bayi iaitu “berus gigi jari”. Ia sangat kecil, comel, senang digunakan dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Bagaimana pula dengan ubat gigi? Adakah bayi boleh menggunakan ubat gigi dewasa? Tidak, bagi bayi berumur di bawah usia setahun, tiada keperluan untuk mereka menggunakan sebarang ubat gigi. Namun, bagi kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun pula, hanya dengan sedikit atau lapisan nipis ubat gigi melitupi tiga suku berus gigi sudah mencukupi.
Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas, beruslah gigi anak anda dengan ubat gigi bersaiz kacang pis. Kini, telah banyak ubat gigi untuk bayi dan kanak-kanak di pasaran. Ia jauh lebih manis dan tidak berangin seperti ubat gigi dewasa, sesuai untuk mereka. Namun begitu, jangan pula mereka terlalu gemar ubat gigi sehingga menelannya begitu sahaja pula.
Teknik menggosok gigi bayi
Selain daripada berus gigi dan ubat gigi, teknik menggosok gigi bayi juga adalah sangat penting. Berikut merupakan beberapa teknik berguna dan berkesan yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menggosok gigi bayi:
#1. Teknik dua orang

Jika bayi anda mengamuk teruk, salah seorang daripada anda boleh duduk di kerusi sambil memeluk bayi di atas riba. Baringkan kepala bayi di atas riba anda sambil memegang tangannya. anda boleh memegang kepala bayi dan memaksa dia membuka mulut untuk menggosok giginya.
#2. Teknik seorang

Ibu atau bapa boleh berdiri di belakang bayi dan menggosok gigi sambil memegang kepala mereka. Ataupun, anda duduk di bawah dan letakkan bayi di celah kaki dan memeluknya. Kemudian anda boleh menggosok gigi bayi sambil memegang kepalanya.
Ya, ia mungkin kelihatan agak kasar, namun anda perlu tahu bahawa kesihatan dan kebersihan gigi sangat perlu diberi perhatian khusus. Anda juga perlu tahu bahawa teknik ini tidak perlu dilakukan setiap hari dan hanya perlu digunakan sebagai langkah terakhir jika bayi mengamuk tidak mahu menggosok gigi.
Dengan cara ini, mereka mungkin akan mengamuk ketika itu namun pada masa yang sama, belajar akan kepentingan menggosok gigi. Lama-kelamaan, mereka sendiri akan sedar bahawa aktiviti menggosok gigi ini adalah sangat perlu dilakukan sama ada mereka suka atau tidak demi mengelakkan masalah pada gigi kelak.
Setelah bayi sedikit membesar menjadi seorang kanak-kanak, lain pula halangan dan cabaran yang akan dihadapi oleh ibu bapa.
Berus gigi & kanak-kanak
Memberus gigi bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan bagi seorang bayi ataupun kanak-kanak. Kadangkala, anda perlu bergelut dengan mereka pada masa menggosok gigi kerana dalam hari-hari tertentu, mereka akan membuatkan bilik mandi anda huru-hara dan berantakan dengan tangisan, jeritan, dan tantrum. Ini kerana kanak-kanak tidak mahu gigi mereka digosok atau dalam pendirian mereka, ditonyoh dengan kasar.
Walau bagaimanapun, pada hari ketika mood kanak-kanak dalam keadaan yang baik, anak anda mungkin mahu ‘sedikit kebebasan’ untuk mereka menggosok gigi dengan cara mereka sendiri. Anda akan lihat hasil yang tidak dijangka dengan keadaan air dan ubat gigi bersepah di sekeliling bilik mandi anda. Jadi, bagaimana untuk menjadikan masa memberus gigi bersama anak anda sebagai detik yang menyeronokkan dan efektif? Mari cuba beberapa tip di bawah ini:
#1. Biarkan anak anda memilih berus gigi mereka sendiri
Ketika pertama kali menggunakan berus gigi yang sebenar, biarkan anak anda memilih sendiri sebarang berus gigi yang mereka inginkan. Anda mungkin hanya perlu membantu mereka dengan cara untuk menggunakan berus dan ubat gigi yang mereka pilih.
Anda mungkin boleh membantu kanak-kanak dengan cara mengehadkan bilangan berus gigi yang perlu mereka pilih, berdasarkan usia anak anda. Sebaik sahaja anak anda menyukai berus gigi yang dipilihnya, anda akan lihat mereka tidak sabar dan teruja setiap kali sesi menggosok gigi dilakukan.
#2. Mulakan dengan perlahan-lahan
Jangan tergesa-gesa menyuruh dan memaksa anak anda untuk mula belajar menggunakan berus gigi dengan segera. Sebaliknya, anda perlu melakukannya perlahan-lahan dan berperingkat. Pada mulanya, anda boleh biarkan mereka meneroka dan terbiasa dengan berus gigi tersebut dengan menggunakan tangan mereka sendiri.
Namun, jangan biarkan anak anda memilih berus gigi yang telah digunakan kerana ia mempunyai banyak bakteria. Sebaliknya, anda perlu berikan anak kecil berus gigi yang bersih dan biarkan mereka bebas bermain dengan ‘mainan’ baru mereka itu.
Apabila mereka telah terbiasa dengan tekstur bulu pada berus gigi, anda boleh mula mengajarnya mengunakan berus gigi. Bagi memastikan anak anda selamat, ibu bapa perlu berada di samping kanak-kanak semasa mereka mengendalikan berus gigi sendiri.
#3. Ambil giliran
Mengambil giliran adalah salah satu cara lain untuk menjadikan sesi menggosok gigi lebih menyeronokkan. Anda boleh membiarkan anak kecil anda menggosok gigi anda dahulu, kemudian giliran anda pula untuk menggosok gigi anak. Dengan ini, hubungan kekeluargaan sesama anda juga akan menjadi lebih rapat.
#4. Jadikan ia menyeronokkan! Biarkan anak anda meniru anda
Tunjukkan tauladan yang baik untuk kanak-kanak. Anda boleh mula memberus gigi dahulu, dan kemudian minta anak anda meniru perlakuan anda memberus gigi. Disebabkan sudah sifat kanak-kanak yang menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh, jadi anda perlu jadi “role model’’ yang baik buat mereka.
#5. Takutkan mereka, atau hanya berpura-pura untuk menakutkan anak
Ini bukannya kaedah paling baik yang boleh digunakan ketika menggosok gigi anak. Namun, dalam sesetengah kes, anda boleh mencuba cara ini. Walau bagaimanapun, anda harus mengelak daripada menakutkan mereka dengan latihan pergigian kerana ia hanya akan memberikan kesan negatif berbanding kesan positif.
Sebagai alternatif, anda boleh membuat cerita di mana cacing, kuman, dan serangga boleh hidup di dalam mulut jika kanak-kanak tidak memastikan gigi mereka bersih, dengan cara kerap memberus gigi. Cara ini boleh jadi bermanfaat jika anak anda takut akan cerita anda.
Konklusi
Konklusinya, berus gigi adalah perkara yang sangat penting dalam penjagaan kesihatan dan kebersihan gigi bayi sama seperti ubat gigi. Ia bukan sahaja penting malah tanpanya, agak mustahil untuk menggosok gigi bayi dan kanak-kanak yang sudah pasti akan meragam kerana tidak suka akan aktiviti itu.
Kini, terdapat banyak berus gigi bayi dan kanak-kanak di pasaran. Pun begitu, anda sebagai ibu bapa perlu memilih berus gigi yang paling sesuai, kecil dan mudah digunakan oleh anda. Jika mereka masih lagi membuat perangai ketika menggosok gigi, ajarkan kepada mereka dengan perlahan-lahan akan kepentingan menjaga kesihatan gigi.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bayi Kerap Batuk, Ini Puncanya Yang Ibu Ayah Perlu Tahu! Jangan Biarkan Lebih Dari 3 Minggu

Apabila baby batuk berkahak, pastinya ibu ayah akan berasa susah hati. Jom ketahui punca serta kaedah untuk mencegahnya agar masalah anak batuk dapat diatasi.
Apabila anak batuk
Batuk adalah refleks sukarela yang membantu anak membersihkan saluran pernafasan daripada lendir atau perengsa seperti zarah debu.
Jadi apabila si kecil batuk, mengetahui puncanya dapat memberikan jalan penyelesaian terbaik untuk si kecil pulih dengan segera.
Perlu diingatkan bahawa batuk biasanya akan hilang dengan sendiri dalam tempoh 3-4 minggu.
Baby batuk berkahak: Fahami jenisnya
Seperti individu dewasa, bayi dan kanak-kanak boleh menghidap pelbagai jenis batuk.
- Batuk basah (batuk dada/ chesty cough) – penumpukan lendir pada bahagian tekak atau dada dan boleh menjadi punca baby batuk berkahak
- Batuk kering – Terjadi kerana tekak berasa gatal, umumnya ia tidak akan menyebabkan penghasilan kahak
- Batuk juga boleh digambarkan sebagai akut atau kronik.
Batuk yang dialami selama tidak lebih 3 minggu dikategorikan sebagai akut dan biasanya disebabkan oleh virus atau jangkitan.
Manakala jika batuk yang dialami anak berlanjutan lebih daripada 8 minggu, doktor akan menganggapnya sebagai batuk kronik atau berpanjangan.
Batuk jenis ini biasanya didasari oleh keadaan kesihatan tertentu atau masalah kesihatan sedia ada seperti asma, si kecil mempunyai refluks atau alahan.
Punca baby batuk berkahak
Batuk terjadi akibat saluran pernafasan bayi mengalami iritasi atau terjejas dengan cara tertentu.
Ia mungkin disebabkan penumpukan lendir berlebihan yang berkaitan dengan penyakit virus atau perengsa persekitaran seperti debunga atau asap.
Anda boleh melihat simptom anak yang lain untuk membantu mengurangkan penyebabnya.
1. Selesema & flu
Terdapat pelbagai jenis virus selesema yang mungkin menyerang si manja anda. Antara kesannya, hidung tersumbat, demam, bersin dan sudah tentu, anak batuk.
Rawatan yang boleh diberikan adalah dengan memberikan mereka keselesaan dan menggunakan ubat over-the-counter bagi mengatasi demam dan kesakitan.
Tanda-tanda flu pada bayi termasuklah:
- Demam
- Menggigil
- Sakit badan dan kepala
- Sakit tekak
- Hidung tersumbat
- Batuk kering
- Anak juga mungkin akan mengalami sakit perut bersama muntah atau cirit-birit.
Doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat antivirus jika keadaan itu dapat dikesan awal.
Jika tidak, memastikan anak berehat, pengambilan cecair mencukupi serta penggunaan ubat untuk menggurangkan demam adalah rawatan yang boleh dilakukan.
2. Baby batuk berkahak #Kroup
Anda pasti tidak akan tersilap apabila mendengar bunyi batuk kroup ini, yang kedengaran seperti anjing laut menyalak.
Walaupun gejala setiap bayi adalah berbeza, namun si manja mungkin akan mengalami:
- Hidung berair
- Laringitis – kehilangan suara
- Demam
- Stridor – bunyi bersiul bernada tinggi ketika bernafas
Kroup ringan boleh dirawat di rumah dan untuk keadaan yang teruk, ia boleh diatasi dengan rawatan pernafasan atau steroid.
3. Pneumonia
Selesema, flu atau penyakit lain boleh berkembang menjadi radang paru-paru atau bayi boleh mendapatnya melalui kanak-kanak atau individu dewasa lain yang mempunyai penyakit tertentu.
Keadaan bayi batuk berkahak ini adalah produktif kerana mengeluarkan lendir dan boleh menyakitkan.
Si kecil mungkin akan mengalami demam, keletihan, dan muntah atau cirit-birit. Rawatan yang boleh diberikan seperti antibiotik, pengambilan cecair tambahan dan rehat.
4. Batuk kokol
Bersama demam dan hidung berair, bayi boleh mengalami batuk ringan dengan pertussis (batuk kokol).
Pada tahap kedua, batuk anak akan bertambah teruk dan berterusan. Selain kedengaran kering dan keras, batuk ini turut menghasilkan bunyi ‘whoop’. Anak anda mungkin memerlukan antibiotik dan/atau dimasukkan ke hospital untuk lekas sembuh.
5. Baby batuk berkahak #Asma
Virus adalah pencetus asma biasa pada bayi berusia 6 bulan ke bawah. Bayi akan alami batuk berlarutan dan mungkin disertai bunyi berdehit serta pernafasan berlebihan. Gejala lain adalah:
- Pernafasan cepat
- Masalah penyusuan/makan
- Keletihan
- Kulit pucat atau kebiruan
Rawatannya akan melibatkan ubat asma tertentu.
6. Alergi
Bayi juga boleh mengalami alahan terhadap makanan, bahan tertentu atau bermusim. Anak batuk boleh menjadi antara gejala alergi tetapi ia jarang berlaku.
Jika mengesyaki si kecil ada alahan, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
7. Refluks
Bayi kerap meludah, kehilangan berat atau pemarah semasa atau selepas menyusu? Ia mungkin disebabkan refluks.
Batuk dengan refluks biasanya kronik kerana aliran balik kandungan perut dan asid yang konsisten.
Ada bayi yang akan pulih seiring peredaran masa, tetapi sesetengah si kecil mungkin memerlukan rawatan untuk pulih.
Pemeriksaan doktor jika baby batuk berkahak
Tidak kira apa puncanya, jika anak batuk mempunyai gejala berikut, lakukan pemeriksaan doktor segera:
- Kesukaran bernafas
- Sesak nafas
- Demam panas – Lebih 38°C untuk bayi bawah 3 bulan, dan lebih 39°C untuk bayi berusia 3 bulan ke atas
- Batuk berdarah
- Masalah menelan
- Sukar membuka mulut
- Bengkak sebelah tonsil
- Bayi baru lahir batuk
- Batuk berterusan lebih 8 minggu
- Batuk bertambah teruk dalam tempoh 3 minggu
- Batuk dengan peluh malam atau kehilangan berat
- Bayi batuk berkahak atau kering dengan berdehit atau pernafasan cepat
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Jom daftar sekarang, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI