Allahuakbar! Hanya doa untuk adik Ainul Mardhiah semoga terus kuat dan diharapkan Allah mempermudahkan urusannya. Tak sanggup rasanya lihat kesakitan yang ditanggung oleh bayi sekecil ini yang masih belum tahu apa-apa.
Menitik air mata baca kisah yang dikongsikan oleh ayah adik Ainul, Ahmad Safiuddin yang sangat cekal dan begitu kuat menerima takdir Allah. Berikut antara luahan hati seorang ayah mengenai perjalanan kisah Ainul seawal lahir hingga sekarang.
Lahir Ketika Usia 31 Minggu
Assalamualaikum & Salam sejahtera. Pada ketika dan saat ini saya menulis untuk menjelaskan keadaan yang sebenar sebab dari pagi tidak henti orang hubungi saya termasuk beratus whatapp masuk.
Pertama sekali, saya mahu perkenalkan diri. Saya Ahmad Safiuddin, Bapa kepada Ainul Mardhiah yang kuat.
Sebelum saya teruskan, saya mahu mohon maaf jika ada panggilan yang tidak dapat saya jawab dan whatsapp yang saya tidak respon. Kuasa viral hari ini betul-betul membuatkan telephone saya tidak berhenti berbunyi.
Saya akan ceritakan kisah Ainul dan apa yang Ainul telah lalui selama 8 bulan. Sebelum itu, sedekahkan Al fatihah buat jiwanya supaya dia terus bersemangat untuk melawan segala penyakitnya.
Baik. Ini kisah Ainul.
Ainul Mardhiah nama diberi, secantik orangnya, sekuat-kuat manusia. Ainul lahir pada 13 Ogos 2018, Hari isnin, 3:15ptg di GH Melaka. Ainul lahir tidak cukup bulan, Dia pramatang. Lahir melihat dunia ketika usia kandungan isteri 31 minggu.
Ada Ketumbuhan Dalam Mulut
Pada saat disedang dikeluarkan, Doktor dan kami baru tahu bahawa ada ketumbuhan yang terkeluar dari mulutnya. Ainul terus dimasukkan kedalam wad kecemasan. Doktor memberitahu keadaan Ainul terlalu kritikal. Dia ada dua masalah iaitu; Pramatang & Ketumbuhan.
Beberapa minit selepas ainul keluar dari perut, doktor mengatakan nadi dia berhenti. Tapi alhamdulillah, dengan ilmu dan kesungguhan doktor, Ainul berjaya diselamatkan dengan cara bypass pernafasan. Doktor beritahu, dia tidak dapat bernafas kerana ketumbuhan itu telah menutupi mulut dan hidungnya.
Selesai bab itu.
Pada usianya 9 hari, Ainul telah di transfer ke Pediatrik HKL, Hari Khamis, 23.8.2018 menaiki ambulan. Sesampai sahaka Ainul di sana, Doktor Pakar Bedah menemui saya dan memaklumkan yg Ainul perlu segera dibedah dan pembedahan itu akan dilakukan esok pagi ( Hari jumaat ).
Seusia 10 hari, dengan berat badan 1.3kg, Ainul telah masuk dewan bedah. Kuatnya Ainul!
Ads
Alhamdulillah, syukur saya ucapkan dan saya sangat menghargai usaha Dr Pakar Bedah tersebut dengan izinNya ketumbuhan itu telah berjaya dibuang.
Saya fikirkan ianya terhenti disitu, tetapi apabila ainul selesai dari pembedahan, Doktor Pakar Bedah memaklumkan bahawa ada dua berita iaitu berita baik dan berita yang kurang baik.
Ainul Tiada Lelangit
Berita baiknya, Ketumbuhan itu telah berjaya dikeluarkan tanpa tinggal sesisa pun. Berita tidak baiknya, Ainul didapati tidak memiliki lelangit ( Cleft Palate ). Doktor beritahu, operation untuk lelangit kena tunggu Ainul besar sikit, atau erti kata lain kena tunggu berat badan dia naik sebab tidak mungkin Ainul sekecil itu akan bertahan jika buat dalam masa terdekat.
Saya pendekkan cerita, selesai sahaja urusan rawatan Ainul di HKL, Ainul di pindahkan semula ke melaka.
Ketumbuhan Kali Kedua Selepas Sebulan Buat Pembedahan
Ujian Allah buat saya sekeluarga apabila ketumbuhan keluar lagi kali kedua sebulan selepas dia operation.
Allah sahaja tahu apa perasaan kami ketika itu. Kami yang sedang bergembira mahu menyambut ainul pulang ke rumah selama 3 bulan dia di hospital, akhirnya dapat berita seperti itu. Hanya Air mata sahaja menjadi perbualan saya dan isteri ketika mulut sudah tidak mampu berkata apa-apa.
Saya rasa ketika itu saya jatuh ke dalam gaung dan dihempap lagi dengam batu!
Ads
Selepas terima berita itu, Ainul perlu jalani rawatan chemotherapy sebab Doktor kata ianya adalah Kanser.
Mula Rawatan Kemoterapi
Dengan usia Ainul 4 bulan, berat badannya 2.2kg, Ainul akan terima rawatan chemotherapy. Doktor maklumkan bahawa ainul adalah baby pertama yg chemo dengan berat badan sebegitu.
Saya akur walaupun saya takut! Tapi pada mulanya saya tidak bersetuju kerana saya tidak yakin Ainul boleh bertahan dengan organ organnya yang masih kecil! Tapi apakan daya, saya tiada pilihan. Saya beri Ainul peluang untuk terima rawatan chemo tu.
Doktor sudah menetapkan ainul akan jalani 6 sesi chemotherapy. Tapi saya hanya buat dua kali. Kerana, saya tidak sanggup tengok anak kecil saya itu menderita akibat kesan chemotherapy.
Tapi Ainul sangat kuat, dia berjaya jalani dua kali sesi dengan jayanya.
Dan, Allah swt masih tidak mengizinkan Ainul sembuh apabila ubat chemo pun tidak berkesan buatnya. Doktor sarankan untuk tukar ubat lain, dan ubat itu adalah ubat terakhir yang boleh doktor cuba, jika tidak berhasil, maka TIADA LAGI RAWATAN DI HOSPITAL BUAT ANAK SYURGA SAYA.
Saya minta maaf kepada Ainul sebab saya dan isteri tidak sanggup ambil risiko itu dan kami membuat keputusan itu tidak teruskan chemoteraphy yang ketiga merangkap ubat yang last doktor boleh usahakan.
Tidak Boleh Lakukan Pembedahan
Ads
Ainul tidak boleh dioperate kerana lokasi ketumbuhan itu adalah tempat yang banyak salur darah dan saraf. Dalam CT scan, report mengatakan ketumbuhannya telah berada di belakang tengkorak hidung dan mata.
Kuatkan ainul?
Jadi, tujuan saya menulis ini untuk anda tahu bahawa Ainul insan terpilih yang Allah kirimkan kepada saya dan isteri, Dia Ainul Mardhiah kami yang kuat dan cekal!
Di dalam post ini, saya ingin menjelaskan bahawa pihak hospital telah melakukan banyak usaha untuk pastikan Ainul sihat dan terima kasih saya ucapkan tanda penghargaan kepada Doktor yang merawat Ainul.
Mohon Doakan Ainul Kuat
Doakan Ainul diberikan kekuatan dan kecekalan.
Saya, Bapa Ainul Mardhiah ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang tak henti henti mendoakan dan yang memberi sumbangan kepada Ainul.
Saya doakan anda semua diberkati, dilindungi, dipermudahkan segala urusan olehNya. Semoga anda semua sentiasa dalam rahmatNya.
Ketika saya menulis ini, saya sedang berada di wad kecemasan, Tiub pemakanan Ainul longgar dan keluar air.
Beginilah saya dan isteri, tidak kira siang dan malam, kami selalu berulang-alik ke hospital.
Akhir kalam, bukan wang dan ringgit yang kami harapkan, tetapi doa kalian. Siapa tahu ada di antara kita yang doanya diangkat Tuhan. Doakan Ainul Mardhiah ye.
Dan saya minta maaf jika saya sudah buat keputusan untuk tidak lagi menerima sumbangan kerana sudah cukup sumbangan orang ramai beri hari ini.
Sungguh, bukan saya mahu menolak rezeki Ainul. Tapi saya sebagai bapa masih ada kudrat dan tenaga untuk kerja lebih keras untuk biayai Ainul dan saya tak mahu menyusahkan kamu semua. Yanh sudah hulurkan sumbangan, tiada kata lain saya boleh ungkapkan selain jutaan terima kasih.
Doa sahaja sudah memadai kerana pada saat dan ketika ini, hanya Allah SWT sahaja yang mampu apa yang manusia tidak mampu!
Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) memang banyak menyerang anak kecil termasuk bayi. Siapa tidak risau bila si kecil terkena jangkitan penyakit ini. Kalau anak tinggal di taska, memang terpaksa cuti seminggulah jawabnya bila ada seorang bayi atau kanak-kanak yang dijangkiti HFMD.
HFMD adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan lampin dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.
Penyakit ini selalunya lebih teruk memberi kesan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa. Jangkitan ini juga boleh menyebabkan keradangan pada otot jantung(Myocarditis), jangkitan pada paru-paru, jangkitan pada otak dan selaputnya(Meningoencephalitis) dan juga kematian.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan hubungan secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti. Semua orang boleh dijangkiti sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun paling mudah dijangkiti.
Sebagai ibu bapa anda harus memainkan peranan dalam mencegah penyakit ini daripada menular dan menjangkiti anak-anak. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain daripada rawatan mengurangkan gejala-gejala penyakit tersebut. Langkah tersebut boleh mencegah jangkitan daripada berlaku.
1. Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, menukar lampin dan mencuci najis.
2. Menutup mulut dan hidung bila batuk juga bersin.
3. Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
4. Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
5. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
6. Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Ibu bapa hendaklah segera membawa anak berjumpa doktor sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak sampai hati bila tengok anak menangis sebab sakit perut. Bayi terutamanya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu yang dirinya tak selesa melainkan dengan menangis. Sebagai ibu ayah, kita juga keliru untuk kenal pasti keadaan anak sama ada dia sakit perut biasa ataupun kerana sembelit kerana sukar membuang air besar. Kadang-kadang sampai seminggu!
Menerusi perkongsian Dr. Ahmad Luqman Bukhari, selalunya bayi yang minum susu formula akan ‘membuang’ sekali sehari tetapi ada juga yang 2-3 hari sekali. Bagi bayi yang minum susu ibu pula, ada yang sehingga seminggu tidak membuang air besar kerana semua nutrien yang ada di dalam susu habis diserap untuk proses membesar.
Ikuti penjelasan doktor ini bagaimana cara untuk tahu sekiranya bayi mungkin sembelit;
“Dah dekat seminggu dia ni tak berak. Susah hati saya doktor. Tak tahulah dia ni tengah sembelit ke apa.”
Berkerut-kerut mukanya bercerita. Sesekali disuakan wajah ke arah anak lelakinya yang baru berusia 2 bulan tu.
Kemain lena lagi tidur kat dalam dakapan si ibu.
Begini. Selalunya baby yang diberikan susu formula ni dia akan berak sekali dalam sehari. Tapi ada jugak yang dua ke tiga hari sekali baru membuang.
Bagi baby yang fully breastfeed pulak, kadang tu ada je yang sampai seminggu tak keluarkan najis sebab semua nutrient dalam susu ibu tu dah habis diserap guna untuk proses membesar.
Minum, minum, minum, lepas tu tengok-tengok pipi dah penuh membulat. Hehe.
Sebenarnya konsistensi najis baby tu yang lebih penting berbanding kekerapan pembuangan najis. Asalkan najisnya lembut, insyaAllah okay.
Cuma perhatikanlah kalau dah beberapa hari tak berak kemudian tiba-tiba je ada tanda macam ni, baby kita tu mungkin sebenarnya tengah sembelit:
👉 Nampak dia sangat tak selesa dan asyik meragam (excessively fussy). Boleh jadi perutnya tengah sakit (on and off abdominal cramps).
👉 Masa nak buang air besar tu meneran bagai nak rak tapi najis yang keluar tu sikit sangat.
👉 Najisnya pulak keras-keras dah macam tahi kambing.
👉 Cek jugak kat kawasan dubur baby tu, takut-takut dah terluka (anal fissure). Tu yang kerap buatkan baby sakit sangat dan najis pun bercampur darah.
👉 Kadang tu kita boleh palpate dan rasa ada ketulan najis yang keras dekat bahagian abdomen (perut).
Sumber foto: www.freepik.com
3 faktor yang selalu buatkan masalah sembelit ni antaranya disebabkan masalah dehydration, baru je tukar susu ibu ke susu formula atau pun boleh jadi sebab baby baru mula makan makanan pelengkap (weaning diet).
Jadi make sure:
⏩ Baby diberikan susu dan air yang cukup. Mana yang bancuh susu formula, pastikan ikut betul-betul arahan sukatan tu supaya tubuh bayi dapat jumlah air yang secukupnya melalui susu formula tadi.
⏩ Untuk si comel yang dah mula makan, berikan juga diet yang mengandungi serat supaya nanti najisnya jadi lebih lembut. Antaranya sayur brokoli dan buah-buah seperti pear, prun dan epal.
Namun jika sembelit masih berpanjangan, bawalah baby tu untuk dapatkan pemeriksaan.
Bakal ibu mana yang tak risau bila diberitahu oleh doktor bayi yang dikandungkan terbelit tali pusatnya. Jangan cemas kerana ibu sebenarnya masih boleh bersalin normal dan paling penting, anak di dalam kandungan masih boleh meleraikan belitan ini dengan sendirinya.
Perkongsian Dr Sharifah Halimah Jaafar, Consultant Obstetrician & Gynaecologist diblognya, drsharifahblogspot.wordpress.com ini mama kena baca. Menurut pakar sakit puan dan perbidanan ini, belitan tali pusat dileher bayi bukanlah satu sebab untuk pembedahan cesarean kerana ramai ibu yang bersalin secara normal. Jadi mama kena relaks. Jangan cemas!
Tali Pusat Terbelit Di Leher, Adakah Berbahaya?
Mengikut kajian, kadar kejadian atau insiden tali pusat terbelit dileher bayi semasa kandungan telah cukup bulan ialah 33-35%. Hampir 3.5 % melibatkan belitan berganda.
Bunyinya memang menakutkan ibu yang sedang mengandung, tetapi adakah ia merbahaya dan boleh menyebabkan apa apa masalah yang boleh membawa kepada kecacatan atau kematian kepada bayi? Kita juga pernah dengar pengalaman ibu ibu yang mengatakan mereka terpaksa melahirkan bayi secara pembedahan cesarean kerana terlilit tali pusat di leher bayi?
Soalnya, adakah jika diketahui ada tali pusat dileher bayi sebelum sakit bersalin, semua ibu harus dibedah dan tidak boleh dibenarkan bersalin secara normal?
Berikut adalah fakta fakta mengenai tali pusat dileher bayi berdasarkan bukti bukti perubatan yang kukuh! Untuk pengetahuan ibu ibu:
Selagi bayi berada didalam rahim, belitan tali pusat dileher bayi tidak merbahaya dan ia adalah satu perkara yang lazim terutamanya jika tali pusat itu panjang.
Belitan tali pusat dileher bayi juga bukanlah satu sebab untuk pembedahan cesarean kerana ramai ibu yang bersalin secara normal, didapati ada tali pusat dileher bayi semasa bayi dilahirkan.
Doktor akan memotong atau melepaskan tali pusat dari leher bayi sebaik sahaja kepala bayi keluar dan seterusnya diikuti oleh bahagian badan bayi. Jika ketat belitan tali pusat dileher bayi, kadang kadang bayi boleh kelihatan biru seketika tetapi akan pulih segera
Ada terdapat peratusan yang kecil ibu mengandung di mana belitan tali pusat terlalu ketat dileher bayi. Jika belitan tali pusat itu terlalu ketat atau tali pusat menjadi terlalu pendek, semasa proses bersalin, kepala bayi tidak akan dapat turun kebawah dan bekalan oksigen bayi boleh terjejas. Dalam kes yang sebegini, doktor akan mencadangkan pembedahan cesarean kecemasan.
Apa yang perlu ibu lakukan jika diberitahu ada tali pusat terbelit dileher bayi?
1. Relax! Tak perlu berbuat apa apa sehingga bersalin. Bayi ada kebolehan menanggalkan tali pusat dilehernya sendiri.
2. Boleh bersalin normal atau tidak? Boleh cuba dan lihat. Jika ada apa apa masalah tentang bekalan darah dan oksigen kepada bayi akibat jerutan tali pusat yang ketat, biasanya doktor akan dapat mengesannya dengan ujian pantauan semasa melalui proses bersalin. Hanya segelintir ibu sahaja yang perlu pembedahan cesarean kecemasan. Jadi, ibu jangan cemas.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.