Keibubapaan

Anak Kurang Minum Air? Hati-Hati Tanda Ini

Share

Semua kanak-kanak dan orang dewasa kehilangan air sepanjang hari. Air akan tersejat dari kulit dan keluar dari badan apabila kita bernafas, menangis, berpeluh, dan membuang air. Dalam konteks ini, dehidrasi anak kecil boleh berlaku jika cecair tidak diganti secukupnya.

Kebiasaannya, kanak-kanak kecil (toddler) mendapat air yang mencukupi melalui makanan dan minuman untuk menggantikan cecair yang hilang. Namun dalam sesetengah keadaan, mereka boleh kehilangan lebih banyak air daripada biasa. Contohnya ketika demam, jangkitan perut (stomach flu), berada dalam cuaca panas, atau terlalu aktif bersenam. Situasi ini boleh menyebabkan dehidrasi anak kecil.

Dehidrasi bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Apabila ia berlaku, badan tidak mempunyai cecair yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan otak atau bahkan kematian.

Teruskan membaca untuk mengetahui tanda-tanda amaran dehidrasi pada anak kecil dan cara untuk mencegahnya.

Adakah anak kecil saya berisiko mengalami dehidrasi?

Dehidrasi berlaku apabila lebih banyak cecair keluar daripada yang masuk ke dalam badan. Kanak-kanak lebih mudah mengalami dehidrasi anak kecil berbanding remaja dan orang dewasa kerana saiz badan mereka lebih kecil dan simpanan air dalam badan juga lebih sedikit.

Ada kanak-kanak kecil yang mengalami dehidrasi kerana tidak minum air yang mencukupi. Selain itu, beberapa faktor boleh meningkatkan risiko dehidrasi, antaranya:

  • Demam
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Berpeluh berlebihan
  • Kurang minum ketika sakit
  • Penyakit kronik seperti diabetes atau masalah usus
  • Terdedah kepada cuaca panas dan lembap

Cirit-birit pula boleh disebabkan oleh jangkitan (virus, bakteria, atau parasit), alahan makanan, penyakit seperti radang usus, atau kesan sampingan ubat. Jika anak anda muntah, mengalami najis cair, atau tidak mahu minum ketika sakit, perhatikan tanda-tanda dehidrasi anak kecil dengan teliti dan bersedia untuk bertindak segera.

Tanda-tanda amaran dehidrasi pada anak kecil

Dehidrasi boleh berlaku secara perlahan atau secara tiba-tiba. Kanak-kanak yang sedang sakit, terutamanya mengalami jangkitan perut, perlu dipantau dengan rapi kerana tanda-tandanya kadang-kadang tidak jelas.

Jangan tunggu sehingga anak anda terlalu dahaga. Jika mereka sudah sangat dahaga, kemungkinan besar mereka sudah mengalami dehidrasi. Perhatikan tanda-tanda berikut:

  • Bibir kering dan merekah
  • Air kencing berwarna gelap
  • Kurang atau tiada air kencing selama 8 jam
  • Kulit sejuk atau kering
  • Mata cengkung atau bahagian lembut di kepala bayi kelihatan tenggelam
  • Terlalu mengantuk
  • Kurang tenaga
  • Tiada air mata ketika menangis
  • Mudah meragam atau terlalu gelisah
  • Pernafasan atau degupan jantung laju

Dalam kes yang sangat serius, anak kecil boleh menjadi keliru atau tidak sedarkan diri.

Rawatan dehidrasi pada anak kecil

Satu-satunya cara berkesan untuk merawat dehidrasi adalah dengan menggantikan cecair yang hilang. Dehidrasi anak kecil yang ringan boleh dirawat di rumah.

Jika anak anda mengalami cirit-birit, muntah, demam, atau menunjukkan tanda dehidrasi, lakukan langkah berikut:

  • Berikan larutan rehidrasi oral seperti Pedialyte. Ia mengandungi air dan garam dalam nisbah yang sesuai serta mudah diserap oleh badan. Air kosong sahaja biasanya tidak mencukupi.
  • Jika tiada larutan rehidrasi, boleh beri susu atau jus yang dicairkan sementara mendapatkan bekalan yang sesuai.
  • Berikan minuman sedikit demi sedikit tetapi kerap sehingga air kencing kembali jernih. Jika anak muntah, beri dalam jumlah kecil seperti satu sudu setiap kali.
  • Jika masih menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa. Boleh juga beri larutan rehidrasi melalui botol.

Cara mencegah dehidrasi pada anak kecil

Ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal dehidrasi kerana jika anak sudah terlalu dahaga, mungkin sudah terlambat.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil:

  • Sentiasa sediakan larutan rehidrasi di rumah
  • Jika anak mula sakit, segera tingkatkan pengambilan air dan larutan rehidrasi
  • Jika anak enggan makan atau minum kerana sakit tekak, boleh beri ubat seperti acetaminophen atau ibuprofen untuk mengurangkan kesakitan (rujuk doktor terlebih dahulu)
  • Pastikan anak menerima vaksin yang lengkap, termasuk vaksin rotavirus yang boleh menyebabkan cirit-birit teruk
  • Ajar anak membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas untuk mengelakkan jangkitan
  • Galakkan anak minum air secukupnya sebelum, semasa, dan selepas bermain atau bersenam
  • Jika cuaca panas, biarkan anak bermain di tempat teduh atau persekitaran yang sejuk dan pastikan mereka minum air secukupnya

Bila perlu jumpa doktor?

Bawa anak anda berjumpa doktor jika:

  • Keadaan mereka tidak bertambah baik atau semakin teruk
  • Terdapat darah dalam najis atau muntah
  • Anak enggan minum atau tidak mahu mengambil larutan rehidrasi
  • Muntah atau cirit-birit berterusan dan teruk
  • Cirit-birit berlanjutan lebih daripada beberapa hari

Doktor boleh menilai tahap dehidrasi anak kecil dan memberikan rawatan segera seperti pemberian cecair melalui saluran intravena jika diperlukan.

Sumber: healthline.com

Published by
Nor Yusoff