“Dia menjerit meminta tolong..” Jeritan seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun berjaya menyelamatkannya daripada terus dikurung dan didera.
Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Thina, 48, berkata kejadian itu disedari isterinya ketika berjoging di kawasan berkenaan.
“Ketika itu kanak-kanak terbabit berada di belebas tingkap di tingkat 4 kondominium berkenaan.
“Dia menjerit meminta tolong kerana sudah tidak tahan didera oleh seorang wanita di rumah itu,” katanya.
Terperangkap di belebas tingkap
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki itu dipercayai mangsa dera berjaya diselamatkan selepas terperangkap pada belebas tingkap di tingkat 4 sebuah kondominium dekat Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang di sini, ketika dia cuba melarikan diri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kejadian disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak bomba pada jam 4.41 petang.
Beliau berkata, kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik berkenaan dan terperangkap di belebas tingkap berkenaan.
“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian jam 4.48 petang tadi mendapati pintu kediaman itu sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan.
“Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai didera berdasarkan kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa adalah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan berseorangan.
“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kredit: Berita Harian ; Gambar: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia)
Si manja suka bergambar? Jom, mama papa kongsikan foto aksi bayi anda bertemakan Jungle Cuties untuk peraduan Pencarian Bayi Pa&Ma! Mana tahu ada rezeki boleh menang banyak hadiah menarik. Nak hantar gambar anak klik saja link ini: https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/
Akhlak yang mulia merupakan asas untuk menjadi insan yang Berjaya. Oleh itu sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab anda dalam membentuk akhlak yang mulia untuk anak-anak
1. Sewaktu hamil, anda dan pasangan perlu sentiasa mematuhi suruhan ALLAH SWT dan menjauhi laranganNYA.
2. Sewaktu hamil juga perlulah ditingkatkan amal ibadah seperti berpuasa sunat, membaca Al-Quran terutamanya surah Yusof, Surah Maryam, Surah Toha, Surah Luqman dan tak lupa juga surah Al-Fatihah.
3. Setelah dilahirkan segeralah diazankan serta iqamat sebelum bayi itu mendengar perkataan-perkataan lain.
4. Didik supaya taat dan menghormati ibu bapa serta orang yang lebih tua. Berikan kesedaran bahawa pengorbanan ayah dan ibu sangat besar dan mereka perlu bersyukur dengan apa yang ada. Hormat orang yang lebih tua seperti atuk, nenek dan guru kerana mereka lebih berpengalaman dan banyak pengetahuannya.
5. Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak. Bercakaplah dengan sopan santun dan berkata benar setiap kali menuturkan kata. Perkataan juga haruslah yang baik-baik sahaja supaya anak-anak terikut dengan apa yang kita lakukan.
6. Mengajar adab bergaul kepada anak-anak supaya mereka tidak sombong, berbangga diri di hadapan rakan atau orang sekeliling. Terapkan nilai murni dan nasihatkan supaya mereka tidak menyakiti atau mengambil hak orang lain.
7. Pakaikan pakaian yang sesuai untuk mereka. Tak salah beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih pakaian mereka sendiri, tetapi perlu diterangkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang tidak untuk dipakai. Yang penting tidak menunjuk-nunjuk.
8. Dedahkan seawal mungkin kepada anak ilmu agama. Ia sebenarnya menjadi asas kehidupan anak di dunia. Ilmu agama yang membimbing anak mempelajari ilmu dunia serta mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
9. Pastikan anak sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadat wajib yang lain. Seawal usia tujuh tahun dia perlu diajarkan solat. Masuk sahaja umur 10 tahun, jike enggan mengerjakan solat mereka perlu dipukul.
10. Ajarkan adab-adab sunnah dalam kehidupan seharian seperti adab tidur, makan, berpakaian dan sebagainya.
11. Manusia cepat meniru orang lain, jadi ajarkan anak kecil anda untuk berkawan dengan golongan yang baik-baik agar semua kebaikan dapat ditiru dan dipraktikkan dalam kehidupan mereka.
12. Anda tidak boleh berkompromi dengan sikap nakal anak yang melakukan perbuatan tidak baik. Jangan anggap itu perkara biasa kerana kebiasaan itu akan kekal dalam diri mereka jika tidak diubah ketika kecil.
13. Jangan leka dan teruslah mendidik anak tentang akhlak-akhlak mulia agar dia sentiasa menjadi insan yang baik.
14. Kasih sayang merupakan salah satu kunci akhlak mulia. Apabila si kecil anda rasa disayangi, dimiliki dan dihormati, ia dapat menghalang dirinya daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai. Anak yang terdidik akhlaknya tidak akan mengecewakan keluarga yang sentiasa mengasihinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi isteri yang bekerja atau suri rumah kedua-duanya memerlukan pengorbanan. Tidak ada yang kurang isteri bekerja dan suri rumah saling diperlukan oleh keluarga.
Menyelusuri cabaran rumah tangga, hanya suami isteri yang rasa. Air mata, harta, masa dan kudrat tercurahkankan tanpa mengenal penat lelah. Asalkan masih bersama-sama melihat anak membesar di depan mata.
Suami yang mahu isteri menjadi suri rumah atau terus bekerja perlu mempunyai perkiraannnya. Berbincang suami isteri terlebih dahulu dan bertanya orang lain mungkin boleh memberikan keputusan yang tepat selain melakukan istikharah yang Maha Esa. Bila hati sudah tekad dan segala usaha serta tawakal dilakukan segalanya akan dipermudahkan.
Bapa ini berkongsi pengalamannya sendiri di mana isteri menjadi suri rumah. Mengharungi ujian dalam rumah tangga tatkala isteri menjadi suri rumah diceritakan sendiri berdasarkan apa yang telah dilalui. Kisah benar yang boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa yang lain.
Sebelum saya bermula, penulisan ini bukan bertujuan untuk membandingkan antara suri rumah sepenuh masa dan isteri yang bekerja.
Harapan saya adalah untuk memberi sedikit sebanyak perkongsian mengenai kehidupan kami sebagai keluarga yang mempunyai “setup” atau set peranan suami bekerja dan isteri suri rumah sepenuh masa. Kita berikan nama set keluarga ini sebagai “keluarga suri rumah”.
Kesenangan yang saya maksudkan di sini bukan bersenang – lenang seperti orang kaya, tetapi cukup sekadar sentiasa mempunyai wang untuk berbuat sesuatu. Jika anda tidak ingin melepaskan keadaan sebegini dan fokus anda ingin menyediakan wang yang secukupnya untuk masa depan diri sendiri dan keluarga, mungkin anda akan tidak menyukai kehidupan keluarga suri rumah.
Akan tetapi, jika anda lebih fokus kepada masa berkualiti bersama keluarga, sentiasa bersama suami dan melihat anak – anak membesar setiap masa, keluarga suri rumah akan menjadi dunia yang sangat indah buat anda dan pasangan walaupun terdapat banyak kekurangannya nanti.
Ada satu perkara penting dan utama yang boleh saya katakan kritikal di dalam persediaan untuk menjadi satu keluarga suri rumah, iaitu hutang peribadi suami atau isteri. Hutang ini bakal menentukan sama ada keluarga itu mampu atau tidak mampu untuk menjadi keluarga suri rumah.
Kebiasaannya sebelum berkahwin, bakal suami akan tersedia mempunyai hutang sama ada kereta atau rumah atau pinjaman peribadi / pelajaran. Sudah tentulah lelaki itu mampu membayar hutang – hutang ini apabila hidup sendiri. Tetapi apabila sudah berkahwin, segala – galanya akan berubah. Kos kehidupan akan menjadi lebih tinggi dan tanpa di sedari, yang mampu akan menjadi tidak mampu.
Masalah akan datang jika bakal isteri JUGA mempunyai hutang, ini bagi saya adalah satu keadaan di mana pasangan ini TIDAK MAMPU untuk menjadi keluarga suri rumah.
Ini kerana, dua sumber hutang adalah amat sukar untuk diselesaikan oleh satu sumber kewangan. Bakal suami ada kereta, bakal isteri pun ada kereta. Dua hutang kereta yang perlu dibayar. Jika si isteri menjadi suri rumah, agak mustahil bagi si suami untuk membayar hutang kedua – dua kereta setiap bulan.
Dalam pemerhatian saya, pasangan yang baru berkahwin jarang sekali mahu melepaskan kereta mereka. Jadi mereka terus menjadi keluarga yang mempunyai dua kereta dan dalam masa yang sama mengeluh tidak mampu untuk menjadi keluarga suri rumah.
Jika betul – betul ingin membina keluarga suri rumah, salah seorang perlu berkorban.Sama ada bakal suami atau bakal isteri. Gunakan 1 kereta sahaja. Mungkin 1 lagi kereta boleh digantikan dengan motor juga jika mahu. Pokok pangkalnya ialah meminimumkan hutang terkumpul itu. Jika hutang dapat diseimbangkan dengan pendapatan suami, pasangan itu akan mampu menjadi keluarga suri rumah.
Amat penting sekali kita mempunyai minda yang positif. Perlu setkan dalam minda suami dan isteri, apa yang biasa ada dahulu mungkin tidak ada lagi. Contohnya, kuasa membeli isteri akan banyak berkurangan. Jika sebelum ini si isteri boleh membeli apa yang dimahukan pada bila – bila masa sahaja, kemungkinan besar ia akan menjadi amat terhad. Kebergantungan kewangan akan disandarkan kepada suami 100%. Jika anda dapat setkan minda kepada situasi ini sebelum bermula menjadi suri rumah sepenuh masa, ianya akan menjadi mudah.
Di sini, suami perlu memainkan peranan yang lebih penting. Suami perlu sedar yang isteri bakal mengharapkan suami dari semua segi. Keperluan diri si suami perlu sama atau kurang dari keperluan isteri. Tidaklah menjadi satu kesalahan jika meletakkan keperluan isteri di hadapan. Sebagai contoh, keperluan asas seperti tv, telefon bimbit, dan internet. Ya, pada masa kini, telefon bimbit dan internet boleh saya katakan yang ianya suatu keperluan asas.
Kenapa perlu sediakan semua ini? Kerana kita akan menjaga seorang isteri, bukan seorang pembantu rumah. Takkan kita nak mereka termenung tengok dinding sementara tunggu kita balik kerja? Sediakan kemudahan untuk digunakan isteri supaya mereka berasa selesa dan tidak bosan. Ini antara perkara yang perlu diusahakan walau bagaimana cara sekalipun. Jika ada kekurangan di bahagian ini, percayalah yang anda akan sedikit sebanyak menyeksa pasangan anda.
Keperluan peribadi Isteri juga jangan diabaikan. Keperluan alat solek dan kecantikan diri perlu dijaga. Sebulan atau dua bulan sekali perlu bawa isteri ke Guardian atau Watson untuk mereka membeli barang keperluan diri mereka. Biasakan diri dengan cleanser, scrub, toner dan moisturizer.
Penjagaan diri dan rambut juga perlu diberi perhatian. Hair treatment sebenarnya adalah satu perkara yang penting. Jangan hanya tahu mengadu rambut gugur yang banyak di rumah jika anda tidak membawa isteri ke salon sekali sekala.
Jangan pula lupa, sediakan juga peralatan dan barangan dapur yang cukup. Saya cadangkan, beli peralatan dapur di Mr. D.I.Y kerana di sana lebih murah dan banyak pilihan. Adalah satu kekecewaan apabila si isteri mahu menyumbang sesuatu tetapi tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.
Persediaan minda juga amat kritikal kepada suami. Perlu sedar, perlu redha dan perlu berubah. Kalau dahulunya sebelum kahwin, kita selalu lepak bersama kawan di mamak, kita perlu kurangkan aktiviti ini dan fokus kepada isteri. Sepatutnya selepas kahwin, kepentingan kawan sepatutnya tidak melebihi kepentingan isteri. Ini paling penting di dalam keluarga suri rumah.
Cuba lepak dengan isteri pula. Jadikan isteri kawan anda. Luangkan masa yang lebih bersama mereka. Isteri hanya ada suami, jadi suami perlu hanya ada isteri. Jika suami mahukan masa bersama kawan sekali – sekala tidak menjadi masalah sebenarnya. Cuma, isteri juga perlukan masa bersama kawan sekali – sekala. Berilah mereka ME TIME supaya hidup mereka tidak sentiasa terkongkong dan stress.
Jika suami tidak mahu berubah, tolong jangan sekali – kali fikir untuk jadi keluarga suri rumah. Anda tidak layak dari segi mentaliti. Anda akhirnya akan membuli dan menghambakan isteri anda nanti.
Kita sebagai suami sepatutnya perlu bersyukur. Kita sudah ada seorang insan yang sudi menjadi teman hidup kita selama – lamanya. Insan itu juga telah melepaskan segala – galanya untuk kita. Untuk berada bersama kita sentiasa, menunggu setia kepulangan kita dari kerja dan menguruskan kehidupan kita. Jika ini masih tidak cukup, saya ucapkan selamat berjaya kepada kehidupan keluarga anda.
Bagi suami, ini dari pengalaman saya sendiri. Tiada apa yang lebih bahagia apabila pulang dari kerja, disambut dengan jeritan kegembiraan anak dan isteri. Semasa kita keletihan seharian bekerja, jeritan mereka sudah boleh di dengari saat memasukkan kunci ke tombol pintu rumah.
Pelukan penuh kasih sayang dari anak dan isteri boleh menghapuskan semua masalah yang sedang melanda biarpun hanya dalam beberapa saat. Bila merasakan sendiri betapa rindunya anak dan isteri kepada kita walaupun hanya berpisah tidak sampai setengah hari, bakal memberi keyakinan diri yang tinggi kepada anda.
Hubungan sesama ahli keluarga juga akan bertambah erat. Ibu dan anak menghabiskan masa seharian bersama. Sudah tentulah banyak yang boleh dipelajari oleh anak dan banyak kerenah anak yang boleh dilayan oleh ibu. Ini hasil dari masa yang banyak tersedia untuk keluarga.
Suami juga akan menjadi lebih terurus kerana banyak keperluan peribadi boleh disediakan isteri. Contohnya dari segi pakaian dan makan minum. Baju kerja bergosok tersedia setiap hari, makanan yang dimasak sendiri oleh isteri terhidang setiap kali waktu makan tiba. Boleh saya katakan, tiada masakan yang lebih menyelerakan dari masakan isteri sendiri. Setiap suapan di selangi dengan kesyukuran kerana kebahagiaan ini. Dan disebabkan ini, tidak mustahil suami di dalam keluarga suri rumah akan berisi sedikit. Hehe..
Percaya atau tidak, keluarga suri rumah mempunyai kadar stress yang rendah. Tekanan hanya akan datang dari pengurusan kewangan dan penyediaan keperluan keluarga sahaja. Tekanan terkumpul keluarga di tempat kerja berkurang 50%, tekanan pergi dan balik kerja juga akan berkurang 50%. Ini kerana, hanya seorang sahaja yang keluar bekerja.
Di dalam pengamatan saya, isteri suri rumah sepenuh masa bakal mencungkil bakat yang ada di dalam diri mereka. Sebagai contoh, ada ipar saya yang pandai menjahit dan ada juga yang pandai berniaga termasuklah isteri saya sendiri. Tidak mustahil perkara ini boleh terjadi jika mendapat dorongan dan sokongan yang penuh dari suami. Yang penting, semua perkara dibawa berbincang dengan baik.
Sudah tentulah kelebihan paling utama menjadi suri rumah ialah anda akan menjaga anak anda sendiri dan tidak perlu menghantar anak supaya dijaga oleh orang lain. Menjaga budak kecil bukanlah perkara yang mudah. Saya tidak mahu menghuraikan secara panjang mengenai perkara ini untuk menjaga sensitiviti semua pihak. Cukup sekadar menyatakan yang menjadi suri rumah mempunyai kelebihan di bahagian ini.
Ini yang paling utama. Tahap kewangan keluarga yang lebih rendah dan kuasa membeli yangkurang. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Kira perlu sedar, 1 sumber kewangan pastilah kurang dari dua sumber kewangan.
Apa yang diperlukan oleh pasangan ialah redha dan faham akan keadaan keluarga sendiri. Jika anda tahu kedudukan anda, pasti anda dapat mengubati hati yang tersentuh apabila melihat keluarga lain di sekeliling dapat berbelanja lebih dari anda.
Berhentilah membanding – banding. Bersyukur dengan apa yang ada. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Percayalah, apa yang anda kurang di bahagian ini, anda lebih di bahagian lain. Jangan gusar jika keluarga rakan anda dapat beli kereta baru. Tetapkan dalam hati, In Shaa Allah akan sampai satu hari anda juga akan ada kereta baru. Sementara itu, bersyukurlah dan bersabarlah. Rezeki tidak pernah salah alamat.
Satu perkara yang boleh saya katakan berada di kawasan kelabu ialah perancangan keluarga. Anda tahu kemampuan perbelanjaan keluarga. Jadi, adalah lebih baik anda merancang keluarga anda. Betul, zuriat itu membawa rezeki. Tetapi kita perlu realistik. Jika setiap bulan nak beli susu anak pun masalah, takkanlah anak yang tak sampai setahun sudah kita nak bagi adik? Itu hanya pendapat peribadi saya. Rezeki kalau ada jangan ditolak. Cuma apa yang boleh kita kawal, kita cuba kawal.
Ini hasil maklumbalas di media sosial. Ada orang di sekeliling suri rumah yang beranggapan, wanita yang menjadi suri rumah sepenuh ini adalah malas dan ingin hidup senang kerana tidak mahu bekerja.
Sesiapa yang pernah ada anggapan begini, saya nasihatkan, cuba jadi suri rumah semasa anak – anak masih kecil. Dari luaran nampak seperti banyak masa. Tapi realitinya tidak.
Masa di rumah akan dipenuhi dengan melayan karenah anak – anak. Membuat kerja – kerja rumah dan sebagainya. Anda perlu jadi sendiri untuk merasai betapa tidak cukup masanya suri rumah sebenarnya untuk diri mereka sendiri. Baru sahaja mahu terlelap, anak menangis meminta itu ini. Baru sahaja mahu merebahkan badan untuk berehat, baru teringat dapur belum dikemas.
Saya merasainya sendiri apabila isteri saya mengalami alahan yang teruk baru – baru ini dan saya terpaksa mengambil alih tugas menguruskan rumah. Semangat mengemas rumah pada pagi hari hancur lebur apabila ianya bersepah semula di waktu petang. Saya ingatkan pagi dah sapu bersih boleh tahan sampai besok, rupanya tidak. Perlu diulangi proses itu untuk mengekalkan rumah yang kemas dan bersih. Saya insaf.
Di atas sebab ini juga, suami kepada suri rumah ialah yang paling utama untuk tidak mempunyai persepsi yang tidak baik terhadap isteri suri rumah. Tolong jauhkan ayat seperti “awak buat apa seharian kat rumah? Pinggan tak basuh, rumah tak bersapu, saya penat kerja, awak mengangkang je”. Rasa sakitnya bila mendengar ayat ini tidak boleh digambarkan.
Buat suri rumah semua. Jangan ragu – ragu akan keputusan anda. Anda telah melakukan yang terbaik. Tidak semua orang mampu menjadi seperti anda. Cuba cungkil bakat anda untuk menambah pendapatan keluarga tanpa perlu keluar bekerja.
Sejak berkahwin, saya dan isteri telah mencuba pelbagai cara untuk menambah pendapatan kami. Kami pernah berniaga tudung, kuih raya, sandwich, nasi lemak, meatballs dan makanan lain termasuklah perniagaan jus kesihatan, air jagung dan akhirnya sekarang kami menjual pencuci muka.
Jangan pernah jemu dan putus asa. Berusahalah semampu yang boleh. Bersikap positif sesama pasangan. Isteri perlu yakin yang suami sedang melakukan apa yang termampu untuk menampung keluarga. Suami juga perlu percaya yang isteri sentiasa sedia untuk membantu suami demi keluarga yang tercinta.
Boleh saya katakan, pernah tiada seurat emas pun yang tinggal di badan isteri saya satu masa dahulu. Semuanya dikorbankan demi membantu saya. Saya menjadi amat tersentuh apabila memikirkan keadaan itu dan amat sedih sehingga mengalirkan air mata apabila isteri menyatakan suka terhadap bentuk barang kemas yang dia nampak sambil berkata “nanti kita ada duit kita beli ye sayang, jangan risau, sayang ok.”
Percayalah yang hati saya meraung sekuat – kuatnya apabila mendengar ayat itu. Saya rasakan saya seorang suami yang gagal. Seorang insan yang teruk kerana menjadi penyebab keadaan ini terjadi. Saya faham bagaimana seorang wanita sayangkan barang kemasnya.
Tetapi saya tidak berdaya pada masa itu. Kami teramat memerlukan untuk meneruskan kehidupan kami dan anak – anak. Sampailah satu tahap bila isteri saya perasan air mata saya yang berlinangan menyebabkan sehingga kini, isteri saya tidak lagi bercerita mengenai barang kemas.
Akhir kata, yakinlah dengan keputusan anda. Bersedialah untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Kurangkan berhutang semasa bujang. Sentiasa pandang ke hadapan. Utamakan rumah dari kenderaan.
Toleransi, kerjasama, hormat – menghormati dan faham – memahami amat penting. Perbanyakkan dorongan, sentiasa yakinkan pasangan yang ini adalah pilihan yang paling tepat.
Anda suami isteri akan melalui saat yang paling indah dalam kehidupan. Percayalah kerana saya sedang melaluinya.
Oh ya, kepada bakal suami dan suami, berhentilah merokok. Banyak yang anda boleh berjimat. Rumah pun boleh beli. Saya tak bohong.