
Setiap pasangan ada cara tersendiri meraikan ulang tahun perkahwinan. Bagi pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal, ulang tahun kedua perkahwinan menjadi lebih bermakna apabila beliau memilih untuk berkongsi rezeki dengan menghadiahkan penginapan mewah buat suami tercinta, Imran Aqil.
Menerusi perkongsian di TikTok, Dahlia dan Imran dilihat meluangkan masa berdua di Park Hyatt Kuala Lumpur, sebuah hotel eksklusif di ibu kota. Percutian singkat itu bukan sahaja mencipta momen romantis, malah menjadi simbol kasih sayang Dahlia yang mahu menghargai kehadiran suami di sisinya.
@indomie.d
For my hubs🤍 hope you love it sayang! Sumpah cantik gilaaa. (Rm7k for 2 nights)
♬ La Vida (feat. Kaala Shaw) [Radio Edit] – dbasser & Peter Guzman & Jose Alves
“Percutian ulang tahun di Park Hyatt. Untuk suami saya, harap awak suka. Cantik sangat. RM7,000 untuk dua malam,” tulis Dahlia.
Imran pula tidak ketinggalan meluahkan rasa terharu dengan usaha isterinya,
“Terima kasih sayang untuk penginapan ini.”
Bagi pasangan muda ini, ulang tahun perkahwinan bukan sekadar tarikh untuk diraikan, tetapi juga ruang untuk mereka menyemai kembali rasa cinta, mengukuhkan ikatan sebagai suami isteri dan ibu bapa.
Untuk rekod, Dahlia dan Imran mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023. Setahun kemudian, rezeki mereka dilengkapkan dengan kelahiran cahaya mata sulung, Yusra
, yang lahir pada 7 Mei lalu.Sejak bergelar ibu, Dahlia dilihat semakin matang dalam perkongsian di media sosial, bukan sahaja tentang kehidupan berumah tangga tetapi juga perjalanan bergelar ibu muda. Momen cuti istimewa ini jelas menunjukkan bagaimana pasangan ini bijak menyeimbangkan antara peranan sebagai ibu bapa dan pasangan suami isteri.
Ramai warganet yang menzahirkan rasa kagum dengan cara Dahlia meraikan ulang tahun perkahwinannya. Walaupun memilih lokasi mewah, mesej yang terserlah adalah bagaimana pasangan ini menghargai satu sama lain dengan cara tersendiri.
Dalam kehidupan berumahtangga, bukan nilai wang ringgit semata-mata yang menjadi ukuran, tetapi niat untuk membahagiakan pasangan dan mencipta kenangan indah yang boleh dikenang bersama anak-anak kelak.