Naluri setiap ibu selepas bersalin adalah untuk menyusukan bayinya. Kerap kali saya berjumpa dengan ibu-ibu yang sangat bermotivasi sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayinya sebaik sahaja selepas kelahiran. Akan tetapi ada yang mengatakan ‘Bayi saya tidak suka pada susu saya’ ataupun ‘Bayi saya tidak mahu menyusu’.
Ini akan menyebabkan ibu merasa tertekan kerana memikirkan bahawa bayi tidak mahukannya dan tidak suka pada susunya. Ada ibu yang akan mengatakan bayi berada dalam proses bercerai susu, walhal ini jarang berlaku di kalangan bayi yang berumur kurang dari satu tahun.
Secara lazimnya, ada sebab mengapa bayi enggan menyusu walaupun di peringkat awal kelahiran dan adalah penting untuk kita cuba mengetahui apa puncanya. Apabila sesuatu punca itu diketahui, barulah masalah itu lebih mudah untuk diatasi.
Apakah punca-punca yang menyebabkan bayi enggan menyusu selepas kelahiran?
1. Ubatan yang diterima oleh ibu semasa proses bersalin seperti ubat bius dan epidural. Ubat ini akan membuat bayi mengantuk dan enggan menyusu.
2. Bayi diasingkan dari ibu sejurus selepas lahir dan tidak mendapat sentuhan kulit ke kulit.
3. Masalah di bahagian mulut bayi seperti cleft palate dan tongue tie.
4. Masalah pelekapan disebabkan oleh puting ibu yang tenggelam, rata atau terlalu besar.
5. Posisi yang tidak betul menyebabkan bayi yang tidak selesa apabila menyusu
6. Bayi yang lemah seperti bayi pramatang, hypothyroid atau kurang gula di dalam darah
Ada juga segelintir bayi yang pada peringkat awalnya dapat menyusu dengan baik, tetapi lama kelamaan selepas beberapa bulan akan menolak apabila hendak disusukan oleh ibunya. Kadang kala, bayi akan menyusu sekejap, kemudian akan berhenti dan menangis seperti tidak mahu disusukan lagi. Ini dinamakan Mogok Menyusu ataupun ‘Nursing Strike’. Ini sebenarnya adalah cara bayi untuk memberitahu ibunya yang dia mempunyai masalah tertentu. Jadi ibu perlu cuba menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini.
Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.
Ads
1. Punca dari susu ibu seperti susu kurang atau terlalu laju, rasa susu yang berubah kerana ibu mengalami Mastitis, datang haid, mengandung dan pengambilan sesetengah jenis ubat.
2. Masalah di bahagian mulut bayi seperti pertumbuhan gigi, jangkitan kulat (candida) atau ulser
3. Masalah perubatan bayi seperti infeksi di bahagian telinga, selsema atau reflux yang menyebabkan bayi tidak selesa untuk menyusu.
4. Keliru puting kerana diberi puting tiruan
5. Bayi sensitif dengan pemakaian minyak wangi atau lotion di bahagian dada ibu yang boleh mengakibatkan bayi kurang berminat untuk menyusu.
6. Bayi merasa takut dengan reaksi ibu sekiranya ibu pernah menunjukkan perasaan takut dan terkejut apabila putingnya pernah digigit oleh bayi sebelum ini
7. Proses perkembangan bayi-Bayi yang berumur enam ke sembilan bulan lebih mudah beralih perhatian dengan persekitaran atau mahukan perhatian ibu sepenuhnya
8. Rutin bayi telah terganggu kerana ibu berpindah rumah atau kembali bekerja.
9. Bayi berpisah dari ibu untuk jangkamasa panjang yang luar biasa.
Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan bayinya. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, dengan mempraktikkan beberapa teknik, kita boleh melatih bayi kita untuk kembali menyusu. Ia memerlukan sedikit masa, kesabaran dan kasih sayang. Ada bayi yang akan mengambil masa beberapa hari dan ada juga hingga satu ke dua bulan untuk mendapatkan lekapan yang terbaik.
Ingat, bayi tidak boleh dipaksa untuk menyusu kerana ia akan menyebabkan stress kepada bayi dan bayi akan lebih enggan untuk menyusu.
Percayalah! Selepas proses penyusuan menjadi lebih baik, penghasilan susu akan menjadi lebih lancar dan bayi akan mempunyai kepercayaan untuk meneruskan penyusuan dan bayi akan menjadi lebih sabar apabila melekap ataupun ‘latching’.
Apakah tips yang boleh dipraktikkan untuk membuat bayi lebih mahu untuk menyusu badan?
Ads
1. Memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit atau ‘Skin to Skin Contact’
• Sentuhan kulit ke kulit bermakna bayi diletakkan telanjang di atas dada ibu yang terdedah. Satu selimut digunakan untuk menutup kulit keduanya.
• Sentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat membantu proses penyusuan, malah ia juga dapat membantu dengan kenaikan berat badan bayi itu. Luangkan masa bersama bayi semasa penyusuan walaupun penyusuan itu tidak berjaya, dan juga selepas penyusuan.
• Ini akan membuatkan bayi lebih gembira sebelum dia melelapkan mata dan apabila bangun dari tidur. Dengan berada bersama bayi sepanjang masa, ibu akan dapat menyusu bayi sejurus selepas bayi menunjukkan ‘feeding cues’ ataupun tanda-tanda pra penyusuan seperti pembukaan mulut, tangan bayi di dalam mulutnya dan kepala menoleh ke kiri dan kanan.
2. Penyusuan yang kerap
• Tawarkan bayi payudara setiap kali ada peluang untuk memberi ‘comfort’ ataupun kepuasan kepada bayi seperti sebelum bayi tidur atau sejurus selepas bayi bangun dari tidur. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk.
• Sekiranya payudara terlalu bengkak, perah susu terlebih dahulu untuk membantu bayi melekap dengan lebih baik pada payudara.
3. Dengan memakai baju menyusu ataupun ‘Nursing Friendly’
• Pemakaian yang sesuai untuk penyusuan ataupun ‘Nursing Friendly’ akan memberi akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu dan menjimatkan masa apabila memulakan penyusuan. Bayi boleh hilang kesabaran apabila ibu mengambil masa untuk memperbetulkan baju dan pakaian dalam sebelum menyusu dan ini boleh menggangu proses penyusuan yang sempurna.
4. Dapatkan posisi dan persekitaran yang sesuai
• Dapatkan tempat kegemaran dan juga posisi penyusuan kegemaran bayi anda. Ada bayi yang gemar menyusu dalam posisi baring dan ada yang gemar dalam posisi pegangan buaian atau silang tangan. Anda boleh mencari bilik atau sudut yang bercahaya malap dan pasangkan muzik atau alunan Zikrullah yang menenangkan. Elakkan dari gangguan bunyi bising dari televisyen, radio, alat permainan atau anak yang lain. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali.
• Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri.
5. Bersabar dan hindarkan dari memberi tekanan kepada bayi untuk menyusu
• Apabila bayi seolah-olah enggan untuk menyusu dan merajuk, elakkan dari menolak kepala bayi ke payudara untuk memaksakan penyusuan. Sekiranya bayi seakan-akan sudah hilang sabar, jangan memaksa bayi untuk melekap ke payudara tetapi banyakkan sentuhan kulit ke kulit supaya bayi dan ibu akan lebih tenang. Cuba jangan tunjukkan perasaan bengang dan marah anda. Apabila bayi mula menunjuk tanda-tanda pra-penyusuan, ibu boleh mencuba lagi.
Ads
6. Tidur berhampiran dengan bayi
• Ini akan menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan bayi akan mendapat akses yang lebih mudah untuk menyusu. Tetapi ingat, berkongsi katil dengan bayi ada risiko untuk ‘SIDS’ ataupun Sindrom Kematian Bayi Mengejut. Adalah lebih baik untuk bayi tidur dalam kot atau katil bayi dalam bilik yang sama dengan ibu.
• Apabila bayi tidur di dalam katilnya sendiri tetapi di dalam bilik yang sama dengan ibu, ibu akan dapat menyusu bayi dengan segera iaitu sejurus sahaja selepas bayi menunjukkan tanda para penyusuan atau ‘feeding cues’ dan lebih mudah untuk menyusu pada waktu malam.
• Jangan beri bayi anda puting tiruan.
7. Teknik ‘ Ganjaran serta merta’ ataupun ‘Instant Reward’
• Teknik ini adalah untuk melatih bayi untuk mempelajari bahawa lekapan ke payudara adalah cara untuk mendapatkan susu. Ibu boleh menggunakan mana-mana cara yang sesuai.
i. Perah susu secara manual dengan tangan atau dengan pam sehingga merasa ‘let down’ sebelum bayi melekap pada payudara
ii. Jika ibu menggunakan Pelindung Puting ataupun ‘Nipple Shield’, isikan di bahagian puting dengan susu sebelum bayi melekap
iii. Titiskan susu ibu pada puting ibu di sudut mulut bayi semasa bayi sedang melekap dengan menggunakan dropper atau picagari
iv. Dengan menggunakan ‘Supplemental Nursing System (SNS)’
Sekiranya bayi masih enggan menyusu, cuba beri bayi susu ibu yang diperah (EBM ) dengan menggunakan cawan yang kecil atau sudu. Kemudian, bawalah bayi berjumpa dengan doktor untuk memastikan bayi anda sihat.
Adalah penting untuk membawa bayi yang tidak sihat berjumpa dengan doktor bagi dapatkan juga rawatan yang sesuai untuk bayi dan posisi penyusuan yang terbaik untuk bayi yang sedang berada dalam kesakitan.
Ibu juga perlu sentiasa memerah susu bagi memastikan bekalan susu tidak terputus selagi bayi masih enggan untuk menyusu.
Saya sering mengingatkan ibu-ibu bahawa sifat bayi untuk enggan menyusu ini adalah sementara sahaja. Dengan mengenal pasti punca mengapa bayi enggan menyusu dan sekiranya ibu juga berkomited untuk meneruskan penyusuan dan juga mendapat sokongan dari ahli keluarga, InsyaAllah ibu akan berjaya.
Mengepam susu adalah cara untuk memastikan si manja tetap akan mendapat susu ibu walaupun tidak berada bersama si ibu. Tetapi adakah ibu-ibu sekalian tahu cara penyimpanan susu yang betul?
Kesilapan cara menyimpan susu ibu
Kita selalu menganggap ia adalah satu perkara mudah untuk menyimpan susu ibu yang sudah dipam. Walau bagaimanapun, tanpa sedar, terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh ibu mengenai cara simpanan susu.
Kesilapan ini secara tidak langsung sebenarnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Jadi jom kita semak apakah kesilapan yang sering dilakukan.
Bekas tercemar
Susu badan dapat membantu meningkatkan sistem pertahanan badan bayi daripada bakteria berbahaya. Tetapi keadaan akan menjadi sebaliknya jika bekas simpanan susu yang digunakan sudah tercemar. Bekas mengepam susu juga harus dipastikan bersih, ya?
Penggunaan botol susu plastik atau kaca harus dicuci dan dikeringkan dengan sebaiknya. Ini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Cuci menggunakan air suam dan lap bekas dengan kain bersih.
Kiub ais
Mungkin ada di antara ibu sekalian memilih untuk membuatkan kiub ais susu sebagai cara mudah untuk menyimpan susu. Tetapi mungkin selepas ini anda patut hentikan kaedah penyimpanan ini, kerana ia berisiko untuk dicemari bakteria memandangkan ia adalah bekas terbuka.
Jika masih ingin menggunakan kaedah kiub ais, disarankan untuk menggunakan bekas tertutup. Ia adalah cara yang lebih selamat.
Bekas plastik
Bukan semua bekas atau beg plastik sesuai untuk digunakan sebagai bekas penyimpanan susu. Anda perlu menggunakan bekas plastik yang bebas bahan kimia. Anda dinasihatkan untuk memilih bekas dengan label “BPA-Free”. Ini kerana ia adalah lebih selamat untuk si manja anda.
Dalam masa yang sama, pastikan bekas plastik yang digunakan tidak koyak atau bocor. Jika tidak, sudah tentu bakteria berkembang dan membiak di dalam bekas plastik tersebut. Sentiasa memeriksa bekas plastik yang digunakan, okay?
Terlalu lama
Bagi ibu yang ‘meriah’ susu badannya sudah tentu akan memilih untuk menyimpan stok susu dalam peti ais beku. Malahan ada ibu yang menyediakan deep freezer semata-mata untuk menempatkan susu yang dipam.
Ia adalah ikhtiar yang harus mendapat pujian. Walau bagaimanapun, penyimpanan susu untuk tempoh yang terlalu lama adalah tidak bagus. Ini kerana badan ibu menghasilkan susu yang bersesuaian dengan keadaan semasa bayi.
Tempoh penyimpanan yang terbaik di dalam peti sejuk beku, di bawah suhu -18℃ adalah dari tempoh enam, adalah tempoh yang terbaik dan sehingga 12 bulan, tempoh yang masih boleh diterima untuk penyimpanan susu. Tetapi jika disimpan dalam peti sejuk biasa, ia hanya boleh bertahan sehingga empat hari sahaja, okay?
Kandungan nutrien dalam susu ibu adalah untuk memenuhi keperluan khasiat bayi pada ketika itu, jadi sebaiknya berikan susu tersebut secepat mungkin.
Berhampiran makanan mentah
Tempat di mana anda menyimpan susu juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika susu disimpan di tempat yang sama dengan bahan makanan lain seperti daging atau ikan mentah, ia akan meningkatkan risiko untuk bakteria berpindah dari makanan ke susu yang disimpan.
Jika boleh, sebaik-baiknya, asingkan ruang penyimpanan makanan barangan dapur dengan susu ibu. Selain itu, anda amatlah dinasihatkan untuk tidak meletakkan susu yang ingin disimpan pada bahagian pintu peti sejuk. Ini adalah untuk membantu melindungi susu daripada perubahan suhu ketika membuka dan menutup pintu peti ais.
Simpan semula
Pasti rasa sayang untuk membuang susu yang tidak digunakan. Tetapi jika susu tersebut sudah dikeluarkan daripada peti beku, anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan semula walaupun ia tidak digunakan.
Maksudnya di sini, jika susu disimpan beku dan didedahkan kepada suhu biasa, jangan masukkan kembali untuk pembekuan semula, jika susu yang beku telah cair sepenuhnya. Sebaiknya ia digunakan dalam tempoh masa dua jam selepas proses pencairan.
Ia hanya boleh digunakan untuk susu ibu yang beku tetapi terdedah. Jangan sekali-kali menyegarkannya dan mesti menggunakannya dalam masa 2 jam selepas pencairan ((ini bermakna dari masa ia tidak lagi beku atau dicairkan sepenuhnya, bukan dari semasa anda mengeluarkannya dari peti sejuk)
Ini kerana, selain daripada mengurangkan nilai khasiat di dalamnya, tindakan anda ini juga membuatkan susu lebih mudah dicemari bakteria. Jadi hanya keluarkan susu dalam jumlah yang diperlukan.
Secara terus
Sesungguhnya memberikan susu ibu secara terus adalah antara kaedah yang paling baik. Tetapi jika keadaan memerlukan anda menyimpan susu, pastikan anda melakukan ia dengan cara yang betul. Jangan lupa untuk memastikan tangan anda juga dalam keadaan bersih semasa mengendalikan proses mengepam dan penyimpanan susu, okay?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila disahkan hamil, automatik perasaan teruja itu ada dalam diri setiap wanita. Namun nak melalui fasa mengandung dan melahirkan bukanlah sesuatu yang mudah. Ada yang mengalami alahan teruk dan ada juga yang mengalami pelbagai masalah kesihatan sehingga waktu nak bersalin.
Setiap orang pengalaman mengandung dan melahirkan berbeza. Sebab itu pentingnya kena jaga pemakanan dan kesihatan sewaktu hamil. Kesihatan yang baik dan emosi positif memberi kesan yang mudah untuk bersalin secara senang dan tenang.
Berikut ada 4 tip yang boleh diamalkan:
Pertama:
Penting ambil makanan yang sihat, makan makanan sebenar yang sesuai dengan badan. Elak makanan yang diproses kerana di dalamnya mengandungi pengawet pewarna perasa yang melemahkan imun badan. Mengandung bukan tiket nak makan segala, craving all the time. Boleh amalkan green juice dari sayuran hijau dan jus buah-buahan segar. Organik lebih baik tapi kalau semua organik boleh kanser poket kita. So tak organik pun ok beli local punya, rendam dengan cuka epal/cuka kurma cuka tiruan pun boleh sebab dalam cuka ada probiotik yang membantu menyingkirkan racun. Elak sayuran dari China kerana isu tanah bertoksik dan begitu juga USA yang banyak GMO.
Kalau takde cuka guna baking soda dicampur air suam pun boleh. Pilih ulam-ulam lagi sedap. Kena ingat, apa yang ibu mengandung makan sekarang memberi kesan kepada tiga generasi akan datang, epigenetics. Kita nak jaga kesihatan keturunan kita kan.
Kedua:
Bergerak aktif penting. Alahan diawal pregnant antara tanda kekurangan magnesium. Kita ni selalu fokus tentang kalsium tetapi selalu lupa tentang mineral penting ni. Ini hasil pembacaan . Alahan, kita tahu itu perkara biasa. jadi, kalau alahan pun kena usaha untuk bergerak, cuba dapatkan cahaya matahari vitamin D natural tu bagus sangat untuk kita. Banyak bergerak bantu pengaliran darah berjalan baik dan kita juga dapat refreshment kan. Dihujung kehamilan lagi aktif. Menggolek gym ball, squat, turun naik tangga abaikan lift.
Ketiga:
Ceria emosi. Ini memang penting. Wanita ni ada beribu-ribu emosi sebab kita ada banyak hormon yang macam-macam tindak balasnya. Ini adakala paling susah nak buat kadang-kadang sendu sendirianlah jawabnya tapi jangan biarkan berlarutan. Belajar untuk jangan fikir perkara diluar kawalan, breath and let it go. Bila tenang, hormon oksitosin pun dirembes dengan baik. Uterus pun seronok melayan contraction. Baby pun tenang, dapat oksigen dengan baik mudahlah baby keluar.
Keempat:
Yakin sampai masa baby nak keluar, ia akan keluar sendiri. Enjoy layan surge sambil membayangkan betapa seronok nak jumpa baby. Bila seronok, contraction yang memulas membelit ruang perut yang dirasa masa 1st time bersalin dulu, hanyalah mild saja. Faham fisiologi melahirkan itu penting. Bila ibu stres, melayan macam-macam emosi yang tidak sihat, hormon kortisol pun meninggi. Badan melawan ombak contraction dengan keras maka stres lah badan ibu. Baby dalam perut pun stres macam mana baby nak keluar dengan baik. Macam mana uri nak sama-sama keluar ikut baby keluar bila sama-sama stres. Baby ni Allah jadikan sampai masa ia akan keluar sendiri.
Alhamdulillah. Senang dan tenang melahirkan, atas usaha sungguh-sungguh dan izinNya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) sangat membimbangkan. Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska atau prasekolah.
Menerusi laporan Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penyakit HFMD berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran dengan kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun hampir 100 peratus, terutama di premis tempat tumpuan, kanak-kanak seperti taska, tadika atau sekolah.
Gambar Hiasan – Kredit: Google
Justeru ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai simptom jangkitan dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat awam, taska atau tadika dan membawa anak untuk mendapatkan rawatan, selain membersihkan permainan anak serta lantai rumah terutama di tandas.
Sementara itu, di FB Cik Lisa, dia berkongsi pengalaman anak dijangkiti HFMD dan caranya merawat penyakit itu hingga boleh sembuh dengan cepat. Antaranya dengan menjaga kebersihan dan memastikan kesihatan anak berada pada tahap optimum.
Gambar Hiasan
Kalau mak mak semua nak tahu, saya pakai ni untuk anak saya yang baru sembuh dari penyakit HFMD. Saya guna sabun cetaphil tu untuk mandi. Lepas mandi lap kering-kering, pakaikan pampers sahaja dan biarkan tidak berpakaian.
Lepas itu sapu cream atau lotion tu ke seluruh badan. Tak sampai beberapa hari pun bintik-bintik air tu akan kecut dan hilang. Untuk ulser dalam mulut, saya pergi klinik as-salam dia bagi spray.
Doktor suruh spray je selalu, dan alhamdulillah anak saya sembuh dengan cepat . Mungkin mak-mak boleh cuba.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.