Menanti kelahiran cahaya mata kedua, Anzalna Nasir menyimpan hasrat agar anak kedua dapat berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan putera sulungnya, Mohamad Eidrees iaitu pada 31 Mei.
Berdebar tapi teruja
Sedang menghitung hari, Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Mohd Nasir mengakui teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan bayinya nanti.
“Kalau ikutkan, saya mahu bersalin pada 31 Mei nanti. Dapatlah si adik berkongsi tarikh lahir yang sama dengan abangnya. Tapi apa-apa pun, saya tengok keadaan dulu.
“Saya dan suami sudah tak sabar untuk melihat wajah anak kedua kami. Kami juga sudah menyediakan 100 peratus kelengkapan bayi, memandangkan barang-barang ketika menyambut kelahiran Eidrees sudah diberikan kepada orang lain,” katanya.
Berat masih ‘maintain’, saiz perut besar
Ditanya mengenai pengalaman kehamilan anak kedua, wanita berusia 34 tahun itu memberitahu dia tidak mengalami masalah berat ketika hamil, kecuali terpaksa membawa saiz kandungan yang agak besar berbanding sewaktu mengandungkan anak sulungnya itu.
Tambah Anzalna, dia juga mengaku cepat berasa penat namun semuanya masih dapat dikawal.
Ads
“Tidak banyak perbezaan pun dengan kehamilan sebelum ini. Perbezaannya cuma kandungan saya kali ini agak besar.
“Jadi saya cepat penat ditambah perlu menguruskan Eidrees yang masih memerlukan perhatian kerana dia juga masih kecil,” katanya.
Lebih selesa jaga anak sendiri berbanding pembantu
Enggan anaknya diasuh oleh orang luar, Anzalna berkata, dia mahu memainkan peranan sepenuhnya sebagai ibu yang membesarkan anak-anak.
“Walaupun dalam keadaan sedang sarat hamil, saya masih menguruskan anak yang dijaga sepenuhnya tanpa pengasuh. Saya ada pembantu, tapi tugasnya hanya menguruskan kebersihan rumah.
Ads
“Cuma sekarang ini pembantu saya sedang bercuti, jadi kerja-kerja menguruskan rumah saya yang lakukan. Walaupun penat, tetapi saya gembira dengan apa yang saya buat. Ini merupakan pengalaman indah bergelar seorang ibu,” katanya yang sudah berjanji akan membesarkan dan mendidik anak-anak sepenuh perhatian di depan mata.
Dalam pada itu, Anzalna turut ditanya mengenai rahsia hubungan rumah tangga kekal bahagia.
Katanya setiap pasangan mempunyai pilihan dalam mengekalkan rumah tangga yang dibina supaya berada pada landasan yang baik.
Ads
“Apa yang penting perlu saling memahami. Alhamdulillah saya dan suami banyak saling bantu-membantu terutama bab menjaga anak. Apa yang kami lakukan selalunya bersama.
“Kalau suami nampak saya penat, dia akan ambil alih menguruskan anak, bukannya lepas tangan. Perkara kedua ialah saling mempercayai antara satu sama lain,”katanya.
Perlukah ibu hamil mengambil sebarang vitamin ataupun suplemen kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal ibu masih tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai semasa kehamilan?
Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan. Salah satu soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah berkaitan keperluan pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya. Oleh sebab itu, pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk tumbesaran bayi dalan kandungan. Pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain, disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
Tips pengambilan vitamin dan suplemen
Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan. Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil). Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
Isteri kepada penyanyi dan pendakwah terkenal Opik iaitu Bebi Silvana mengesahkan bahawa dirinya kini hamil anak kedua.
Perkongsian tersebut dibuat melalui sebuah majlis kesyukuran dan dikongsi di laman Instagramnya. Dia yang baru melahirkan anak pertama lima bulan yang lepas menyatakan rasa syukur dan memohon doa ramai.
“Alhamdulillah majlis 4 bulan kehamilan anak ke dua malam kelmari berjalan lancar”
“Minta Doa dari semua rakan-rakan agar kandungan ini selamat hingga hari bersalin dan semoga saya serta bayi sihat dan selamat.. Aamiin yra”
Usia kehamilan Bebi kini sudah mencecah 4 bulan.
Anak pertama Bebi dan Opick iaitu Maulana Muhammad Hasan Abdullah El Firdaus dilahirkan pada 10 Julai tahun lalu.
Rata-rata warga maya mengucapkan tahniah diatas kehamilan anak kedua mereka. Ada juga yang turut mendokan agar ibu dan bayi selamat sehingga bersalin.
Pasangan suami isteri ini bernikah pada 17 Disember 2018 dan Opick sendiri mempunyai 5 orang anak hasil daripada perkahwinan dengan bekas isteri pertamanya, Dian Rositaningrum.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semua pasangan yang sudah berkahwin tentu sahaja mengimpikan ada zuriat sendiri. Namun tidak semua pasangan direzekikan mudah mendapat cahaya mata.
Ada ramai yang diuji belum dikurniakan kehadiaran anak meskipun sudah mendirikan rumah tangga sekian lama bahkan ada yang sudah mencecah belasan dan puluhan tahun.
Penyanyi, Indah Ruhaila, 35, yang sudah mendirikan rumah tangga dengan suaminya Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 41, tidak menafikan apabila bersendirian dia kerap terfikir mengenai kehadiran zuriat dalam hidup mereka.
Ini berikutan apabila terlalu kerap menerima soalan tersebut daripada orang sekeliling.
Mengakui dia dan suami sememangnya teringin sangat menimang cahaya mata sejak berkahwin pada 24 Disember 2017, namun akur rezeki mereka belum kesampaian.
“Sebenarnya saya nak sangat anak, cuma belum ada rezeki Allah beri kepada saya dan suami selepas lima tahun berkahwin.
“Hal pasal zuriat ini, bila orang tanya macam senang saja. Tapi bila saya duduk sendirian, saya terfikir memang susah sebenarnya.
Saya terfikir kalau tiada anak, siapa jaga saya bila tua nanti? Tapi saya tak nak fikir yang tak baik sebab Allah lebih tahu masa tepat untuk beri cahaya mata kepada saya,” katanya.
Menurut Indah, ramai saja di luar sana berdepan perkara sama. Ada yang melakukan kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tetapi masih belum memperoleh cahaya mata.
“Saya enggan menekan diri. Kalau orang tanya, saya akan cakap tak nak tekan diri sendiri, suami pun tak tertekan. Tak apa sudah sampai masa nanti akan dapat.
“Masih awal lagi untuk saya buat rawatan sebab baru lima tahun kan. Saya masih lagi mencuba cara semula jadi. Saya pun bukannya tua sangat,” katanya.
Pa&Ma mendoakan agar Indah dan suami dikurniakan zuriat sendiri satu hari nanti. Insya Allah.
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...