Impian pelakon, Izara Aishah, 27, untuk menimang cahaya mata pertama pada 2020 bakal menjadi kenyataan apabila dirinya kini hamil enam bulan.
Katanya, cuma sekarang dia bersedia untuk berkongsi berita gembira itu kerana pada fasa awal kehamilan, segala-gala boleh berlaku.
Allah Makbul Doa
“Sejak mendirikan rumah tangga, saya dan suami memang merancang untuk mendapatkan zuriat pada 2020 kerana masing-masing sibuk bekerja. Selain itu, kami juga mahu menikmati masa bersama terlebih dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memakbulkan doa saya dan suami.
“Sebelum ini, apabila ada yang bertanya soal zuriat, masing-masing tidak berani untuk mengatakan kami ada perancangan sendiri. Kami hanya mengaminkan sahaja doa mereka. Pada masa sama, ada segelintir pihak di luar saya yang menuduh saya mandul.
“Seperti yang diketahui ramai, saya bukannya suka berkongsi hal peribadi secara terbuka. Berita kehamilan ini pun saya simpan selama enam bulan sebelum sedia untuk dikongsi,” katanya.
Ads
Tiada alahan
Ditanya mengenai pengalaman mengandungkan anak sulung, Pelakon Wanita Filem Terbaik, Anugerah Telenovela 2018 itu berkata, semuanya dalam keadaan baik.
“Saya langsung tiada alahan. Alhamdulillah, bayi dalam kandungan juga sihat. Saya sendiri masih memenuhi pelbagai undangan, termasuk majlis perkahwinan teman baik, Farah Nabilah, baru-baru ini.
Ads
“Semoga proses kelahiran anak kami nanti juga akan dipermudahkan,” kata isteri kepada Adib Khalid ini.
Berehat seketika dari lakonan
Ads
Menyentuh kerjaya lakonannya, selepas selesai penggambaran siri Ombak Rindu, Izara memilih untuk berehat seketika.
Lebih-lebih lagi, Adib sendiri tidak mahu dirinya terikat dengan mana-mana projek lakonan buat sementara waktu.
“Walaupun kerinduan untuk berlakon sering menerjah, saya mahu memanfaatkan waktu yang ada ini untuk bersama suami. Ketika ini, bolehlah saya melayan suami sepenuhnya, termasuk memasak makanan yang dipinta olehnya.
“Apabila banyak masa dihabiskan di rumah, kasih sayangnya terhadap saya nampak bertambah,” katanya yang berkahwin dengan anak tiri penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, itu pada 17 November 2017.
Tahniah diucapkan buat penyampai radio Suria FM, Issey di atas kehamilan isterinya, Noor Aimi Jamel yang kini sedang hamil empat bulan.
Cahaya mata sulung ini sememangnya dinantikan oleh Issey dan isteri namun kata Issey, dia menunggu tempoh yang sesuai untuk berkongsi khabar gembira itu kepada umum.
Menerusi satu petikan di Mstar, Issey turut berkongsi kegembiraan ini.
“Memang kami ambil keputusan tak nak beritahu awal-awal, apabila kandungan dah betul kuat, baharu kami sedia nak umumkan.
” Apabila dapat tahu isteri mengandung, sudah pasti saya paling teruja. Walaupun ini merupakan anak keempat bagi isteri, dia pun turut teruja sama sebab ini merupakan anak pertama kami,” jelas Issey menerusi MStar.
Malah menerusi saluran Youtube Geng Issey, Issey turut berkongsi kisah kehamilan ini bersama isteri dan anak-anaknya.
Terdahulu sebelum mengumumkan kehamilan itu, Issey lebih dahulu berkongsi aktivitinya bersama anak-anak di malam hari. Namun ujian menghafal Surah Al-Mulk yang dilakukan Issey dan isteri sememangnya harus dipuji.
Seorang demi seorang diminta menghafal surah dan kemudiannya Issey dan isteri turut memberikan hadiah kepada anak-anaknya sebelum berkongsi khabar gembira itu kepada anak-anaknya.
Namun reaksi ketiga-tiga anak Issey sememangnya mencuit hati semua bila mana tiada sebarang reaksi gembira daripada mereka.
Pun begitu, Issey turut memohon doa dari semua agar mendoakan kehamilan isterinya dipermudahkan hingga kelahirannya kelak.
Terdahulu, Issey diijab kabulkan bersama isterinya, Noor Aimi pada 22 Disember 2019. Mereka mempunyai tiga orang cahaya mata melalui perkahwinan terdahulu isterinya. Tahniah buat Issey sekeluarga!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: MStar & @isseyfazlisham
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ada segelintir masyarakat yang mempercayai mitos berkaitan pemakanan yang memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Sebagai contoh, ibu hamil jangan makan mi segera kerana khuatir bayi akan terbelit.
Sebenarnya masih banyak lagi kepercayaan pelik yang masih diterima pakai dalam masyarakat kita, sedangkan ia tidak berkait langsung!
Pemakanan ibu hamil sememangnya ada memberi kesan kepada bayi dalam kandungan, tetapi lebih kepada kesihatannya. Sebagai contoh, ibu hamil tidak digalakkan untuk mengambil makanan yang tinggi gula, kolesterol dan sebagainya. Ikuti penerangan dari Dr Erna Nadia berkaitan hal ini.
APA KITA MAKAN, TAK MASUK KE RAHIM!
Untuk kesekian kalinya nak bagi tahu, apa-apa yang kita makan tak masuk dalam rahim.
Bila kita makan, makanan masuk dalam mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar, rektum dan dari anuslah terkeluar najis besar kita.
Bila kita mengandung pula, janin atau bayi tu berada dalam rahim yang mana tidak bersambungan pun dengan pencernaan kita.
Bila kita nak kencing pun, air kencing dari buah pinggang akan lalu salur kencing masuk dalam pundi kencing sebelum dikumuhkan keluar dari badan yang mana tempat kencing dan faraj tidak bersambungan pun.
Maka janganlah beri nasihat tak betul begini ya. Ini adalah asas dalam mata pelajaran sains yang kita belajar masa sekolah dulu.
MENGANDUNG SEORANG ATAU KEMBAR, TETAP REZEKI
Ada orang pula suka membandingkan anak kembar dan anak satu. Ramai suka kata eh bagusnya mengandung kembar, bukan senang ni.
Kembar atau tidak, mengandung itu adalah satu bentuk rezeki. Ianya bergantung pada genetik atau faktor lain juga. Jadi, tak kiralah anak satu atau dua, sama sama bagus. Walau tak mengandung pun tetap bagus sebab lain orang lain rezeki Allah bagi. Jangan bandingkan dengan sesiapa.
Sifat suka membanding inilah yang buatkan ramai jadi mudah murung. Jadi, hentikan ya
JANGAN LILIT SHAWL, ANAK TERBELIT. PAKAI TANGKAL, ELAK GANGGUAN SYAITAN
Ada siap kata tak boleh lilit shawl, tuala sebab takut baby terbelit tali pusat?
Astagfirullah hal ‘azim.
Tak baiklah khurafat sehingga begitu.
Ada yang siap sarung tangkal sebab taknak bagi syaitan dekat?
Nauzubillahiminzaalik.
Jika kita meletakkan takut kita selain Allah atau berharap sesuatu selain Allah, itu adalah syirik.
Berhati hatilah dalam nak mengamalkan petua.
Jangan sampai terganggu akidah kita sebagai orang Islam.
Ya, kita boleh usaha dan ikhtiar tapi jika dan tersasar dari akidah, maka ghentikanlah.
Ingat ya, jangan ajar diri atau anak untuk takut hantu atau syaitan, tapi didiklah untuk takutkan pembalasan di hari akhirat
Sebab kita takkan ada pun di muka bumi ini jika bukan Allah yang bagi peluang untuk kita hidup dan bernafas hirup oksigen yang Dia cipta untuk kita.
Nak makan mi segera atau ramen boleh tapi janganlah selalu sebab kandungan msg dalam perisa mi segera sangat tinggi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anemia atau kurang darah di kalangan ibu hamil tidak boleh dianggap remeh sebab kesannya cukup bahaya pada bayi. Bagi kebanyakan ibu mengandung, ibu akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah.
Penyebab utama anemia di kalangan ibu mengandung adalah kekurangan zat besi.
Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.
Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan dengan cukup, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan. Bila jangkamasa kandungan semakin meningkat isipadu darah makin bertambah dan ini menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, namun penghasilan plasma darah lagi bertambah dan menyebabkan keadaan yang kita panggil anemia relative atau fisiologi.
Di kalangan populasi yang cukup zat besi, seseorang itu dikatakan mengidapi anemia bila tahap hemoglobin kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Penyebab-Penyebab Anemia Semasa Mengandung
Kekurangan Zat Besi
Terdapat 75-95% wanita yang mengandung mengidap anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi. Wanita yang mengandung sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung.
Wanita yang mengandung disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian mereka. Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Nilai MCV kurang dari 80 fL dan MCH kurang dari 27 pg menunjukkan kemungkinan anemia dengan saiz darah merah yang kecil dan pucat.
Tahap hemoglobin yang kurang dari 7g/dl mesti dirujuk untuk siasatan lanjut dan rawatan susulan. Siasatan lanjut seperti kajian tentang zat besi dan analisa haemoglobin perlu dijalankan untuk memastikan kekurangan zat besi atau Talasemia.
Gejala-gejala anemia adalah seperti letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.
Anemia boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan pada bayi pula boleh menyebabkan tumbesaran yang terbantut, kerencatan perkembangan akal dan psikomotor.
Rawatan zat besi secara rutin adalah disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya, ibu-ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan pengambilan suntikan zat besi yang akan dilakukan di klinik atau hospital. Pihak doktor akan berbincang dengan pesakit sebelum terapi dijalankan.
Ada lagi cara lain yang kita boleh lakukan untuk meningkat paras haemoglobin iaitu dengan pemindahan darah.
Anemia Kerana Kekurangan Folate dan Vitamin B12
Kekurangan vitamin B dan folat lebih jarang ditemui berbanding dengan kekurangan zat besi. Walau bagaimana pun, pemberian folat disarankan untuk semua ibu mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang (neural tube defect) pada bayi.
Kekurangan vitamin-vitamin ini akan menyebabkan anemia ‘non-pernicious megaloblastic’ dengan MCV lebih dari 100 fL. Sekiranya anemia yang berlaku kerana kekurangan ketiga-tiga zat ini, zat besi, folat dan B12, MCV akan menunjukkan bacaan yang normal (normocytic anaemia). Sekiranya pesakit mempunyai paras folat yang rendah, beliau perlu mengambil dos yang lebih tinggi.
Pesakit yang mengalami kekurangan vitamin B12 memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan paras ‘intrinsic factor’ (yang diperlukan untuk penyerapan vitamin B12). Keadaan di mana berlakunya kekurangan ‘intrinsic factor’ ini dipanggil ‘pernicious anaemia’. Tetapi setengah ujian contoh nya Schilling test hanya dapat dijalankan selepas kelahiran bayi kerana ianya melibatkan penggunaan bahan-bahan radioaktif.
Anemia kerana Infeksi
Anemia jenis ini sering berlaku di negara-negara bukan industri. Antara jangkitan infeksi yang boleh menyebabkan anemia adalah HIV, malaria, cacing, hepatitis, TB dan sebagainya. Sekiranya sejarah pesakit menunjukan terdapatnya pendedahan kepada jangkitan ini,maka perlu dijalankan siasatan yang berpatutan.
Talasemia
Talassemia adalah penyakit yang biasa kita jumpai. Penyakit ini terdapat diseluruh dunia, terutamanya di kawasan yang endemik kepada jangkitan malaria, di mana penyakit ini membolehkan pengidap talasemia dilindungi dari malaria. Kawasan tersebut termasuklah kawasan Mediterranean, Afrika Tengah dan sebahagian benua Asia.
Ianya adalah disebabkan oleh pembentukan tidak normal rantai peptid globin yang terdapat dalam haemoglobin. Orang dewasa yang sihat patut mempunyai lebih dari 95% haemoglobin A yang mempunyai 2 rantai ‘alpha’ dan 2 rantai beta peptid.
Terdapat dua jenis utama talasemia, iaitu talasemia ‘alpha’ dan talasemia ‘beta’. Kedua-dua jenis talasemia ini terbentuk kerana pengurangan pembentukan rantai-rantai tersebut di atas. Bila berlaku kekurangan Hb A yang normal ini, maka pembentukan sel darah merah yang tidak sempurna, pemecahan darah merah dan kekurangan darah merah akan berlaku.
Pembawa gen talasemia biasanya tidak mempunyai masalah dan hanya akan dapat dikesan apabila mereka melakukan ujian saringan FBC.
Pewarisan adalah secara resesif autosomal, iaitu anak lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mewarisinya. Dan jika anak-anak mewarisi satu gen talasemia dari ayah dan satu lagi dari ibu, maka anak itu akan mendapat dua gen talasemia. Keadaan ini menyebabkan anak itu adalah pesakit talasemia, berbanding dengan ayah dan ibu yang hanya seorang pembawa.
Kedua-dua jenis talasemia ini boleh dibahagi kepada beberapa peringkat lagi berdasarkan kepada keterukan pesakit dan kekerapan transfusi darah; talasemia minor, talasemia intermedia and talassemia major. Yang paling teruk yang boleh dialami adalah ‘ hydrop foetalis’ di mana janin akan mati dalam rahim atau meninggal semasa dilahirkan.
Pesakit talasemia major akan memerlukan pemindahan darah pada umur setahun ke atas bila mana haemoglobin fetus ditukarkan ke haemoglobin dewasa yang tidak normal.
Manakala pesakit talasemia intermedia pula, mereka akan memerlukan pemindahan darah kemudian bila mana mereka semakin dewasa atau semasa jangkitan kuman, mengandung atau semasa pembedahan.
Keadaan seperti ini akan mempercepatkan kadar pemecahan darah merah (haemolysis) dan menyebabkan anemia menjadi bertambah teruk. Pada masa yang sama, kelenjar limpa makin membesar kerana terpaksa bekerja keras untuk memusnahkan sel-sel darah yang kurang sempurna ini. Keperluan pemindahan darah meningkat disebabkan kelenjar limpa semakin membesar dan semakin banyak sel-sel darah berkumpul dalam kelenjar limpa.
Bagi mereka yang mengidap talasemia minor, biasanya mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius dan boleh hidup secara normal. Tapi keadaan mereka boleh menjadi teruk sekiranya mereka mengalami kekurangan zat besi atau gabungan bersama kekurangan folat dan Vitamin B12 yang diperlukan untuk pembentukan sel-sel darah semasa mengandung, jangkitan kuman atau sebarang keadaan yang mungkin mempercepatkat kadar pemecahan sel darah merah.
Walaupun pemindahan darah boleh memperpanjangkan jangka hayat, bila mana digabungkan dengan perawatan mengeluarkan zat besi, ramai wanita boleh mengalami kemandulan pada masa-masa yang lampau. Namun akhir-akhir ini, makin ramai wanita pengidap talasemia boleh mengandung tanpa masalah sekiranya transfusi darah dapat dijalankan dengan teratur.
Jenis-jenis anemia yang lain
Anemia ‘Diamond-Blackfan’ dan penyakit ‘sickle cells’ jarang dijumpai di kalangan wanita Malaysia. Walau bgaimana pun, dengan bertambahnya rakyat-rakyat dari Africa yang bermastautin di Malaysia, maka tidak mustahil akan berlaku peningkatan anemia ‘sickle cells’ ini.
Bagaimanakah anemia semasa kehamilan dirawat?
Rawatan anemia semasa kehamilan bertujuan untuk memulihkan dan mengekalkan tahap hemoglobin dan zat besi yang mencukupi dalam badan.
*Suplemen zat besi.
*Vitamin B12 atau suplemen asid folik.
*Lebihkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti daging merah tanpa lemak, ayam, ikan, sayur-sayuran berdaun hijau, kekacang, dan lentil. Menggabungkan makanan kaya zat besi dengan sumber vitamin C seperti buah sitrus, strawberi dan tomato boleh meningkatkan penyerapan zat besi.
Pemindahan Darah Pada Masa Mengandung
Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk di kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap haemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah di kalangan mereka yang mempunyai anemia yang kronik berbanding dengan mereka yang megalami hemolisis akut.
Adalah sukar untuk memberi paras hemoglobulin yang sesuai untuk pemindahan darah. Tetapi adalah penting untuk memberi darah kepada wanita mengandung 34 minggu ke atas yang mempunyai haemoglobin kurang dari 7g/dl. Dan seboleh-bolehnya, anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca dari pendarahan semasa kelahiran.
Buat ibu-ibu yang sedang mengandung, datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung untuk pemeriksaan setiap bulan. Ini adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.