
Setiap ibu bapa pasti mahu melihat anak membesar sebagai individu yang yakin, bertanggungjawab dan mampu menguruskan diri sendiri. Namun, didik anak berdikari bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik apabila mereka meningkat dewasa.
Sebaliknya, sikap berdikari perlu dibentuk sejak kecil melalui rutin harian, peluang membuat pilihan serta pengalaman menyelesaikan masalah sendiri.
Ada kalanya ibu ayah terlalu cepat membantu kerana tidak mahu anak susah, kecewa atau mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan sesuatu. Walaupun niatnya baik, terlalu banyak bantuan boleh menyebabkan anak bergantung kepada orang lain dan kurang yakin dengan kemampuan diri.
Mendidik anak berdikari bukan bermaksud membiarkan mereka melakukan semuanya tanpa pemantauan. Ibu ayah masih perlu membimbing, mengajar dan memastikan tugasan yang diberikan sesuai dengan usia serta tahap perkembangan anak.
Berikut ialah 10 cara yang boleh diamalkan untuk membantu anak membesar sebagai individu yang lebih berdikari.
1. Beri Peluang Didik Anak Berdikari Dengan Melakukan Sendiri

Kadangkala lebih mudah dan cepat sekiranya ibu ayah melakukan sesuatu bagi pihak anak. Namun, cara tersebut tidak memberikan peluang kepada anak untuk belajar.
Mulakan dengan menunjukkan cara melakukan sesuatu, kemudian bimbing anak untuk mencubanya sendiri. Contohnya, anak boleh belajar memakai kasut, mengemas mainan, menyikat rambut atau menuang air ke dalam cawan.
Walaupun hasilnya mungkin tidak sempurna, pengalaman tersebut membantu membina keyakinan dan kemahiran anak.
Elakkan mengambil alih hanya kerana anak melakukan sesuatu dengan perlahan. Berikan masa dan galakan supaya mereka terus mencuba.
2. Berikan Tanggungjawab Mengikut Usia
Setiap ahli keluarga tinggal di dalam rumah yang sama, maka setiap orang juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan dan keselesaan rumah.
Tugasan rumah membantu anak memahami bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga.
- Menyimpan mainan selepas bermain
- Meletakkan pakaian kotor ke dalam bakul
- Membawa pinggan ke sinki
- Menyusun kasut
- Membantu mengelap meja
Bagi anak yang lebih besar, mereka boleh membantu menyapu lantai, membasuh pinggan, melipat pakaian atau menyediakan bahan masakan.
Tugasan ini bukan sekadar meringankan kerja ibu ayah, malah membantu didik anak berdikari, disiplin dan rasa hormat terhadap usaha orang lain.
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Baca lagi: Cara Banyakkan Susu Badan Secara Semula Jadi: 11 Makanan Berkhasiat Untuk Ibu Menyusu
3. Ajarkan Kemahiran Asas Kehidupan
Anak bukan sahaja perlu cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga perlu menguasai kemahiran asas yang akan digunakan sepanjang kehidupan.
Antara kemahiran penting yang boleh diajar secara berperingkat ialah memasak makanan mudah, membasuh pakaian, menjaga kebersihan diri, mengemas ruang sendiri serta menguruskan wang.
Ibu ayah juga boleh mengajar anak membezakan antara keperluan dan kehendak. Berikan tabung simpanan dan galakkan mereka menyimpan sebahagian daripada wang saku.
Pengetahuan mengenai cara menyimpan, berbelanja dan membuat pilihan kewangan akan membantu anak menjadi orang dewasa yang lebih bertanggungjawab.
4. Ajarkan Anak Menjaga Orang Lain
Apabila anak diberi peluang menjaga orang lain, mereka belajar mengenai tanggungjawab, empati dan keperluan untuk memikirkan perasaan individu lain.
Ibu ayah boleh memberikan tugasan mudah seperti menyiram pokok, memberi makan haiwan peliharaan atau membantu menyediakan keperluan adik.
Namun, tanggungjawab menjaga adik perlu diberikan mengikut usia dan kemampuan anak. Anak yang lebih tua tidak sepatutnya dipaksa mengambil alih tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya.
Tujuannya adalah untuk mengajar sifat prihatin, bukannya membebankan anak.
5. Biarkan Anak Menyelesaikan Konflik Sendiri

Apabila anak bergaduh dengan adik-beradik atau rakan, ibu ayah mungkin terdorong untuk terus campur tangan dan menentukan siapa yang betul.
Namun, anak juga perlu belajar cara menyelesaikan konflik sendiri.
Ajarkan mereka untuk mendengar, bercakap dengan tenang, meminta maaf, bertolak ansur dan mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.
Sebagai contoh, tanyakan:
“Macam mana kamu rasa masalah ini boleh diselesaikan?”
“Apakah pilihan yang adil untuk kamu berdua?”
Melalui latihan ini, anak akan lebih bersedia menangani perselisihan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan orang dewasa.
6. Wujudkan Persekitaran Yang Menyokong Sikap Berdikari
Anak perlu diberi ruang untuk membuat beberapa pilihan sendiri.
Bagi anak kecil, ibu ayah boleh memberikan dua pilihan yang mudah seperti memilih antara dua pasang pakaian, menentukan buku yang mahu dibaca atau memilih buah untuk dimakan.
Anak yang lebih besar pula boleh dilibatkan dalam keputusan berkaitan aktiviti kokurikulum, jadual belajar atau cara menghias bilik sendiri.
Memberikan pilihan membantu anak memahami bahawa setiap keputusan mempunyai kesan dan tanggungjawab.
Selain itu, beri anak ruang bersendirian apabila mereka memerlukannya. Masa bersendirian yang selamat boleh membantu anak mengenali emosi, berfikir dan merancang sesuatu dengan lebih baik.
7. Tunjukkan Kepercayaan Terhadap Kebolehan Anak
Anak memerlukan keyakinan daripada ibu ayah sebelum mereka mampu mempercayai kebolehan diri sendiri.
Tunjukkan bahawa ibu ayah percaya mereka boleh mencuba dan menyelesaikan sesuatu.
Daripada berkata, “Tak payahlah, nanti tumpah,” cuba katakan, “Cuba buat perlahan-lahan. Mama percaya kamu boleh.”
Apabila memberikan pujian, fokuskan kepada usaha, kesungguhan dan proses pembelajaran, bukan hanya kejayaan.
“Kamu bersungguh-sungguh siapkan kerja itu.”
“Walaupun susah, kamu tetap cuba.”
Pujian terhadap usaha membantu anak memahami bahawa kesilapan bukan kegagalan, tetapi sebahagian daripada proses belajar.
8. Ajar Anak Bersuara Untuk Diri Sendiri
Ibu ayah tidak perlu terus tampil menyelamatkan anak setiap kali mereka menghadapi masalah.
Sebaliknya, bantu anak memikirkan cara untuk menyuarakan keperluan, perasaan atau pendapat dengan sopan dan jelas.
Sebagai contoh, sekiranya anak diganggu rakan, ajarkan ayat:
“Saya tidak suka awak buat begitu. Tolong berhenti.”
Sekiranya anak tidak memahami pelajaran, galakkan mereka bertanya kepada guru sendiri.
Ibu ayah juga boleh melakukan latihan lakonan di rumah supaya anak lebih bersedia menghadapi situasi sebenar.
Kemahiran ini membantu didik anak berdikari dan mempertahankan hak mereka secara sopan.
9. Galakkan Anak Keluar Daripada Zon Selesa
Perkembangan berlaku apabila anak berani mencuba sesuatu yang baharu walaupun mereka mungkin berasa takut atau tidak yakin.
Galakkan anak menyertai aktiviti, bercakap di hadapan kelas, mencuba sukan baharu atau berkenalan dengan rakan baharu.
Namun, jangan memaksa atau memperlekehkan ketakutan mereka.
“Mama tahu kamu gementar, tetapi kamu boleh cuba sedikit demi sedikit.”
Keberanian bukan bermaksud anak tidak berasa takut, tetapi tetap mencuba walaupun takut.
10. Benarkan Anak Melakukan Kesilapan
Kesilapan ialah sebahagian daripada proses pembelajaran.
Sekiranya ibu ayah sentiasa menghalang anak daripada melakukan kesilapan, mereka mungkin membesar dengan rasa takut untuk mencuba perkara baharu.
Biarkan anak mengalami akibat semula jadi yang selamat daripada pilihan mereka.
Contohnya, jika anak terlupa membawa botol air selepas diingatkan, pengalaman berasa dahaga boleh membantu mereka lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
Namun, ibu ayah tetap perlu campur tangan sekiranya kesilapan tersebut boleh membahayakan keselamatan, kesihatan atau kesejahteraan anak.
Selepas berlaku kesilapan, tanyakan:
“Apa yang kamu belajar daripada perkara ini?”
“Apakah yang kamu boleh lakukan dengan cara berbeza selepas ini?”
Cara ini membantu didik anak berdikari dengan menjadikan kegagalan sebagai peluang untuk belajar.
Berdikari Bukan Bererti Anak Tidak Perlukan Ibu Ayah
Anak yang berdikari masih memerlukan kasih sayang, perhatian dan bimbingan daripada ibu ayah.
Matlamatnya bukan untuk menjadikan anak terlalu cepat dewasa, tetapi menyediakan mereka dengan kemahiran dan keyakinan untuk menghadapi kehidupan mengikut tahap usia.
Mulakan dengan perkara kecil dan berikan masa kepada anak untuk belajar. Mungkin mereka akan melakukan kesilapan, mengambil masa yang lebih lama atau menghasilkan sesuatu yang kurang sempurna.
Namun, daripada pengalaman itulah mereka belajar menjadi lebih yakin, bertanggungjawab dan mampu menguruskan diri.
Ibu ayah tidak perlu sentiasa menyediakan jalan yang mudah untuk anak. Sebaliknya, ajarkan mereka cara melangkah, membuat pilihan dan bangkit semula apabila tersilap. Dengan pendekatan yang konsisten, usaha didik anak berdikari akan memberi manfaat besar apabila mereka membesar kelak.
Sumber: childrensdayton.org
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





