
Pengalaman melahirkan anak pastinya berbeza, ada yang dapat melahirkan secara normal dan ada juga yang melahirkan anak dengan cara pembedahan atau caesarean. Walau apa cara sekalipun, sedikitpun tidak membezakan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu.
Pelakon Mia Ahmad yang baru sahaja melahirkan anak keduanya pada 18 Jun yang lalu berkongsi pengalaman proses kelahiran kali ini di Instagram miliknya.

Menurut suri hati kepada pemain bolasepak JDT, Mohd Izham Tarmizi, dia berasa takut untuk bersalin secara pembedahan selepas dimaklumkan oleh doktor keadaan anak dalam kandungannya.
Dalam perkongsian tersebut, demi untuk bersalin secara normal seperti anak sulungnya, Mia berjalan satu taman dan turun naik bukit.
Artikel berkaitan: Lengkap Sepasang, Mia Ahmad Selamat Bersalin Anak Perempuan Khamis Lalu. Famili JDT Buat ‘Surprise’ Baby Shower!

Dengan usaha yang dilakukan itu, Mia bersyukur akhirnya dia berjaya melahirkan anak keduanya yang diberi nama Iris dengan kaedah normal tanpa perlu dibedah.
“Sehari sebelum saya melahirkan Iris, doktor cakap kepala bayi masih jauh.
“Takut kena c-sect, aaaa taknak la cuz Issa dulu bersalin normal kan. Jadi esok pagi nya mia jalan satu taman dan turun naik bukit, semua org tengok mak buyung gigih dengan perut besar beriadah .

“Jam 2 pagi bangun nak shishi tengok dah bloody show tapi tak ada rasa sakit kontraksi. Alhamdulillah. Allah permudahkan…Our little Iris safely delivered on 18th of June 2020, 5.10pm via normal delivery. Thank you all for your thoughts and prayers.”
Dalam posting tersebut juga Mia turut memuat naik video pendek yang mana dia sedang melakukan aktiviti fizikal iaitu berjalan-jalan ketika hamil seperti yang diceritakan di kapsyen posting tersebut.
View this post on InstagramA post shared by Mia Ahmad (@mia.ahm4d) on
Mia dan suami, Mohd Izham Tarmizi disatukan pada tanggal 13 Januari 2017. Pasangan ini dikurniakan anak lelaki pertama yang diberi nama Sayf Issa pada September 2018.
Sumber: Gempak
Artikel berkaitan: Hanya Senafas Sebut, Simple, Nama Iris Pilihan Mia Ahmad & Suami Buat Puterinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menangis Dengan Muka Menahan Sakit & Lutut Bergerak Ke Perut Tanda Bayi Kembung. Lakukan 11 Langkah Ini

Menangis dengan mimik muka menahan sakit & bahagian lutut dibengkokka bergerak Kpe perut adalah tanda bayi kembung. Mama papa perlu lakukan 11 langkah ini untuk redakannya.
Kembung perut selalu dialami oleh bayi. Ia selalu membuatkan bayi menangis tidak henti dan sukar dipujuk. Ramai ibu bapa yang fobia sekiranya si kecil kembung perut. Ikuti panduan ini
Si kecil menangis tidak henti-henti walaupun sudah diberikan susu & ditukar lampin? Ini adalah antara ciri bayi mengalami masalah kembung perut atau turut dikenali sebagai kolik. Ketahui apa itu kolik, bagaimana ia terjadi dan cara mengatasinya.

KOLIK SERING TERJADI KEPADA BAYI 5 BULAN KE BAWAH
Colic berasal daripada perkataan Greek iaitu kolikos yang bermaksud kolon (organ yang terletak di dalam perut). Berabad lamanya kita percaya bahawa kolik disebabkan oleh kesakitan atau ketidakselesaan di dalam perut bayi.
Umumnya kolik terjadi pada bayi berusia lima bulan ke bawah. Kolik sering terjadi pada waktu malam. Reaksi bayi yang mengalami kolik ialah menangis tanpa henti, sukar ditenangkan walaupun sudah disusui dan didukung.
Biasanya pada permulaan kolik, wajah akan kemerahan, mimik muka tampak menahan kesakitan diikuti dengan gerakan kaki ke arah perut. Kolik juga boleh menyebabkan bayi menangis berlarutan beberapa jam sepanjang malam dan sukar ditenangkan.

TANDA-TANDA BAYI KEMBUNG PERUT
Secara purata, kebanyakan bayi yang bukan kolik menangis selama dua jam dalam sehari. Ikuti karakter dan kekerapan tangisan bayi kolik seperti berikut;
-Simptom bermula seawal usia bayi tiga minggu.
-Sekurang-kurangnya tiga jam dalam sehari.
-Tiga hari seminggu, selama tiga minggu berturut-turut dan selalunya akan berhenti selepas usia tiga bulan.
KEMBUNG PERUT
Penyebab kembung perut atau kolik pada bayi belum diketahui secara tepat. Walaupun begitu, ada beberapa teori yang menjadi alasan terjadinya kolik. Antaranya ialah sistem pencernaan yang belum sempurna, alahan terhadap protein susu formula, dikaitkan dengan terlalu banyak meminum susu formula dan ibu menyusu yang tidak menjaga pemakanan dengan memakan makanan pencetusnya.

MAKANAN KEMBUNG PERUT PADA BAYI
Makanan-makaan ini antara yang mungkin menyebabkan perut bayi kembung;
- Produk tenusu (susu lembu, dadih, yogurt, aiskrim)
- Bawang merah
- Coklat
- Kekacang seperti kacang tanah, taugeh, kacang hijau
- Jagung
- Gandum
- Tomato
- Strawberi
- Brokoli
- Kubis dan bunga kubis
PENCEGAHAN KOLIK
Cegah selagi boleh. Tidak ada cara yang tepat untuk mencegah kolik. Tidak salah untuk anda mencuba meminimumkan penyebabnya. Misalnya, periksa posisi mulut bayi adalah betul semasa menyusu dan sendawakan dia setelah selesai menyusu.
CARA REDAKAN KOLIK BAYI
Jika bayi anda didapati mengalami kolik, ada beberapa cara untuk meredakannya. Yang penting, mama papa jangan cepat putus asa! Jika gagal, cuba cara lain untuk membantu.
- Dukung bayi dan sendawakan. Lakukannya dalam tempoh lima minit .
- Baringkan ke bawah dan tepuk bahagian belakang. Lakukannya hingga lima minit.
- Gosok dengan memberi tekanan dan tepuk ketika dia berada di atas katil. Lakukan selama lima minit.
- Jika bayi mulai tidur, masukkan bayi dalam kain penggendong bayi (baby sling). Gosok dengan menekan dan menepuk pada bahagian belakangnya.

Cara lain yang boleh redakan bayi kembung perut
Balut bayi dengan kain
- Membalut bayi dengan kain mengehadkan pergerakan anggota tangan dan kakinya.
- Cara ini membantu meluruskan anggota badan.
- Ia mengelak gangguan tindak balas yang aktif daripada bayi.
- Ia adalah bentuk tekanan yang menyerupai keadaan bayi semasa dalam kandungan ibu.
Dukung
- Cara dukung yang selamat akan membuatkan bayi selesa. Alat bantu untuk mendukung bayi amat berguna untuk bayi baru lahir.
- Ia membuatkan bayi dalam kedudukan seperti dalam kandungan ibu. Cara posisi dukungan akan memberikan tekanan yang akan melegakan bayi. Ia juga mengelak bayi daripada terlalu aktif.
- Posisi ruang yang tetap semasa mendukung bayi membuatkan bayi selesa dengan penjaganya.
Artikel berkaitan:
Mama papa, jom belajar urut bayi. Urutan juga boleh buat bayi terhindar daripada kembung perut.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
10 Panduan Dikongsi Ahli Farmasi Tentang Cara Penggunaan Ubat Di Kalangan Anak Kecil. Ibu Ayah Kena Tahu!

Jangan salah cara penggunaan ubat di kalangan anak kecil ya ibu ayah! 10 panduan yang dikongis oleh ahli farmasi ini diharap dapat membantu para ibu bapa.
Penggunaan ubat di kalangan anak kecil perlu dibuat dengan cara yang betul dan mengikut nasihat diberikan oleh ahli farmasi dan doktor. Ibu ayah kena tahu cara penggunaan ubat yang betul untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah lain pula.
Bila anak sakit ibu ayah akan segera membawa si kecil berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Selepas rawatan dilakukan, doktor akan mempreskripsi ubat-ubat yang bersesuaian mengikut penyakit, usia dan berat badan anak.
Namun kadangkala ada ibu bapa tidak memberikan anak ubat itu sekiranya keadaan anak dilihat beransur sihat dan menyimpat ubat-ubat tersebut. Jika anak sakit sekali lagi atau anak yang lain sakit, mereka akan menggunakan saki baki ubat terdahulu atau berkongsi ubat antara anak-anak lain kerana beranggapan penyakit mereka adalah sama.
Berikutan salah faham yang banyak diamalkan oleh ibu bapa, Ahli Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Fahmi Hassan berkongsi info bermanfaat ini supaya ibu bapa lebih memahami cara betul penggunaan ubat yang diberi kepada anak-anak kecil.
1.Penggunaan ubat batuk dan selsema di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun adalah tidak digalakkan.
2.Tidak semua ubat yang selamat digunakan oleh orang dewasa boleh digunakan untuk kanak-kanak.
3.Ubat batuk dan selsema boleh menyebabkan sawan, gangguan pernafasan, peningkatan kadar degupan jantung dan kematian pada kanak-kanak.
4.Batuk dan selsema biasa akan sembuh sendiri tanpa rawatan dalam masa 5-7 hari. Penggunaan ubat batuk dan selsema tidak dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

5.Pastikan anak anda mendapat bekalan cecair secukupnya. Gunakan titisan garam isotonik untuk mencairkan hingus dan mukus. Sedut hingus dari hidung menggunakan penyedut yang boleh dibeli di farmasi.
6.Gunakan alat penyukat yang sesuai seperti picagari sewaktu memberi apa-apa jenis ubat-ubatan kepada bayi dan kanak-kanak.
7.Sekiranya bayi anda demam, dapatkan pemeriksaan dari doktor dengan segera. Suhu yang tinggi di kalangan bayi boleh menyebabkan berlaku komplikasi yang lebih serius.
8.Ubat menurunkan suhu seperti paracetamol adalah selamat digunakan untuk bayi. Ikut arahan berkenaan dos dan cara penggunaan seperti yang diterangkan oleh doktor atau ahli farmasi.
9.Sekiranya anak anda memerlukan vitamin tambahan, dapatkan produk yang sesuai dengan umur anak anda.
10.Sentiasa peka dengan label ubat. Tanya ahli farmasi sekiranya terdapat kekeliruan berkaitan ubat-ubatan anda.
Sumber: fahmihassan.net
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keluar ‘Tanda’ & Air Ketuban Ketika Hampir Bersalin, Boleh Ke Ibu Hamil Teruskan Solat? Ini Jawapan Dari Mufti WP

Setiap muslim diwajibkan untuk menunaikan kewajipan solat. Begitu juga dengan seorang ibu yang sedang sarat hamil. Tapi bagaimana pula jika ketika menghampiri Tarikh jangkaan bersalin, keluar tanda-tanda yang menyebabkan ibu hamil ragu-ragu sama ada masih boleh mengerjakan solat atau sebagainya.
Dalam satu persoalan yang diutarakan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan mengenai keluarnya darah bercampur lendir dan juga air ketuban secara berterusan sebelum bersalin. Apakah dalam keadaan tersebut wanita hamil perlu mandi wajib dan terus bersolat, ini jawapan yang diberi.

Berikut adalah penjelasan terperinci oleh Mufti Wilayah tentang hal ini yang wanita patut tahu.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?

Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
- Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
- Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai permasalahan darah wanita:
AL-KAFI 740: Keluar Darah Sebanyak Dua Kali Sebulan http://bit.ly/2OxeozY
AL-KAFI # 1476: Tempoh Suci Antara Dua Haid http://bit.ly/2ueYCD0
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid http://bit.ly/3bfm9V2
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)

Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
- Membasuh faraj.
- Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
- Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
- Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
- ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
- ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
- ia melindungi bayi anda daripada jangkitan. Rujuk: https://www.babycenter.com.my/a25020502/tahap-cecair-amnion-rendah-oligohidramnio
Hal ini sebagaimana Firman Allah S.W.T:
فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ
Maksudnya: “Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim)”.
(Surah al-Mursalat :21)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
- Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
- Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
- Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
- Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Semoga dengan jawapan yang diberi dapat menjelaskan apa yang mungkin bermain di fikiran ibu-ibu hamil dan dapat memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.
sumber: Muftiwp & Sirap Limau
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!



