
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.” Begitulah keadaan yang dilalui bayi comel berusia tujuh bulan, Umair Musa bin Mohamad Hariz, yang kini menderita penyakit hati kronik dikenali sebagai Biliary Atresia.
Sekilas pandang, Umair kelihatan sihat dan ceria seperti bayi lain. Namun di sebalik senyumannya, tubuh kecil ini sedang bertarung nyawa akibat kegagalan fungsi hati. Penyakit jarang berlaku ini menyebabkan saluran hempedu Umair rosak dan hati tidak dapat berfungsi dengan baik.
Seawal usia 80 hari, Umair sudah menjalani pembedahan Kasai iaitu prosedur yang menggantikan saluran hempedu yang rosak dengan usus kecil bagi meneruskan fungsi hati. Namun malangnya, usaha itu gagal.
Kini, satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawanya adalah dengan pembedahan pemindahan hati (liver transplant). Lebih menyentuh hati, ayahnya sendiri, Encik Hariz, sanggup menjadi penderma hati demi menyelamatkan anak kecilnya.
Kos keseluruhan pembedahan pemindahan hati dianggarkan mencecah RM200,000. Namun, setakat 25 Ogos lalu, jumlah kutipan dana baru mencecah RM100,000. Ini bermakna, masih berbaki RM100,000 lagi diperlukan agar Umair dapat segera menjalani pembedahan yang sangat penting untuk menyelamatkan nyawanya.
Menurut Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (NGO) yang menguruskan kutipan dana ini, Umair perlu segera dibedah sebelum keadaan hatinya bertambah teruk.
Bagi ibu bapa Umair, setiap hari yang berlalu adalah ujian besar. Melihat anak kecil menanggung penderitaan dengan tubuh yang semakin lemah adalah sesuatu yang sangat meruntun jiwa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun rasmi:
Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia
No. Akaun: 5515 7530 7417 (Maybank)
Reference: Bantuan Musa BA
Setiap sumbangan anda, walaupun kecil, sangat besar ertinya buat Umair dan keluarga. Ia bukan sekadar wang, tetapi sebuah harapan dan peluang kedua untuk si kecil ini terus hidup.
Semoga dengan doa dan sokongan kita semua, Umair Musa memperoleh peluang kedua untuk membesar sihat, bermain ceria dan kembali tersenyum di sisi ibu bapa tercinta. 🌸
Sumber: Instagram Nadi Permata Malaysia