
“Kenapa rasa czer kali kedua macam lebih sakit daripada yang pertama?”. Persoalan ini sering bermain di fikiran ibu yang pernah melalui lebih daripada satu pembedahan caesarean. Malah, ada yang berkongsi pengalaman bahawa proses pemulihan selepas czer kedua terasa lebih mencabar, lebih pedih dan mengambil masa lebih lama.
Disebabkan itu, timbul pula anggapan bahawa kesakitan tersebut berlaku kerana doktor melakukan potongan pada bahagian parut yang sama seperti pembedahan pertama. Adakah betul dakwaan ini?
Namun, menurut Dr. Selva, keadaan tersebut bukanlah semudah yang disangka. Dari sudut perubatan, terdapat beberapa sebab yang boleh menyebabkan seseorang ibu merasakan pembedahan czer kali kedua lebih sakit berbanding pengalaman sebelumnya.

Tisu Parut Selepas Czer Pertama Boleh Beri Kesan
Selepas menjalani pembedahan caesarean pertama, tubuh akan memulakan proses penyembuhan secara semula jadi. Sepanjang proses tersebut, tisu parut boleh terbentuk pada kawasan yang terlibat dengan pembedahan.
Dalam istilah perubatan, keadaan apabila tisu atau organ di dalam abdomen melekat antara satu sama lain dikenali sebagai adhesi atau lekatan tisu.
Antara bahagian yang boleh mengalami lekatan termasuklah:
- Rahim
- Pundi kencing
- Usus
- Dinding abdomen.
Apabila ibu perlu menjalani pembedahan caesarean sekali lagi, doktor mungkin perlu memisahkan lekatan tersebut terlebih dahulu sebelum dapat sampai ke bahagian rahim dengan selamat.
Czer Kali Kedua Bukan Lebih Sakit Semata-Mata Sebab Rahim Dipotong Di Tempat Sama
Ada ibu yang menyangka czer kedua lebih sakit kerana doktor memotong semula bahagian rahim yang pernah dibedah sebelum ini.
Sebenarnya, rahim mempunyai keupayaan untuk sembuh dengan baik selepas proses kelahiran dan pembedahan.
Dalam kebanyakan situasi, rasa tidak selesa selepas pembedahan bukan hanya datang daripada rahim. Kesakitan yang dirasakan ibu boleh melibatkan bahagian otot abdomen, lapisan fascia yang menyokong otot serta tisu parut yang terbentuk di sekitar kawasan abdomen dan rahim.
Disebabkan lebih banyak lapisan dan tisu mungkin terlibat dalam pembedahan seterusnya, tidak pelik jika ada ibu merasakan pergerakan, bangun daripada katil atau berjalan selepas czer kedua terasa lebih mencabar.

Faktor Lain Yang Boleh Buat Czer Kali Kedua Terasa Lebih Sakit
Selain masalah lekatan tisu, terdapat beberapa keadaan lain yang mungkin mempengaruhi pengalaman seseorang ibu selepas menjalani pembedahan caesarean kali kedua.
1. Usia ibu sudah berbeza
Ketika melahirkan anak kedua atau seterusnya, usia ibu sudah tentu lebih meningkat berbanding kelahiran pertama.
Keadaan tubuh juga mungkin sudah berubah. Bagi sesetengah individu, proses pemulihan boleh terasa lebih perlahan berbanding pengalaman bersalin beberapa tahun sebelumnya.
2. Pembedahan mungkin mengambil masa lebih panjang
Jika terdapat banyak adhesi atau tisu yang melekat, doktor mungkin memerlukan masa tambahan untuk memisahkannya dengan berhati-hati.
Langkah ini penting bagi memastikan prosedur dapat dilakukan dengan selamat tanpa mencederakan organ yang berada berhampiran.
Disebabkan pembedahan menjadi lebih kompleks, ibu mungkin mengalami rasa tidak selesa yang lebih ketara selepas prosedur.
Adakah Semua Czer Kali Kedua Akan Lebih Sakit?
Jawapannya, tidak semestinya kerana pengalaman setiap ibu berbeza. Ada yang merasakan czer kedua jauh lebih mencabar, tetapi ada juga yang berkongsi bahawa pemulihan kali kedua sebenarnya lebih mudah dan cepat.
Antara perkara yang boleh membantu proses pemulihan termasuklah pembedahan yang dirancang lebih awal, keadaan tisu yang tidak mempunyai banyak lekatan, pengurusan kesakitan selepas pembedahan yang baik serta rehat dan penjagaan luka yang mencukupi.
Keadaan kesihatan setiap ibu, sejarah pembedahan dan tindak balas tubuh terhadap proses penyembuhan juga tidak sama. Jadi, pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk ibu yang lain.
Tak Perlu Terlalu Takut Dengan Pengalaman Orang Lain
Memang ada kemungkinan czer kali kedua terasa lebih sakit berbanding yang pertama, terutamanya jika terdapat pembentukan adhesi atau tisu parut daripada pembedahan terdahulu.
Namun, keadaan tersebut tidak bermaksud semua ibu pasti melalui pengalaman yang sama.
Jika bakal menjalani pembedahan caesarean kali kedua dan berasa bimbang, berbincanglah dengan doktor mengenai sejarah pembedahan terdahulu, kaedah kawalan kesakitan dan perkara yang boleh dilakukan untuk membantu proses pemulihan.
Paling penting, jangan terlalu membandingkan pengalaman sendiri dengan pengalaman ibu lain. Setiap tubuh mempunyai cara dan tempoh penyembuhan yang berbeza.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: @drselvagynaecologist
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





