Tahukah anda tentang kebaikan aloe vera? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!
Dalam kalangan masyarakat kita, aloe vera adalah salah satu tumbuhan yang paling popular. Kenapa?
Bukan kerana ia digunakan dalam masakan, sebaliknya sebagai salah satu alternatif rawatan tradisional.
Mungkin ramai yang tahu bahawa orang dulu menggunakannya pada kulit dan rambut yang bermasalah.
Pun begitu, tahukah anda terdapat satu lagi kebaikan aloe vera yang kurang digembar-gemburkan iaitu mampu merawat luka pada kulit?
Apa itu aloe vera?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, wajarlah kita berkenalan dengan tumbuhan ini terlebih dahulu.
Buat anda yang belum tahu, aloe vera (Aloe barbadensis miller) adalah sejenis gel yang wujud di dalam daun pokok lidah buaya.
Sejak dari zaman dahulu kala lagi, ia merupakan salah satu tumbuhan yang digunakan untuk pelbagai tujuan kesihatan dan kecantikan.
Di dalamnya terkandung kira-kira 160 bahan utama yang membekalkan sehingga 300 ke 400 komponen penting yang berupaya memberikan manfaat kesihatan kepada kita.
Berikut merupakan antara kandungan penting gel lidah buaya:
- Vitamin (A, C, E B1, B2, B6, B12)
- Enzim (amylase, bradykinase, aliiase, alkaline phosphatase, peroxidase, catalase, cellulose, lipase, carboxypeptidase)
- Hormon (gibberellins, auxins)
- Monosaccharide & Polysaccharides (aldopentose, cellulose, galactose, arabinose, galacturonic acid, glucose, mannose, xylose)
Persoalannya, apakah manfaat bahan-bahan yang kami senaraikan ini untuk tubuh badan? Sila baca lagi.
Apa manfaat gel lidah buaya?
Seperti mana yang majoriti masyarakat kita percaya, gel lidah buaya adalah sangat bagus untuk kesihatan kulit dan rambut. Apa lagi manfaat gel lidah buaya yang lain?
#1. Mengurangkan plak gigi
Penyusutan gusi sangat bahaya dan satu cara untuk mengelakkannya adalah dengan mengurangkan plak gigi.
Menurut satu kajian terhadap 300 individu, jus aloe vera memberikan impak yang sama dengan chlorhexidine.
Ia mampu membunuh bakteria penyebab plak seperti Streptococcus mutans dan Candida albicans.
#2. Menyembuhkan ulser mulut
Ulser mulut ataupun mata ikan yang ada dalam mulut, bibir atau gusi adalah sangat menyakitkan.
Menerusi satu kajian terhadap 180 individu, aloe vera terbukti mampu menyembuhkan kondisi ulser mulut ini.
Pun begitu, ia tidak mempunyai tahap keberkesanan yang sama seperti ubat ulser corticosteroids.
#3. Melegakan kondisi sembelit
Kebaikan aloe vera yang lain adalah mampu melegakan kondisi sembelit ekoran kandungan lateks di dalamnya.
Ini kerana ia mampu memberi kesan yang dinamakan sebagai aloin atau barbaloin lantas melegakan sembelit.
Pun begitu, ia dikatakan tidak mampu merawat masalah perut yang lain dan kajian lanjutan masih diperlukan.
Dalam pada itu, terdapat banyak lagi kebaikan aloe vera termasuklah boleh membantu merawat luka. Benarkah?
Untuk pengetahuan anda, gel lidah buaya memang sudah digunakan sejak dari zaman dahulu kala lagi.
Buktinya, ada rekod yang menunjukkan The United States Pharmacopeia menyatakan aloe vera pernah digunakan sebagai sapuan pelindung kulit sejak 1810 – 1820 lagi.
Menurut pelbagai kajian pula, ia mungkin mampu merawat pelbagai jenis luka kecil yang disebabkan oleh berbagai-bagai punca termasuklah:
- Luka akibat kemalangan
- Luka akibat kebakaran
- Luka akibat kerengsaan
- Luka akibat demam campak/cacar air
- Luka akibat bekas jerawat/jeragat
Pendek kata, aloe vera memang mampu membantu merawat pelbagai jenis luka untuk mengelakkan kegatalan, kemerahan dan jangkitan.
Buat anda yang tertanya-tanya mengapa aloe vera mempunyai ‘magis’ seperti ini, ia adalah disebabkan oleh sifat tumbuhan tersebut yang antioksidan, antiseptik, antiviral dan antibakteria.
Selain itu, ia juga mengandungi polyphenols yang mampu melawan jangkitan bakteria terhadap manusia.
Bukan itu sahaja, kebaikan aloe vera juga adalah sangat bagus untuk merawat parut yang terbentuk akibat luka.
Menurut kajian pada tahun 2009 terhadap 30 wanita berusia 45 tahun, sapuan gel lidah buaya pada kulit mampu meningkatkan penghasilan kolagen dan keregangan kulit selepas 90 hari.
Dalam erti kata yang lebih mudah, aloe vera mungkin mampu membantu merawat luka kecil yang anda alami tidak kira apa jenisnya.
Pun begitu, wajarlah untuk kita semua tahu bahawa nasihat doktor itu adalah teramat penting sebelum merawat diri kita sendiri.
Oleh itu, sila berjumpa doktor untuk berkonsultasi sebelum menyapu gel lidah buaya pada kulit, ya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI