Kerajaan telah menetapkan bahawa pengeluaran daripada Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan sebelum mencapai usia persaraan, termasuklah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, langkah ini bertujuan memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 sebagai Simpanan Asas untuk kegunaan semasa persaraan nanti.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. – Foto BERNAMA
“KWSP merupakan institusi keselamatan sosial yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membantu ahli merancang simpanan bagi memenuhi keperluan hidup pada usia tua,” katanya.
DIBENARKAN PENGELUARAN HAJI MELALUI AKAUN SEJAHTERA
Ads
Walau bagaimanapun, pengeluaran untuk ibadah haji masih boleh dilakukan melalui Akaun Sejahtera, yang diperkenalkan sejak 2013, bagi ahli beragama Islam yang berumur di bawah 55 tahun dan telah terpilih oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menunaikan haji.
“Sejak diperkenalkan, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-JERLUN) sama ada kerajaan bercadang untuk mengubah dasar untuk membenarkan pekerja yang belum mencapai usia persaraan mengeluarkan Akaun Satu (Persaraan) bagi tujuan mengerjakan haji jika pekerja itu sudah terpilih untuk mengerjakan ibadah itu dan jumlah ahli KWSP yang dibenarkan membuat pengeluaran Akaun Dua (Sejahtera) atau Ketiga (Fleksibel).
Ads
Hui Ying menjelaskan Akaun Persaraan, yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, bertujuan sebagai simpanan persaraan, yang membabitkan 75 peratus daripada keseluruhan caruman.
“Walaupun begitu, ahli turut dibenarkan untuk membuat pengeluaran bagi tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesihatan (penyakit kritikal dan kesuburan), serta pengeluaran pada usia 50 tahun melalui Akaun Sejahtera.
“Akaun Fleksibel turut diwujudkan bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa,”
Tulusnya kasih seorang isteri, bergadai nyawa melahirkan zuriat buat suami. Namun puteri kelima mereka tidak sempat merasa kehangatan kasih ibu yang pergi buat selama-lamanya kerana kanser.
Bukan mudah menerima kehilangan insan yang disayangi. Kini tiada lagi insan untuk mendengar luahan cinta dan kasih, isteri tercinta kembali menghadap Maha Pencipta. Catatan bapa ini mengundang air mata siapa sahaja yang membacanya.
Bapa kepada lima cahaya mata menerusi catatannya ini menyentuh hati warganet. Mengenang perjuangan dan kesakitan yang dialami isteri tercinta akibat kanser semasa hamil sehingga dinasihatkan bersalin awal pada minggu ke-27 kehamilan.
Lebih memilukan lagi, kerana merebaknya sel kanser lidah ibu ini perlu dipotong semuanya. Rawatan diteruskan dan hari-hari mendatang dilalui dengan tabah dan cekal sehingga kesihatan wanita dicintainya semakin merosot dan pergi jua.
“Damailah disana wahai isteriku yang tercinta. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung. Moga ia menjadi asbab syurga tanpa hisab buat dirimu.
Air mata ini menitis bilamana dirimu redha akan ujian yang sangat berat ini. Ketahuilah bahawa Allah juga meredhai hamba-hambaNya yang redha dgn ujian yang diberikanNya.
“Mengimbas kembali, ketika doktor mengesahkan dirimu perlu menjalani operation dengan segera akibat penyakit kanser dan dalam masa yang sama bayi yang dikandungmu baru shj berusia 27 minggu perlu juga dikeluarkan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaanku ketika itu.
“23 JUN SELAMAT LAHIR ANAK KELIMA, SEMUANYA GEGIRLS”
“Tanggal 23 Jun 2019, seawal pagi seusai solat subuh dirimu sudah bersiap sedia utk ke bilik bedah. Jam 9pagi operation dimulakan. Alhamdulillah, baby berjaya dikeluarkan pada jam 9.50pagi seberat 1.005kg.
“Syukur atas kelahiran yg ke-5 menjadikan anak-anakku semuanya gegirls. Tepat jam 1 pagi, doktor memanggilku setelah 15 jam menunggu.
“Hatiku menanti dengan penuh debaran saat melihat wajah doktor pakar. “Kami terpaksa memotong kesemua lidah isteri awak disebabkan sel kanser tersebut telah merebak” kata doktor pakar. Hampir sahaja aku rebah dan terduduk saat mendengar kata2 tersebut. Ya Allah! beratnya dugaanmu wahai isteriku.
DIA SUKA MEMASAK
“Setelah 3 minggu, aku melihat dirimu semakin sihat. Aku masih ingat lagi dia menulis “kalau sayang dah sihat, kita pergi makan di kedai sama-sama yer”. Dia suka masak dirumah dan tak suka makan diluar. Hanya sekali sekala sahaja menjamu selera diluar.
Selang beberapa hari, keadaannya seolah-olah tidak mengizinkan. Doktor mencadangkan chemotherapy namun isteri memilih untuk radiotherapy dan memilih Pulau Pinang sebagai destinasi untuk meneruskan rawatan susulan.
SEOLAH-OLAH SENTUHAN PERTAMA DAN TERAKHIR
“3 hari sebelum transfer ke Pulau Pinang, aku mengajaknya utk melihat baby yang belum pernah dilihatnya sejak dilahirkan. Aku menolaknya dengan menggunakan wheelchair. Saat pertama kali dia melihat baby, dia menitiskan air mata. Dia mengusap baby perlahan-lahan dan beberapa kali seolah-olah itulah yang pertama dan yang terakhir sentuhan seorang ibu. Ya Allah, ternyata benar!
“Keadaannya dari sehari ke sehari semakin merosot. Doktor pakar di Pulau Pinang mencadangkan chemotherapy instead of radiotherapy kerana sel cancer telah merebak dgn cepat. Setelah selesai chemotherapy, keadaannya masih tak menentu dan semakin teruk dan terpaksa diwarded.
MAKIN TENAT
“Sehari sebelum pemergiannya, doktor beritahu keadaannya semakin tenat. Ya Allah! hanya kepadaMu shj kami berserah. Semua ahli keluarga dipanggil balik. Kami memenuhi permintaannya utk dipindahkan ke wad paletif yg mempunyai kelesaan dan dijaga oleh nurse.
“KENAPA SEMUA ORANG BALIK? SAYANG DAH NAK MATI KE”
“Malam sebelum pemergiannya, hampir keseluruhan adik-beradik ada bersama dan mereka meminta maaf. Isteriku mencapai pen dan menulis kepadaku “kenapa semua orang balik? sayang dah nak mati ka?”
“Ya Allah! betapa sedihnya aku ketika itu dan dengan perlahan-lahan aku bisikan ditelinganya sambil menceritakan keadaannya yang sebenar. Dia pun menulis memohon maaf kepada semua adik beradiknya.
SEOLAH-OLAH TAHU SOLAT ISYAKNYA YANG TERAKHIR
“Pada malam itu juga, dia solat Isyak dlm keadaan berbaring dan tidak bermaya. Solat Isyaknya kali ini lebih panjang daripada solat yg lain seolah-olah ia mengetahui itu adalah solat isyaknya yg terakhir. Aku berdiri ditepi katilnya memandang wajahnya sambil melihat dia solat. Tanpa ku sedar, air mataku mengalir dgn membayangkan adakah ini pandangan terakhirku terhadapnya? Ya Allah..
TIDUR NYENYAK SEKALI
“Aku menemaninya pada malam itu, dia tidur begitu nyenyak sekali. Hanya sekali sekala sahaja matanya buka memandangku disisinya. Pada waktu subuh, aku mengejutkannya utk solat subuh. Dia mengangguk! lalu aku capai sarung tangan dan semburkan air wudu’ padanya. Dengan perlahan-lahan aku ratakan air wudu’ nya. Lalu ditutup auratnya utk solat. Aku melihatnya seolah-olah tidak berdaya. Lalu aku bacakan surah al fatihah dan surah pendek seolah2 kami solat bersama sampailah selesai solat subuh.
PERGINYA BEGITU CEPAT
Tepat jam 12 tghri, perginya begitu cepat tanpa memberikan isyarat. Aku sempat membisikan kalimah syahadah ditelinganya.
Pergimu begitu tenang sekali. Wajahmu umpama seperti bayi yang sedang nyenyak tidur. Ya Allah! kau tempatkanlah isteriku dikalangan para syuhadah dan para solehin. Ya Allah! aku menjadi saksi dia seorang isteri yang baik. Dia telah mendapat redha suaminya.
REHATLAH DI SANA WAHAI ISTERIKU…
Terima kasih kepada semua saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan yg memberikan sokongan moral, doa, kewangan dan sebagainya. Hanya Allah shj yg akan membalas jasa baik kalian.
Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan pengebumiannya. Rehatlah dikau disana wahai isteriku.
TERIMA KASIH HADIAHKAN SEORANG LAGI PUTERI
Terima kasih kerana menghadiahkan seorang lagi puteri buatku. Pesan terakhirmu akan ku jaga iaitu supaya menjaga anak-anak dengan baik dan memberi pendidikan agama kepada mereka. Kamu juga meminta supaya mereka titipkan al-fatihah kpd ibu mereka setelah selesai solat setiap waktu.
“Buli zaman sekarang bukan main-main. Dah tak macam dulu. Kata-kata pun boleh jadi senjata.”
Itulah luahan hati penyanyi terkenal tanah air, Ning Baizura, yang berdepan situasi menyayat hati apabila anak tunggalnya, Ryan Sky Dalton, menjadi mangsa buli secara siber dalam aplikasi WhatsApp.
Bagi seorang ibu, melihat anak berubah secara tiba-tiba bukanlah perkara kecil. Ning menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila Ryan, yang biasanya ceria dan yakin diri, tiba-tiba enggan memotong rambut. Rupanya, anak kecil ini hanya mahu menyembunyikan dahinya yang menjadi bahan ejekan rakan-rakan seusia – digelar “dahi jendul” tanpa belas kasihan.
“Bila tengok sikap dia berubah, saya tahu ada yang tak kena. Lepas dipujuk, barulah dia mengaku dibuli dalam group chat sekolah. Bukan setakat diejek dahi jendul, malah keluarga pun turut dihina,” kongsi Ning penuh kesedihan.
Berbeza dengan sikap segelintir ibu bapa yang cenderung melenting, Ning mengambil langkah berhemah dan matang. Beliau bertemu sendiri dengan ibu bapa pelaku buli, siap membawa tangkap layar mesej sebagai bukti.
“Saya tahu kalau pergi terus ke sekolah, mereka mungkin nafikan atau minta bukti. Jadi saya ambil pendekatan bertemu dulu, supaya kita boleh bincang cara baik,” jelas Ning.
Sungguhpun masih muda, Ryan membuktikan kematangan apabila memilih untuk menyelesaikan isu ini secara damai. Selepas perbincangan bersama ibu bapanya, dia sendiri membuka ruang untuk berbincang dengan rakan yang membulinya. Tidak lama selepas itu, kanak-kanak tersebut tampil memohon maaf dan isu pun selesai.
Ning turut menekankan pentingnya komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak dalam menangani isu buli. Katanya, anak-anak perlu diberi ruang untuk bersuara, malah ibu bapa juga bertanggungjawab untuk memantau penggunaan gajet anak-anak.
“Kita tak boleh ambil ringan. Budaya buli sekarang jauh berbeza dan beri kesan mendalam kepada emosi anak. Perlu ada sesi kesihatan minda di sekolah sejak dari awal,” sarannya.
✔️ Pantau perubahan sikap anak – Bila anak mula berubah dari segi emosi atau fizikal, jangan biarkan. ✔️ Dengar tanpa menghakimi – Anak akan lebih terbuka jika rasa dihargai. ✔️ Ambil langkah proaktif – Jumpa pihak sekolah atau keluarga pelaku jika perlu, tapi utamakan perbincangan damai. ✔️ Bantu bina keyakinan anak semula – Kata-kata kita boleh jadi ubat paling mujarab. ✔️ Didik anak hadapi cabaran sosial zaman kini – Dunia makin kompleks, anak perlukan sokongan berterusan.
Anak-anak hari ini berdepan tekanan yang kita dulu tak pernah rasa. Mereka perlukan kita bukan sahaja sebagai ibu bapa, tapi juga sebagai sahabat, pelindung dan pembimbing. Terima kasih Ning Baizura, kerana menjadi contoh ibu yang berani, matang dan penuh kasih sayang.
🧡 Pa&Ma doakan Ryan terus kuat dan berjaya. Dan buat ibu bapa di luar sana, semoga kisah ini memberi inspirasi untuk terus peka dan dekat dengan anak-anak kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang berkahwin pasti menyimpan impian yang sama untuk menimang cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.
Namun, tidak semua diberikan jalan yang mudah. Ada yang dikurniakan rezeki zuriat seawal perkahwinan, dan ada juga yang perlu menunggu bertahun-tahun, dengan penuh sabar dan air mata.
Itulah yang sedang dilalui oleh Ally Mukhriz, cucu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, dia dan suaminya masih menanti cahayamata sulung mereka. Kini, mereka melangkah ke fasa rawatan IVF satu perjalanan fizikal dan emosi yang cukup mencabar, namun penuh dengan harapan.
Menerusi perkongsiannya di Instagram miliknya, dia berkongsi kapsyen penuh emosi namun penuh inspirasi untuk terus berjuang demi cahaya mata buat penyeri rumah tangga bersama suami tercinta.
“What a ride!! After 2 weeks of shots, I’m officially done with my #IVF jabs!!! Onto egg extraction next and hopefully a baby , InsyaAllah “
Begitulah luahan penuh rasa Ally Mukhriz, cucu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga anak kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dalam salah satu perkongsian terbarunya di Instagram.
Perkongsian itu mungkin kelihatan ringkas di mata sesetengah orang. Tapi bagi mereka yang pernah menempuh perjalanan yang sama ia adalah suara dari hati seorang wanita yang sudah lima tahun menanti, berjuang dalam diam untuk zuriat pertamanya.
Bayangkan setiap hari berlalu dengan satu persoalan yang berulang dalam hati:
“Bila agaknya Allah akan hadiahkan kami seorang anak?”
Ally dan suami sudah mendirikan rumah tangga sejak tahun 2020. Namun, selepas bertahun-tahun mencuba, mereka belum dikurniakan rezeki zuriat. Mereka tidak pernah terlalu lantang bercerita, tapi dalam diam—Ally sedang melalui perjalanan paling getir dalam hidupnya sebagai seorang wanita.
Dan sekarang, setelah lima tahun, mereka nekad melangkah ke fasa rawatan IVF (In Vitro Fertilisation).
Dalam tempoh dua minggu, Ally menjalani suntikan hormon setiap hari.
Suntikan itu bukan sekadar menyakitkan dari segi fizikal. Tapi lebih daripada itu—ia menyentuh emosi, menggugat kestabilan hormon, dan memaksa hati untuk tetap kuat walau kadangkala terasa mahu rebah.
Namun dalam kesakitan itu, dia tetap positif. Dia tetap tersenyum. Dia tetap menulis:
“So happy this part is over!!”
Sebalik senyuman itu, hanya Tuhan dan suaminya tahu betapa kuatnya seorang Ally Mukhriz.
Antara ayat yang paling menyentuh dalam perkongsian Ally adalah:
“Thank you to hubs for holding my hand through every shot, listening to all the tedious instructions from the doctors and making this gruelling process easier for me. Love you!”
Nyata, begitulah peranan seorang suami yang tidak hanya berdiri di belakang, tetapi berdiri di sisi mengiringi setiap langkah isterinya walau perit. Bukan mudah untuk melihat insan tersayang menanggung kesakitan, dan masih terus tenang memberikan semangat.
Sekarang, Ally memasuki fasa seterusnya: pengambilan telur (egg extraction). Langkah ini akan menentukan sama ada impian mereka untuk menjadi ibu bapa akan menjadi kenyataan.
Tapi yang pasti, mereka sudah memberikan segalanya. Mereka sudah berusaha. Dan yang tinggal kini adalah doa dan harapan.
Kisah Ally bukan sekadar kisah IVF. Ia adalah kisah kekuatan, kesetiaan dan harapan yang membara. Dan kepada sesiapa yang sedang melalui perjalanan sama ketahuilah, kamu tidak bersendirian. InsyaAllah, rezeki itu akan datang, tepat pada masanya.
Influenza kanak-kanak, RSV, rotavirus dan HFMD semakin membimbangkan. Ketahui cara meningkatkan sistem imun anak melalui pemakanan, tidur, vaksinasi serta langkah pencegahan yang disarankan pakar.