
Seorang ibu muda dari Texas, Amerika Syarikat, mencuri tumpuan dunia maya apabila berkongsi perkembangan luar biasa anaknya yang baru berusia empat bulan tetapi sudah mencecah hampir 10 kilogram!
Maci Mugele, 21, menerusi akaun TikTok miliknya berkongsi rakaman bersama si comel, Gunner Matteyer dan video tersebut telah meraih lebih 20 juta tontonan di seluruh dunia!
Dilahirkan pada 19 Februari, Gunner mempunyai berat lahir normal iaitu 3.65 kg dengan ketinggian 49.5 cm. Namun kini, hanya empat bulan selepas itu, beratnya mencecah 9.97 kg dan tinggi 76.2 cm!
“Biarpun baru berumur empat bulan, Gunner kini seberat 9.97 kg dan tinggi 76.2 sm. Dia juga memakai pakaian kanak-kanak dan minum susu lebih banyak berbanding bayi lain seusianya,” jelas Maci dalam laporan The Sun UK.
Apa yang menggembirakan, Gunner diperiksa secara berkala dan disahkan sihat oleh doktor. Menurut ibunya, doktor menyatakan Gunner hanyalah seorang bayi yang lebih besar daripada biasa dan perkembangan fizikalnya adalah selari dengan pertumbuhan normal.
“Bayi saya sihat. Doktor beritahu bahawa dia cuma lebih besar daripada kebiasaan untuk usianya,” katanya.
Rata-rata warganet memberikan respon positif dan terhibur melihat kecomelan Gunner yang tembam dan tinggi bak kanak-kanak berusia setahun! Antara komen yang mencuit hati:
💬 “Dia tak perlukan walker, dia boleh tolak troli!”
💬 “Bayi itu sihat. Itu sahaja yang penting.”
💬 “Dia nampak macam boleh jaga adik dia sendiri!”
Menurut Pakar Pediatrik, pertumbuhan setiap bayi adalah berbeza-beza. Ada bayi yang montel dan cepat membesar, ada yang kecil molek tetapi sihat.
Apa yang penting, pemantauan berkala bersama doktor serta carta tumbesaran digunakan untuk pastikan bayi membesar secara seimbang. Antara perkara yang ibu ayah boleh pantau:
Berat dan tinggi badan setiap bulan
Perkembangan motor seperti meniarap, angkat kepala, genggam mainan
Corak penyusuan dan kekerapan buang air
Kes Gunner membuktikan bahawa bayi yang montel bukan semestinya obes. Selagi doktor sahkan bayi aktif, menyusu baik dan tiada masalah kesihatan, ibu ayah tak perlu panik.
Bayi membesar mengikut acuan masing-masing. Ada yang montel, ada yang langsing — semua comel dan istimewa ❤️
Mama papa pun ada bayi tembam dan montel macam Gunner? Jom kongsikan kisah si manja dengan kami!
Sumber : Sinar Harian