
Ramai ibu bapa mungkin menyangka anak hanya alami masalah tonsil bila kerap sakit tekak atau berdengkur ketika tidur. Namun, hakikatnya ada satu lagi penyakit yang jarang disedari iaitu adenoid.
Jika tidak dirawat, ia boleh mengubah wajah anak, ganggu tidur dan menjejaskan tumbesaran.
Menurut perkongsian Klinik Taqwa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun, Aleeya, sering mengalami masalah tonsil bengkak. Pada mulanya, ibunya membawa Aleeya ke hospital kerajaan. Pemeriksaan awal mendapati tonsilnya sudah kronik.
Namun, selepas dirujuk ke Klinik Taqwa MT, pemeriksaan oleh Dr. Hana mendedahkan sesuatu yang lebih membimbangkan. Tonsil Aleeya memang besar, terutama di sebelah kanan, tetapi wajahnya juga menunjukkan tanda-tanda adenoid facies — hidung kecil, gigi atas menonjol, langit mulut tinggi serta mulut sentiasa terbuka kerana lebih banyak bernafas melalui mulut.
Adenoid ialah tisu kecil di belakang rongga hidung yang berfungsi melawan kuman. Walaupun penting untuk sistem imun, adenoid yang membesar boleh menyebabkan pelbagai masalah terutama pada kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun.
Tanda-tanda adenoid membesar termasuk:
Anak berdengkur kuat semasa tidur
Bernafas melalui mulut hingga mulut sentiasa terbuka
Hidung tersumbat walaupun tiada selesema
Suara sengau seperti bercakap melalui hidung
Kerap selesema atau jangkitan telinga
Perubahan wajah (adenoid facies)
Menurut Dr. Hana, rawatan bergantung pada tahap keseriusan keadaan anak.
1. Pembedahan
Jika terlalu teruk, doktor mungkin cadangkan pembedahan membuang adenoid (dan kadang-kadang tonsil sekali). Prosedur ini membantu ramai kanak-kanak kembali sihat, tidur lena dan bernafas dengan lebih baik.
2. Pendekatan tanpa pembedahan
Untuk kes yang sederhana, ibu ayah boleh mencuba langkah berikut:
Berikan anak makanan berkhasiat kaya buah-buahan & sayuran
Kurangkan makanan bergula atau diproses
Pastikan anak cukup tidur dan aktif bermain
Dapatkan nasihat doktor untuk rawatan tambahan jika perlu
Dengkuran bukan hanya masalah orang dewasa. Bila anak kecil tidur berdengkur kuat, bernafas melalui mulut atau wajahnya mula berubah, ia mungkin tanda adenoid membesar.
Rawatan awal sangat penting supaya anak dapat bernafas dengan baik, tidur nyenyak dan membesar dengan sihat.
Ibu ayah, jika anak menunjukkan tanda-tanda seperti Aleeya, jangan tunggu lama. Segera berjumpa pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut. Ingat, kesihatan anak adalah amanah, dan tindakan pantas boleh menyelamatkan masa depan si kecil.
Sumber: Facebook